Monday, December 14, 2009

KDN minta IPTS pantau pelajar asing

KOTA BHARU 13 Dis. - Beberapa institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) diselar kerana mengutamakan keuntungan semata-mata dan gagal memantau aktiviti pelajar asing yang melanjutkan pelajaran di institusi kelolaan mereka.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Mahmood Adam berkata, IPTS sepatutnya melaporkan kepada Jabatan Imigresen jika ada pelajar tidak hadir ke kuliah melebih 40 peratus daripada jumlah kelas dalam setiap semester.

Menurutnya, ia perlu dilakukan bagi membendung kes penyalahgunaan visa pelajar.

"Kita memberi amaran kepada mereka supaya jangan mementingkan keuntungan semata-mata kerana ada pelajar asing ini menimbulkan masalah dengan menyalahgunakan pas pelajar.

"Kalau pelajar ini tidak hadir ke kuliah melebihi waktu yang ditetapkan, segera lapor kepada pihak berkuasa dan kita akan ambil tindakan termasuk membatalkan visa pelajar ini serta-merta," katanya kepada pemberita pada majlis Hari Bertemu Pelanggan KDN di sini hari ini…

Ulasan: Kerana ghairah duit dari pelajar antarabangsa, langsung negara menjadi kecoh dengan jenayah curi/rompak, tipu dan pelacuran di lakukan oleh sebilangan kecil dari mereka. Rakyat jadi takut...

Ketuanan Melayu bukan rasis

KUCHING 13 Dis. - Ketuanan Melayu atau ketuanan bumiputera yang seringkali dilaung-laungkan oleh kaum pribumi bukan bersifat rasis sebaliknya hanya slogan yang berbentuk semangat patriotisme.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, ketuanan Melayu adalah ungkapan sejarah yang mengingatkan bumiputera bahawa mereka adalah rakyat pribumi negara ini.

Menurut Ahli Parlimen Pasir Mas itu, ketuanan Melayu bukan sebuah undang-undang yang boleh mengundang kemudaratan kepada kaum lain dan tidak ada sebab mereka berasa sensitif dengan ungkapan tersebut.

"Kenapa ada pihak yang berasa sensitif dan marah apabila disebut ketuanan Melayu?

"Adakah selama ini kita bercakap mengenai ketuanan Melayu maka kita akan memusuhi kaum-kaum lain. Perkara seumpama itu tidak berlaku kerana selama 52 tahun Malaysia merdeka, kita tidak pernah ungkit mengenai mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Pelancaran Perkasa Negeri Sarawak di sini hari ini.

Ibrahim berkata, penubuhan Perkasa juga bukan bersifat rasis sebaliknya bertujuan menyuarakan serta mempertahankan hak-hak kaum bumiputera yang termaktub dalam fasal 153 Perlembagaan.

Pada masa yang sama, Ibrahim turut membidas pihak yang sejak akhir-akhir ini membangkitkan isu peruntukan pembinaan masjid dan rumah ibadat bukan Islam yang ternyata sensitif dan mengguris hati orang Islam...

Ulasan: Yang tidak diizinkan ialah menzalimi orang lain. Seperti nasibnya bangsa Melayu di Singapura dan Thailand.


NKRA: Najib Kena Kelentong?

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata beliau secara umumnya berpuas hati dengan pencapaian enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang dibentangkan kepadanya hari ini. Enam teras NKRA itu ialah mengurangkan kadar jenayah, memerangi rasuah, meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti, meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah, memperkasa prasarana luar bandar dan penambahbaikan pengangkutan awam dalam jangka masa sederhana.

Najib berpuashati...Najib berpuashati...alangkah peliknya!! Peliknya...ketika kadar jenayah meningkat, ketika indeks persepsi rasuah (CPI) semakin merosot, Najib berpuashati? Itu baru tentang jenayah dan rasuah, belum lagi tentang pendidikan, taraf hidup rakyat, prasarana luar bandar dan pengangkutan awam yang sampai kini ramai yang tidak berpuashati.

Atau NKRA yang dibentangkan kepada Najib cuma NKRA kelentong, dengan angka-angka kelentong untuk menyedapkan hati seorang PM yang keletihan kerana terlalu sibuk dengan pelbagai rangka lawatan ke luar negara? 
Atau sasaran pencapaian NKRA sengaja dibikin rendah bagi menunjukkan sasaran berjaya dicapai dan Najib boleh tersenyum bangga?

Apapun, Najib sudah katakan dia berpuashati dengan pencapaian NKRA. Sama ada Najib kena kelentong oleh menteri-menterinya dan menteri-menteri pula dikelentong oleh KSU-KSUnya ada satu hal lain....
~ pendikar gunung kriang

Friday, December 11, 2009

Lagi ‘jerung’ bakal didakwa – Peguam Negara

Lagi ‘jerung’ bakal didakwa – Peguam Negara
PUTRAJAYA 10 Dis. – Lebih ramai lagi individu termasuk ‘jerung’ akan didakwa dalam masa terdekat berkaitan skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail berkata, seorang lagi iaitu jurutera Kuala Dimensi Sdn. Bhd. (KDSB), Law Jenn Dong merupakan individu yang bakal dihadapkan ke mahkamah Isnin ini.

“Ini baru permulaan, apa yang telah diselesaikan (siasatan) akan diteruskan untuk kesalahan-kesalahan lain dan bukan bermakna dengan mendakwa tiga atau empat orang ini maka kes tutup.

“Apa yang saya tahu, semua yang disiasat merupakan ‘ikan besar’ kerana melibatkan jumlah wang yang besar,” katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Abu Kassim Mohamed. 

Di Mahkamah Sesyen Klang hari ini, tiga individu didakwa iaitu bekas Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Klang (LPK), Datin Paduka O. C. Phang; Ketua Eksekutif KDSB, Steven Abok dan seorang arkitek, Benard Tan Seng Swe. 

Projek PKFZ yang menelan belanja besar menimbulkan tanda tanya apabila harga pembelian tanah mencecah RM1.088 bilion dan dengan mengambil kira tempoh bayaran balik 15 tahun kadar faedah 7.5 peratus setahun, kos keseluruhan pembelian tanah meningkat kepada RM1.807 bilion.

Kos keseluruhan PKFZ ialah RM4.6 bilion setelah mengambil kira pembelian tanah, kerja-kerja pembangunan dan faedah 7.5 peratus bagi bayaran tertangguh selama 10 tahun.

Bagaimanapun, Abdul Gani enggan mendedahkan identiti individu-individu terbabit walaupun mereka sudah dikenal pasti kerana bimbang akan mengganggu proses siasatan oleh polis dan SPRM.

Jelasnya, banyak lagi isu dan transaksi melibatkan skandal tersebut yang perlu disiasat secara lebih terperinci.

‘‘Namun, saya bagi jaminan ia akan selesai dalam tempoh terdekat kerana saya menganggapnya sebagai satu perkara yang amat serius,” katanya…

 &

Skandal PKFZ: Tiga didakwa
KLANG 10 Dis. - Bekas Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Klang (LPK), Datin Paduka Oi Choo Phang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan pecah amanah dalam skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Ketua Pegawai Operasi Kuala Dimensi Sdn. Bhd. (KDSB), Stephen Abok, 51, iaitu syarikat pemaju projek tersebut dan arkitek, Bernard Tan Seng Swee, 48, dari syarikat perunding BTA Architect turut didakwa atas tuduhan menipu.

Choo Phang, 63, mengaku tidak bersalah atas tiga tuduhan pecah amanah membabitkan wang RM254.85 juta milik lembaga tersebut dalam satu akaun di RHB Bank Bhd. di LPK, Jalan Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang di sini antara 1 Oktober 2004 dan 13 Januari 2006. 
Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta denda jika disabitkan kesalahan.

Sementara Abok dan Seng Swee masing-masing mengaku tidak bersalah atas dua tuduhan menipu LPK membabitkan tuntutan sebanyak RM5.42 juta pada 31 Julai dan 21 September 2007.

Kedua-duanya didakwa memperdayakan LPK untuk mempercayai bahawa sistem 33kv ke Precinct 2 dan Precinct 8 bagi PKFZ di Pulau Indah telah dilaksanakan.

Perbuatan itu telah mendorong LPK mengesahkan pembayaran tersebut kepada KDSB sedangkan mereka tahu bahawa kerja-kerja berkenaan tidak dilaksanakan.

Ulasan: Apa definisi jerung dalam konteks jenayah? Betul kalau orang yang terlibat membabitkan jumlah wang banyak tapi bukan itu saja. Tapi tidak cukup setakat itu saja. Bagaimana dengan pembabitan orang politik ternama atau yang membabitkan seseorang yang ada kabel dengan orang yang ternama? Rakyat masih ternanti-nanti bagaimana hasil siasatan 18 kes rasuah berprofil tinggi sebagaimana yang pernah diwar-warkan oleh Datuk Seri Utama Rais Yatim dulu?

Thursday, December 10, 2009

Jakim bidas DAP

PUTRAJAYA 9 Dis. - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) membidas kenyataan Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming kerana mempertikaikan peruntukan kerajaan bagi membina 611 buah masjid sepanjang tempoh 2000 hingga tahun lalu. 

Ketua Pengarahnya, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abd. Aziz menganggap Ahli Parlimen DAP itu dengan sengaja tidak menghormati semangat Perlembagaan Persekutuan yang hanya menyediakan peruntukan kepada pembangunan agama Islam. 

''Harus diingat! mengikut Perkara 12 (2), Perlembagaan Persekutuan, Kerajaan Pusat dan kerajaan-kerajaan negeri hanya boleh mengeluarkan peruntukan kepada agama Islam dan bukannya kepada agama lain.

''Nampaknya sikap ihsan kerajaan selama ini (peruntukan kepada institusi ibadat agama lain) langsung tidak dihargai," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau memberikan reaksinya kepada kenyataan Kor Ming semalam yang mempersoalkan perbelanjaan kerajaan sebanyak RM748.26 juta bagi membina masjid sepanjang sembilan tahun sejak 2000. 

Perbelanjaan itu adalah melalui peruntukan khas Perdana Menteri. 

Sedangkan, kata Kor Ming, Kerajaan Pusat hanya memperuntukkan sebanyak RM9 juta untuk bantuan semua institusi ibadat bukan Islam bagi tempoh 2003 hingga 2008. 

April lalu, Kor Ming pernah mencetuskan kontroversi apabila menggunakan ayat al-Quran dalam kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Bukit Gantang, Perak. 

Wan Mohamad berkata, kenyataan Ahli Parlimen DAP itu bukan sahaja tidak menghormati umat Islam malah kepada penyokong pakatan pembangkang dan ahli-ahli DAP yang beragama Islam. 

''Jika peruntukan kepada pembangunan agama Islam termasuk masjid terus dipertikaikan, kerajaan wajar mengkaji balik semua bantuan yang telah disalurkan selama ini kepada agama lain.

''Malah, kesuraman ekonomi global sepatutnya menjadi asas terbaik untuk menamatkan bantuan tersebut," katanya.

Beliau turut mengajak rakyat membuat perbandingan bagaimana umat Islam di Singapura membuat potongan sebanyak RM1 setiap bulan bagi mengumpul dana membina masjid.

Jelasnya, umat Islam yang merupakan kumpulan minoriti di republik itu melakukan langkah tersebut sejak 36 tahun lalu ekoran tiadanya peruntukan khas daripada kerajaan mereka.

''Jadi, saya juga fikir sudah tiba masanya penganut bukan Islam di Malaysia membuat potongan RM1 sebulan bagi membina rumah ibadah mereka tanpa perlu meminta sumber dana daripada kerajaan," katanya.

Kerajaan berhak tidak beri satu sen pun

KUALA LUMPUR 9 Dis. - Jika Perlembagaan Persekutuan difahami dengan jelas dan terang, semua pihak akan mengerti bahawa kerajaan berhak untuk tidak memberi satu sen pun bagi tujuan pembinaan rumah ibadat bukan Islam di negara ini.

Namun, sebaliknya kerajaan tetap juga memperuntukan RM9 juta untuk membantu pembinaan rumah ibadat bukan Islam dari tahun 2000 hingga 2008.

Menurut Pakar Perlembagaan, Prof. Dr. Abdul Aziz Bari, ada dua perkara dalam Perlembagaan Persekutuan yang dengan jelas memberikan tafsiran terhadap peranan kerajaan dalam pembinaan masjid dan rumah ibadat bukan Islam iaitu Perkara 12 (2) dan Perkara 3.

"Jangan cuba letakkan prinsip kesamarataan dan keadilan dan Perlembagaan Persekutuan mengikut kaedah sendiri, Perlembagaan kita adalah unik dari banyak segi," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ahli Parlimen Taiping yang juga Timbalan Bendahari Agung DAP, Nga Kor Ming yang mempersoalkan perbelanjaan kerajaan sebanyak RM748.26 juta bagi membina 611 buah masjid dari tahun 2000 hingga 2008 tetapi gagal membina rumah ibadat agama lain untuk tempoh yang sama.

Kor Ming mendakwa kerajaan bersikap menganaktirikan rakyat bukan Islam di negara ini.

Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan menyebut; Agama Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana- mana bahagian Persekutuan. 

Manakala perkara 12 (2) menyebut; Tiap-tiap kumpulan agama adalah berhak menubuhkan dan menyenggara institusi-institusi untuk pelajaran kanak-kanak dalam agama kumpulan itu sendiri, dan tidaklah boleh ada pembezaan semata-mata oleh sebab agama dalam mana-mana undang-undang berkaitan dengan institusi-institusi itu ada dalam pentadbiran mana-mana undang-undang itu; tetapi adalah sah bagi Persekutuan atau sesuatu Negeri menubuhkan atau menyenggara institusi-institusi Islam atau mengadakan atau membantu dalam mengadakan ajaran dalam agama Islam dan melakukan apa-apa perbelanjaan sebagaimana yang diperlu bagi maksud itu.

Menurut Abdul Aziz, perkara 12 (2) dengan jelas menyatakan bahawa adalah sah untuk kerajaan Persekutuan dan negeri menubuhkan atau menyenggara institusi-institusi Islam dan membantu agama itu.

Tambah beliau, tidak ada satu peruntukan atau perkara yang menyamai perkara 12 (2) yang disebutkan dalam Perlembagaan Persekutuan mengenai rumah ibadat bukan Islam.

Justeru kata beliau, Kerajaan Persekutuan tidak terikat dengan mana-mana syarat atau peraturan yang mewajibkannya menyalurkan peruntukan untuk pembinaan rumah ibadat bukan Islam. 

Dalam isu Kor Ming beliau berkata, terpulang kepada keberanian Pejabat Peguam Negara untuk bertindak menggunakan akta yang sama jika mereka merasakan telah berlaku hasutan. UM..

Ulasan: Dalam tak dapat sumbangan kerajaan pun, mereka dapat bina rumah ibadat mereka.

Siapa suruh Umno makan lada!

Barisan nasional (BN) tidak layak mengurus harta terutama wang hasil kazanah bumi negara iaitu petroleum. Ini kerana, kalau dikirakan pendapatan hasil minyak negara sudah cukup untuk memakmurkan rakyat hidup dalam keadaan senang dan barakah.

Sebaliknya Umno lupa pemberian Allah SWT dalam menjaga harta yang diamanah. Lihat sahaja negeri yang terdapat hasil petroleum tetapi tetap miskin. Terengganu, Sabah dan Sarawak paling miskin dan terkebelakang daripada negeri lain di Malaysia sedangkan ketiga negeri itu terdapat minyak.

Rakyat Terengganu bukan ramai, hanya 900 ribu orang tetapi menjadi rakyat miskin walaupun hasil pendapatan negeri antara yang tertinggi. Begitu juga Sabah dan Sarawak.

Ketiga negeri ini antara yang terbesar di Malaysia. Hasilnya bukan sahaja petroleum malah kayu balak menjadi hasil pendapatan kedua tetapi tetap miskin. Dimana silapnya?

Seorang ketua keluarga contohnya, si bapa berpendapatan RM10,000 sebulan, mempunyai seorang isteri dan hanya tiga anak. Namun begitu si bapa asyik bersungut tidak cukup wang untuk perbelanjaan keluarga. Apa kata isteri dan tiga orang anaknya?

Sudah tentu si isteri dan anaknya berkata suami atau bapanya tidak amanah atau songlap duit. Lebih parah lagi si isteri dan anak tadi mendakwa si bapa itu tidak pandai mengurus wang.

Tengok kerajaan negeri dibawah BN, apakah mereka pandai mengurus hasil atau celik wang sebab lebih 20 tahun negeri itu memperolehi royalti minyak tetapi rakyatnya tetap miskin.

Bukan royalti minyak sahaja bahkan hasil balak yang melimpah ruah umpama di Sabah dan Sarawak tetapi tidak mampu membaiki taraf ekonomi, sosial dan pendidikan bagi penduduk pendalaman. Mereka tidak ada elektrik. Sekolah macam kandang kambing. Bagaimana taraf pendidikan mahu maju?

Begitu juga dengan kerajaan Umno di Terengganu. Taraf pendidikan meningkat naik apabila PAS memerintah Terengganu pada 1999. Kenapa? Ini kerana royalti minyak ditukar kepada wang ihsan.

Wang royalti yang sepatut diberi kepada kerajaan PAS Terengganu mengikut perjanjian Petronas dan federalisme sebaliknya ditukar wang ihsan dan disalurkan kepada Jabatan Persekutuan melalui Pengerusi Umno ketika itu Datuk Seri Idris Jusoh.

Sebahagian wang tersebut sepatutnya digunakan perbelanjaan mengurus kerajaan negeri tetapi dirampas Umno untuk berbelanja demi kepentingan politik Umno termasuk dalam pemberian wang ihsan kepada sebahagian rakyat Terengganu.

Oleh kerana wang tersebut berlebihan maka disalur untuk pendidikan pelajar di negeri tersebut. Itu sebabnya pendidikan Terengganu antara terbaik semasa PAS memerintah tetapi merundum selepas Umno rampas pemerintahan PAS pada 2004.

Waris dan kroni Idris kaya raya di Terengganu. Malah kehilangan wang Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) lebih RM47 juta sebagaimana dilaporkan Ketua Audit Negara semasa pemerintahan Idris tetapi sampai sekarang senyap sepi.

Memandangkan demikian memang patut Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menuntut hak negerinya supaya kerajaan memberikan royalti petroleum dan bukan wang ihsan.

“Hari ni geger pasal doa. Kita doa hendak tuntut hak kita. Pasal apa dia takut. Dia makan lada dia pedas,” kata Nik Abdul Aziz selepas menyampaikan kuliah mingguannya di pejabat perhubungan PAS Kelantan, Kota Bharu, pagi tadi, 4 Disember.

"Buat stadium, runtuh. Buat masjid runtuh. Jadi memang Umno tak layak urus wang petroleum," tambah beliau.

Nik Abdul Aziz menyifatkan penafian terhadap bayaran royalti seperti dituntut kerajaan negeri sebagai "melanggar keadilan asasi".

"Perkara ini bercanggah dengan (prinsip) keadilan asasi. Selagi tidak bagi (royalti petroleum), kita doa sampai pecah perut orang itu," kata Mursyidul Am PAS.

Nik Abdul Aziz mengaitkan perkara itu dengan bantahan masyarakat bukan Islam yang menentang peraturan kawalan arak ketika beliau baru memimpin Kelantan, 19 tahun lalu.

"Ada (ahli masyarakat) yang kata hendak buat pesta minum arak. Bila wartawan tanya saya (perkara itu), saya kata, bagi dia minum sampai pecah perut," katanya, disambut gelak ketawa penyokong.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa wang itu tetap sama banyak dan digunakan untuk rakyat tetapi pengalaman di Terengganu jelas menunjukkan wang tersebut digunakan demi kepentingan politik Umno.

Wang ihsan memang betul dicurah kepada rakyat tetapi Umno mengambil kesempatan melakukan kebaikan tersebut dengan mengugut rakyat supaya tidak menghadiri program kerajaan negeri dan PAS.

Sekiranya antara mereka didapati berada dalam program kerajaan negeri dan PAS, nama mereka akan dipotong daripada senarai penerima wang ihsan.

“Kami ada spy akan perhati kamu di program PAS.” Ini antara kata-kata orang Umno yang mengutip senarai nama untuk diberi wang ihsan di Terengganu pada masa pemerintahan PAS.

Memang kesan dan pengaruh wang cukup kuat serta diakui sehingga PAS jatuh di Terengganu pada pilihan raya umum 2004. Ketua Pemuda Umno Kelantan, Dali Hussein ketika bercakap dalam perhimpunan Umno menyifatkan kejayaan Umno Terengganu merampas negeri itu kerana wang ihsan.

Bagaimana Umno Kelantan boleh mendakwa mereka boleh mengurus wang ihsan dengan baik sedangkan mereka tidak memerintah dan tidak ada prosedur dengan kakitangan kerajaan negeri yang bertanggungjawab terus kepada rakyat.

Bajet dibuat kerajaan negeri dan Umno Kelantan sudah tentu tidak mampu membentang bajet yang adil kerana tidak ada amalan protokol dan prosedur tersebut.

Jika Umno Kelantan tetap meneruskan niatnya maka sudah pasti ia tidak memberikan keadilan sebagaimana penyaluran wang ihsan di Terengganu hanya orang Umno sahaja yang dapat.

Oleh yang demikian lebih baik Najib menukar niat buruk beliau. Tidak ada guna beliau meneruskan agenda wang ihsan bekas Perdana Menteri ke 4, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Tun Mahathir sebenarnya telah jatuh kerana takut kepada bayangan kekalahan teruk menjelang pilihan raya umum ke 12 pada 2004. Secara diam beliau mengharapkan bekas Perdana Menteri ke 5, Tun Abdullah Ahmad Badawi memulihkan Umno.

Mahathir pernah menghina PAS selepas pilihan raya umum ke lapan pada 1990 apabila PAS Kelantan dapat menawan negeri itu daripada Umno. Kata Mahathir kerajaan PAS hanya mampu bertahan tiga bulan tetapi apa yang pastinya beliau jatuh dahulu sebelum Nik Aziz.

Ini adalah hasil berkat doa orang yang kena zalim. Hadis bermaksud: “ Sesungguhnya tidak ada hijab (penghalang) yang memisahkan diantara Allah dengan orang yang kena zalim.”

Jadi kalau Najib tidak takut dengan doa orang yang kena zalim terus sahaja niat beliau. Najib boleh minta tolong Mufti Perak, Datuk Harunsani Zakaria, Mufti Johor, Datuk Noh Gadut dan rakan beliau.

Apakah Harunsani dan Noh serta kawan beliau bersedia menghadapi doa orang yang kena zalim? Kalau Nik Aziz mahu doa laknat kepada orang yang khianat dengan perjanjian, Harunsani boleh lawan dan doa balik.

Para mufti tidak payah kecoh dalam media. Kenapa! Apakah para mufti dan para juak Umno takut?

Sebagaimana Nik Aziz cerita tentang pihak tertentu mahu buat pesta arak 19 tahun dahulu, sebaliknya bila dengar doa pecah perut mereka membatalkan niat tersebut. Kalau orang bukan Islam boleh menghormati doa orang Islam kenapa tidak bagi orang Umno?

Sebaiknya Umno kembali pada Islam. Apakah Umno lupa bagaimana kejatuhan Mahathir sebelum perjuangannya selesai. Masih ingatkah dengan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam, sampai sekarang tidak boleh bangkit dalam politik.

Musa Hitam menjadi Menteri Dalam Negeri dan dimasa beliau telah berlaku penganiayaan terhadap orang Islam di Baling sehingga berlaku pembunuhan di Memali pada 19 November 1985.

Setiap kali menjelang November, peristiwa Memali menjadi ingatan yang cukup sedih kepada orang Islam di Malaysia akibat tindakan gopoh pemimpin. Ia adalah doa orang yang kena zalim. Kesannya boleh dilihat sampai sekarang kemana pergi Musa dalam dunia politik?

Sebaiknya Harunsani nasihatkan Najib supaya bertemu dengan pemimpin kerajaan PAS Kelantan dan bertolak ansurlah dengan memberi royalti hak kerajaan negeri itu.

Lagipun Umno sudah jelas mempunyai rekod buruk dalam mengurus wang sebagaimana yang didedahkan dalam laporan Audit Negara sedangkan PAS tidak mempunyai rekod buruk.

Malah dalam keadaan kerajaan PAS tidak ada wang masih mampu memerintah dan membayar hutang kerajaan Pusat lebih baik daripada kerajaan negeri dibawah Umno dan BN.

http://wargamarhaen.blogspot.com/2009/12/siapa-suruh-umno-makan-lada-adnan.html

Tuesday, December 08, 2009

Melayu dicabul, UMNO gelak-gelak...

Oleh: dewa

Sebelum ini, isu gadis yang berdemontrasi ditangkap polis lalu dibogelkan dan dipaksa pumping pernah dibawah ke Parlimen tetapi menjadi bahan ketawa MP Parlimen UMNO sahaja. Kemudiannya, apabila wujud rakaman videoklip gadis 'China' dibogelkan dilokap dan dipaksa ketuk ketampi, UMNO menggelupur dan segera menghantar wakil ke Negara China memohon ampun. Apabila didapati gadis tersebut Melayu, UMNO menepuk dada tanda kelegaan. 

Artikel ini secara ringkas mengkaji sikap psiko UMNO dan pencabulan hak kaum Melayu.

PUTRAJAYA 30 Nov.- Kes rogol yang dilapor di negara ini meningkat sebanyak 31.5 peratus bagi tempoh Januari hingga September tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun lepas, dengan lebih 70 peratus membabitkan mangsa berumur 18 tahun ke bawah.

Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Datuk Maximus J. Ongkili berkata, berdasarkan statistik yang diperolehi pihaknya, sebanyak 2,432 kes rogol dilapor dalam tempoh itu berbanding 1,849 kes tahun lepas.


Masih teringat betapa PAS dan PR menggesa agar hukuman sewajarnya dikenakan ke atas perogol dan pesalah seks tetapi MP UMNO membantah keras dengan mengatakan hukuman mati tidak boleh kenakan kepada perogol kerana bimbang kononnya perogol akan mengapa-apakan atau mencederakan mangsanya.

Apabila PAS mengusulkan syariah Islam ke atas penganut Islam dilaksanakan, UMNO menggelupur lagi dan membantah keras dengan memburuk-burukkan syariah Islam dan mempersendakannya.

Apabila bodyguard Najib dihukum mati kerana mengebom Altantuya Sharibu, rakan-rakan penulis yang 'beriman' dengan UMNO mengatakan bahawa wujud khabar angin kononnya gadis mengandung yang mati dibom ini sebenarnya ejen Amerika, seperti Anwar dan Tok Guru.

Apabila Lim Guan Eng cuba mempertahankan seorang gadis Melayu bawah umur yang kabarnya diperkosa, beliau disumbat dalam penjara. Apabila Anwar membantah UMNO, Anwar dibogelkan, dipukul sampai lebam-lebam dan disumbat dalam penjara.

Jangan beraja dimata bersultan di hati sangat wahai UMNO. Amarah rakyat ada batasnya, amarah Allah pula maha dahsyat...

Taubatlah insan.

http://www.tranungkite.net/v10/modules.php?name=News&file=article&sid=874

Ulasan: Kalau UMNO betul-betul serius membela umat Melayu selama ini, tentu tak hanyut Melayu di gula-gulakan oleh UMNO. Rupanya orang politik UMNO hanyalah sibuk mengejar cita peribadi di atas nama perjuangan bangsa semata-mata untuk buat kekayaan sendiri dan kroni dan untuk membeli kuasa...

Imam jangan sekadar pimpin solat

SEMPORNA 7 Dis. - Semua imam yang dilantik di negeri ini diminta tidak mengehadkan peranan mereka hanya untuk memimpin sembahyang jemaah semata-mata.

Menteri di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Nasir Sakaran berkata, sebaliknya mereka hendaklah memainkan peranan penting sebagai pemimpin masyarakat Islam di kariah masing-masing.

"Mereka hendaklah memainkan peranan penting meningkatkan aktiviti masjid dan mendidik umat Islam ke jalan yang diredai di kawasan masing-masing.

"Malah masjid juga bukan sahaja dijadikan tempat beribadat semata-mata tetapi merupakan markas pertemuan dan perbincangan dalam merancang strategi meningkatkan syiar Islam," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penangguhan kursus pemurnian akidah imam kariah peringkat daerah di sini hari ini.

Menurutnya, peranan semua pihak khususnya imam-imam masjid amat penting dalam berhadapan pelbagai cabaran yang menggugat perpaduan umat Islam kini.

Justeru, katanya, para imam harus berperanan mendidik umat Islam di kawasan masing-masing khususnya dalam memperkasakan akidah mereka.

"Pada hari ini umat Islam sering ditonjolkan dengan perkara bid’ah yang bertentangan dengan apa yang dibawa oleh Rasulullah dan para Sahabat.

"Jadi akidah yang mantap sahaja akan dapat membantu umat Islam daripada dipesongkan oleh musuh Islam," katanya.

Ulasan: Mari kita pecahkan tembok sekularisme yang memisahkan agama dan kehidupan seharian. Di mana-mana pun orang yang baik dan beragama sepatutnya memimpin kampong, daerah, negeri dan negara. 

Teliti kos komponen kenderaan

TOKYO 7 Dis. - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu tindakan diambil untuk meneliti punca kos pembuatan komponen kenderaan di Malaysia lebih tinggi daripada Thailand.

Beliau berkata, wakil syarikat Jepun dalam pertemuan dengannya di sini mendedahkan isu itu antara faktor yang menyebabkan mereka memilih untuk melabur di negara jiran berkenaan. 

"Saya diberitahu kos pengeluaran komponen lebih murah hampir 10 peratus di Thailand berbanding Malaysia. 

"Jadi dengan sebab itu Malaysia dianggap tidak menarik. Kita kena teliti perkara ini, adakah harga bahan mentah atau kos pengurusan yang menjadikannya lebih tinggi," katanya kepada wartawan Malaysia di sini hari ini…

Ulasan: Tidak pelik kalau rasuah sudah menjadi salah satu unsur kos yang mesti ditanggung oleh pengguna. Apakah rasuah telah hidup subur di Malaysia? Mari jadikan Malaysia bebas dari rasuah dan penyelewengan.

Empat beradik lemas

KUANTAN 7 Dis. - Demi kasih dan sayang, tiga beradik sanggup terjun ke dalam parit untuk menyelamatkan adik mereka yang sedang lemas.

Namun malangnya usaha mereka gagal, malah ia mengakibatkan kesemua mereka yang tidak tahu berenang lemas dalam parit tersebut.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 1.30 petang ketika kesemuanya pergi memancing bersama ibu dan bapa mereka di sebuah parit di ladang kelapa sawit di Kota Bahagia, Muadzam dekat sini hari ini.

Bagaimanapun tiba-tiba, Norsyakirah Md. Samsuri, 8, tergelincir ke dalam parit berkenaan.

Ketua Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Muadzam Shah, Abd Rahman Mo'min berkata, sejurus menyedari Norsyakirah terjatuh, abang dan kakak mangsa, Mohd. Shukri, 16, Syafiqah, 15, dan Mohd. Syafik, 12, terjun untuk menyelamatkannya.

"Bagaimanapun, ketiga-tiga mereka yang tidak pandai berenang lemas dalam parit sedalam kira-kira tiga meter itu sejurus sahaja terjun.

"Dalam masa sama, ibu dan bapa mereka yang menyaksikan kejadian tersebut turut berusaha untuk menyelamatkan anak-anak mereka namun gagal," katanya ketika dihubungi di sini hari ini…
Ulasan: Mereka mati lemas kerana ingin menyelamatkan orang lain. Semoga Allah menerima amal mereka. Semoga Allah menerima mereka sebagai SYAHID, seperti di sebutkan oleh Rasulullah s.a.w. Perhatian: Kalau tidak tahu berenang, elakkan berada dari air yang dalam.

Negara bersekutu NATO hantar 7,000 tentera ke Afghanistan

BRUSSELS 7 Dis. - Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) berkata, 28 negara anggotanya dan 15 rakan negaranya telah memberi pengesahan jaminan untuk menghantar hampir 7,000 untuk berkhidmat di Afghanistan sebagaimana yang diumumkan oleh Presiden Barack Obama.

Setiausaha Agung NATO, Anders Fogh Rasmusse berkata dalam satu kenyataan bahawa, terdapat tanda-tanda kukuh berhubung jaminan beberapa buah negara yang akan menghantar lebih ramai pasukan tentera selepas persidangan antarabangsa diadakan di London bulan depan.

Pentadbiran Obama menjangkakan negara-negara sekutunya untuk menyediakan sehingga 10,000 bantuan pasukan tentera.

Sejumlah 30,000 anggota tentera Amerika Syarikat (AS) dan 106,000 askar asing telah pun berkhidmat di Afghanistan, pasukan tentera antarabangsa itu mungkin akan menambah jumlah tersebut sehingga 140,000 orang menjelang pertengahan tahun depan. – AP

Ulasan: Selamat datang untuk pulang dengan keranda ATAU untuk mendapat hidayah Allah menjadi Muslim dan menjadi pendakwah.

Monday, December 07, 2009

Pensyarah & Pelajar IPT

Bila tidak ada STUDENTS maka akan berakhirlah karier pensyarah...

Jangan sampai sibuk selamanya dengan pelajar dan akhirnya seorang demi seorang pergi. Dan students masih lagi macam dulu. Tiada bimbingan dari pensyarah untuk hidup beerti

Kini high-time Malaysia merindukan setiap pensyarah yang bukan hanya berilmu tetapi berkemahiran mengajar subjek akademik tertentu yg di kuasainya TAPI juga mendidik pelajar supaya menjadi manusia yg solih (@baik) dan muslih (yang mengajak orang lain menjadi baik, on and on)...

Eloklah pensyarah lapangkan sikit masa untuk mendidik kami sebagai contohnya memberitahu pelajar IPT supaya menjauhi zina...

Rasanya pensyarah tidak menjadi hina sedikit pun bila mengajak pelajar jadi baik dan mengajak pula orang lain jadi baik.

Ilmu yang anda punyai tidak akan terjejas pun. Tidak perlu pun lecture panjang-panjang, tetapi gunakanlah segala kreativiti untuk menyampaikan dan memenangkan kebenaran.

Sudah tentu anda TIDAK mahu pelajar-pelajar didikanmu nanti merosakkan negara dan dunia.

Do something yang positif dan konkrit paling tidak dalam kekuasaanmu. Atau bersama-sama dengan pensyarah lain kerana bersama kita boleh 'ciptakan' kehebatan dari pelajar-pelajar kita.

Jangan nanti sampai menggunakan masa buat merintih, apakah sudah jadi anak didikmu.

 

Parameter tindakan RASUAH harus sama untuk semua

Parameter tindakan harus sama untuk semua - SPRM 

PETALING JAYA, 25 November – Tindakan ke atas individu atau pihak-pihak yang mengamalkan rasuah haruslah menggunakan parameter yang sama, sama ada individu tersebut ‘orang besar’ atau ‘orang kecil’, kata Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor, Dato Jaafar Mahad malam tadi. 

“Parameter atau garis panduan dalam tindakan kita terhadap perasuah sepatutnya diguna pakai untuk semua orang, termasuk menteri,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam satu wacana isu semasa anjuran Jawatankuasa Siyasah Syar'iyyah & Keadilan Sosial (SAKSI) di bawah Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) di Hotel Singgahsana di sini. Turut diundang selaku ahli panel adalah Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, YB Teng Chang Khim dan Presiden JIM, Zaid Kamaruddin, manakala Pengerusi JK SAKSI, Syed Ibrahim Syed Noh bertindak sebagai pemudah cara. 

Menurut Jaafar (gambar), Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia semakin buruk sekarang, tetapi sebahagiannya mungkin disebabkan di negara kita isu rasuah banyak dibangkitkan dan tindakan kerap diambil berbanding dengan negara-negara lain. 

Ogos lalu, CPI yang dikeluarkan oleh Transparency International (TI) menunjukkan kedudukan Malaysia merudum apabila berada pada kedudukan ke-47 pada tahun 2008 berbanding ke-43 pada tahun lepas. Kedudukan ini meletakkan Malaysia di tahap lebih buruk berbanding negara haram Israel (33) yang dilabel pengganas antarabangsa, bahkan di bawah negara-negara yang dianggap kurang membangun seperti Botswana (36) dan Bhutan (45). 

Isu rasuah melibatkan enam komponen iaitu sokongan ahli politik, sistem pentadbiran, pelaksanaan undang-undang, sistem kehakiman, setakat mana agensi yang ditugaskan membanteras rasuah bebas untuk bertindak dan sokongan daripada orang ramai dalam memerangi gejala ini. 

“Orang-orang politik mesti telus dan dilihat telus oleh masyarakat kerana rasuah begitu sinonim dengan tadbir urus (good governance) dan siapa yang memegang kuasa,” tambah Jaafar. 

“Rasuah menjejaskan imej negara kerana para pelabur pasti mengira, daripada jumlah wang yang mereka laburkan di sini, berapa banyak yang benar-benar digunakan untuk perniagaan dan berapa banyak pula yang masuk ke poket orang-orang yang tidak berkaitan.” 

Manurutnya lagi, antara perkara yang sering menjadi ‘barah’ rasuah adalah isu perolehan, tanah, penguatkuasaan dan undang-undang. 

SPRM pula biasanya menerima laporan apabila sesuatu kes telah berada pada peringkat akhir. Misalnya kes yang dikenali sebagai skandal PKFZ atau Zon Bebas Cukai Pelabuhan Kelang yang apabila sudah ‘parah’ baru dilaporkan kepada SPRM. Beliau berpendapat, SPRM sepatutnya terlibat sejak peringkat pencegahan lagi. 

Wacana bertajuk “Cekap, Amanah & Telus (CAT): Sejauh mana pelaksanaannya?” itu berlangsung selama hampir tiga jam dan mendedahkan banyak pengetahuan berguna kepada para hadirin.
http://www.malaysiaharmoni.com/index.php/nasional/nasional-category/174-parameter-tindakan-harus-sama-untuk-semua-termasuk-menteri-jaafar

JIM ingin bina kesatuan, cari titik persamaan

KUALA KANGSAR, 5 Disember - Usaha untuk mewujudkan kesatuan bukanlah sesuatu yang mudah; menjaga kesatuan pula lebih susah. Demikian antara intipati Ucapan Dasar Presiden Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM), Zaid Kamaruddin pada Perhimpunan Perwakilan Nasional (PPN) pertubuhan itu di sini pagi tadi. Perhimpunan kali ini membawa tema 'Membina Permuafakatan Ummah Alam Dilimpahi Rahmah'. 

Melalui pendekatan 'lain daripada biasa', Zaid mengajak lebih kurang 600 ahli JIM melayari kembara diri, merungkai persoalan 'siapa kita dahulu dan sekarang, hubungan kita dengan mereka dan di mana kedudukan kita', merujuk kepada ahli-ahli JIM sendiri. 

Menghimbau perjalanan dakwah JIM di persada tanah air, beliau menceritakan bagaimana dan kenapa JIM diasaskan dan bagaimana perjuangan ahli-ahli sebelum JIM ditubuhkan. 

Sebelum dan selepas JIM ditubuhkan, pelbagai cabaran pula dilalui dalam memperjuangan penegakan syariah. Pelbagai ideologi menghimpit di kiri dan kanan dalam usaha menampakkan kemurnian syariat Islam. Namun semua itu ditempuhi dengan tabah sehingga ke hari ini. 

Dalam era globlalisasi dunia kini, Zaid mengajak para ahli mengisi Rancangan JIM Ke-2 (RJIM2) yang telah dirangka dan sudah masuk ke tahun kedua pelaksanaannya. 

"Ingatlah tanggungjawab kita sebagai pendakwah, dan sentiasalah memakai topi dakwah," katanya. 

"Demi ingin melihat matlamat syariah Islam tertegak dalam negara yang disasarkan maju menjelang 2020, beliau mengingatkan ahli JIM supaya mencari titik pertemuan yang paling asas supaya semua orang Islam boleh bersama, beriman kepada Allah dan Rasul, berpegang kepada al-Quran dan sunnah serta mengetengahkan apa-apa yang disepakati dan bukan keistimewaan yang mungkin membedakan. 

PPN yang diadakan saban tahun bukan sekadar perhimpunan perwakilan, ia seolah-olah satu perhimpunan tahunan sebuah keluarga besar. Pada saat ahli-ahli JIM bermuktamar, anak-anak remaja dan kanak-kanak mengikuti program tarbiah tersendiri. 

Biarpun saiznya tidak besar, gerai-gerai jualan tetap menghiasi perhimpunan tiga hari ini. Setahun sekali berhimpun bukan sekadar membicarakan pencapaian JIM, bahkan ahli-ahli yang membuka gerai mendapat manfaat untuk menambahkan duit poket. 

PPN tahun ini berlangsung dari 4 hingga 6 Disember di Kolej Islam Darul Ridzuan di Bandar Diraja ini. Boleh dikatakan semua hotel, motel dan homestay di sekitar Kuala Kangsar habis ditempah oleh perwakilan dan permerhati yang datang dari seluruh negara. 

PPN kali ini juga menyaksikan pemilihan Ahli Jawatankuasa Pusat baru, yang keputusannya dijangka diumumkan esok.Turut hadir dalam perhimpunan ini ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor (DUN) Hulu Kelang, YB Saari Sungib yang juga merupakan mantan Presiden JIM yang pertama, Speaker Dewan Undangan Negeri Perak dari Pakatan Rakyat, V Sivakumar dan mantan Presiden JIM kedua, Prof Dr Mohamed Hatta Shaharom.
http://www.malaysiaharmoni.com/index.php/nasional/nasional-category/184-bina-kesatuan-cari-titik-persamaan-zaid-

Wanita JIM garis empat persediaan dakwah

KUALA KANGSAR, 4 Disember - Tabuh Perhimpunan Perwakilan Wanita Nasional (PPWN) kali ke-16 Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) telah digendangkan di Dewan Kolej Islam Darul Ridzuan (KISDAR) yang dimulakan dengan bacaan doa pembukaan juga bacaan al-Quran. 

‘Memacu Iltizam Mendepani Cabaran Penegakan Syariah’ menjadi agenda utama bagi Ucapan Dasar Ketua Wanita JIM, bersempena sedekad memimpin dan memikul amanah berat tersebut. 

“Memandangkan setiap antara kita tidak mempunyai banyak masa juga tenaga untuk dibazirkan kepada sesuatu yang tidak berfaedah serta bertentangan dengan prinsip juga dasar yang digariskan oleh Islam,” ujar Profesor Madya Dr Harlina Halizah Haji Siraj. 

Setiap keputusan dan tindakan pendakwah perlulah berdasarkan al-Quran dan sunnah. Justeru, isu utama yang perlu diketengahkan berkaitan dasar perjuangan organisasi. 

“Untuk mendepani segala yang disasarkan itu, golongan pendakwah sering kali dihidangkan pelbagai cabaran dalaman yang perlu diteliti sebagai persediaan awal, iaitu dengan mengenal diri yang sebenar, mengusai ego manusia, menjana keikhlasan dalam setiap tindakan serta cabaran dalaman dan menghias diri dengan akhlak terpuji.” 

Dr Khairul Sozana Nor Kamaruddin, Ketua Wanita JIM Negeri Johor selaku pembahas ucapan dasar Ketua Wanita kedua mengetengahkan bahawa perjuangan hidup berjemaah menjadi satu kesepaduan dalam setiap gerak kerja yang dilaksanakan, di samping mentarbiah ahli serta tidak gentar berdepan dengan cabaran juga halangan yang mendatang. 

“Seorang pendakwah perlukan perhentian namun perhentian itu bukanlah bersifat berterusan, tetapi memberi peluang kepada generasi lain menerajui agenda yang telah dirancang. Sekalian kita perlu memiliki petanda aras yang utama iaitu ikhlas serta tidak melupakan melaksanakan proses pentarbiahan kepada anak-anak di tadika pada ketika memandang dan memberi perhatian terhadap generasi belia remaja atau dikenali sebagai gen-Y,” begitulah ulasan ucapan dasar yang dirangkumkan oleh Timbalan Ketua Wanita JIM Kelantan. 

Pembahas Ucapan Dasar Ketua Wanita terdiri daripada 15 perwakilan yang mewakili setiap negeri, tetapi dan hanya dua pembahas yeng menonjolkan gen-Y iaitu Negeri Melaka yang diwakili Sumayyah Abd Aziz dan Negeri Selangor menerusi Nadia Ariffin, manakala wakil Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia (KARISMA) Pusat, Khadijah Azman turut menekankan isu yang sama. 

JIM mengadakan Perhimpunan Perwakilan Nasionalnya di KISDAR dari 4 hingga 6 Disember 2009 yang dijangka dihadiri lebih 600 orang perwakilan dan pemerhati dari seluruh negara.

http://www.malaysiaharmoni.com/index.php/nasional/nasional-category/182-ppwn-gen-y-isu-yang-dilupakan-

Kursus BTN 'program maksiat'

Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) membantah program Biro Tatanegara (BTN) dengan mendakwa ia satu bentuk "maksiat" kepada Allah apabila kursusnya menjurus kepada unsur mendewa-dewakan pemimpin negara secara "membabi buta".

"Daripada pengakuan dan penjelasan yang diberikan oleh kerajaan sendiri, apatah lagi oleh mereka yang pernah mengikuti program ini, ia jelas menjurus kepada maksiat kerana program ini menyemai rasa cinta kepada bangsa dan negara," satu risalah kumpulan itu dipetik.

"Dengan kata lain menyemai perasaan 'assabiyyah (perkauman) dan wathaniyah (kebangsaan) yang jelas diharamkan oleh Islam.

"Indoktrinasi agar mentaati pemimpin secara membabi buta juga jelas merupakan satu bentuk kemaksiatan kepada Allah, kerana para pemimpin yang ada (kini) memerintah dengan sistem sekular dengan menerapkan undang-undang kufur ke atas kita semua."

Risalah dua halaman bertajuk 'Indoktrinasi Yang Menyimpang Wajib Dibetulkan' diedarkan di beberapa masjid di ibu kota ketika solat Jumaat hari ini, antaranya Masjid Negara, masjid Bangsar dan masjid Kampung Baru… http://www.malaysiakini.com/news/119023

Ulasan: Tidak mungkin kerajaan yang tidak soleh mahukan rakyatnya menjadi soleh dan musleh. Wang negara dibazirkan semahu mungkin untuk program yang hanya menghabiskan beras.


Tarian perantara perpaduan kaum

KUALA LUMPUR 6 Dis. – Tarian mampu menjadi perantara yang berkesan dan membina ke arah mencapai aspirasi perpaduan masyarakat di negara ini, kata isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Menurutnya, tarian dapat menyumbang kepada usaha menyatukan masyarakat majmuk di negara ini di bawah satu bendera, satu suara dan laungan 1Malaysia.

Beliau yakin konsep Tarian Cuti-Cuti 1Malaysia yang diperkenalkan mampu menjadi satu produk pelancongan yang menarik dan dapat dipromosikan ke peringkat antarabangsa…

Ulasan: Tentu Prof Syed Naquib Al-Attas senyum kehairanan dengan idea ini. Mana bisa menari dengan membuka aurat menarik rahmat Allah supaya masyarakat bersatu?

Lawatan Najib: Harapan ulama selatan Thailand

KUALA LUMPUR 6 Dis. - Golongan ulama di selatan Thailand menyifatkan lawatan Datuk Seri Najib Tun Razak pada Rabu ini sebagai lambang keprihatinan Perdana Menteri dan menunjukkan keikhlasan Malaysia dalam membantu menamatkan konflik di wilayah berkenaan.

Ketika dihubungi, mereka juga percaya lawatan Najib itu akan membuka satu era baru dalam komitmen Malaysia bagi memastikan penduduk Islam di ketiga-tiga wilayah yang bergolak tersebut iaitu Narathiwat, Yala dan Pattani mencapai kemajuan dalam pelbagai bidang terutamanya ekonomi…

Ulasan: Di sebelah sana imej untuk tolong. Di sebelah sini imej untuk membayar ihsan kepada Kelantan. Padahal wang royalti selama ini tak pernah dibayar pun. Mari kita gunakan dua mata, dua telinga dan satu hati untuk  B E R F I K I R.

Tuhan suruh berdoa yang baik-baik, bukan yang buruk

KUALA TERENGGANU 6 Dis. - Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan perbuatan mendoakan keburukan terhadap seseorang adalah tidak wajar dan bertentangan dengan ajaran Islam.

''Kita ni orang Islam, Tuhan suruh berdoa yang baik-baik dan bukan doa yang buruk kepada seseorang.

''Ini tak betul pada ajaran Islam," kata Perdana Menteri semasa berucap pada majlis Penyerahan Bantuan Ihsan Mangsa Banjir Peringkat Daerah Kuala Terengganu, di Sekolah Kebangsaan Kompleks Gong Badak, di sini, petang ini…

Ulasan: Tidak mungkin doa kita:Ya Allah tolong lah orang jahat. Kerana selama kita di larang menolong orang jahat. Dalam Surat Huud ayat 113, Allah telah berfirman: Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim yang menyebabkan kamu disentuh api neraka, dan sekali-kali kamu tiada mempunyai seorang penolongpun selain daripada Allah, kemudian kamu tidak akan diberi pertolongan.

Berdasarkan nota kaki No: 740 Quran dan Terjemahan (Indonesia),  cenderung kepada orang yang zalim maksudnya menggauli mereka serta meridhai perbuatannya. Akan tetapi jika bergaul dengan mereka tanpa meridhai perbuatannya dengan maksud agar mereka kembali kepada kebenaran atau memelihara diri, maka dibolehkan.

Oleh itu bila berjanji perlu ditepati. Kalau Petronas telah lama dulu bersetuju menandatangani perjanjian pembayaran royalti minyak dan suka hendak bayar kepada kerajaan negeri Kelantan, tiba-tiba kenapa kerajaan persekutuan BN yang diketuai oleh PM tak mahu royalti itu dibayar dan sibuk nak gantikan dengan wang ihsan. 

Kalau setelah pembayaran royalty diselesaikan, bolehlah kerajaan BN bercakap tentang pembayaran wang ihsan sebagai tambahan lebih @ extra dari wang royalti. Tapi hebat sangatkah kerajaan BN mengotakan janji? Atau mansuhkan Akta Kontrak di Malaysia atau biar kedua pihak yang buat perjanjian bersetuju untuk memansuhkan perjanjian itu atau bersetuju membuang perkataan royalti dari perjanjian asal. 

Kenapa kerajaan BN sibuk sangat padahal ia bukan pihak yang mengikat perjanjian. Bukanlah offerer, bukan juga offeree. Tapi duduk menyibuk ditengah-tengah. Ingatlah bahawa kezaliman akan mencepatkan keruntuhan kerajaan BN/UMNO.