Monday, April 13, 2009

Usaha menafsir seni Islam Alhambra

UKIRAN pada dinding ini kelihatan seperti daun tetapi ia juga membentuk perkataan, yang menunjukkan ketinggian kesenian Islam pada Alhambra. - AP 

GRANADA, Sepanyol 12 April - Setiap ceruk dan rekahan pada Istana Alhambra sebenarnya mempunyai bicara tersendiri kerana dinding, kolum, pancuran air dan barangan lain seni bina Moor dalam kota kubu ini dipenuhi dengan inskripsi khat yang mungkin sukar ditafsirkan oleh bangsa Arab sendiri.

Bulan ini penyelidik Sepanyol mendedahkan hasil pertama projek raksasa untuk menterjemah dan menyenaraikan anggaran 10,000 perkataan yang terdiri dari puisi dan ayat al-Quran.

Tujuan projek ini adalah untuk mempersembahkan sebahagian daripada sejarah silam yang dapat diakses dengan mudah melalui tetikus.

"Sukar dipercayai yang projek seperti ini tidak pernah dilakukan sebelum ini," kata ketua penyelidik, Juan Castilla kepada pemberita.

Impian untuk memahami dan merakam ukiran seni bina Islam telah pun wujud sejak zaman Raja Ferdinand dan Ratu Isabella lagi.

Tentera mereka menawan Granada pada 1492 dan mengusir keluar pemerintah yang tinggal di istana abad ke-14 ini, sekali gus menamatkan pemerintahan Islam selama hampir 800 tahun di Sepanyol.

Pihak istana Sepanyol ketika itu dengan segera mengupah penterjemah untuk menafsirkan inskripsi di Alhambra dan beberapa bangunan lain di bandar selatan Sepanyol ini.

Namun rekod mengenai usaha tersebut telah hilang ditelan masa dan yang paling terbaru hanya mengandungi beberapa kategori ukiran, terlalu sedikit jika dibandingkan dengan kerja memenatkan yang diusahakan Castilla bersama dua lagi pakar bahasa Arab di Alhambra sejak tahun 2002.

Kini beberapa inskripsi tidak dapat ditafsirkan kerana rosak dan sekiranya bencana alam seperti gempa bumi melanda Sepanyol, kerosakan akan memusnahkan harta yang tidak ternilai. - AP

Ulasan: Islam adalah rahmat bagi seluruh alam.

No comments: