Friday, August 14, 2009

Jeff Ooi tidak ikhlas selesai kemelut

KUALA LUMPUR 10 Ogos - Keengganan Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi memohon maaf atas kenyataan biadab beliau yang menghina Islam, jelas menunjukkan wakil rakyat DAP itu tidak ikhlas menyelesaikan isu tersebut.

Namun, kedegilan Ooi itu sebenarnya boleh dianggap sebagai hikmah bagi para pemimpin Pas untuk memikirkan masa depan parti itu yang kononnya memperjuangkan Islam daripada terus bersekongkol dengan DAP.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, jika benar Pas konsisten dalam perjuangan, parti itu tentu tidak akan berdiam diri dengan penghinaan oleh Ooi.

"Saya sekali lagi mengulangi cabaran agar Pas bertindak mengikut keadaan semasa yang memperlihatkan tiadanya semangat setiakawan di kalangan pemimpin DAP untuk menghormati parti itu.

"Sudahlah satu-satunya wakil rakyat Pas tidak mendapat tempat dalam barisan Exco kerajaan Pulau Pinang, kini kenyataan pemimpin DAP pula makin melampau. Maka, Pas perlu sedar mengenai tahap keikhlasan DAP," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kedegilan Ooi yang enggan meminta maaf sebaliknya hanya menarik balik kenyataannya itu atas nasihat Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Ooi dalam kenyataannya kepada sebuah akhbar berbahasa Inggeris sebelum ini mendakwa ahli Majlis Kerajaan Tempatan Pulau Pinang, Mohd. Razali Abdullah sebagai ekstremis agama Islam hanya kerana merupakan ahli kepada pertubuhan Jemaah Islah Malaysia (JIM).

Beliau yang juga Ketua Staf di Pejabat Ketua Menteri, turut mengkritik hebat pihak majlis kerana membenarkan ekstremis agama Islam berada di dalam pentadbiran.

Sementara itu, Presiden JIM, Zaid Kamaruddin berkata, Ooi seharusnya menjelaskan apa yang diperkatakan sekiranya beliau menafikan membuat penghinaan terhadap Islam.

Menurutnya, Ooi perlu sedar betapa konflik dicetuskan itu bukan saja antara beliau dengan Razali dan JIM malah turut melibatkan seluruh umat Islam di negara ini.

Justeru katanya, beliau perlu menanggung sebarang risiko ekoran tindakan dan percakapannya yang mungkin diterjemahkan masyarakat Islam melalui pembuangan undi pada pilihan raya akan datang.

"Terpulang pada beliau. Secara dasarnya JIM tidak langsung terjejas dengan kenyataannya sebelum ini tetapi perasaan umat Islam harus diambil kira. Jika beliau meminta maaf tetapi tidak ikhlas, tiada gunanya juga.

"Apa pun, saya dimaklumkan cawangan JIM di Pulau Pinang akan berbincang mengenai tindakan-tindakan tertentu yang akan diambil. Apa tindakannya, saya tidak pasti," katanya.

Ulasan: Selamat berdakwah kepada masyarakat majmuk.

No comments: