Friday, October 09, 2009

Tantawi digesa letak jawatan

KAHERAH 8 Okt. – Seorang anggota Parlimen pembangkang mendesak ketua sebuah institusi pengajian agama terkenal dalam dunia Islam, Syeikh Mohammed Sayyed Tantawi supaya meletak jawatan selepas beliau mengarahkan seorang pelajar membuka purdah yang dipakainya.

Desakan tersebut dibuat ketika puluhan pelajar yang memakai purdah atau niqab, mengadakan demonstrasi di hadapan Universiti Kaherah, yang mengharamkan purdah di kawasan kampusnya.

Syeikh Tantawi meminta seorang pelajar perempuan agar membuka niqab yang dipakainya apabila terlihat pelajar itu semasa melawat sebuah sekolah gabungan Universiti Al-Azhar kelmarin, lapor akhbar al-Masry al-Youm minggu ini.

Beliau turut menyatakan hasrat untuk mengharamkan niqab di Al-Azhar dan membuat kenyataan yang tidak sedap didengar mengenai penampilan pelajar perempuan itu apabila dia membuka niqab tersebut.

“Dan kamu kelihatan seperti ini; apa yang akan kamu buat sekiranya kamu kelihatan cantik sedikit,” tanya beliau kepada pelajar itu,

“Niqab tidak ada kaitan dengan Islam... saya lebih arif tentang agama daripada kamu dan ibu bapa kamu,” kata Tantawi kepada pelajar berkenaan.

Jurucakap Al-Azhar, Ahmed Tawfiq mengesahkan perkara tersebut, namun menegaskan bahawa Tantawi berbicara dengan baik kepada pelajar itu.

Hamdi Hassan, seorang anggota Parlimen daripada Ikhwanul Muslimin, pembangkang terbesar di Mesir, menegaskan bahawa Tantawi ‘tidak boleh memegang jawatan itu kerana beliau mencalarkan imej Al-Azhar setiap kali beliau bercakap’.

“Saya percaya niqab bukan satu kewajipan tetapi memberikan faedah. Kenapa mengharamkannya di Al-Azhar? Ia institusi agama, bukan akademi tarian gelek,” tambahnya.

Kebanyakan wanita beragama Islam di Mesir memakai tudung atau hijab yang melindungi rambut, tetapi niqab semakin popular di Kaherah kebelakangan ini sehingga menimbulkan kebimbangan kerajaan. – AFP

Ulasan: Berilah kebebasan untuk berpakaian yang selaras dengan agama. 

No comments: