Thursday, October 21, 2010

Menara Warisan Merdeka 100 Tingkat: Penjelasan PM

KUALA LUMPUR 19 Okt. - Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan projek pembangunan Warisan Merdeka yang turut merangkumi pembinaan menara 100 tingkat yang diumumkan dalam pembentangan Bajet 2011, Jumaat lalu, adalah projek yang menguntungkan dan bukannya satu pembaziran. 

Perdana Menteri berkata, rasional projek Warisan Merdeka itu adalah untuk merancakkan aktiviti ekonomi sekali gus mewujudkan kesan berganda kepada ekonomi negara melalui pengagihan kerja-kerja kontrak.

Menurutnya, kawasan pembangunan itu juga akan menjadi pusat perniagaan menempatkan usahawan bumiputera dan bukan bumiputera di bawah satu bumbung yang boleh dijadikan tarikan negara.

"Zaman Tun Dr. Mahathir (Mohamad) buat jambatan Pulau Pinang dulu, mereka (pembangkang) serang juga tetapi sekarang orang Pulau Pinang sendiri minta jambatan kedua, apabila Tun Mahathir buat Menara Berkembar Petronas, dia juga telah dipertikaikan.

"Bila kita buat menara 100 tingkat ini, rasionalnya sama, kita nak satu bangunan yang menjadi lambang negara yang bukan sahaja moden tetapi maju," katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan Taklimat Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO Ke-61, di sini hari ini.

Projek Warisan Merdeka yang akan dibangunkan Permodalan Nasional Bhd. (PNB) dengan kos RM5 bilion itu dibina di sekitar Stadium Merdeka dan Stadium Negara dan dijadualkan siap pada 2015.

Sejurus projek berkenaan di umumkan Perdana Menteri, parti pembangkang sebagaimana biasa melancarkan serangan kononnya ia adalah satu projek yang membazirkan wang rakyat.

Dalam perkembangan berkaitan, Najib berkata, beliau tidak pernah mengarahkan PNB melakukan projek tersebut dan menjelaskan cadangan serta rancangan itu dikemukakan sendiri oleh syarikat milik kerajaan (GLC) itu.

"Saya tidak mengarahkan PNB, mereka mencadangkan bahawa ini adalah sesuatu yang diingini pengurusan dan lembaga pengarah PNB," tegasnya.

Sementara itu, Najib sewaktu menjawab dakwaan kononnya projek Warisan Merdeka dan pengumuman tiada kenaikan tol selama lima tahun di empat buah lebuh raya milik PLUS yang ter kandung dalam Bajet 2011 sebagai tiada kaitan dengan belanjawan negara, berkata:

"Sesiapa yang bentang bajet boleh terangkan segala perkara yang menyentuh kepentingan rakyat, ucapan belanjawan itu merangkumi segala-galanya,".

Petikan ucapan Najib mengenai projek Menara baru Malaysia dalam Pembentangan Bajet 2011 baru-baru ini:

Di sudut yang lain, kita berasa sungguh berbangga, bahawa, ke mana saja kita pergi, semua orang mengetahui tentang Menara Berkembar Petronas yang menjadi ikon negara. Ia adalah satu monumen kepada semangat Malaysia Boleh. Hakikatnya, kekuatan negara adalah adunan dan bauran sejarah kelmarin dan harapan hari esok. Jadi, sebagai satu lagi mercu tanda kebanggaan negara menjelang 2020, Permodalan Nasional Bhd (PNB) akan mula membangunkan projek bersepadu yang dinamakan Warisan Merdeka. Ia akan mengekalkan Stadium Merdeka, Stadium Negara dan pembinaan sebuah menara 100 tingkat yang tertinggi di Malaysia. Keseluruhan projek ini bernilai RM5 bilion, di mana menaranya dijangka akan siap pada 2015.

Ulasan: Memang tak ada sesiapa yang merancang untuk rugi. Tapi bukanlah satu-satunya cara untuk merancakkan ekonomi dengan membangunkan Menara Warisan Merdeka. Pembangunan projek yang lebih mendesak dan bermanfaat untuk rakyat pun akan mempunyai kesan ekonomi yang sama. Mengapa pula syarikat kerajaan yang sibuk nak buat menara 100 tingkat? Mengapakah syarikat swasta milik bukan Bumiputera tak berapa sibuk nak buat menara 100 tingkat atau lebih? Ramai orang kita, maaf, berfikir bagaimana nak habiskan duit (kerana bukan duit sendiri dari poket kita). Mereka pula berfikir bagaimana untuk kembangkan perniagaan mereka. Kita hanya berminat untuk jadi jutawan segera. Mereka berminat untuk menguasai perniagaan.

Mengapa pula perlu pusat perniagaan usahawan bumiputera dan bukan bumiputera di bawah satu bumbung? Tidak semua perniagaan sesuai di semua tempat. Apakah model sedemikian sudah berjaya di bangunan lain di seluruh negara? Perlukah RM5 bilion untuk menguji model ini? Apakah semata-mata untuk pelancong melawat? Perlukah syarikat kerajaan menghabiskan RM5 bilion atau meminjam duit semata-mata untuk menjadi lawatan pelancong. Ayah kita yang multi-bilionaire tak semudah itu mengizinkan anaknya meneruskan cita-citanya untuk membina lambang kehebatan ayah.

Jambatan Pulau Pinang adalah projek infrastruktur yang bermanfaat untuk rakyat.  Jauh berbeza dari projek bangunan. Banyak lagi projek yang mendesak yang perlu di beri keutamaan: jalan raya negeri, perumahan rakyat di seluruh negara sekadar contoh. Amat sedih kita semata-mata mengaut wang Petronas untuk membina Menara Berkembar Petronas sebagai hanya lambang tarikan pelancong atau sebagai ikon negara. Tiba-tiba Petronas sebuah syarikat gergasi kerajaan dalam bidang petroleum menjadi pemaju hartanah. Betullah di bawah pemerintahan BN, negara Malaysia dengan semangat Malaysia Boleh kini menjadi Malaysia Bolehland.

Katanya kita buat menara 100 tingkat ini kerana hendakkan bangunan yang menjadi lambang negara yang bukan sahaja moden tetapi maju. Apakah negara moden dan maju bergantung kepada bangunan 100 tingkat? Apakah Emiriah Arab Bersatu UAE yang punya berbagai bangunan mega sudah moden dan maju? Jerman hanya punya skyscraper yang jauh lebih rendah dari Menara Berkembar Petronas. Apakah Jerman bukan negara maju? Memang kebanyakan pemimpin negara gemarkan gadget dunia kelas pertama tetapi pemikiran pemimpin negara di takuk lama, dunia kelas ketiga yang masih tidak gemarkan negara penuh dengan keadilan, kebebasan dan bebas rasuah. Kita tahu projek pembinaan memang terbukti membawa peratusan untung atas angin kepada pemimpin-pemimpin yang tidak amanah terutamanya di negara belum maju.

Di negara yang kurang maju, majoriti semua kakitangan sentiasa mencari ‘keredhaan’ bos walaupun itu hanyalah kurang penting berbanding sesuatu yang lebih penting. Semua sudah faham rasa hati bos, batuk bos, bentuk tandatangan bos, demam bos, marah bos, jegil bos, senyum bos dan segala-segala yang datang dari bos. Bos tidak perlu mengarahkan sebab semua orang faham di mana 'keredhaannya'. Perkara itu itu telah di amalkan secara tak bertulis sejak kita bertuankan pribumi setelah merdeka.

Tol tak naik lima tahun? Padahal kenaikan itu di bayar oleh kerajaan BN kepada pemilik jalan tol menggunakan duit rakyat seperti perjanjian asal. Memang ucapan belanjawan itu merangkumi segala-galanya untuk memujuk rakyat mengundi BN supaya BN menang lagi di pilihanraya 13 ini.

Setakat ini, pemimpin negara bertukar tapi cara pemikirannya sama kerana mereka dididik dibawah kerangka yang sama: Untuk wariskan projek mega yang tidak kecil kosnya yang rakyat tidak memerlukannya. Dalam bahasa yang mudah ialah pandai mengaut duit rakyat. 

Rakyat Malaysia yang semakin cerdik dan bergeliga eloklah bertindak cepat untuk menyelamatkan negara kita dengan mengundi mana-mana parti selain BN yang tidak mengamalkan RASUAH.

No comments: