Thursday, April 26, 2012

Mengapa UMNO-BN perlu jadi pembangkang selepas PRU13?


Mengapa UMNO-BN perlu jadi pembangkang selepas PRU13?
Analisis IsuOleh Fairuz Azhan

Berulang-ulang kali kita mendengar daripada kem Barisan Nasional bahawa mereka memerlukan majoriti yang besar untuk menjadi sebuah kerajaan yang ‘kuat’. Mengapa? Kerana ia akan membolehkan mereka berbuat sesuka hari sebagaimana yang telah dilakukan sejak beberapa dekad lalu.Bukan sahaja di Malaysia, tetapi di serata dunia kita dapat melihat apa yang akan terjadi jika sebuah kerajaan itu terlampau besar dan
‘kuat’. Stalin, Hitler, Mao Zedong dan yang seangkatan dengannya juga telah berdakwah tentang bertapa pentingnya sebuah kerajaan yang ‘kuat’ dan kita tahu bagaimana keadaan dalam negara tersebut.



Adakah kerajaan yang ‘kuat’ boleh menjadi kerajaan yang baik?
Dalam sebuah kerajaan yang ‘kuat’ sedemikian, rakyat hilang suara dan kuasa; yang paling berkuasa adalah mereka yang di tampuk kuasa yang menghalalkan segala-galanya atas nama rakyat, termasuk mempergunakan kaum, agama dan ‘kebangsaan’.

Pada hari ini UMNO-BN memegang rekod dunia untuk parti pemerintah yang ‘dipilih’ oleh rakyat paling lama di dunia. ‘Pilihan’ rakyat itu dibuat melalui pilihan raya yang tidak adil, kotor dan berat sebelah d mana agensi kerajaan dan media massa dipergunakan sepenuhnya untuk berkempen bagi pihak parti pemerintah.
Hasilnya, lama kelamaan ia berjaya mempengaruhi dan lebih teruk, ,mengawal segala institusi-institusi penting negara tanpa sebarang imbangan adil atau ‘check and balance’.

Masih ingatkah kita dengan krisis kehakiman pada tahun 1988 yang amat memualkan dan menjijikkan di mana pimpinan negara memecat dan mempermainkan hakim-hakim besar demi kepentingan politik mereka?

Masih ingatkah kita dengan penyalahgunaan undang-undang zalim seperti ISA yang digunakan terhadap pesaing politik semata-mata kerana UMNO-BN tidak mampu menjawab hujah dengan hujah?
Semua ini berlaku kerana kerajaan pada ketika itu terlalu ‘kuat’. Kerajaan menang pilihan raya secara kotor dan tidak adil, kemudian menggunakan kemenangan besar yang dipaksakan itu untuk melakukan kezaliman. Rakyat hidup dalam ketakutan dan terpaksa merelakan penyelewengan, salah guna kuasa, perkauman dan sebagainya.

Apabila rakyat memberi ruang kepada pembangkang

Hari ini kita melihat pelbagai ‘reformasi’ dan ‘transformasi’ sedang dilakukan kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak – ada yang serius, ada yang main-main, ada pula yang merupakan muslihat politik. Apa pun Najib terpaksa melakukannya akibat kuasa pembangkang yang semakin kuat di Parlimen yang mewakili tuntutan dan aspirasi rakyat.

Tidak seperti UMNO-BN yang mahukan penentangan yang minima di Dewan Rakyat dan juga menggunakan segala muslihat jelik untuk menutupi segala penyelewengan dan skandal, Pakatan Rakyat telah berikrar bahawa mereka mahukan sebuah pembangkang yang kuat.

Maka tidak mustahil, dengan kesedaran dan kehendak rakyat, UMNO-BN perlu bersedia untuk menjadi pembangkang yang kuat dalam pilihan raya umum akan datang. Sudah tiba masanya untuk kita mengembalikan semula keluhuran proses demokrasi di negara kita.

Bila UMNO-BN menjadi pembangkang…

Pertama, sudah tiba masanya UMNO-BN menjadi pembangkang yang baik untuk menghargai peranan tersebut. Kita dapat lihat pada hari ini hegemoni kepartian yang amat ketara di Parlimen hasil pemerintahan kuku besi yang diamalkan BN.

Amalan hari ini menunjukkan setiap Ahli Parlimen hanya boleh menyokong dan tidak boleh membangkang apa-apapun yang dikemukakan oleh pimpinan parti mereka di Parlimen. Sesiapa yang mempunyai pendapat sendiri atau cuba membawa pandangan para pengundi kawasan wakil rakyat itu yang bertentangan dengan pendirian UMNO-BN, ahli Parlimen itu akan dikenakan tindakan disiplin.

Kedua, sekiranya UMNO-BN menjadi pembangkang, barulah mereka akan lebih menghargai dan menghormati peranan pembangkang dalam sistem kerajaan dan demokrasi di mana mereka benar-benar membawakan isu-isu rakyat, dan bukannya untuk kepentingan diri, keluarga dan kroni.

Jika dahulu mereka mengamalkan rasuah daripada akar umbi hingga pucuk pimpinan tertinggi, mereka bukan sahaja tidak boleh melakukan rasuah menggunakan wang rakyat, tetapi terpaksa membongkarkan pula rasuah dalam kerajaan baru, jika ada penyelewengan dan salah guna kuasa.

Dan untuk memenangi hati dan minda rakyat, mereka harus menjauhi rasuah dan mesti dilihat bersih untuk memenangi semula hati rakyat yang telah menolak mereka.

Ketiga, dengan menjadi pembangkang, barulah UMNO-BN benar-benar dapat muhasabah diri untuk berubah. Kerana kita lihat sejak 2004 apabila UMNO-BN berjanji untuk berubah, ia bukan sahaja di takok lama, malah penyelewengan, salah guna kuasa dan keangkuhan semakin menjadi-jadi hingga hari ini. Semuanya itu kerana UMNO-BN masih merasa diri hebat di puncak kuasa.

Bersihkan Malaysia

Sistem demokrasi memang ada sedikit-sebanyak cacat-celanya kerana ia boleh melahirkan pemerintahan kuku besi kumpulan majoriti atau ‘tyranny of the majority’ tetapi dalam amalan hari ini, demokrasi yang matang sudah pun melahirkan nilai-nilai tambahan seperti kebebasan, keadilan, hak asasi, peluang saksama, keadilan sosial dan pelbagai jaminan hak untuk memastikan kumpulan majoriti tidak menindas minoriti.

Pada hari ini kerajaan UMNO-BN terlalu berkuasa sehingga wang  rakyat menjadi milik sang penguasa dan lebih teruk lagi maruah negara ini telah digadai dan dikhianati. Demi mengekalkan kuasa politik, beratus ribu kad pengenalan dikatakan telah diberikan kepada warga asing.

Dulu masalah ini hanya di Sabah sahaja di bawah ‘Projek IC’ yang telah didokumenkan secara lengkap. Namun ia masih cuba disembunyikan oleh kerajaan pusat UMNO-BN. Hari ini masalah itu telah menular ke Semenanjung. Malah, perhimpunan aman BERSIH yang telah diadakan dan akan terus dilakukan antara lain bertujuan menghapuskan amalan keji ini.

Jika kita sayangkan negara ini, tiada cara lain untuk membersihkan dan menyelamatkan Malaysia, UMNO-BN harus dijadikan pembangkang selepas PRU13.
DAP bersama Pakatan Rakyat tidak akan mengharamkan UMNO-BN, jauh sekali melakukan kezaliman-kezaliman untuk membalas dendam. Dengan perkataan lain, Pakatan tidak mahu mengulangi sejarah perit menjadi UMNO-BN yang menekan rakyat sendiri.
DAP bersama Pakatan Rakyat sedar peranan pembangkang teramat penting dalam sistem demokrasi untuk memastikan keluhuran dan idealismenya dilaksanakan bagi memastikan kerajaan pusat dapat mentadbir dengan baik dan adil. – Roketkini.com

No comments: