Monday, July 26, 2010

Naik Harga Barang : Hadiah Untuk Pengundi Sabah

Kesetiaan yang tidak berbelah bagi pengundi Sabah kepada Barisan Nasional dalam pilihanraya ke 12 yang lalu, kini sudah boleh menuai hasilnya. Kenaikan harga minyak, gas dan gula dalam keadaan kesempitan hidup rakyat amatlah tidak munasabah. Namun demikian, inilah hadiah yang pasti akan diberikan Barisan Nasional kepada rakyat khususnya pengundi Sabah. Demikian luahan Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Hj Hamzah Abdullah yang nyata kecewa dengan berita malang ini.

Rakyat Sabah adalah mereka yang paling merasai kepayahan, kesan kenaikan harga barang asas seperti minyak, gas dan gula. Faktor geografi yang luas, berbukit, bergunung, struktur jalanraya yang yang teruk menjadikan kenaikan yang ditentukan hanya lima sen akan menjadi lebih daripada itu, terhadap semua barang asas. Apa lagi, masih ramai rakyat Sabah yang menggunakan minyak botol yang diperolehi daripada penjaja-penjaja kecil. Pastinya, rakyat pendalaman Sabah akan mengalami kesusahan berganda.

"Siapa dari kalangan pemimpin UMNO dan Barisan Nasional yang boleh menjamin dan memastikan harga minyak, gula dan keperluan asas lain tidak dinaikkan lebih daripada kenaikan yang ditetapkan? Malah setiap kali berlaku kenaikan, peniaga biasanya akan menaikan lebih daripada itu, khususnya dikawasan pendalaman Sabah. Sejauhmana kemampuan pemantauan daripada Kementerian Hal Ehwal Pengguna?" soal Hj Hamzah lagi.

Beliau mengesa, rakyat Sabah mestilah bersedia untuk menghukum UMNO dan Barisan Nasional. Selama ini, Sabah menjadi benteng BN yang paling kuat di Malaysia setelah kubunya, Johor turut ditembusi Pakatan Rakyat. Sepatutnya, rakyat Sabah yang majoritinya di pendalaman dan menghadapi kepayahan hidup didahulukan.

Kelmarin, Datuk Seri Najib berkata, kenaikan harga minyak, gas dan gula adalah satu penyelarasan subsidi. Ianya merupakan satu langkah berani yang diambil kerajaan bagi meletakkan ekonomi Malaysia di landasan kukuh pada masa depan.

Namun demikian, kenyataan ini disanggah oleh Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang beranggapan tindakan itu sedikit pun tidak membantu menyelesaikan masalah defisit negara, malah ia makin meningkat. 

“Bagi tahun 2008, di kemuncak kenaikan harga minyak, defisit negara melonjak kepada 4.8 peratus berbanding 3.2 peratus bagi tahun sebelum itu.

“Keadaan ini berlaku kerana kerajaan tidak berdisiplin dan tidak ada iltizam politik untuk menyalurkan penjimatan dari pemotongan subsidi ke sektor-sektor yang benar-benar memerlukan, sedangkan pembaziran dan kerugian terus berlaku,” tegasnya.

Sebab itulah, kata Anwar, beliau telah menegaskan berkali-kali bahawa ubat yang paling mujarab untuk memulihkan ekonomi negara adalah reformasi ekonomi yang menyeluruh, bukannya tertumpu kepada golongan lemah semata-mata.

http://legehiyyah.blogspot.com/2010/07/naik-harga-barang-hadiah-untuk-pengundi.html

Saari Sungip: Kerajaan Pusat BN/UMNO Petualang Sebenar Kes Curi Pasir

Saari Sungip: Kerajaan Pusat Petualang Sebenar Kes Curi Pasir 

Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat meneruskan gesaan kepada Kerajaan Pusat untuk tidak mensabotaj usaha Kerajaan Negeri Selangor membasmi kegiatan mencuri pasir. 

Adun Hulu Kelang, Saari Sungip berkata Kerajaan Pusat menyuburkan kegiatan mencuri pasir dengan memansuhkan kuasa Pejabat Tanah dan Daerah serta Jabatan Galian Tanah, seraya menjadikan agensi terbabit tidak berupaya untuk memberkas petualang pasir terbabit. 

Saari dalam nada berseloroh pada awalnya menyoal siapa gerangan yang bertanggungjawab dalam isu kecurian pasir di Selangor, diikuti dengan penjelasan bagaimana isu kecurian pasir di negeri ini dikatakan sebagai satu usaha terancang oleh Kerajaan Persekutuan. 

"Tuan-tuan, siapa yang curi pasir ini? Pencuri. Yang curi pasir ini ialah pencuri. Isu pencuri ini bidang kuasa pihak polis" seloroh Saari. 

Berucap dalam ceramah umum "Siapa Curi Pasir", Saari menjelaskan, amalan kerajaan UMNO-BN ketika memerintah Selangor menjadikan masalah pasir di Selangor semakin rumit untuk diselesaikan. 

Ianya menjadi semakin teruk apabila berlakunya amalan pendakwaan terpilih serta wujud usaha untuk melindungi pihak-pihak tertentu yang berkepentingan. 

"Isu pencuri pasir ini ialah masalah penguatkuasaan di peringkat persekutuan. Saya hendak bawa satu isu besar, di dewan pun tidak terbawa sebab tidak dapat maklumat yang sepenuhnya" tambahnya lagi. 

Tambahnya, amalan menyelamatkan kroni ini dikukuhkan oleh kerajaan pusat dengan meluluskan akta baru di peringkat Persekutuan pada November 2008 apabila kuasa menahan orang yang mencuri atau pun disyaki mencuri pasir tidak lagi di bawah bidang pegawai penguatkuasa PTD dan PTG. 

Penahanan hanya boleh dibuat ketika operasi bersepadu yang melibatkan pihak polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dilakukan. 


Bahkan sekiranya ada kes kecurian yang terbongkar, ianya pantas dibersihkan melalui agensi yang tertakluk dibawah telunjuk kerajaan pusat. 

"Ada pendakwaan pun suruh ditarik balik. Ini realitinya yang saya hendak tuan-tuan paham. Bagaimanakah kuasa pendakwaan di peringkat negeri tidak ada. Kalau Timbalan Perdana Menteri, kalau Noh Omar mengatakan bahawa kita ada mencuri pasir". 

"Ini kerana kelemahan kepada mereka, kerana pendakwaan lemah, penguatkuasaan memang kita boleh buat tetapi oleh kerana pendakwaan terpilih, kalau dia tengok, kalau ada pencuri itu dari kelompok mereka, maka tidak ada pendakwaan" tambahnya lagi. 

Disebabkan itulah ujar Saari, walaupun pihak kerajaan negeri menjalankan penguatkuasaan, namun ia tetap tidak berhasil untuk membanteras kecurian pasir di Selangor secara menyeluruh. 

Baru-baru ini, Dewan Negeri Selangor mencatat sejarah apabila menjadi negeri pertama yang akan membawa dan membahaskan Rang Undang-undang Kebebasan Maklumat dalam Dewan Negeri. 

Rang undang-undang ini bertujuan untuk mempertingkatkan penzahiran maklumat berkepentingan awam supaya setiap individu punyai peluang akses kepada maklumat setiap jabatan negeri. 

Selain untuk merakyatkan informasi, ia juga akan menjadi perantara usaha yang dijalankan kerajaan negeri agar rakyat tidak mudah tertipu sekiranya timbulnya isu yang sengaja dimanipulasi oleh kerajaan pusat. 

"Telus, kontraktor baik, developer baik, pemaju, peniaga, usahawan, korporat yang ada urusan dengan dana rakyat dari jabatan-jabatan kerajaan negeri dan jabatan kerajaan tempatan, tuan-tuan boleh minta maklumat". 

Menurut Saari, dengan tertubuhnya jawatankuasa berkenaan, maka rakyat berpeluang untuk mengetahui perjalanan pentadbiran kerajaan negeri. 

"Inilah yang menyebabkan UMNO panik. Maknanya lepas ini, selepas jawatankuasa yang dipengerusikan oleh saya ini di bawa ke dalam dewan, sekurang-kurangnya pada bulan Mac tahun depan rakyat berhak tahu siapa yang dapat kontrak pasir selama ini dengan Selangor". 

"Siapa yang bekalkan lori, siapa yang bekalkan kren, siapa bekalkan pasir, siapa jadi gengstar, siapa Ketua Cawangan, siapa Ketua Bahagian yang dapat saham". 
-tvselangor- 

http://gigitankerengga.blogspot.com/2010/07/saari-kerajaan-pusat-petualang-sebenar.html

Ulasan: Polis kenapa tak mahu tangkap pencuri pasir? Gaji polis dibayar menggunakan duit rakyat bukan duit BN/UMNO.

Kastam jangan hanya pilih 'ikan kecil'

Kastam jangan hanya pilih 'ikan kecil' - Ghapur

TAWAU 25 Julai - Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Sabah diminta berlaku adil dan tidak 'pilih kasih' dalam menjalankan operasi membanteras aktiviti penyeludupan di daerah ini.

Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Ghapur Salleh berkata, beliau amat kesal dengan sikap kastam daerah ini yang hanya menyasarkan peniaga kecil dalam menjalankan operasi. 

"Kenapa hanya peniaga kecil di kampung-kampung yang sering diserbu dan dirampas barang-barang mereka sedangkan peniaga besar bebas keluar masuk tanpa ditahan.

"Di manakah keadilan apabila 'ikan kecil' sahaja ditangkap tetapi 'ikan besar' terlepas tanpa penguatkuasaan. Jadi saya mahu pegawai kastam turun ke bawah bagi memantau perkara ini dalam usaha membanteras penyeludupan secara habis-habisan," katanya di sini semalam...

Ulasan: Bila kakitangan kerajaan tidak makan rasuah semua peraturan akan di patuhi. Kita buat undang-undang untuk di patuhi semua bukan untuk menahan lukah untuk terima rasuah.

Bangunan tinggi tidak tahan gempa

PUTRAJAYA 25 Julai - Tiada satu pun bangunan tinggi dan jambatan panjang di negara ini secara keseluruhannya direka bentuk tahan kepada ancaman gempa bumi. 

Pakar kejuruteraan gempa bumi Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Dr. Azlan Adnan berkata, malah, langkah-langkah bagi persediaan menghadapi ancaman itu bagi bangunan kerajaan yang kritikal dan penting termasuk jambatan yang akan dibina hanya dikuatkuasakan pada awal tahun ini.

''Jabatan Kerja Raya (JKR) hanya menguatkuasakan undang-undang supaya bangunan yang akan dibina mengikut reka bentuk bersesuaian dengan ancaman gempa bumi pada awal tahun ini.

''Bagaimanapun, ia tidak diumumkan secara rasmi kepada kontraktor, hanya diletakkan dalam syarat-syarat teknikal sahaja," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Azlan berkata, Jabatan Standard Malaysia yang bertanggungjawab meluluskan struktur bangunan baru juga sedang dalam proses penyediaan garis panduan dan reka bentuk bagi ancaman gempa dan masih belum lagi dikuatkuasakan.

Bagaimanapun, katanya, beberapa persediaan lain sedang dilaksanakan oleh kerajaan bagi menghadapi bencana alam ini walaupun kedudukan geografi Malaysia yang terletak di luar kawasan Lingkaran Api Pasifik bukan bermakna negara tidak akan menerima kesan gempa bumi. 

''Selain persediaan untuk mengenal pasti struktur penting bangunan memenuhi reka bentuk gempa bumi, Jabatan Meteorologi telah memasang alat-alat di 18 stesen yang boleh membantu mengesan tahap gegaran di Malaysia sekiranya berlaku ancaman itu.

''Kerajaan juga telah mewujudkan Jawatankuasa Inter Agensi di peringkat kebangsaan bagi membantu para penyelidik mengkaji tahap mana gempa yang boleh memberi kesan pada struktur bangunan," jelasnya.

Dalam konteks itu, Azlan berkata, walaupun beberapa langkah persediaan telah diambil, ia tidak bermakna rakyat tidak perlu bimbang keselamatan diri sekiranya berlaku ancaman itu di negara ini.

Menurutnya, langkah amaran keselamatan oleh pihak pemilik bangunan awam seperti kompleks beli-belah , pejabat dan pangsapuri kediaman masih di tahap rendah.

''Kita agak kurang kesedaran tentang keselamatan diri sendiri dan tidak ada kaedah untuk memberi amaran kepada pelawat dan penghuni bangunan tinggi, jadi saya rasa mereka perlu bersedia hadapi ancaman ini....

Ulasan: Bila kita sibuk dengan maksiat, azab Allah akan datang.


 

Kaedah baru tangani pornografi di Internet

Kaedah baru tangani pornografi di Internet - Rais

BATU PAHAT 25 Julai - Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan akan menjadikan pandangan Tun Dr. Mahathir Mohamad berkenaan keperluan menapis bahan pornografi di Internet sebagai 'perisai baru' untuk menangani gejala negatif itu yang semakin berleluasa.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, pandangan bekas Perdana Menteri itu akan memudahkan pihaknya untuk mencari kaedah terbaik bagi menangani masalah itu tanpa disalahertikan oleh mana-mana pihak yang kononnya mengagungkan kebebasan maklumat tanpa batasan di Internet...

Ulasan: Dua menteri dah sebut tentang ini, tapi BN/UMNO setakat ini tiada kekuatan spiritual untuk melancarkan perang terhadap pornografi internet... Ada kuasa, tetapi penakut kerana takut kepada kroni.

30 Pengkhianatan UMNO

oleh: Teratai. Sumber: Harakahdaily 

Kini nada perpaduan Melayu dipalu sekali lagi. Apa salahnya, Islam juga yang untung, kata mereka. Buat sebahagian generasi muda yang mungkin tidak mengingati, mari kita ikuti sejarah pengkhianatan Umno terhadap bangsa Melayu :

1. Siapakah yang menukar wang Royalti kepada wang Ehsan pada tahun 2000 apabila PAS berjaya merampas negeri dari tangan BN dalam PRU 1999?

2. Siapakah yang menghalang kerajaan kedua2 negeri bermajoriti 95%Melayu menikmati hasil royalti Petronas, sedang negeri2 seperti Sabah dan Sarawak tidak dikenakan tindakan sama?

3. Siapakah yang menghalau peneroka bandar Melayu di Kg Berembang, Kg Plentong, Kg Chubadak, Kg Malaysia Tambahan?

4. Siapakah yang menghalau Melayu Pulau Pinang dengan helah pembangunan hingga mereka merempat ke Seberang Jaya dan Kedah Selatan?

5. Siapakah yang menggadai Tanah Rezab Melayu hampir 50% dari 3 juta hektar pada 1948 kepada 1.6 juta hektar pada 1997?

6. Siapakah yang membunuh orang Melayu kerana perbezaan fahaman politik di Kg Memali, Lubuk Merbau dan Hutan Aji?

7. Siapakah yang membolot saham AP untuk menantu dan kroni, sedang ia adalah hak setiap rakyat dibawah dasar DEB?

8. Siapa yang melingkupkan dasar DEB hingga milikan ekuiti Melayu tersekat kepada 18% pada 2000.

9. Siapakah pula yang memansuhkan DEB, dan diganti dengan dasar Liberisasi dan Model Ekonomi Baru yang mesra kapitalis dan anti subsidi?

10. Siapa yang menyelewengkan dana untuk orang2 Melayu yang miskin dalam program PPRT?

11. Siapa yang mengkhianat wasiat Raja2 Melayu menjelang kemerdekaan supaya tidak diserah bukit, gunung dan pulau kepada bukan Melayu?

12. Siapa yang mencipta krisis perlembagaan 1982 yang menyebabkan kuasa Yang DiPertuan Agung terhakis dan hanya sekadar menjadi rubber stamp Parlimen?

13. Siapa pula yang melucutkan kekebalan raja2 Melayu pada awal 1990-an?

14. Siapa yang menggelarkan rajanya 'MENATANG' bila namanya ditolak sebagai Menteri Besar Terengganu selepas PRU12 yang lalu?

15. Siapakah yang mengubah sempasan kawasan undi majoroti Melayu bila Melayu sendiri menolak Umno dalam PRU 1999?

16. Siapa yang melanggar peruntukan Perlembagaan mengenai hak2 istimewa Melayu untuk mendapat biasiswa?

17. Siapa yang menukar biasiswa kepada pinjaman dengan kadar 4%?

18. Siapa yang mencemar bahasa Melayu dengan istilah-istilah "infotainment", "boulevard", "presint", "bajet" dan lain2?

19.Siapa yang menukar bahasa pengantar dari bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris dalam pembelajaran Sains dan Matematik pada ketika jurang pendapatan bandar-luar bandar semakin melebar?

20. Siapa yang mencadangkan syarat wajib lulus Bahasa Inggeris untuk SPM dan bahasa pengantar Inggeris di universiti2?

21. Siapa yang jual air kepada negara jiran dengan harga 3 sen 1000 liter, dan jual balik kepada rakyatnya sendiri dengan harga 80 sen 1000 liter?

22. Siapa yang serah blok minyak kepada negara Brunei tanpa persetujuan DUN, Parlimen atau YDPA?

23. Siapa yang cuai menjaga tanahair sendiri hingga Pulau Batu Putih dan Singapura terlepas ke negara orang?

24. Siapa yang menghapuskan tulisan jawi dari diajar di sekolah2?

25. Siapa yang kata Sekolah Agama Rakyat (SAR) tempat melahir militan dan ekstrimist?

26. Atas alasan itu, siapa yang menghentikan geran perkapita kepada SAR hingga menyebabkan sebahagian institusi pendidikan agama hidup segan, mati tak mahu?

27. Siapa yang mencadangkan pelan pembangunan Kg Baru Kuala Lumpur hingga membuka milikan kepada 40% bukan Melayu?

28. Siapa yang kekang akta2 maklumat, AUKU dan pandangan2 kedua orang Melayu supaya orang Melayu senang diperbodohkan?

29. Siapa yang naikkan harga petrol,diesel dan barangan asas kepada ketika Melayu adalah golongan majoriti yang miskin di negara ini?

30. Siapakah pula yang memperbodohkan dirinya konon mengaku Melayu sedang nama Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (PEKEMBAR) dibuang dan diguna bahasa penjajah UNITED MALAYS NATIONAL ORGANISATION (UMNO)?

Senarai pengkhianatan Umno terhadap orang2 Melayu memang panjang. Ia tidak habis untuk ditulis dalam sehari. Apa yang penting, ia sudah terakam dalam sejarah. Khalayak yang memalu gendang perkauman ini patut malu pada diri sendiri, pada saat mereka di puncak kuasa tidak pernah pula terdengar retorik Islam dan Melayunya. Kini menyedari kuasa semakin jauh dari genggaman, tidak perlu lah lagi umat Melayu yang selama ini diperbodoh dan diperkuda semahunya, memberi bantuan talian hayat dan oksigen.

Kalaulah Umno hidup ribuan tahun yang lalu, mungkin epik Yunani Homer, Illiad and Oddysey atau pun Hikayat 1001 Malam tidak akan mendapat tempat di sisi penglipur lara, penulis buku, pemikir sastera-sejarah, pemikir sosiologi mahu pun pembuat filem. Demikian banyaknya yang dikisah dalam hikayat dari Parsi itu, mengikut lagenda, sesiapa yang membaca seluruh koleksi cerita ini akan menjadi gila.

Alahai, kalau membaca hikayat sepanjang ini menjadi gila, siapa pula yang mampu mengingati ratusan pengkhianatan Umno terhadap Melayu. Besar kemungkinan anda akan jadi 'mereng'.

Ulasan: Cukuplah kita di tipu oleh UMNO.

Friday, July 23, 2010

AS jalin semula hubungan tentera dengan Indonesia

2010/07/23 JAKARTA: Amerika Syarikat (AS) semalam meneruskan hubungan ketenteraan dengan unit Kopassus tentera Indonesia selepas menggantungkan kerjasama itu sejak 1998 berikutan dakwaan perlanggaran hak asasi manusia oleh pasukan elit berkenaan. 

Setiausaha Pertahanan AS Robert Gates yang tiba di sini semalam memaklumkan keputusan itu kepada presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono dalam satu pertemuan, semalam…

Ulasan: Kalau pemimpin Indonesia tak cekap dan  tak cermat berpolitik Indonesia akan menjadi terjajah semula.

Jaring nelayan rosak akibat ‘sabit bermata tiga’ dipasang di dasar laut

KUALA SELANGOR: Lebih 20 nelayan di Pasir Penambang di sini kerugian selepas jaring memukat ikan mereka rosak teruk akibat terkena ‘sabit bermata tiga’ yang sengaja dipasang di dasar laut, di perairan Assam Jawa, kelmarin, dipercayai angkara khianat…

Ulasan: Jangan hasad dengki kepada orang. Masing-masing telah dikurniakan rezeki oleh Allah. Carilah rezeki yang halal.

Pusat hiburan tak operasi Ramadan SAJA?

KANGAR: Semua premis hiburan, termasuk pusat karaoke di negeri ini diarah menghentikan operasi sepanjang Ramadan yang dijangka bermula 11 Ogos ini, sebagai menghormati bulan mulia itu. 

Arahan itu dikeluarkan Majlis Perbandaran Kangar (MPK) bagi memastikan operasi premis terbabit yang kebiasaannya boleh menimbulkan syak, termasuk sering dikaitkan dengan perbuatan kurang menyenangkan, tidak mencemari imej Ramadan. 

Yang Dipertua MPK, Rosli Mat, berkata arahan mengenai larangan beroperasi di sepanjang bulan puasa itu sudah sedia dimaklumkan kepada semua pengusaha pusat hiburan terbabit, ketika mereka memohon mendapatkan lesen sebelum ini…

Ulasan: Inilah cara BN bekerja. Membiarkan rakyat tenggelam dalam hiburan supaya tidak sensitif terhadap masalah negara.

Rasuah rugikan negara RM10b

2010/07/23 KUALA LUMPUR: Malaysia boleh menanggung kerugian sehingga RM10 bilion setahun sekiranya gejala rasuah tidak dibendung di negara ini. 

Bank Dunia juga menganggarkan rasuah jika tidak dibendung boleh mengakibatkan kadar pertumbuhan sesebuah negara merudum antara dua hingga empat peratus setahun. 
 
Presiden Persatuan Pemeriksa Penipuan Bertauliah (ACFE) Malaysia, Akhbar Satar, berkata mengikut statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) penipuan/penyelewengan terbesar direkodkan di negara ini pada satu-satu tahun adalah pada 1998, membabitkan nilai mencecah RM4.6 bilion. 

“Jumlah itu kemungkinan jauh lebih besar sekiranya mengambil kira statistik ACFE dikeluarkan tahun lalu yang menunjukkan hanya 2.3 peratus kes penyelewengan termasuk rasuah terbongkar di seluruh dunia,” katanya pada  Forum Garis Panduan Pemerolehan Nasional di sini, semalam.

Ulasan: Eloklah SPRM diletakkan di bawah Agung atau Parlimen supaya semua mendapat keadilan yang tak berbelah-bahagi tanpa sebarang pengecualian.

Dua prinsip bela nasib semua kaum

BEKENU (Miri): Datuk Seri Najib Razak berkata, prinsip meritokrasi dan sosioekonomi yang diamalkan di negara ini dibentuk mengikut kesesuaian semua kaum di seluruh negara supaya rakyat mendapat hak yang adil dan saksama… 
 
Ulasan: Tapi BN tidak boleh laksanakan kerana masing-masing parti komponennya
berteraskan kebangsaan sempit iaitu membela bangsa masing-masing dan ada parti memang mengamalkan rasuah (wang untuk jawatan politik).

Era Najib: Rakyat miskin SUBSIDI rakyat kaya!

Era Najib: Yang miskin subsidi yang kaya!

http://www.merdekareview.com/bm/  

Sememangnya kita sedar bahawa subsidi berlebihan akan menjejaskan keseimbangan bekalan-keperluan dalam pasaran. Kini, kita ingin tahu, ke manakah wang yang dijimatkan selepas kerajaan BN mengurangkan subsidi?

DAP yang sentiasa "mendampingi rakyat" semestinya akan bersuara untuk rakyat. Bermula daripada pemberian dana kepada warga emas oleh Ketua Menteri Lim Guan Eng, sehinggalah adik-beradik Nga-Ngeh yang mempertikaikan ke mana perginya wang petroleum sejumlah RM592 bilion... yang semestinya akan meredakan kemarahan warga emas.

Defisit meningkat; Hutang melambak

Pada hakikatnya, "sudsidi" yang mampu dibiayai kerajaan sekian lama ini, bertukar menjadi dosa yang dituding jari selepas kenyataan "bankrap" oleh Idris Jala, Menteri Jabatan Perdana Menteri. Jika dilihat dari sekarang, kenyataan tersebut lebih merupakan hujah memanaskan badan untuk memberi laluan kepada kenaikan harga pada hari ini.

Selepas kemelut ekonomi pada tahun 1998, Perdana Menteri pada ketika itu, Mahathir Mohamad melaksanakan langkah seperti "capital control" (kawalan modal) dan sebagainya. Tetapi, apakah harga yang kita bayar? Jawapannya boleh dibaca dari kenyataan Idris Jala, defisit negara telah bertambah dari RM5 bilion pada tahun 1998, kepada RM47 bilion pada tahun 2009. Hutang negara kita pula meningkat daripada RM90 bilion pada tahun 1997 kepada RM 362 bilion pada tahun 2009, menyaksikan pertumbuhan pada kadar 12% mengikut tahun.

Seandainya dihitung mengikut populasi yang mencecah 27.5 juta orang, maka secara puratanya setiap warga Malaysia memikul beban hutang sebanyak RM13,164 seorang. Dengan kata lain, kerajaan kita menjadikan daya produk rakyat pada masa depan sebagai "jaminan", untuk meminjam hutang dari negara asing melalui bon kerajaan, yang akhirnya menjurus kepada lambakan hutang. Akibatnya, kerajaan dengan sewenang-wenangnya menggunakan wang masa depan rakyat, yang wujud dalam bentuk "pinjaman hutang" pada masa sekarang. Kini, Najib pula menasihatkan rakyat bahawa subsidi akan dikurangkan, ubahlah cara hidup kamu!

Pada hakikatnya, beliau harus lebih jujur untuk mendedahkan kepada rakyat: perbelanjaan yang ditampung dengan defisit oleh kerajaan telah dihabiskan melalui projek mega sejak zaman Mahathir. Wang masa depan yang dimiliki rakyat, kebanyakannya bukan digunakan sebagai subsidi, tetapi untuk men-subsidi kroni yang menyembunyi di sebalik projek gajah putih.

Kita semuanya tahu bahawa sumber ada hadnya. Gerombolan BN telah menghabiskan sumber negara secara melampau, dan penipuan ini bakal terburai pada suatu hari nanti. Dalam zaman ekonomi yang tidak menentu, lebih banyak buih yang bakal berpecah. Kumpulan berkepentingan yang berada di gelanggang mula gelisah, kerana mereka mungkin kehilangan segala-galanya sebaik sahaja permainan ini tamat.

Yang miskin subsidi yang kaya

Mungkin tiada orang yang menemui kekotoran yang ada di dalamnya, semasa ekonomi mengalami pertumbuhan pesat, seperti zaman akhir 1980-an dan awal 1990-an. Selagi keluaran negara kasar (KNK) melambung, maka keghairahan untuk menjana pembangunan ekonomi dengan pinjaman hutang boleh diteruskan.

Persoalannya, kroni dan kelas politik-ekonomi ini mula menyedari bahawa formula ini tidak dapat beroperasi apabila ekonomi diperlahankan, malah gagal menampung keperluan kumpulan berkepentingan yang semakin berkembang. Jadi, macam mana?

Akhirnya, cukaikan rakyat secara langsung dengan mengurangkan subsidi kepada pelbagai keperluan asas. Polisi monetari yang sekian lama ini kekal pada kadar faedah rendah, dinaikkan baru-baru ini, menyebabkan harga barang melambung tinggi. Kadar faedah simpanan lebih rendah daripada kadar inflasi sebenarnya. Maksudnya, nilai "wang simpanan ditambah faedah" menjadi kurang berikutan kadar inflasi yang lebih tinggi. Maka, ia seolah-olah cukai yang dikenakan ke atas rakyat jelata, atau dengan kata lain, yang miskin men-subsidi yang kaya.

Selain itu, cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang dilewatkan pelaksanaannya, bakal mencekik lebih ketat leher rakyat. Mungkin inilah yang dimaksudkan oleh UMNO sebagai pengagihan yang adil, apabila kerajaan mengagihkan "faedah pinjaman" yang telah dibelanjakan sewenang-wenangnya kepada rakyat jelata tanpa mengira kaum dan kelas.

"Pengagihan yang adil" ini mungkin boleh melegakan kumpulan berkepentingan pada jangka pendek, tetapi bakal menamatkan hayat mereka untuk jangka panjang. Menyembuyikan pertentangan dalaman dengan inflasi bakal mengundang malapetaka kepada dirinya. Ini masalah sebenar yang dihadapi kerajaan BN, dan juga dilema Najib.

*(Artikel di atas ditulis oleh Lim Chun Piao. Beliau ialah kolumnis MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Diterjemah dan disunting oleh Lim Hong Siang dari teks asal.)

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=27735:-era-najib-yang-miskin-subsidi-yang-kaya&catid=102:terbaik-dari-blog&Itemid=136

Kemboja menggamitku pulang

Nusaybah Mohd Asri  

HEBAT dan menginsafkan. Itulah dua perkataan yang paling sesuai untuk mencerminkan keseluruhan pengalaman yang telah penulis dan teman-teman timba daripada program khidmat sosial yang telah dijalankan di Kemboja pada bulan Jun yang lalu.

Kami bersyukur kerana berpeluang ‘hidup’ bersama-sama masyarakat Islam di beberapa buah kampung yang berbeza dan merasai kehidupan mereka yang dhaif.

Selain penulis, Nusaybah Mohd Asri, 21, misi ini melibatkan enam orang sukarela lain yakni Najiyyah Mohd Asri, 26, Mohd Naqib Derani, 24, Muhammad Amirul Azreen Mohd Azmi, 21, Siti Madihah Shaharizan, 21, Najmy Naim Zaki, 20, dan Musfirah Mohd Asri, 19.

Kami adalah sukarela yang dinaungi oleh Global Peace Mission Malaysia (GPM), salah sebuah agensi di bawah Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang ditubuhkan khusus demi menjalankan misi kemanusiaan.

Kami diiringi oleh Pakcik Rahim dan Makcik Zaharah, individu yang telah berulang-alik ke Kemboja selama dua tahun untuk membina pam air di kampung-kampung komuniti Islam. Sumbangan untuk membina pam air ini dihulurkan oleh dermawan dari Malaysia.  

Kembara kami mengambil masa selama 10 hari di Kemboja dan dua hari di Thailand. Di Kemboja, kami telah menziarahi Chor Keng, Kratie, Tralach Korm dan Tebeng Bung Keib.

Di Chor Keng, kami bergotong-royong membersihkan kawasan masjid yang terbengkalai. Ruang di dalam masjid itu digunakan sebagai kelas untuk mengajar anak-anak kecil di kampung itu.

Sayu kami melihatkan keadaan kelas yang serba kekurangan di sini. Namun kami berbangga dengan sikap pelajarnya yang tidak menjadikan itu semua alasan untuk terus menuntut ilmu.

Sesudah bergotong-royong, kami melaksanakan kuiz matematik, bahasa Melayu dan geografi dengan pelajar di madrasah ini. Pelajar yang berjaya menjawab dengan betul mendapat alat tulis yang dibawa dari Malaysia. Ustaz di sini secara rasminya menjadi penterjemah antara kami dengan pelajar.

Di Kratie pula, kami telah ke sebuah madrasah bernama Madrasah Al-Hidayah Al-Islamiyah. Di sini, kami menganjurkan kuiz yang lebih bertemakan sirah Rasulullah s.a.w. Pelajar di sini kelihatan gembira dan bersemangat menerima kedatangan kami yang bersungguh-sungguh ‘menghiburkan’ mereka.

Di Kratie ini juga, kami sempat mencipta memori dengan bermandi-manda di Sungai Mekong, sungai ke-10 terpanjang dan ke-10 terbesar di dunia itu. Alhamdulillah, syukur kepada-Nya kerana memberi kami kesempatan itu.

Perjalanan kami bersambung selama dua malam lagi di Tralach Korm. Suatu lagi kenangan peribadi tercipta apabila kami menyusuri Tasik Ton Le Sap, tasik yang menjadi kebanggaan rakyat Kemboja ini.

Tebeng Bung Keib adalah destinasi kami yang berikutnya. Di kampung ini, wujudnya seorang ustaz berhati mulia yang menggunakan ruang rumahnya sendiri untuk mengajar mengaji al-Quran. Anda harus faham bahawa rumah ustaz ini tiada bilik, menyebabkan isterinya terpaksa duduk di bawah rumah sehinggalah sesi pembelajaran tamat.

Semoga Allah SWT kurniakan rahmat dan keberkatan kepada pasangan berjiwa besar ini, amin.

Kembara kami hampir tamat. Kami bertolak ke Siem Reap untuk melawat Angkor Wat. Namun, kami tidak berkesempatan untuk masuk ke dalam tempat bersejarah itu kerana kesuntukan masa.

Genap hari kesepuluh di Kemboja, kami menghala pula ke Poi Pet untuk melintasi sempadan timur Kemboja-Thailand. Setelah memasuki Aranya Prathet, Thailand, kami menginap di sebuah guest house yang terletak tidak jauh daripada stesen kereta api.

Awal pagi keesokannya, kami menaiki kereta api menuju ke Bangkok. Perjalanan memakan masa selama enam jam. Apabila menjejakkan kaki di Bangkok pada jam 12.30 tengah hari, kami bergegas pula mengejar kereta api ke Hat Yai.

Jam 10.00 pagi 24 Jun, kami tiba di Hat Yai. Di sini, kami check-in di King’s Hotel hanya untuk bersihkan diri dan merehatkan badan. Kami punya masa beberapa jam untuk berjalan-jalan di Hat Yai seterusnya menaiki pula Kereta api Tanah Melayu (KTM) ke Sentral Kuala Lumpur jam 2.30 petang nanti.

Akhirnya, tibalah masanya untuk kami pulang ke tanah air. Kami tidak akan melupakan pengembaraan yang cukup bermakna ini. Kehidupan yang amat sederhana di Kemboja mengingatkan kami agar sentiasa bersyukur dengan nikmat yang dikurniakan-Nya.  

Dengan izin-Nya, akan kami bertandang lagi ke madrasah-madrasah untuk mengadakan aktiviti yang lebih fokus seperti mengajar subjek bahasa Inggeris kepada pelajarnya. Juga, kami berniat meneruskan projek pam air yang dimulakan oleh Pakcik Rahim dan Makcik Zaharah.

Perjuangan kami masih belum selesai. Bukan di sini pengakhirannya. Kami akan lakukan sedaya-upaya kami untuk menyambung misi kemanusiaan di sana. Semoga niat kami dipermudahkan Allah SWT agar rancangan kami akan menjadi lancar, amin…

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=27742:kemboja-menggamitku-pulang&catid=109:remajawanita&Itemid=151

‘Orang Tengah’ yang ketinggalan zaman

Abd Shukur Harun shukurharun@yahoo.com  

Siapapun atau golongan manapun yang mendakwa diri mereka sebagai ‘orang tengah’ atau mencuba menjadi ‘orang tengah’ konon untuk berusaha mengadakan pertemuan atau hubungan antara PAS dan Umno, sudah tentu sama sekali tidak diiktiraf oleh arus perdana di dalam PAS. 

Bahkan kepimpinan PAS sendiri telah berkali-kali mempertegaskan bahawa PAS tidak akan sama sekali bekerjasama dengan Umno, sebuah parti yang sangat berbeza mengenai dasar dan pendekatannya. 

Ini telah diketahui umum dan telah ditegaskan banyak kali oleh pihak PAS, namun perbezaan dasar antara PAS dan Umno ini cuba dipandang sepi atau tidak diberi perhatian oleh pihak yang berhempas pulas untuk menemukan kedua parti tersebut.

Malah pihak yang dikatakan hendak menjadi ‘orang tengah’ ini sendiri tidak berminat untuk melihat perbezaan dasar itu. Yang dihujahkan berkali-kali oleh pihak ini ialah bahawa kerjasama PAS-Umno ini ialah untuk kepentingan Melayu/Islam. Sementara pemimpin PAS berulang kali menegaskan bahawa dengan Islam saja, Melayu akan menjadi kuat di samping kaum-kaum lain yang ada di negara ini.

Inilah program politik baru Malaysia yang dipelopori oleh Pakatan Rakyat. Ia membela semua kaum, bukan berdasarkan kaum tetapi berdasarkan rialiti yang ada. Ia membela Melayu yang miskin, kaum Cina yang miskin, India yang miskin dan kaum-kaum lain yang miskin di bawah semangat Perlembagaan Malayia yang ada sekarang.

Semua status-quo seluruh kaum yang ada di Malaysia dari pelbagai segi kepentingan mereka - anutan agama, budaya tradisi dan lain-lain seperti yang diebut di dalam perlembagaan tidak berubah. 

Bahkan kemakmuran Malaysia dibahagi-bahagikan secara adil selaras dengan keadilan yang menjadi tunggak syariat Islam. Gagasan ini telah diterima dan disepakati oleh semua parti dalam Pakatan Rakyat. Inilah kecemerlangan Islam.

Oleh itu, PAS yang amat selesa dengan Pakatan Rakyat akan terus mempertahankan dasar ini, yang telah diterima oleh majoriti rakyat Malaysia seperti yang terpancar melalui keputusan Pilihan Raya Ke-12 lalu.

Dengan kedudukan PAS yang amat kukuh di dalam Pakatan Rakyat ini, sebarang elemen yang cuba mengganggu hubungannya itu tidak mungkin berjaya betapapun diasak oleh pelbagai pihak.

Bagaimanapun, seperti kata Presiden PAS, Datuk Seri Haji Abd Hadi Awang bahawa PAS bersedia menggantikan Umno untuk menjadi teras politik Malaysia. Masanya sudah tiba, katanya, bagi Umno/BN untuk berehat. 

Menurut Presiden PAS itu lagi, PAS telah berjaya mengubah minda panatik perkauman orang Melayu kepada Islam yang bersifat sejagat dengan mengambil kira hubunan baik dan adil dengan masyarakat majmuk di Malaysia.

Perlu dingat bahawa Pakatan Rakyat menerima Islam sebagai Agama Rasmi Perekutuan, menerima kenyataan akan Hak Istimewa Orang Melayu dengan tidak menzalimi orang lain dan menerima bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan Rasmi.

Pelbagai fitnah telah ditaburkan oleh musuh politik PAS bahawa kononnya PAS tunduk dan menjadi alat kepada DAP dalam Pakatan Rakyat. Ini suatu fitnah yang tidak pernah dapat dibuktikan secara terperinci oleh mereka. Pemerintahan Pakatan Rakyat, baik di Selangor, Kedah, Kelantan dan Pulau Pinang telah menyerlahkan pemerintahan yang adil kepada semua kaum – baik masalah pemberian tanah, peluang pendidikan, perniagaan, pekerjaan dan semuanya walaupun baru dua tahun lebih memerintah.

Semua bukti ini telah dijelaskan oleh semua negeri tersebut melalui mekanisme penerangan mereka - wabe-site negeri, risalah, wabe-tv negeri, ceramah, saluran media alternatif dan sebagainya. Sebahagian besar penerangan ini telah sampai kepada rakyat, walaupun pihak musuh politik Pakatan Rakyat sentiasa menafikan usaha Pakatan ini.

Suatu hakikat yang dilupakan oleh pihak yang menggelarkan diri mereka ‘orang tengah’ atau berusaha menjadi ‘orang tengah’ bahawa ini ialah era demokrasi digital, segala maklumat diperoleh secara terbuka dan sangat luas. Ini menyebabkan rakyat menuntut perubahan, di mana mereka melihat politik perkauman Umno/BN, pendekatan dan watak pemimpin mereka sudah ketinggalan zaman dan raakyattelah menolaknya dalam PRU Ke-12 yang lalu.

Sungguh malang, hakikat ini tidak disedari atau duba menafikannya oleh pihak yang beriya-iya sangat hendak menjadi ‘orang tengah’ menghubungkan Umno dan PAS. Usaha ini akan sia-sia atas sebab-sebab yang dinyatakan di atas. Pada ketika yang sama PAS sangat selesa dengan Pakatan Rakyat.

Justru jika ada pihak atas nama individu yang berjumpa dengan ‘orang tengah’ untuk berunding cara mana menemukan PAS dan Umno, itu hanya usaha sia-sia. Ini kerana sebarang usaha seperti ini, jika benar-benar ada, tidak mewakili parti, menentang keputusan tiga Muktamat PAS dan tidak walak kepada keputusan parti.

Ini kerana walau apapun hujahnya, namun ini bukan caranya.
Harakahdaily.

BN Perlu Siapkan Segera Hospital Shah Alam

Khalid desak siap segera Hospital Shah Alam 

SHAH ALAM, 23 Julai: Pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak digesa segera mengambil alih projek pembinaan Hospital Shah Alam, kata Khalid Samad.

Gesaan itu ekoran pergaduhan dalaman Sunshine Fleet Sdn. Bhd. selaku kontraktor utama dengan sub-kontraktor GMH Healthcare yang akhirnya melumpuhkan keseluruhan kerja-kerja pembinaan projek mega bernilai RM482 juta itu.

"Sila siapkan segera, tiada bajet tambahan, tiada tender semula dan tiada pemberian tender secara rundingan langsung," tegas beliau yang juga Ahli Parlimen Shah Alam pagi tadi khusus pada Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Jabatan Kerja Raya.

Menurut beliau, kemahiran pengurusan dan prasarana pembinaan yang ada pada pentadbiran Najib sebenarnya mampu menyelesaikan projek mega tersebut tanpa tender semula.

Baginya, amalan tender semula sebenarnya tidak menyelesaikan masalah utama, iaitu menyiapkan prasarana kesihatan tersebut yang menjadi keperluan rakyat di Parlimen Shah Alam.

"Sebelum ini, Sunshine Fleet tender 100 peratus kepada Isyoda (sub kontraktor) secara rundingan langsung, gagal pembinaan, ditender semula lagi pada GMH Healtcare ini," ujar beliau di Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Shah Alam, Pusat Perdagangan Antarabangsa Shah Alam (WWBC), di sini.

Dalam perkembangan yang sama, beliau turut mendesak Datuk Shaziman Abu Mansor meletakkan jawatan sebagai Menteri Kerja Raya sekiranya beliau tidak mampu menyelesaikan projek mega tersebut tanpa peruntukan bajet tambah yang sebenarnya datang dari perbendaharaan wang rakyat.

"Kalau tak tahu bagaimana nak selesaikan projek-projek ini, lebih baik letak jawatan," tegas beliau.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Phua pada 23 Jun lalu mendedahkan bahawa Sunshine mendapat RM31 juta untung bersih hasil rundingan langsung dengan Isyoda atas projek mega di bawah JKR itu.

Bercakap di Dewan Rakyat, Isyoda turut diminta membayar komisyen sebanyak RM46 juta secara persendirian kepada Pengerusi Eksekutif Sunshine, Putri Arafiah Sultan Abdul Aziz Shah.

Difahamkan, GMH Healcare kemudiannya diminta membayar pendahuluan sebanyak RM10 juta pula kepada JKR dalam proses pembidaan semula tender tersebut secara tertutup.

Khalid pada kenyataan yang sama berkata, beberapa proses tender semula itu akhirnya merugikan RM77 juta wang rakyat.

Katanya, projek tersebut sepatutnya siap pada Ogos tahun ini.

Harakahdaily

Ulasan: Nampak sangat rakyat tidak diutamakan.

 

Islam dan KebebasanBersuara

Meskipun AS berusaha melakukan diskriminasi kaum di tahun sebelum enam puluhan; namun akhirnya kulit hitam mampu memperoleh hak-hak mereka, bahkan berjaya merebut jawatan presiden kulit hitam yang pertama dalam sejarah AS. Ini kerana ada mekanisme untuk sampai kepada kebenaran, iaitu melalui pilihanraya, yang memberikan kebebasan memilih tanpa ada unsur penipuan atau penyelewengan.

Jika kebebasan di Barat mampu memecah semua ikatan dan kekangan, maka kebebasan dalam Islam adalah kebebasan yang berpaksikan syariat dan berkait dengan fitrah yang sihat; sehingga wanita pada masa jahiliyah, bertanya dengan penuh kehairanan:
“Apakah engkau menzinahi kebebasan?!”

Jelasnya kebebasan berpolitik merupakan kebebasan manusia yang diktiraf sebagai cabang dari asas Islam secara umum . Islam mengakui bahawa dirinya adalah manusia, dan sesuai dengan ketentuan yang telah ditetapkan dalam Al-Qur’an dan Sunnah.

Oleh sebab itu Nabi saw bersabda kepada sahabatnya:
“Janganlah seorang di antara kalian menjadi orang berperwatakan tidak tetap; dengan berkata: saya sesuai dengan keinginan manusia, jika mereka baik maka baiklah aku dan jika buruklah aku”.

Allah telah mengutus para rasul dengan membawa syariat yang memberikan kehidupan yang bebas dan mengajarkan kepada mereka cara menempuh kehidupan dan kebebasan.
Islam yang tersebar kepada umat manusia adalah untuk menghormati hak untuk hidup dan bebas serta persamaan sesama manusia yang tidak diketahui oleh bangsa-bangsa lain sebelumnya.

Demikianlah Umar Bin Al Khattab r.a yang mengecam dan mencela Amru bin Al-Ash dengan berkata:
“Bilakah kalian memperhambakan manusia padahal dilahirkan oleh ibu mereka dalam keadaan merdeka!”?;

Ini sebagai pembelaan terhadap seorang Qibti yang dizalimi oleh anak gabenor Mesir (Amru bin Al-Ash).

Justeru setiap bangsa atau umat memiliki kebebasan untuk memilih pemimpinnya. Di antara haknya ialah berbincang tentang apa yang mereka ingin laksanakan dalam urusan hidupnya, bukan hanya keputusan pihak yang berkuasa secara individu sahaja atau tanpa persetujuan suara rakyat.

Setiap bangsa atau umat memiliki hak untuk mengawasi pemimpinnya, menilai segala tindak tanduknya dan juga tindakan para pembantunya.


“Taatilah aku selama aku mentaati Allah namun jika aku bermaksiat maka tidak ada taat atas kalian kepadaku. ”
Demikianlah ungkapan Abu Bakar As-Siddiq di hadapan umat Islam ketika memegang jawatan khilafah kerana di samping umat berhak mengangkat pemimpinnya, mereka juga berhak untuk memecat pemimpinnya jika melanggar kewajibannya.

Kami menyeru kepada sekalian umat supaya segera menuntut hak-hak mereka seperti yang telah ditetapkan oleh Allah, mengambil kembali dari tangan para perampas, berusaha menjaga dan melindungi diri dari para pengintip.

oleh Muhammad Badie’ Mursyid Ikhwan Muslimin, Risalah Mursyid:Kehendak Umat .. Antara Penipuan dan Penyiksaan 
Sumber: Sebahagian daripada http://fikrah-dakwah.blogspot.com/2010/07/risalah-mursyidkehendak-umat-antara.html

Islam Menentang Penyiksaan

Islam adalah yang pertama menentang penyiksaan

Pada tarikh 26 Jun dunia merayakan Hari Antarabangsa menentang penyiksaan. Sesungguhnya Islam adalah agama yang pertama melakukan hal itu ketika Allah melarang orang Islam melakukan serangan terhadap nyawa, kerana hidup merupakan kurniaan Allah dan haram hukumnya melakukan perlanggaran ke atasnya.

Allah SWT berfirman:
“Janganlah kalian membunuh jiwa yang telah dilarang Allah kecuali dengan hak” (Al-An’am:151).

Bahkan Allah juga menganggap orang yang membunuh satu nyawa seolah-olah telah membunuh nyawa semua umat manusia. Islam juga mensyariatkan qisas sebagai pecegahan dari berlakunya pembunuhan terhadap nyawa seseorang yang telah dianugerahkan Allah kepadanya untuk hidup.

Allah berfirman:
“Dan dalam hukuman qisas ada kehidupan bagi kalian, wahai orang yang memiliki akal, agar kalian bertaqwa”. (Al-Baqarah:179).

Nabi saw bersabda:ا
“Sesungguhnya Allah akan menyiksa orang-orang yang menyiksa manusia di dunia”. (Muslim)

Nabi juga bersabda:
 “Setiap Muslim atas muslim, haram darahnya, hartanya dan jiwanya”. (Muslim)
Disamping itu Islam turut melindungi seluruh hak bukan Islam secara tetap.

Nabi saw bersabda:
 “Barangsiapa yang menyiksa seorang kafir zimmi maka aku akan menjadi lawannya di hari kiamat”.

oleh Muhammad Badie’ Mursyid Ikhwan Muslimin, Risalah Mursyid:Kehendak Umat .. Antara Penipuan dan Penyiksaan 
Sumber: Sebahagian daripada http://fikrah-dakwah.blogspot.com/2010/07/risalah-mursyidkehendak-umat-antara.html

Pemalsuan dan Putarbelit Fakta

Kesaksian palsu membawa kepada putarbelit fakta

Nabi saw pernah bersabda:
“Akan datang kepada umat manusia tahun-tahun yang penuh dengan tipu daya, membenarkan yang dusta dan mendustakan orang yang jujur, memberikan amanah kepada pengkhianat, dan mengkhianati orang yang menunaikan amanah, dan berbicara di dalamnya Ar-Ruwaibidhah”, Ada sahabat yang bertanya: Apa itu Ar-Ruwaibidhah?! Nabi berkata: Orang yang bodoh dalam mengurus urusan umum” (Ibnu Majah).

Kemungkinan sifat yang disebutkan dalam hadits di atas bersesuaian dengan kehidupan kita ketika ini, iaitu zaman di mana kebenaran menjadi batil dan kebatilan menjadi hak, sementara pendusta dan pembohong menjadi tingkahlaku yang bermaharajalela, orang-orang bodoh berbicara dalam urusan-urusan besar umat Islam, bahkan fakta diputarbalikkan secara terang-terangan dalam berbagai suasana dan lokasi, dan langsung tidak mahu melayani sekelompok umat yang ikhlas yang hanya menghendaki kebaikan.

Bukankah ini tentunya satu kepalsuan ?! Jika kesaksian palsu setaraf dengan mensyirikkan Allah padahal kesannya hanya menimpa seorang sahaja, maka bagaimana dengan melakukan penipuan dan kepalsuan pada kehendak umat?!

Negara-negara yang melakukan penipuan, tidak mengharapkan kepuasan atau kerelaan bangsa, kerana bagi mereka bangsa tidak memiliki harga dan nilai besar dalam perhitungan mereka. Mereka hanya mahukan kepuasan dari para pendusta, berdiri di sampingnya dan menginginkan sokongannya. Hakikatnya mereka melakukan penipuan, Kita lihat dalam semua pilihanraya bebas yang dilakukan di pelbagai negara, jikalau para pemimpinnya tidak menunaikan janji-janji mereka menunggu kesempatan pada pilihanraya berikutnya untuk menjatuhkannya.
Justeru para pemerintah bekerja keras untuk mengekalkannya dengan seribu perhitungan, sedangkan di negara kita, para pemimpin tidak peduli masalah rakyatnya, kerana kekuasaan tidak bergantung kepadanya, sebaliknya hanya bergantung kepada jentera yang melakukan penipuan dan kecurangan.

oleh Muhammad Badie’ Mursyid Ikhwan Muslimin, Risalah Mursyid: Kehendak Umat .. Antara Penipuan dan Penyiksaan 
Sumber: Sebahagian daripada http://fikrah-dakwah.blogspot.com/2010/07/risalah-mursyidkehendak-umat-antara.html

5 dalam 1: Dulu dan kini…

oleh: Orang Kurang Mampu  

Dulu tuan memandu kereta 1.8cc, kini tuan memandu 1.5cc
Dulu kami naik motosikal, kini kami naik basikal

Dulu tuan makan di restoran 5 bintang, kini tuan turun ke 4 bintang
Dulu kami makan di dalam rumah, kini kami makan dibawah bulan bintang

Dulu tuan guna tong gas kuning, kini tuan guna tong gas hijau
Dulu kami guna tong gas hijau, kini kami guna kayu api

Dulu tuan ambil gula sedikit, kini tuan ambil susu pekat sebagai pengganti
Dulu kami ambil gula untuk jual donut, kini kami tak mampu jual donut

Dulu tuan tak rasa apa bila harga naik, kini tuan hanya resah bila harga naik
Dulu kami papa, kini kami kedana

Dulu tuan makin kaya, kini tuan sedikit kurang kaya
Dulu kami miskin, kini kami akan terus miskin…

Ingatlah tuan bahawa …

Dulu kami tertindas, kini kami terus ditindas…

Daripada,
OKM Malaysia, Labuan
harakadaily
 

Ulasan: Bila kerajaan BN/UMNO hanya utamakan kroni, rakyat terus menderita...

Perpaduan bangsa hanya sedap di mulut

KUALA LUMPUR, 22 Julai: Perpaduan sebenar di kalangan umat Islam adalah berdasarkan ketaqwaan kepada Allah dan bukan berasaskan bangsa, kata Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Mohamad Sabu.

"Ia sama dengan mencari pemimpin. Sebagai orang biasa, kita mencari pemimpin yang bertaqwa kepada Allah.

"Begitu juga dengan perpaduan. Kita mahu perpaduan berasaskan ketaqwaan kepada Allah kerana perpaduan berasaskan bangsa lebih banyak melakukan pengkhianatan dari kebaikan," tegas beliau.

Lebih dari itu, katanya lagi, perpaduan berasaskan bangsa "hanya sedap diucapkan di mulut sahaja".

Sama seperti orang-orang Arab, beliau tidak nampak orang-orang Melayu boleh disatukan atas nama bangsa.

"Bangsa Arab tidak pernah bersatu menentang Israel dan tidak pernah bersatu untuk kepentingan rakyat Palestin yang dijajah.

"Kalau perpaduan boleh diwujudkan atas nama bangsa, sudah lama Arab bersatu melawan Israel dan membebaskan bumi Palestin yang ditakluki," katanya.

Malah, katanya, kerajaan-kerajaan Arablah yang berkomplot menentang usaha-usaha yang dilakukan Mufti Baitulmuqaddis, Muhammad Amin al-Husayni yang memainkan peranan yang sangat penting dalam menentang Zionisme dan penubuhan negara orang-orang Yahudi di bumi Palestin.

"Kerajaan-kerajaan Arab jugalah yang enggan mengiktiraf kemenangan besar Hamas dalam pilihan raya Palestin 2006 dan kini kerajaan-kerajaan Arab jugalah yang bersekongkol melakukan sekatan bantuan kemanusiaan ke atas Gaza," katanya.

Palestin, Baitulmaqdis dan Masjid Al-Aqsa, tegas Mohamad lagi, tidak akan dibebaskan oleh perpaduan Arab.

"Palestin, Baitulmaqdis dan Masjid Al-Aqsa akan dibebaskan oleh orang-orang yang bertaqwa serta badan-badan bukan kerajaan (NGO) bukan Islam yang berkaitan dari Eropah," katanya.

Harakahdaily

Ulasan: Agenda perpaduan bangsa Melayu hanya talian hayat untuk UMNO menang dan menipu lagi.