Pengendali tol lebuh raya untung Maha Firaun
19 January 2012
KUALA LUMPUR, 19 JAN: Keuntungan yang dikaut oleh syarikat pembina lebuh raya melalui kutipan tol adalah berlebihan, tidak masuk akal dan menindas rakyat.
“Ini untung maha besar, untung Maha Firaun,” kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.
Dalam sidang media di ibu pejabat DAP di sini hari ini, beliau tampil berkongsi data peratusan hasil daripada kos pembinaan lebuh raya Malaysia yang diperoleh melalui jawapan Parlimen.
Beliau sambil merujuk kepada peratus keuntungan berlipat kali ganda yang diperolehi dari projek-projek lebuh raya seluruh negara. Antara yang paling tinggi keuntungannya ialah Lebuhraya Metramac yang mencatat keuntungan 877% daripada kos asal pembinaan yang hanya berjumlah RM45 juta.
Tambah mengejutkan ialah kekayaan yang dikumpul melalui projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) yang mengaut keuntungan 308% sebanyak RM 18 bilion, setelah ditolak kos pembinaannya sebanyak RM 5 bilion; dengan tempoh konsesi selama 50 tahun sehingga tahun 2038.
Begitu juga dengan projek lebuh raya KL – Karak yang untung hampir RM1 bilion (202%), diikuti Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) dengan keuntungan RM1.6 bilion (149%) berbanding kos pembinaan sekitar RM1 bilion.
“Anak, cucu, cicit kita pun akan terus bayar tol,” ujar Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang.
Katanya tol yang membebankan rakyat tetapi memperkayakan kroni ini mesti dihapuskan, merujuk kepada Lebuhraya Metramac, Lebuhraya Utara Selatan, Lebuhraya KL – Karak, Lebuhraya Damansara Puchong, Lebuhraya Cheras Kajang dan Jambatan Pulau Pinang.
Guan Eng turut mengajak Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop untuk berdebat secara terbuka memandangkan menteri tersebut telah membuat kenyataan bahawa penghapusan tol yang dijanjikan Pakatan Rakyat adalah tidak masuk akal.
“Mengapa kita tak boleh hapuskan tol bila PLUS untung 308%? Mari bahas mengikut isu dan fakta, bukan dengan emosi dan sentiment.
“Dia seorang menteri, saya seorang Ketua Menteri, kami setara. Mari kita berdebat demi kepentingan rakyat,” tegasnya. – Roketkini.com
http://roketkini.com/2012/01/19/pengendali-tol-lebuh-raya-untung-maha-firaun/
Tahun 1997 dan 1998 tentu sekali tahun penting dalam lipatan sejarah Negara kita kerana pada tahun itulah kita menyaksikan mobilisasi manusia yang disifatkan paling besar pernah berlaku dalam sejarah moden tanah air. Dari situ saya mengenali jalan raya sebagai medium sebenar menyampaikan suara dan isi hati rakyat yang setiap satunya mungkin tidak pernah pun merasai sejuk hawa dingin bangunan Parlimen mahupun Putrajaya. Saya masih ingat, ayah saya juga antara demonstran tegar ketika itu. Setiap pagi Sabtu beliau pasti akan turun ke kota. Dengan hanya berkemeja-t dan berseluar jeans, dengan motosikal buruknya beliau akan ke sana. Pernah saya mohon untuk bersama, tapi dihalang beliau. Katanya bahaya.
Di tengah-tengah keringat ribuan manusia, saya seorang diri asalnya. Saya tidak kenal langsung siapa yang berada di situ. Usai demonstrasi tersebutlah baru saya kenal beberapa rakan baru yang kini bersama dalam satu barisan bernama Solidariti Mahasiswa Malaysia. Saya masih ingat, ketika itu, berdepan dengan trak FRU, sebagai "first timer", logiknya pasti saya memilih barisan paling ke belakang sekali. Namun entah dari mana saya dapat keberanian untuk menjadi benteng hadapan. Sekali lagi diulangi, saya hadir seorang diri tanpa rakan yang dikenali. Namun aneh, saya tidak pula rasa keseorangan. Dengan bergandingan bahu bersama beberapa anak muda mahasiswa yang lain, kami berdepan dengan tembakan water-cannon. Kami tidak berganjak dari tempat kami. Sehingga akhirnya diserang oleh anggota keselamatan barulah kami mula mangambil langkah berundur. Itu antara kenangan yang masih saya simpan.
Maka kita datang ke persoalan sebenar; mengapa jalan raya? Tenang rakan-rakan. Jika dikupas satu persatu risalah sejarah, kita akan akhirnya bertemu dengan catatan-catatan mengenai kuasa jalan raya. Dari kurun ke 16 hingga ke Occupy, kita faham bahawa jalan raya telah banyak berjasa kepada rakyat berbanding parlimen! Tidak hairanlah Guy Fawkes suatu masa dahulu pernah ingin meletupkan bangunan Parlimen! Saya sering tekankan kepada rakan-rakan; parlimen hanya untuk 222 orang, sedangkan kita ada jutaan suara yang mahu didengari. Maka jalan raya adalah ruangnya. Ia terbuka, luas, dan pasti mendapat perhatian!
Saya menemui jawapan terhadap mengapa harus turun ke jalan raya apabila saya sendiri turun ke jalan raya.