Thursday, March 11, 2010

Melayu dipersenda lagi

Oleh Rejal Arbee

USAHA untuk memperlekehkan Melayu masih berterusan. Terakhir dua penulisan, satu dalam sebuah akhbar berbahasa Mandarin, Sin Chew Jit Poh dan sebuah lagi di portal Malaysia Today. 

Penulisan pertama oleh Timbalan Ketua Pengarang akhbar berbahasa Cina itu, Tay Ting Yan dengan nada yang amat meloyakan memperlekehkan perjumpaan 76 NGO Melayu termasuk GPMS, Mubarak dan Perkasa yang menubuhkan Majlis Perunding Melayu (MBM) dan menganggap mereka masih bermimpi dan berkhayal kerana mahu perjuangkan hak Melayu yang telahpun mendapat pelbagai keistimewaan. 
 
Malah katanya, kalau pada 1946 dulu apabila Melayu bergabung untuk menentang penubuhan Malayan Union oleh penjajah British yang dianggap boleh menghakis kedudukan Melayu dan Raja-Rajanya serta kedudukan agama Islam, ia boleh difahami. Tetapi kini, ketika penjajah telah lama ‘berambus’ dengan Perikatan/Barisan Nasional (BN) tidak pernah hilang kuasa memerintah lebih 40 tahun dengan orang Melayu sudah pun berkuasa, berkedudukan, berpengalaman dan menjadi bangsa yang bermartabat, apa lagi yang mereka mahu? Penubuhan MBM diandaikannya seperti orang kulit putih Amerika menubuhkan suatu organisasi untuk mempertahankan kedudukan mereka terhadap hak rakyat minoritinya seperti Red Indian ataupun NGO di China mempertahankan hak kaum Cina Han (puak majoriti) supaya tidak dianiaya oleh kaum minoriti seperti orang Tibet atau orang Uighur di Sinkiang. 
Dia mendakwa apa yang berlaku di kedua-dua negeri itu ialah orang Amerika sendiri (puak majoriti) yang menubuhkan NGO untuk pertahankan hak Red Indian manakala di negeri China, sebilangan orang Cina sebagai kaum majoriti yang sedar telah pertahankan hak-hak rakyat minoritinya orang Tibet atau orang Uighur. 

Tay juga bertanya apa perlunya suatu pertubuhan kaum majoriti yang telahpun menikmati segala keistimewaan untuk menjuarai hak yang sudahpun wujud? Beliau mengandaikan usaha itu sebagai usaha sia-sia (Quixotic) semata-mata untuk memenuhi kerakusan dan impian diri sendiri. 

Tetapi sebenarnya dia telah membutakan dirinya terhadap beberapa perkara akhir-akhir ini hingga membawa kepada tertubuhnya MBM sebagai suatu gabungan NGO Melayu yang prihatin terhadap pelbagai tekanan ke atas hak dan keistimewaan orang Melayu, kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi negara ini serta kedudukan dan kedaulatan Kesultanan Melayu.

MBM sendiri telah menjelaskan bahawa ia hanyalah untuk menjadi sebuah medium mengumpulkan NGO Melayu bagi menangani tekanan yang dihadapi orang Melayu, agama Islam, Kesultanan Melayu termasuk juga keselamatan negara dan ketenteraman awam. 

Satu lagi tulisan oleh seorang yang menamakan dirinya Michael Chick di portal Malaysia Today menyebut bahawa nama Tanah Melayu tidak pernah wujud di mana-mana sebelum kedatangan British menjajah Semenanjung. Malah orang Arab menamakan Semenanjung ini sebagai ‘Barr Chin’ (Tanah Cina) seperti dalam peta Arab. 

Apa niatnya kalau bukan hendak perkecilkan Melayu seolah-olah Melayu tidak wujud waktu itu dan Melayu juga pendatang. Walaupun nama Semenanjung mengikut peta Arab lama itu adalah Barr Chin tetapi sejarah jelas menunjukkan ia tidak pula didiami oleh orang Cina tetapi orang Melayu. 

Kiranya kawasan ini didiami orang Cina kenapa pula kerajaan lama terdiri dari kerajaan Hindu, seperti Langkasuka, Sriwijaya dan Champa bukannya kerajaan yang dipengaruhi atau di kuasai Cina? Bahasa yang digunakan di kawasan selatan dari Segenting Kra hingga ke Sumatera, Kalimantan dan Sulawesi adalah Bahasa Melayu walau pun berpuak dan bersuku baik Aceh, Minang, Bugis, Banjar dan sebagainya. Budaya mereka juga budaya Melayu mulanya dipengaruhi Hindu dan selepas Kesultanan Melayu wujud di pengaruhi Islam. 

Sekali pun nama Semenanjung Tanah Melayu suatu yang baru tetapi hakikatnya kawasan ini adalah sebahagian daripada gagasan yang dikenali sebagai Nusantara atau Alam Melayu yang merangkumi Semenanjung serta kepulauan Indonesia dan Filipina. Kawasan ini memang diakui telah didiami orang Melayu sejak berzaman dan mereka ini juga berpindah randah antara kawasan kepulauan dan Semenanjung.

Ketika penjajahan Inggeris ramai rakyat Cina dibawa masuk ke mari untuk mengusahakan lombong bijih sebagaimana juga orang India di bawa dari Tamil Nadu untuk bekerja di ladang getah mereka. Mereka ini berterusan mengamalkan cara hidup dan budaya sendiri malah bertutur bahasa ibunda mereka. 

Maka itu tidaklah berlaku penyerapan untuk menjadi sebagai sebahagian daripada rakyat majoriti iaitu Melayu. Dan apabila negara mencapai kemerdekaan warga negara ini yang berketurunan Cina dan India diiktiraf demikian. Malah hingga sekarang ini pun selepas merdeka lebih daripada 52 tahun masih ada di antara mereka ini yang tidak boleh bertutur bahasa Melayu dengan baik. 

Maka tidak menghairankan ada guru di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina mempersoalkan kenapa mereka perlu menyediakan laporan untuk Jabatan Pelajaran juga dalam bahasa Melayu selain dari Mandarin. Ada pula yang berpendapat sepatutnya pegawai pelajaran perlu faham bahasa Mandarin. Inilah dia rakyat negara ini yang tidak sedikit pun mahu menghormati bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara ini. Mereka sepatutnya tidak dibenarkan menggunakan bahasa Mandarin dalam laporan kepada Jabatan Pelajaran. 

Seorang sarjana, Prof Lim Swee Tin dari Universiti Putra Malaysia pernah menulis bahawa tohmahan Melayu pendatang adalah suatu pemesongan fakta sebab jelas telah wujud Kerajaan Melaka yang didiami dan dikuasai Melayu. Orang Melayu bukan saja gemilang di Melaka, malahan bertebaran di seluruh Nusantara. Dengan yang demikian, tanpa diragukan merekalah penduduk asalnya. Pendatang katanya tidak menubuhkan kerajaan. 

Beliau juga menjelaskan bahawa Melayu harus difahami bukan dalam konteks ras atau kaum. Melayu itu juga bukan lagi satu etnik. Melayu sudah mencakupi satu entiti budaya. Konsep Melayu ialah konsep budaya dan entiti budaya itu.  
Ia tidak bergantung pada kapasiti ras, etnik atau kaum lagi sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan.

Ulasan: Kita yang membayar harga yang sangat mahal untuk merdeka bila menerima mereka di sini tapi sayang mereka lupa diri lantas mempersoalkan kita pula. Pelik bila golongan minoriti sanggup mempersoalkan golongan majoriti. Apa lagi yang kurang bagi mereka?

No comments: