Wednesday, August 04, 2010

Isu PKFZ tidak boleh bebankan PM semata-mata - Dr. M

KUALA LUMPUR 3 Ogos - Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini mengakui bahawa Perdana Menteri ketika berlakunya skandal penyelewengan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) perlu bertanggungjawab tetapi ia ada batasannya.

Menurut beliau, tidak semua perkara boleh dibebankan kepada Perdana Menteri kerana terdapat beberapa perkara yang tidak diketahuinya.

"Jadi kita tidak boleh salahkan Perdana Menteri jika dia tidak tahu. Jika sesiapa yang tahu mengenai perkara ini, sila dedahkannya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Yayasan Universiti Teknologi Petronas di sini hari ini….

Saya tak semestinya terbabit kes penyelewengan PKFZ: Dr M

2010/08/04 KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau sebagai Perdana Menteri ketika isu penyelewengan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) pada 2002, tidak semestinya bertanggungjawab berhubungnya jika tidak tahu mengenainya. 
 
Beliau berkata, pada dasarnya, seseorang Perdana Menteri sememangnya bertanggungjawab dalam banyak perkara dan keputusan yang dibuat Kabinetnya, namun ada batasnya. 
 
“Apabila beliau (Perdana Menteri) tidak tahu mengenai sesuatu, anda tidak boleh kata beliau bertanggungjawab. 

“Ada banyak perkara yang berlaku dalam negara ini yang Perdana Menteri tidak tahu,” katanya selepas melancarkan Yayasan Universiti Teknologi Petronas (YUTP) di sini, semalam. Turut hadir Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YUTP, Datuk Shamsul Azhar Abbas.

Dr Mahathir yang menjadi Perdana Menteri dari 1981 hingga 2003 berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada Perdana Menteri (ketika itu) perlu dipertanggungjawabkan berhubung isu PKFZ selepas bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr Ling Liong Sik didakwa di mahkamah, Khamis lalu.

Dr Ling, 67, didakwa atas tuduhan menipu Kerajaan Malaysia untuk memberi persetujuan pembelian tanah di Pulau Indah, Pelabuhan Klang bagi pembinaan projek `Mega Distribution Hub' yang kini dikenali PKFZ antara 25 September 2002 dan 6 November 2002 di Tingkat Empat, Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya. 
Dia didakwa memperdaya Jemaah Menteri supaya bersetuju dengan terma yang dipersetujui antara Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) dan Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) yang dengan curang menyembunyikan fakta berhubung penilaian Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Kementerian Kewangan ke atas tanah terbabit.

Ditanya sama ada beliau sebagai Perdana Menteri ketika itu dikelirukan Dr Ling, Dr Mahathir berkata, bekas Presiden MCA itu baru didakwa dan belum diputuskan sama ada bersalah atau tidak…

Ulasan: Agak pelik kerana jumlahnya terlalu besar iaitu melebihi RM1 bilion. Duit rakyat yang terlibat itu banyak, bukan 10 sen. Eloklah Tun Mahathir minta mahkamah membuat pengisytiharan terbuka bahawa dirinya tidak terlibat. Seronoknya kroni BN menghabiskan wang rakyat.

Surat cinta buat Perdana Menteri

oleh: Infinitikasih  

Buat Datuk Seri yang sedang bercuti, 
bercuti pula di luar negeri,
doa semoga diselamat Ilahi,
bahagia bersama anak isteri.

Datuk Seri yang sedang bercuti,
bercuti di mana tidak diketahui,
sedang rakyat susah sana sini,
Datuk pula bercuti di luar negeri.

Cuti-cuti Malaysia kempen diberi,
rakyat jelata jangan membaziri,
semua ada di Malaysia ku cintai,
tapi Datuk Seri bercuti di luar negeri.

Tatkala Datuk sedang romantis bercuti,
hadiah 5 dalam 1 telah diberi,
minyak gula dan gas ditarik subsidi,
katanya, bukan harga dinaiki,
tapi penyelarasan subsidi.

Rakyat kampung diam sepi,
memikir apa makna penyelarasan subsidi,
sedang kabinet tersenyum hepi,
rakyat telah ditipu lagi,

sedang PM bercuti di luar negeri.
FDI merudum diam la diri,

Tiba-tiba adik Datuk Seri bagi pendapat sendiri,
apa dia tau hanya CEO CIMB,
nak jadi jurucakap Datuk Seri,
kepimpinan dinasti Najib al-Maliki.

Tembelang PKFZ sudah dijumpai,
Cina MCA kepala pencuri,
sedang Umno ditipu lagi,
rakyat pula terus dibodohi,

tapi Datuk Seri bahagia bercuti,
bercuti pula di luar negeri.

Sedang PAS DAP bersatu hati,
Umno terus mencemburui,
perpaduan Melayu jadi misi,
tapi PAS serik ditipu lagi.

Sedang rakyat sengsara hati,
merasa tawarnya kopi,
naik basikal mencari rezeki,
dapur kayu membakar api,
Sedang Datuk Seri pergi bercuti.

Curi pasir menjadi-jadi,
Selangor Penang dituding jari,
apabila sudah kaya si kroni,
maka RTM TV3 mula mensensasi,
sedang ini projek Umno beri,
rakyat tersilap marah PKR DAP.

Pening sudah rakyat memerhati,
sosial ekonomi tak menjadi,
termenunglah mak cik siti,
menunggu pencen arwah suami,
300 sebulan menggigit jari.

Rakyat terus memerhati,
melihat kerakusan kabinet Datuk Seri,
gila talak tidak sudah lagi,
cukup Perak, Penang Selangor dimimpi,
tapi rakyat tidak bodoh lagi,
Datuk Seri pergilah bercuti.

Pulang nanti membawa isteri,
jangan dilupa duit rakyat beri,
akan dituntut suatu hari nanti,
untung rugi tanggung sendiri,
jangan dikata rakyat tak mengenang budi.

Wahai Perdana Menteri Datuk Seri,
jasamu ku kenang sampai ke mati,
tukar kerajaan bukan kerana sakit hati,
tapi amalan demokrasi jadi tradisi,
cukuplah parti perdana menteri,
cap kopi kapal api tidak diminati.

Kerajaan baru bakal dinanti,
kita lihat dan perhati,
revolusi dan transformasi bakal direalisasi,
Malaysia tercinta terus memacu ekonomi.

Sekian dari suara hati,
jangan disekat dengan akta menteri,
moga terus kekal ukhuwah ini,
Salam revolusi dari rakyat Datuk Seri,
Pakatan Rakyat membawa transformasi.

Infinitikasih,
Mafraq, Jordan.

Pendakwaan Liong Sik bukti wujud penyelewengan

http://idrisahmad.wordpress.com  

Pendakwaan Tun Dr Ling Liong Sik yang juga bekas Presiden MCA merangkap menteri kanan di zaman pemerintahan Mahathir membuktikan bahawa dakwaan Pakatan selama ini berhubung wujudnya penyelewengan dalam skandal Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) adalah benar.

Liong Sik yang juga mantan Menteri Pengangkutan bertanggungjawab bagi mempengaruhi keputusan Kerajaan bagi pembelian tanah seluas 999.5 ekar bernilai RM1,088,456,000.00 di Pulau Indah.

PAS yakin bahawa ramai lagi pihak yang terlibat dalam penyelewengan ini dan Liong Sik hanyalah kambing hitam bagi menunjukan lakonan ‘kejujuran’ Kerajaan BN hari ini bagi menutup kes PKFZ.

PAS juga curiga dengan kenyataan Menteri Pengangkutan yang baru, Datuk Seri Kong Cho Ha yang mengatakan bahawa siasatan ke atas skandal PKFZ adalah “mencukupi” dan tidak perlu bagi isu itu disemak semula.

Malah kenyataan Cho Ha yang membenarkan pembayaran semula bon bernilai RM228 juta juga bercanggah dengan keadaan semasa dimana kes penyelewengan PKFZ masih dalam perbicaraan mahkamah.

Malah kerajaan akan melakukan kesilapan kedua jika melunaskan bayaran bon itu kerana syarikat Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) yang merupakan kontraktor utama PKFZ, yang mengeluarkan bon tersebut telah dheret ke mahkamah oleh Pihak Berkuasa Zon Bebas (PKA) kerana membuat tuntutan berlebihan dan tidak menyiapkan kerja mereka seperti yang dijanjikan.

Kegagalan KDSB yang dimiliki oleh jutawan Datuk Tiong King Sing yang juga ahli parlimen BN menambahkan lagi kekusutan skandal PKFZ kerana sekaligus ia menyambung siri penyelewengan ke atas projek berkenaan.

Ini menunjukan PKFZ merupakan sebuah projek khas bagi menyara pemimpin BN dan kroni mereka bermula dengan menipu untuk membeli tapak, kemudian menipu dalam proses perancangan dan penyediaan pelan serta menipu dalam proses pembinaan.

Bayangkanlah kerugian besar wang rakyat dalam projek ini yang pada asalnya dilaporkan hanya berjumlah RM RM1.957 bilion tetapi akhirnya didakwa meningkat kepada RM4.947 bilion, lebih dari dua kali ganda.

PAS mengesa agar kes ini terus dibuka untuk siasatan dan kerajaan tidak perlu membuat apa-apa bayaran lagi kepada mana-mana pihak yang terlibat selagi kes ini tidak diselesaikan di Mahkamah.

Kes ini baru bermula dan Menteri Pengangkutan yang baru tidak berhak untuk menutup kes ini begitu sahaja melainkan jika beliau juga mempunyai kepentingan atau mahu menyelamatkan maruah BN.

PAS berharap rakyat membuka mata kerana pemimpin BN akan terus melakukan penipuan sebegini. Apa sahaja projek mega yang diumumkan mereka pasti ada ketirisan wang rakyat.

PAS juga berharap rakyat membuka mata kerana kes yang sama tidak mustahil akan berlaku termasuklah dalam kes pembangunan semula kampung Baru, Kuala Lumpur yang diwar-warkan kerajaan akhir-akhir ini.

Kerajaan sudah mengumumkan mahu membeli tanah-tanah penduduk dengan harga yang sangat murah sekitar RM 250-RM 300 sekaki persegi. Tetapi selepas itu mahu mengeluarkan bon projek bernilai tinggi yang kemudiannya projek itu akan dibangunkan oleh kroni mereka di dalam GABEM (Biro Ekonomi Umno) dan seterusnya disewa gadaikan kepada pihak ketiga dengan harga lebih 3 kali ganda dari nilai yang dibayar kepada penduduk.

Sebelum satu lagi fail skandal dibuka, PAS mengingatkan rakyat supaya menukar Kerajaan dalam pilihan raya akan datang demi kebaikan mereka dan menyelamatkan wang negara.

Ustaz Idris Ahmad,
Ketua Penerangan PAS Pusat.

Ulasan: Kita harap pihak penyiasat menyiasat dengan telus dan mahkamah menghukum dengan seadilnya.  

PBB tubuh panel siasat serangan flotila

GENEVA 3 Ogos - Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon menubuhkan panel yang dianggotai empat orang semalam untuk menyiasat serangan berdarah tentera Israel ke atas flotila bantuan ke Gaza, Mei lalu.

Panel itu ditubuhkan selepas Israel secara mendadak mengubah pendirian mereka dengan memutuskan untuk menyokong siasatan itu.

Serangan komando Israel pada 31 Mei lalu menyebabkan sembilan aktivis Turki terbunuh dan memburukkan lagi krisis yang sememangnya tegang antara kedua-dua negara itu.

Panel itu akan dipengerusikan oleh bekas Perdana Menteri New Zealand, Geoffrey Palmer dan Presiden Colombia, Alvaro Uribe sebagai Timbalan Pengerusi, sementara dua lagi ahli masing-masing dari Israel dan Turki…

Ulasan: Rakyat dunia ternanti-nanti bila PBB akan mengambil tindakan tegas terhadap Israel yang menjajah Palestin sejak 1948 dan sebuah negara kecil tapi yang paling keras kepala tidak mengikut kehendak resolusi PBB. Sampai hati negara maju melindung Israel yang terus tidak henti mengganyang warga Palestin. Siapa yang masih terjajah pemikirannya: Pemimpinnya atau rakyatnya?

Thursday, July 29, 2010

Melayu mundur jika Umno kalah = Tahyul

Tahyul: Melayu mundur jika Umno kalah 
harakahdaily 

PERMATANG PAUH, 29 Julai: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohamad Sabu (gambar) menyifatkan pendapat yang mengatakan jika Umno kalah, maka Melayu juga kalah atau mundur adalah tahyul dan merupakan satu tafsiran mengarut.

Katanya, kepimpinan Umno lazimnya membuat kenyataan tahyul itu bahawa sekiranya Umno kalah dalam pilihan raya nanti, masyarakat Melayu akan hidup dalam suasana kelam kabut atau tertekan sebagaimana zaman Jepun.

Padahal, jelasnya jika Umno kalah, maka PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) iaitu parti yang seagama dengan kepimpinan Umno pula akan memegang tampuk pemerintahan serta meneruskan kelangsungan perjuangan tetapi berlainan pendekatan untuk membela rakyat.

"Bila Umno kalah, PAS dan PKR pula yang akan teruskan perjuangan tapi kali ini bukan macam Umno yang berkepentingan dan kroni, kita akan urus tadbir negara dengan baik," tambahnya semasa berucap dalam program ceramah anjuran Dewan Pemuda PAS di Dataran Kompleks An-Nadhoh, Penanti malam tadi.

Katanya, pemimpin Umno sanggup menggertak supaya orang Melayu jangan mengundi PAS atau PKR yang digambarkan sebagai petualang bangsa kerana kononnya menggadai maruah kepada kaum lain.

"Sekarang ini biarlah Umno dan Barisan Nasional (BN) nak gelarkan apa pun, kita jangan peduli. Kita patut pandang ke depan dengan satu matlamat mendaki Putrajaya kerana jalan tersebut boleh menyelamatkan maruah negara yang sudah tercalar di mata dunia," tegasnya.

Rakyat, ujarnya wajar menilai kepimpinan PAS di Kelantan, Terengganu sebelum tewas pada pilihan raya ke-11 lalu dan terkini di Kedah, adakah gagal melaksanakan tanggungjawab mentadbir dengan baik.

Jawapannya, kata beliau pasti lebih cemerlang berbanding Umno dan BN kerana pentadbiran mereka penuh dengan penyelewengan, pembohongan fakta dan penipuan.

"Sebagai kepimpinan parti dalam Pakatan Rakyat, saya lihat sudah ada kemahiran dan pemimpin tidak melatah seperti sebelum pilihan raya 2004 yang mana DAP lari keluar yang akhirnya kita kalah sebagai pakatan pembangkang," katanya.

Namun, katanya kini Umno memainkan rentak yang sama iaitu isu Melayu untuk bersatu dengan PAS.

Menurutnya, mereka menggunakan mufti untuk kepentingan politik sempit padahal peranan mufti menasihati tingkah laku kepimpinan Umno yang terlalu banyak penyelewengan sehinggakan rakyat terpaksa menolak kerajaan BN pada pilihan raya umum ke-12 lalu.

"Mufti pun jadi kalut sekarang ini nak satukan PAS dan Umno. Saya dengar 'geli' bila sebut tentang kerjasama PAS dan Umno. Nak kerjasama macam mana, depan ajak elok dengan senyuman sampai ke telingga tapi di belakang mereka panah kita dengan anak panah berbisa. 

“Lupakanlah kerjasama tu kerana yang penting biar Umno karam manakala kita daki Putrajaya bersama parti dalam Pakatan Rakyat yang lain," tegas beliau.

Ulasan: Lawan tetap lawan. Asalkan halal.

Remaja Palestin bantah Yahudi bina taman arkeologi di Baitulmaqdis

BAITULMUQADDIS 28 Julai - Kira-kira 200 remaja Palestin bertempur dengan polis Israel di bahagian timur Baitulmuqaddis sebagai membantah tindakan Israel menjalankan kerja-kerja pembinaan taman arkeologi di situ.

Pihak polis dan pengawal sempadan melepaskan tembakan peluru getah dan gas pemedih mata ke arah sekumpulan remaja Palestin yang mengadakan tunjuk perasaan dengan membaling batu ke arah polis, kata saksi.

Lima warga Palestin dilaporkan cedera, manakala seorang ditahan.

Jurucakap polis Israel berkata, keadaan kembali tenang selepas pihak berkuasa tempatan Palestin menyuraikan penunjuk perasaan.

Israel merancang untuk merobohkan 22 rumah penduduk Arab bagi memberi laluan kepada pembinaan taman arkeologi yang menimbulkan kemarahan penduduk Palestin.

Presiden Palestin, Mahmoud Abbas telah menggesa Washington supaya menghalang Israel meneruskan pembinaan projek kontroversi itu.

Projek yang dirancang melibatkan kerja-kerja merobohkan kawasan kediaman penduduk Arab yang hanya berada di luar tembok Bandar Lama di situ.

Projek itu telah diluluskan oleh Dewan Bandaraya Baitulmuqaddis pada Jun lalu dan mencetuskan bantahan daripada pelbagai pihak di Israel dan dari luar negara….

Ulasan: Penjajah Israel hidup dengan mengazab tak henti-henti warga Palestin sejak 1948. Jom boikot produk Israel.

Pasar raya bolot semua bisnes

SUNGAI PETANI 28 Julai - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan diminta supaya mengehadkan waktu operasi pasar raya besar di negara ini kepada tempoh bersesuaian bagi melindungi peniaga tempatan.

Yang Dipertua Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) Kedah, Shahanim Mohd. Yusof berkata, tindakan tersebut perlu dilakukan memandangkan para peniaga tempatan kini terjejas teruk kerana pengguna beralih ke pasar raya besar yang kebanyakannya dibuka seawal pukul 7 hingga 8 pagi…

Ulasan: Peniaga tempatan lawan peniaga kroni? 

Tekong ditahan sogok polis

KOTA TINGGI 28 Julai - Seramai 13 pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Indonesia dan seorang lelaki tempatan yang bertindak sebagai tekong ditahan dalam serbuan polis di Ladang Blok 10, Felda Kledang di sini pada Jumaat lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Muhammad Shamsuddin berkata, semua PATI itu ditahan kira-kira pukul 9 malam kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Menurutnya, lelaki tempatan itu pula ditahan setelah cuba menyogok RM7,000 kepada anggota polis sebagai usaha untuk melepaskan PATI tersebut…

Ulasan: Bila semua kakitangan kerajaan tak makan rasuah, negara akan aman tenteram. Tahniah. Rasuah  adalah haram.

MUI haram program gosip TV, pembedahan tukar jantina

JAKARTA 28 Julai - Majlis Ulama Indonesia (MUI) mengeluarkan fatwa mengharamkan umat Islam menonton rancangan gosip di televisyen dan menjalani pembedahan menukar jantina.

MUI menganggap rancangan gosip yang mendedahkan butir-butir intim mengenai kehidupan seseorang iaitu satu genre popular di televisyen Indonesia, sebagai tidak bermoral dan ancaman kepada masyarakat.

"Kami menganggap penting untuk mengeluarkan fatwa itu kerana program infotainmen boleh mengandungi unsur tidak bermoral dan menyalahi etika kewartawanan," kata pegawai MUI, Asrorun Niam Soleh, hari ini.

Beliau berkata, MUI bukan menentang semua program infotainmen tetapi yang haram ialah program berunsur gosip dan mendedahkan butir-butir memalukan mengenai seseorang.

"Apabila orang mula menyebarkan khabar angin, ikatan yang menyatukan sebuah negara akan terlerai," ujarnya.

Satu lagi fatwa yang diluluskan pada mesyuarat MUI malam tadi ialah mengharamkan pembedahan menukar jantina melainkan ada sebab kukuh dari segi perubatan…
UPSR, PMR

Ulasan: Gosip ialah cakap-cakap yg mengisahkan khabar-khabar atau hal-hal yg buruk atau umpatan tentang orang lain, hukumnya haram dalam Islam. Biarlah pakar jiwa dan perubatan memutuskan siapa yang layak menukar jantina. Begitu hormatnya Islam kepada ilmu pakar.

Tiada projek rundingan langsung bawah Najib

PULAU PINANG 28 Julai - Tiada sebarang kontrak atau projek kerajaan diberi atau diluluskan secara rundingan langsung di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin berkata, jika ada sekali pun ia hanya membabitkan kementerian tertentu dan pemberian perlu melalui jawatankuasa tender.

Katanya, sebagai contoh, apabila Kementerian Kesihatan mahu membeli vaksin atau ubat-ubatan tertentu dan ia pula hanya boleh dibeli dengan pembekal-pembekal terpilih sahaja.

"Lain-lain daripada itu belum ada lagi kontrak diberi secara rundingan langsung di bawah Perdana Menteri kerana kerajaan sekarang lebih telus dalam urusan seumpama itu…

Ulasan: Dalam kes terbaru MRCB and Sunway Contructions (dua pemain besar dalam industri binaan kita). telah menawarkan tender dengan harga paling murah, yakni RM750 juta ke RM850 juta bagi pembinaan Terminal Syarikat Penerbangan Kos Rendah (LCCT) berdasarkan kaedah cipta dan bina. Tetapi bagaimana jawatankuasa tender MAB (MAB. Malaysia Airport Bhd berada di bawah kawalan dan kuasa Menteri Kewangan, Dato Najib Tun Razak) boleh menganugerahnya kepada syarikat kerjasama antara Bina Puri Holdings Berhad dan UEM Group Berhad dengan harga kontrak RM 1000juta...

Semua orang tahu sesuatu yang tak kena bila bila kerajaan nampaknya suka menghabiskan RM150-RM250 juta wang rakyat. Kita tidaklah mempertikaikan jenama tender yang di gunakan untuk sesuatu projek kerajaan. Kita boleh gunakan tender terbuka atau tender perundingan langsung bila disahkan benar-benar perlu. Tetapi yang penting ialah perlu wujud semangat menjimatkan wang kerajaan (atau lebih di kenali sebagai wang rakyat). 

Mungkin pihak yang berkepentingan (kroni?) sudah ada cara untuk mengaut wang rakyat tak kira sebarang tender yang di gunakan.

Isu dengan Brunei selesai, Singapura belum

KUALA LUMPUR 28 Julai - Isu penyerahan Blok L dan M kepada Brunei dianggap telah selesai sementara Perkara-Perkara Yang Dipersetujui (POA) dengan Singapura masih belum selesai.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, melalui Pertukaran Surat (Exchange of Letters) pada 16 Mac 2009, persempadanan maritim, Kawasan Aturan Komersial, persempadanan darat dan akses maritim dengan Brunei telah diselesaikan.

"Pertukaran Surat itu juga telah menetapkan sempadan laut wilayah, pelantar benua dan zon ekonomi eksklusif di antara kedua-dua negara yang bersifat kekal serta meletakkan blok cari gali minyak L dan M di dalam kawasan maritim Brunei.

"Walaupun Brunei kini mempunyai hak kedaulatan terhadap sumber hidupan dan bukan hidupan di blok-blok tersebut, jiran kita itu akan berkongsi hasil dari kawasan tersebut dengan Malaysia melalui satu Aturan Komersial.

"Namun, isu POA dengan Singapura masih belum selesai sepenuhnya dan Malaysia masih lagi menjalankan kajian bagi memuktamadkan opsyen penukaran tanah Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Tanjong Pagar, tanah di Kranji dan Woodlands serta tiga bidang tanah tambahan di Bukit Timah (tanah 3+3) dengan tanah di Marina South dan Ophir Rochor," katanya….
 
Ulasan: Dulu, negara berperang untuk meluaskan pandangannya dan jajahannya. Kini, kebanyakan pemimpin politik hanya menjaga jajahan yang ada. Tapi kita satu demi satu kawasan negara di serahkan kepada negara lain tanpa sebutir peluru pun yang keluar dari senjata tentera. Mungkin elok kita tutup Kementerian Pertahanan.Dan wajibkan semua pelajar universiti menguasai undang-undang dan kemahiran negotiation

Kisah perit episod cinta Lombok

HULU TERENGGANU 28 Julai - "Kehidupan saya amat sengsara di sana, pernah juga tidak makan dan paling menyedihkan apabila anak saya juga terpaksa mengikat perut menahan kelaparan."

Itu luahan xxxx xxxx, 33, wanita dari xxxx xxxx dekat sini yang berjaya dibawa balik selepas tujuh tahun melarikan diri bersama suaminya ke Mataram, Lombok, Indonesia…

Ulasan: Sewaktu bercinta kita anggap dunia kita punya. Rupa-rupanya cinta makhluk boleh pudar. Sebelum kita membuat keputusan yang besar dalam hidup kita, eloklah kita bertanya pakar, bermesyuarat dengan keluarga, dan solat istikharah memohon pertolongan Allah. 

Perlu ikhlas satukan Melayu

PUTRAJAYA 28 Julai - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, usaha penyatuan parti-parti politik di kalangan orang Melayu terutama membabitkan UMNO dan PAS boleh menjadi kenyataan jika kedua-dua pihak mempunyai keikhlasan. 

Perdana Menteri berkata, kerjasama politik seumpama itu telah berjaya dilakukan ketika kepimpinan Allahyarham bapanya, Tun Abdul Razak Hussein kerana wujudnya sifat keikhlasan di kalangan pihak terlibat…

Ulasan: Dulu: bila UMNO lemah, PAS di junjung menyertai BN. Bila UMNO sudah kuat, PAS ditendang keluar. Begitulah ikhlasnya perjuangan UMNO. Nak jatuh lubang lagi? 

Kita hidup mewah tapi kawan makan kanji setiap hari

Makan kanji setiap hari

PULAU PINANG 28 Julai - Kanji dan air suam sudah menjadi hidangan rutin Tajenisha Beevi Sirajidin dan tujuh anaknya sejak tiga tahun lalu.

Sejak suaminya dipenjarakan, hanya makanan itu yang mampu disediakan oleh ibu muda ini untuk mengisi perut mereka setiap hari.

Bagaikan mengerti kepayahan Tajenisha, 34, anak-anaknya yang berusia di bawah 16 tahun tidak merungut meminta yang bukan-bukan.

Cuma anak bongsunya yang kadang-kala merengek meminta susu dan dia terpaksa memberikan botol berisi air kosong untuk menenangkannya.

Dia sendiri tiada daya untuk menyusukan anaknya kerana sudah lama tidak menjamah nasi.

''Saya sedih kerana anak-anak saya tidak macam anak orang lain. Usahkan hendak makan lauk-pauk yang enak, menjamah nasi pun payah.

"Sejak suami tiada, hidup kami bertambah susah sampaikan terpaksa berlapar," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di flat Batu Lanchang di sini hari ini.

Ekoran kesempitan hidup, Tajenisha terpaksa memberhentikan persekolahan anak keduanya.

''Saya pernah terfikir untuk memberi anak bongsu kepada orang lain sebab tidak sanggup tengok anak- anak hidup dalam keadaan macam ini," katanya yang tidak mempunyai pekerjaan tetap kerana terpaksa menjaga anak-anaknya yang masih kecil.

Tambah merisaukan Tajenisha kini, mereka sekeluarga mungkin diusir keluar daripada rumah yang didiami sekarang setelah gagal membayar sewa selama tiga bulan sebanyak RM1,200.

Dia hanya berharap tuan rumah mendengar permintaannya untuk menangguhkan bayaran duit sewa, apatah lagi dia masih menanggung hutang kos bersalin sebelum ini kira-kira RM3,000.

''Itu semua perlu dijelaskan sebelum Hari Raya Aidilfitri. Saya tidak tahu sampai bila nasib kami akan begini, bukan tidak pernah bekerja tetapi anak kecil saya sering sakit dan saya tidak boleh bergantung dengan jiran selamanya," katanya.

Tajenisha mendakwa pernah memohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak tiga kali tetapi permohonannya masih belum diluluskan.

Beliau berharap pihak yang bertanggungjawab tampil membantu meringankan bebannya termasuk kemungkinan memberi peluang menyewa rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Mereka yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Tajenisha di talian 016-4715994….

Ulasan: Di tengah orang kita bermewah dengan makanan dan minuman, kereta, rumah dan percutian di negara asing, rupanya ada kawan yang menderita dan merana. Hulurkanlah seikhlas mungkin untuk membantu mereka.

Awasi propaganda media asing

KUALA LUMPUR 28 Julai - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad (gambar) menyelar segelintir pemimpin politik yang mempunyai hubungan baik dengan media asing kerana beliau percaya, organisasi media yang kebanyakannya didokong oleh Yahudi itu mempunyai niat tidak baik terhadap keharmonian Malaysia.

Beliau berpengalaman mentadbir Malaysia selama 22 tahun berkata, media asing sentiasa mempunyai agenda untuk menjatuhkan kerajaan.

Tegas beliau lagi, propaganda itu lebih mudah apabila terdapat pemimpin politik tempatan sendiri yang sanggup memberi kerjasama demi kepentingan peribadi…

Ulasan: Media lokal pun kadang-kadang terikut cara media asing untuk menjatuhkan musuh politik.

Penulis blog perlu mempunyai kod etika

KUALA LUMPUR 28 Julai - Setiap penulis melalui media alternatif iaitu blog di negara ini perlu mempunyai kod etika bagi memastikan hasil tulisan mereka adalah berasaskan pada fakta dan kebenaran.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, kod etika itu juga merupakan peraturan asas untuk mendisiplin diri setiap penulis blog…

Ulasan: Kembalilah kepada agama yang merupakan senjata agung untuk mengawal dan mendisiplinkan diri.

Jangan lumpuhkan ekonomi melalui blog - Mukhriz

KUALA LUMPUR 28 Julai - Datuk Mukhriz Mahathir memberi amaran kepada parti pembangkang dan penulis-penulis blog agar tidak melumpuhkan ekonomi negara dengan membuat pelbagai tuduhan liar dan tidak berasas.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang memberi peringatan itu berkata, ini kerana tuduhan-tuduhan negatif itu akan menjejaskan nama baik Malaysia sebagai destinasi pelaburan…

Ulasan: Elok juga rakyat mengingatkan pemimpin politik (negara dan negeri) supaya jangan songlap harta negara & negeri (wang rakyat) melalui usaha yang tidak sah.

Malaysia ada hubungan ekonomi dengan Israel?

Kita akan terkejut bila membaca kata-kata aluan Micha Harish, Israel Minister of Industry & Trade dalam Israel-Asia Chamber of Commerce, seperti diberikan oleh https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjN3vrdn4H_mLTX76CPEgYDbYmo_1AVv2K4fE7j_sTmZ44dj87FXjhBD17DwjRBUCViVZvjVr7nlfKeHXrhFbpUzjceZuHBAGr2aJHLs0thPJeBLLmFzEYg2ZZlGnKgVIzDNec5/s1600/pic24484.jpg

The public declaration of the Malaysian Prime Minister and Minister of International Trade and Industrial that their country intends to pursue economic relations with Israel is another milestone in the development of trade with this continent. 

Terjemahan bebasnya: Pengisytiharan terbuka Perdana Menteri dan Menteri Perdagangan dan Industri Antarabangsa Malaysia bahawa negara mereka bercadang untuk mengadakan hubungan ekonomik adalah merupakan petanda baik dalam pembangunan perdagangan dengan benua itu (Asia).

Apakah benar pengisytiharan telah dibuat oleh PM kita dan Datuk Seri Mustapa Mohamed? Kalau tidak benar, kerajaan Malaysia perlu menafikannya secepat mungkin. Pelik juga, takkanlah Micha Harish, Israel Minister of Industry & Trade menjadi hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong. 

Kiranya benar, sampai hati kita berniaga dengan penjajah negara Palestin yang telah mengganyangkan dan mengazab saudara kita sejak 1948. Seolah wang lebih penting dari darah dan maruah. Apakah ini sudah di bahaskan dan persetujui oleh Parlimen? Atau terpaksa kerana untuk melindungi kudis-kudis tertentu. 

Ulasan: Nampaknya satu demi satu prinsip dan jajahan milik kita di korbankan semata-mata untuk melindungi kudis itu. Sampai bilakah kita perlu melindunginya? Kalau rakyat kita menjadi begitu teliti dalam memilih, negara ini tak akan terjajah di tengah-tengah kemerdekaan.

Wednesday, July 28, 2010

Pelajar hamil: Di mana kejujuran pemimpin, ulama kerajaan?

Hamil: Di mana kejujuran pemimpin, ulama kerajaan
Harakahdaily  

KUALA LUMPUR, 27 Julai: Isu pelajar mengandung, pengguguran dan pembuangan bayi telah meresahkan keharmonian masyarakat dan menunjukkan musnahnya institusi kekeluargaan negara, kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Abu Bakar Chik (gambar).

Justeru itu, katanya PAS menggesa masyarakat agar mengambil langkah-langkah bagi melaksanakan perintah amar maaruf dan nahi mungkar dengan sebaiknya dan menggesa rakyat, khususnya umat Islam menunaikan amanah dengan memilih kerajaan yang jujur dalam menegakkan kesejahteraan dan keadilan rakyat.

“Perlu diingatkan bahawa undang-undang Islam dan feqah Islam mampu bagi menangani isu-isu sebegini,” ujarnya yang juga Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau juga mempersoalkan di mana kejujuran mereka yang memimpin negara dan ulama dalam kerajaan yang mengabaikan keperluan menyelesaikan masalah secara Islam.

Abu Bakar menyatakan demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang mahu menubuhkan sekolah untuk pelajar hamil.

“Kenyataan ini menunjukkan betapa sangat seriusnya isu pelajar perempuan mengandung disebabkan perzinaan dan pengguguran bayi berlaku secara berleluasa di negara ini,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau menambah, jarang berlaku pertembungan kenyataan di antara menteri atau timbalan di peringkat pusat dengan menteri besar atau ketua menteri.

“Tetapi dalam kes ini, Ketua Menteri Melaka bertegas untuk menubuhkan sekolah khas walaupun disanggah oleh Timbalan Menteri Pelajaran,” katanya.

Menurutnya lagi, adalah amat malang bagi umat Islam apabila berhadapan dengan isu pembuangan bayi dan mengandung kerana perzinaan tidak ditangani sewajarnya berdasarkan sebab-sebab asal berlakunya masalah ini; seperti pergaulan bebas, hiburan liar dan wujudnya pusat-pusat maksiat di segenap pelusuk negara.

Beliau menambah, alangkah baiknya jika langkah-langkah pencegahan dilakukan di samping langkah pemulihan dilakukan.

Ulasan: Sudahkah kerajaan BN membuat sehabis upaya?

Perdana Menteri Britain minta EU buang sikap prejudis

2010/07/28 ANKARA: Perdana Menteri Britain, David Cameron menuntut anggota Kesatuan Eropah (EU) menggugurkan prejudis mereka terhadap umat Islam dengan tidak lagi terus menghalang Turki menjadi anggota badan serantau itu. 

Berucap di sini, Cameron menyatakan perasaan marahnya mengenai hakikat bahawa Turki sebagai anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) diminta menyabung nyawa di Afghanistan tetapi tidak diterima sebagai anggota EU. 
 
Ankara diminta menjaga kem tetapi tidak dibenarkan masuk di dalam khemahnya, kata Cameron dalam pertemuan dengan ahli perniagaan Turki di Ankara semalam. 
Beliau berkata mereka yang menghalang kemasukan negara Islam itu dalam EU yang kini mempunyai 27 anggota terbukti mempunyai pertimbangan yang salah dan prejudis. 

Kenyataan Cameron itu kemungkinan dianggap sebagai kritikan terhadap Perancis dan Jerman. 

Perdana Menteri Britain itu dalam rangka lawatan empat hari ke Turki sebelum ke India. 

Menyentuh isu keanggotaan Turki dalam EU itu yang sejak beberapa tahun lalu disokong Britain, Itali dan Sepanyol, tetapi tergantung berikutan dihalang Presiden Nicolas Sarkozy dari Perancis dan Canselor Jerman, Angela Merkel, Cameron berkata: Saya akan terus menyokong keanggotaan Turki agar negara ini dapat memainkan peranan lebih meluas dalam arena diplomasi Eropah. 
 
Kita akan secara bersama, membuka jalan dari Ankara ke Brussels, katanya. Agensi

Ulasan: Manusia memang diciptakan berbagai bangsa untuk saling kenal sebagaimana yang telah disebutkan dalam Quran (Hujurat : 13) yang bermaksud:  
Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal. 
Bukan untuk bergaduh.