Tuesday, July 10, 2012

Mesir: Morsi lulus ujian pertama


Ahmad Lutfi Othman,06 Jul 2012
Dalam bukunya, Islam dan Masyarakat Melayu: Peranan dan Pengaruh Timur Tengah, yang asalnya merupakan hasil kajian PhD, Prof Dr Mohammad Redzuan Othman menekankan dua negara yang mempunyai pengaruh besar ke atas umat Islam di Malaysia, iaitu Mesir dan Turki.

Penyebaran pengaruh Mesir dalam masyarakat Melayu pada tahun 1920-an dan 1930-an dikaitkan dengan peranan yang dimainkan Universiti al-Azhar dan kota Kaherah yang menjadi destinasi belia Melayu menuntut ilmu.

Begitu juga dengan gerakan Islah, yang menyeru umat Islam kembali kepada ajaran Islam sebenar, yang dipelopori Jamaluddin al-Afghani, yang kemudiannya mempengaruhi dua tokoh pembahaharu Mesir, iaitu Muhammad Abduh dan Rashid Rida.

Pelajar Melayu di Mesir menyaksikan rakyat negara itu berjuang menuntut kemerdekaan daripada penjajah Inggeris dan memberi pendedahan kepada mereka memainkan peranan menyemai kesedaran kepada anak bangsa. Peranan lulusan Azhar ini jauh mengatasi pengaruh mereka yang berpendidikan Inggeris atau Melayu.

Meskipun Daulah Uthmaniyah yang berpusat di Turki mengalami kemerosotan di awal abad ke-20 sehingga Sultan Abdul Hamid II digulingkan, namun perkembangan di sana begitu menarik minat umat Melayu di tanahair. Tindak-tanduk pembaratan dan pensekularan Mustafa Kamal Ataturk misalnya, telah menimbulkan reaksi segera dan polemik di antara golongan Kaum Tua dan Kaum Muda, yang dizahirkan melalui beberapa akhbar dan majalah Melayu, seperti Seruan Azhar dan Pengasoh.


Selepas 100 tahun, pengaruh Mesir dan Turki terhadap umat Islam negara ini rupanya tidak pernah padam. Sudah tentu Ikhwan Muslimin yang diasaskan Hassan al-Banna di Mesir  dan organisasi dakwah, seperti Jamaah an-Nur yang dipimpin Badiuzzaman Said Nursi di Turki, sering dirujuk pengalaman berharga mereka oleh aktivis Islam tanahair. Buku-buku karangan pimpinan Ikhwan menjadi bacaan wajib, yang dihadam dalam usrah dan pertemuan tetap.

Malah mutakhir ini, situasi dan eksperimen politik di kedua-dua negara tersebut, semakin diperkatakan, dan dilihat mampu mempengaruhi landskap siasah Malaysia, dengan nama-nama tokoh barunya, yang dipilih rakyat sebagai ketua kerajaan; Recep Tayyip Erdogan di Turki, melalui Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) dan Dr Mohamed Morsi,  yang menang sebagai Presiden Mesir pertama daripada kalangan orang awam, melalui Parti Pembebasan dan Keadilan (FJP).



Sejak tercetusnya Arab Spring awal tahun lalu, yang menumbangkan Hosni Mubarak, diktator Mesir selama 30 tahun, Perdana Menteri, Najib Razak dan mentornya, Dr Mahathir Mohamad, tidak dapat menyembunyikan kebimbangan fenomena yang melanda Timur Tengah berulang di Malaysia.

Dr Mahathir berkata Arab Spring mendedahkan pemerintah negara yang tidak demoratik, memerintah secara autokratik hingga menyebabkan rakyat menjatuhkan kerajaan. "Kita di sini ingin Arab Spring tapi soalnya adakah kerajaan terlalu zalim? Adakah kerajaan tidak beri perhatian kepada nasib rakyat, tidak membangunkan dan memajukan negara?" katanya di hadapan lebih 700 mahasiswa UKM.

Semasa berucap di Gua Musang, Najib mengaitkan peserta perhimpunan Bersih 3.0 dengan situasi di Kaherah: "Mereka (demonstran) ada niat untuk tawan Dataran Merdeka, bukan berhimpun untuk dua tiga jam tetapi dua tiga hari atau lebih daripada itu, nak gambarkan kerajaan tidak boleh mengawal keadaan. Mereka nak jadikan Dataran Merdeka sebagaimana Dataran Tahrir di Mesir."

Najib turut mendakwa Bersih 3.0 merupakan usaha untuk menumbangkan kerajaan seperti Arab Spring.

Saya tidak berhasrat untuk menyinggung kekhuatiran pemimpin tertinggi Umno itu. Semasa ledakan reformasi di Jakarta pada 1998, Dr Mahathir tidak senang duduk apabila rakannya, Suharto terpaksa berundur. Hubungan beliau dengan timbalannya, Anwar Ibrahim, menjadi bertambah buruk dan parah ketika itu. Apatah lagi apabila Hosni juga dijatuhkan melalui revolusi rakyat, yang sedia berdada dengan muncung meriah kereta kebal dan tembakanm peluruh hidup yang membunuh.

Menyedari Dr Redzuan, Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya mempunyai pengalaman dan hubungan dengan pemimpin Ikhwan Mesir, juga merupakan tenaga pengajar dan profesor pelawat di Universiti di Kaherah sejak 2003, saya lebih berminat untuk mendengar ulasannya mengenai realiti di sana.

Pelbagai persoalan muncul, misalnya, mengapa Morsi hanya mendapat kira-kira 51 peratus undi, sedangkan lawannya, Ahmad Syafiq, bekas Perdana Menteri era Hosni, yang tentunya mempunyai reputasi buruk dan akan ditolak dengan mudah oleh rakyat Mesir yang bencikan diktator tua itu?

Dalam benak saya, sepatutnya bila berdepan dengan pewaris Hosni, maka Morsi akan menang mudah, dengan majoriti besar. Dengan perbedaan undi yang kecil itu, apakah menunjukkan imej Islam Ikhwan pada sosok Morsi masih digeruni rakyat? Ataupun, majoriti pengundi bimbang terhadap kuasa dan pengaruh besar Ikhwan dalam kerajaan, yang sebelumnya menang besar dalam  pilihan raya parlimen, dan dengan itu mereka mahu ada "semak dan imbang" melalui bakal presiden dari kelompok sekular?

Namun, isu lebih mendesak ialah keupayaan Morsi untuk berdepan dengan pihak tentera, yang berkuku sejak sekian lama, selain hubungannya dengan golongan sekular yang turut menyumbang saham besar dalam revolusi tahun lalu.

Segera saya teringat pengalaman pedih dan perit generasi awal Ikhwan ketika bersama elit tentera menumbangkan regim Raja Farouk. Mohamad Naguib dan Gamal Nasser bertindak mengkhianati sokongan Ikhwan, sehingga ramai pemimpin dan aktivisnya dipenjara, diseksa dan dibunuh.

Dr Redzuan sendiri membuat kajian khusus mengenai kegagalan Ikhwan dalam Revolusi Julai 1952 itu, dengan tumpuan terhadap konflik politik di Mesir, antara tahun 1948-1954. Nasser merencanakan drama pembunuhan ke atas dirinya semasa berucap di Iskandariah, pada 26 Oktober 1954. Penembaknya dikatakan anggota pertubuhan bersenjata Ikhwan. Peristiwa itu digunakan regim tentera untuk menghapuskan gerakan Islam itu. Sebelum subuh 27 Oktober 1954, lebih 7,000 penyokong dan pemimpin Ikhwan ditangkap. Tujuh pemimpinnya dihukum gantung dan tujuh lagi dipenjarakan seumur hidup.

Selain itu, bukankah Ikhwan yang "agak lambat" terbabit dengan kebangkitan rakyat, turut didakwa telah "hijack" revolusi 2011? Saya juga tertanya-tanya dengan sikap rakan-rakan dalam Ikhwan sendiri, terutama apabila membayangkan pendekatan Morsi yang lebih moderat dan sederhana, bagi menyantuni semua kelompok rakyat, termasuk dasar luar berkaitan Palestin, Israel dan Amerika Syarikat. Tidak dilupakan hubungan Morsi dengan kumpulan Islam yang dilihat ekstrem seperti Salafi.

Alhamdulillah, Dr Redzuan berkelapangan pada pagi Ahad lalu, sekembalinya dari Tokyo. Secara santai, di rumahnya, di Sg Ramal Dalam, Kajang, beliau menceritakan, ada perbedaan jelas senario yang dirasainya semasa berkunjung ke Tehran, selepas revolusi tahun 1979 dengan situasi di Kaherah, sejurus Hosni digulingkan.


Rakyat Iran, di seluruh pelosok negara, ghairah bercakap tentang revolusi. Rakyatnya begitu teruja. Di Mesir, tambah beliau, ketika  ke sana selepas tiga bulan Hosni jatuh, orang ramai tidak lagi bercakap tentang revolusi. 

"Seolah-olah macam Hosni sudah jatuh, dan selesai macam itu. Macam biasa saja, tidak nampak apa berlaku. Berbeza di Iran ke mana kita pergi nampak slogan dan rakyat bercakap tentang revolusi. Maknanya revolusi Mesir tidak menyeluruh," ujarnya.

"Pada tanggapan saya kebangkitan yang berlaku di Mesir ini tidak bersifat menyeluruh. Perkembangan yang membawa kepada pengunduran Hosni Mubarak adalah jauh daripada revolusi yang membawa perubahan drastik. Lantaran itu, proses politik yang berlaku di Mesir ini lebih cenderung dikategorikan sebagai satu kebangkitan rakyat, bukan satu revolusi yang merubah rejim lama kepada pembentukan pemerintahan baru," tegas Dr Redzuan.

Saya cuba mencungkil, siapa sebenarnya penggerak revolusi atau kebangkitan di Dataran Tahrir? Apakah ia didorong oleh masyarakat bawahan -- yang tertekan kehidupan ekonominya, yang lebih memikirkan apa untuk dimakan hari esok -- atau kelas menengah yang lebih terpelajar?

Saya kira Morsi dan strategisnya pasti memahami realiti sokongan yang diperolehinya agar beliau dapat mengatur prioriti dalam proses pembaharuan, yang begitu didamba keseluruhan rakyat. Sesungguhnya tempoh 100 hari selepas dilantik presiden begitu kritikal dan menentukan perjalanan panjang, sekurang-kurangnya empat tahun yang bakal ditempuhinya.

Difahamkan Morsi mempunyai penasihat dari Turki dan Tunisia, dua negara yang mendapat perhatian kelompok Islam dan mempunyai pendekatan tersendiri dalam membangunkan negara, seperti dihajati rakyat.


Bercakap soal peratus keluar mengundi hanya sekitar 50 peratus, satu angka yang saya anggap kecil, Dr Redzuan,  "ini cukup baik bagi sebuah negara yang selalunya  hanya mencatatkan 10 peratus, dan untuk tempoh yang lama, rakyat Mesir langsung tidak menghiraukan pilihan raya. Di negeri maju seperti UK dan AS juga kadar keluar mengundi sekitar 50 peratus."  

Mengenai cabaran tentera, Dr Redzuan nampak tidak begitu bimbang. Baginya, tentera hanya kuat dengan senjata. Para jeneralnya hidup dengan nostalgia lama. Mereka tidak tahu mentadbir dan menyusun strategi: "Tak cerdik."

"Dilihat kenyataan pemimpinnya, tentera masih rasa mereka berkuasa. Kalau 50 tahun dulu bolehlah buat begitu, tapi rakyat melihat yang berkuasa adalah pemimpin yang dipilih rakyat. Tentera masih berfikir seperti 20 hingga 30 tahun lalu," tambahnya.

Mungkin pengalaman Turki, yang juga pengaruh tenteranya begitu kuat mencengkam, tetapi beransur-ansur dapat dikurangkan, melalui kaedah politik yang bijaksana, dapat diteladani oleh Mesir.

"Pengalaman di Turki sepatut menjadi pengajaran kepada tentera di Mesir. Di Turki selama lebih 70 tahun tentera seolah-olah tidak boleh disentuh, tetapi kini tentera sudah hilang taring. Siapa yang boleh menjangka bekas Ketua Turus Angkatan Tentera Turki, Jeneral Ilker Basburg yang ketika berkuasa lantang mencabar kerajaan yang dipilih secara demokrasi, tetapi kini merengkok dalam penjara atas tuduhan mengkhianati negara apabila dituduh berkomplot cuba menggulingkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat," jelas Dr Redzuan.


Saya meminta Dr Redzuan membuat analisis ringkas tentang sokongan kepada Ikhwan dan Morsi. Apakah pengaruh Ikhwan lebih berakar di kawasan kampung, dan bagaimana pula dengan sikap golongan pertengahan?

"Golongan kelas menengah dan sekular nampaknya lebih cenderung menyokong Shafik. Di Kaherah sendiri, kawasan yang didiami oleh kelas menengah dan kaya seperti di Muhandisin dan Zamalek sokongan popular adalah kepada Shafik, sedangkan di Giza yang didiami oleh kelas bawahan, Morsi berjaya mendapat sokongan yang lebih besar," jawab Dr Redzuan.

Mungkinkah kelompok yang turut (malah merintis kebangkitan) mendokong revolusi, dan berkorban jiwa raga demi menjatuhkan regim zalim Hosni, juga khuatir dengan pendekatan Islamik Morsi?


"Mereka tidak mahu Mesir menjadi sebuah negara Islam. Mereka mahu negara sekular. Mungkin mereka sendiri salah faham dengan Ikhwan. Morsi sedar hal ini. Oleh itu beliau tidak melupakan keluarga mereka terkorban, misalnya, keluarga yang hendak berjumpanya tidak boleh dihalang. Seramai 12,000 tahanan akan diusahakan untuk dibebaskan," kata Dr Redzuan.


"Saya mendengar ucapan sulung Morsi, bagi saya, dia berjaya meyakinkan semua kelompok. Gambarnya tidak boleh digantung. Jadi orang nampak bezanya dengan regim terdahulu. Dia akan berkhidmat untuk rakyat.

"Ucapannya cukup meyakinkan. Bagi seorang negarawan kali pertama bagi saya luar biasa. Dia boleh memastikan semua kelompok diberi perhatian. Ini satu permulaan yang baik walaupun saya tidak nafikan tentera mungkin akan cuba mengambil alih," tambahnya.


"Saya yakin dengan pengalaman panjang yang dilalui Ikhwan  menyebabkan Morsi akan lebih berhati-hati serta menyedari kekuatan dan kelemahan yang dimiliki. Ucapan yang disampaikan oleh Morsi sempena perlantikan sebagai presiden memperlihatkan kematangan. Morsi juga nampaknya mendapat nasihat dari AK Partisi Turki dan Hizb al-Nahdah Tunisia yang sudah melalui pelbagai pengalaman berharga. Dalam perhimpunan yang diadakan di Medan Tahrir, Rachid Ghanousi pemimpin de facto Hizb al-Nahdah kelihatan berada bersama-sama di atas pentas," kata bekas Naib Presiden ABIM itu.

Sebagai salah seorang daripada ribuan yang pernah "berkenalan" dengan Ikhwan -- walaupun dari jauh, melalui buku-buku terjemahan Al-Banna, Syed Qutb, Abd Qadir Audah, Mustafa Masyur, Fathi Yakan, dengan pendedahan ustaz-ustaz lulusan Al-Azhar semasa di kampus dulu -- saya bukan saja mengharapkan era baru gerakan Islam membawa sinar kepada Mesir dan negara-negara Arab, tetapi mampu melonjakkan momentumnya ke rantau Melayu ini, khususnya Malaysia.

Kemampuan aktivis gerakan Islam untuk bermuamalah dengan situasi dan lingkungan, seterusnya membawa pembaharuan, selaras dengan aspirasi rakyat, seperti dirintis Morsi dan rakan-rakan Ikhwan begitu mencabar.

Biarpun menang dengan majoriti kecil, namun ia sudah cukup untuk memulakan perubahan, sambil berusaha keras mendekati masalah rakyat, menyelami denyut jantung mereka, dan bersama-sama menawarkan penyelesaian ke atas problem yang menghimpit kehidupan seharian mereka.

Morsi misalnya memandang serius isu kemiskinan, pengangguran dan keselamatan. Dalam tempoh 100 hari pemerintahannya Morsi akan cuba menunjukkan bahawa beliau adalah presiden yang berjiwa rakyat. Bagi menyelesaikan masalah harian yang menghantui penduduk Kaherah, iaitu kesesakan jalan raya Morsi telah memanggil pakar-pakar yang mampu mengemukakan penyelesaian kepada masalah ini.

"Selain itu, jelas Dr Redzuan, "Morsi juga menetapkan bahawa kereta yang membawa presiden tidak akan menyekat lalu lintas, sebagaimana yang diamalkan oleh Mubarak ketika menjadi presiden. Ini bagi mengelakkan kesesakan yang semakin buruk apabila rombongan presiden menggunakan jalan raya."

Dari segi penyertaan dalam proses pilihan raya dan pengalaman memerintah (walaupun di peringkat negeri), PAS tentu agak jauh ke hadapan berbanding Ikhwan, namun ada aspek-aspek tertentu yang boleh diambil iktibar daripada kejayaan awal ini, 'kan?

No comments: