Friday, September 28, 2007

Gunakan hak mengundi – PM

KUALA LUMPUR 24 Sept. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, sebahagian orang Melayu telah mengabaikan tanggungjawab penting dalam menentukan kerajaan dan wakil rakyat yang mewakili mereka apabila tidak mendaftar sebagai pengundi.
Perdana Menteri menegaskan, orang Melayu mesti menggunakan hak mereka untuk mengundi bagi menentukan kerajaan dan wakil rakyat mereka melalui proses demokrasi. ...(UM, 24/9/07).

Ulasan: Sepatutnya pemimpin negara yang menerajui kerajaan Malaysia dalam semua peringkat mendidik rakyat cara yang betul dan tepat untuk memilih kerajaan dan wakil rakyat BUKAN dengan apa yang rakyat telah nampak depan mata iaitu dengan merasuah rakyat sewaktu kempen pilihan raya, menakutkan rakyat dengan polis dan polis pencegah rusuhan dan bermacam-macam cara lagi. Hasilnya kerajaan Malaysia akan sentiasa menjadi kerajaan yang prihatin kepada rakyat, wakil rakyat yang berjiwa rakyat dan bencikan rasuah. Yang tentu menang ialah rakyat dan yang selamat ialah negara. Parti politik contohnya BN/UMNO adalah tidak kekal dan boleh berubah, boleh datang dan pergi tetapi yang sudah tentu akan mendapat manfaat ialah rakyat dan negara.

BPR tahan pegawai polis milik harta RM9 juta
KUALA LUMPUR 24 Sept. – Seorang pegawai kanan polis berpangkat supritendan yang sebelum ini disiasat kerana disyaki mengumpul harta bernilai RM9 juta secara haram sejak beberapa tahun lalu ditahan oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) hari ini...(UM, 24/9/07).

Ulasan: Kenapa kita seronok sangat mengumpul harta secara haram? Ingatlah hidup ini ujian yang di pertanggungjawabkan keatas setiap kita. Kadang-kadang kita mati dulu meninggalkan harta kita. Ini menunjukkan semua makhluk akan binasa.

Tidur dengan mayat ibu 12 jam
KUALA LUMPUR: Dua beradik berusia empat dan enam tahun terpaksa menyaksikan ibu mereka dan rakan serumahnya ditikam bertubi-tubi hingga mati oleh dua lelaki warga asing dalam kejadian di Jalan Metro Perdana Timur 2, Kepong di sini malam kelmarin...(BH, 24/9/07).

Ulasan: Polis dan kerajaan: Apakah warganegara tidak selamat lagi di negara sendiri ekoran warganegara asing bermaharalela?

Annuar: Pas mula reka tuduhan

KOTA BHARU 27 Sept. – UMNO Kelantan menyifatkan dakwaan Pas kononnya parti itu berusaha membawa masuk 40,000 warga Myanmar untuk didaftarkan sebagai sebagai pengundi di negeri ini sesuatu tuduhan tidak berasas dan menggambarkan ketakutan melampau pimpinan parti itu. ...(UM, 27/9/07).

Ulasan: Bukan lagi rahsia kerana semua rakyat tahu ada ramai warga negara asing yang mendapat kad pengenalan Negara ini dengan syarat mengundi BN. Siapa yang sebenarnya takut? Siapa sebenarnya musuh kepada negara?

Menteri Muda Sarawak kerugian RM400 ribu dalam rompakan
KUCHING 27 Sept - Seorang Menteri Muda Sarawak dan anggota keluarganya bersama-sama pembantu rumah dan pengawal keselamatannya diikat oleh empat lelaki bersenjatakan parang sebelum melarikan wang tunai dan barang kemas bernilai RM400,000 awal pagi ini...(UM, 27/9/07).

Ulasan: Menteri Muda Sarawak ada wang tunai RM400,000? Seronoknya jadi Menteri kalau harta itu sah halal. Menteri Tua tentu lebih hebat? Buatlah apa saja, asalkan halal.

Ketua Pendakwa Syarie ditahan disyaki rasuah
IPOH 27 Sept. – Badan Pencegah Rasuah (BPR) hari ini menahan Ketua Pendakwa Syarie dari Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) kerana disyaki terlibat dalam perbuatan rasuah. Penahanan ini merupakan kes rasuah kedua melibatkan pengamal undang-undang negeri ini....
Pada 6 September lalu, seorang hakim syarie ditahan BPR atas dakwaan menerima rasuah untuk ‘menyelesaikan’ satu kes melibatkan pegawai perhubungan pelanggan (GRO) yang dikendalikannya. Beliau ditahan oleh sepasukan pegawai BPR di sekitar bandar raya ini selepas didakwa menerima wang berjumlah kira-kira RM4,000
Kes tersebut akan disiasat mengikut Seksyen 11 (a) Akta Pencegahan Rasuah 1997.. ...(UM, 27/9/07).

dan

Tiga lelaki terima wang kontraktor dicekup
KUALA LUMPUR 27 Sept. – Badan Pencegah Rasuah (BPR) menahan tiga lelaki berusia 50 tahun kerana didakwa menerima wang rasuah berjumlah RM40,000 daripada seorang kontraktor...(UM, 27/9/07).

Ulasan: Selamat bertugas BPR. Pastikan pengamal rasuah samada bilis dan jerung serta orang politik di tangkap dan di adili untuk membersihkan negara ini yang rosak sepanjang BN memerintah.

Pindah RM35j ke Malaysia -- Defendan SwissCash diarah bawa balik wang dari akaun luar negara

KUALA LUMPUR 27 Sept. – Mahkamah telah mengeluarkan arahan supaya seorang defendan dalam skim pelaburan Internet SwissCash memindahkan semula kesemua wang berjumlah kira-kira RM35 juta dalam akaun bank miliknya di luar negara ke Malaysia.
Defendan terbabit, Amir Hassan diarahkan memindahkan wang tersebut yang kini disimpan dalam enam akaun bank di Hong Kong dan lapan akaun bank di Singapura...(UM, 27/9/07).

Ulasan: Gunakan akal dan kreaviti kita untuk mencari redha Allah.

Pelajar cedera digigit anjing
ALOR STAR 27 Sept. – Seorang murid tahun empat Sekolah Kebangsaan (SK) Kubang Teduh nyaris kehilangan kemaluannya apabila diserang dan digigit seekor anjing peliharaan berhampiran rumahnya di Gunung Keriang, di sini hari ini. Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, Mohd. Nazri Abdul Hamid keluar menaiki basikal bersama seorang rakannya dipercayai untuk membeli ikan laga kira-kira 200 meter dari rumahnya. ...(UM, 27/9/07).

Ulasan: Bukan pertama kali peristiwa ini berlaku. Pastikan undang-undang di laksana.

Monday, September 24, 2007

Kempen boikot CUEPACS, MTUC untuk buka mata KPDN&HEP

KUALA LUMPUR 23 Sept. - Tindakan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) berkempen memboikot barangan keperluan yang harganya naik melampau bertujuan `membuka mata’ Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN&HEP) agar bertindak lebih agresif dalam penguatkuasaan.
Presiden CUEPACS, Omar Osman berkata, kementerian itu perlu melakukan pemeriksaan dan mengambil tindakan sewajarnya bagi mengatasi masalah kenaikan harga barang yang membebankan pengguna sekarang.
Sehubungan itu, Omar meminta orang ramai hanya ke pasar dua hari dalam seminggu sebagai tanda memboikot kenaikan harga barang.

Ulasan: Dia punya barang, kita punya duit. Kalau pengguna bersatu untuk memboikot peniaga akan sedar kerana Pengguna Adalah Raja Dalam Perniagaan. Kalau kita boikot dia punya barang kita akan jadi bebas...

Angkasawan pertama Malaysia diketahui hari ini
KUALA LUMPUR 23 Sept. – Esok bakal melakar satu lagi sejarah negara apabila nama angkasawan pertama negara diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Di atas kertas, umum sudah mengetahui Dr. Sheikh Muszaphar Shukor ialah calon utama yang akan menggalas tanggungjawab tersebut manakala Kapten Dr. Faiz Khaleed diletakkan sebagai calon simpanan.

Ulasan: Nampak sangat kita terlalu jauh tertinggal di belakang kerana angkasawan pun akan di umumkan oleh PM. Rasa-rasanya kita lantik seseorang menjadi PM kerana ada kerja yang lebih penting.

Tiada pilihan raya umum dalam waktu terdekat
KUALA LUMPUR 23 Sept. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, pilihan raya umum tidak akan diadakan dalam waktu terdekat ini walaupun ekonomi negara berada pada kedudukan baik. Perdana Menteri berkata, beliau masih tidak mendapat ilham mengenai bila pilihan raya umum akan diadakan walaupun soalan itu sering diajukan kepadanya.

Ulasan: Cukuplah membodohkan rakyat. Sepatutnya di tetapkan lebih awal contoh minimum 6 bulan supaya semua parti yang sah boleh membuat persediaan menghadapi pilihan raya.


Orang Melayu tidak peduli soal politik
SUNGAI PETANI 23 Sept. – Rasa selamat tinggal di negara sendiri dan tidak mempunyai kesedaran politik merupakan antara punca sesetengah orang Melayu tidak mendaftarkan diri sebagai pengundi walaupun layak berbuat demikian.

Ulasan: Orang Melayu sudah tidak lagi menjadi sensitif lagi untuk memilih pemimpin (wakil rakyat) gara-gara politik UMNO. UMNO mengajar orang Melayu mengejar dunia tanpa mengira halal haram.

Polis kesan individu bakar Jalur Gemilang
KUALA TERENGGANU 23 Sept. – Polis yakin dapat mengesan individu yang membakar Jalur Gemilang semasa rusuhan di Jalan Sultan Mahmud, di sini pada 8 September lalu sebelum akhir bulan Ramadan ini.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Ayub Yaakob berkata, polis menerima beberapa petunjuk baru yang membolehkan pasukan penyiasat mengesan individu yang melakukan perbuatan menghina simbol kedaulatan negara itu.

Ulasan: Kita pun hendak tengok siapa yang bersalah itu. Rasanya pemimpin PAS tidak akan menyuruh pengikutnya membakar bendera Malaysia kerana PAS sudah lama berjuang di negara ini dan kita tahu itu bukan caranya bekerja. Polis tangkap yang bersalah.

Fujimori di ekstradisi setelah tujuh tahun melarikan diri
LIMA 23 Sept. – Tujuh tahun selepas melarikan diri dari Peru, bekas Presiden Alberto Fujimori kembali ke Lima semalam untuk dibicarakan atas tuduhan menerima rasuah dan mengarahkan pembunuhan orang awam semasa pemerintahannya.
Fujimori, 69, segera diterbangkan dengan helikopter ke sebuah pusat tahanan sementara di Direktorat Operasi Polis Khas (DIREOS) sebaik sahaja mendarat di Lima selepas diekstradisikan dari Chile.
Bekas Presiden itu menghantar surat peletakan jawatannya menerusi faks dari sebuah hotel di Tokyo pada 2000 selepas perkhidmatan 10 tahun yang berakhir dengan skandal rasuah.

Ulasan: Siapa bersalah akan di adili.

Polis siasat motif dendam
KUALA LUMPUR: Jenazah Nurin Jazlin Jazimin, 8, selamat dikebumikan Jumaat lalu, namun persoalan mengenai motif mangsa disimpan hampir sebulan sebelum dibunuh serta mayatnya ditinggalkan di tempat yang mudah ditemui, masih belum terjawab.
Sehingga kini, polis dikatakan sedang mengkaji beberapa faktor yang berkemungkinan menjadi motif pembunuhan kejam itu, antaranya dendam terhadap keluarga mangsa.

Ulasan: Dendam itu datangnya dari hati yang kotor. Dunia dan kita telah melihat keburukan dendam. Kita perlu membersihkan hati supaya dunia menjadi seolah-olah syurga yang di cepatkan sebelum kita menikmati syurga yang sebenarnya di akhirat.

Umno Selangor perlu kuat: Najib
SHAH ALAM: Datuk Seri Najib Razak mahu Umno Selangor mempertahankan kekuatannya berikutan kedudukan negeri itu di Lembah Klang, kawasan penting yang menjadi tempat tumpuan putaran ekonomi, politik dan golongan cerdik pandai.

Ulasan: Selama ini rakyat Melayu meletakkan amanah kepemimpinan bangsa di bawah UMNO. Hasilnya pemimpin politik UMNO dari pelbagai peringkat mengaut kekayaan dan harta melalui cara yang tidak sah dan orang Melayu rata-ratanya menjadi melukut di tepi gantang. Orang politik UMNO sentiasa memekik Hidup Melayu di perhimpunannya dan meminta orang Melayu terus menyokongnya kerana perjuangan belum lagi selesai walaupun kita telah memberinya 50 tahun sejak merdeka.

Yang selesai ialah harta dan kekayaannya yang telah lama di bahagi-bahagikan sesama kroni mereka. Yang terhegeh-hegeh menyokongnya ialah kita. Apakan daya kita tertipu dengan janji mereka dan leka di buai mimpi sedangkan negara di kuasai oleh orang lain. Suatu hari rakyat Melayu akan sedar menolak UMNO turun dari persada kepemimpinan negara.

Majikan enggan dipersalah pekerja tak bayar PTPTN
KUALA LUMPUR: Majikan tidak seharusnya dipersalahkan atau menanggung akibat jika ada peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang bekerja dengan mereka tidak membayar balik pinjaman secara potongan gaji melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Kelmarin, Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Dr Zulkefli A Hassan, berkata mulai 2010 kerajaan akan mewajibkan semua peminjam PTPTN membayar balik pinjaman secara potongan gaji melalui LHDN bagi memastikan peminjam membayar balik secara teratur dan tetap.

Ulasan: Nampaknya undang-undang negara ini berkaitan dengan kontrak begitu lemah sekali. Di manakah hak keistimewaan pelajar anak Melayu menerima biasiswa seperti di sebutkan dalam Perlembagaan negara?

China bukan ancaman kita
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata Malaysia tidak pernah menganggap pertumbuhan luar biasa China sebagai ancaman, sebaliknya sebagai wadah mempertingkatkan perhubungan dan rantaian kerjasama bagi menjana kemakmuran bersama.

Ulasan: Kalau berani katakan dengan terus terang bahawa Singapura adalah ancaman negara. Apa guna berjiran tetapi bersangka buruk. Senang kita menguruskannya.

Cubaan cipta rekod makan dalam air
LONDON: Beratus-ratus orang berkumpul di dasar sebuah kolam renang di Acton, barat London, untuk mencipta rekod bagi parti makan malam rasmi dalam air terbesar dunia, lapor akhbar The Telegraph.

Ulasan: Kita perlu ingat kebanyakan penyakit manusia berpunca dari makanan.

Kanak-kanak Asia jadi mangsa penyeludupan
LONDON: Beratus-ratus kanak-kanak, kebanyakannya dari Asia diseludup ke Britain untuk dijadikan mangsa perdagangan ganja yang semakin berleluasa di negara itu, lapor akhbar The Independent, semalam. Perangkaan yang diperoleh mendedahkan, ketika penjenayah terancang melonjakkan pengeluaran ganja pada paras tertinggi, sekurang-kurangnya seorang kanak-kanak ditemui polis dalam serbuan di kilang pengeluaran ganja.

Ulasan: Selamatkan kanak-kanak dari penyeludupan dan perhambaan.


Ayam diberi enzim babi: Mudah busuk
KUALA LUMPUR: Mungkinkah ayam daging yang diternak di negara ini diberi enzim babi untuk mempercepatkan tumbesarannya? Isu itu kini hangat diperkatakan di kalangan masyarakat Islam negara ini berikutan penyebaran satu e-mel yang membangkitkan persoalan sejauh mana ayam di Malaysia boleh dijamin bebas daripada enzim tidak halal, terutama babi...(hmetro, 24/9/07).

Ulasan: Tidak pelik perkara ini berlaku kerana umat Islam tidak lagi melaksanakan fardhu kifayah. Kita hidup mewah tapi menyerahkan maruah untuk di pijak. Hidup biar bererti. Terbukti hukum fardhu kifayah sesuai untuk semua zaman untuk kepentingan kita.

Tuesday, September 11, 2007

Pembangkang ‘lemas’ punca rusuhan

KUALA LUMPUR 10 Sept. – Kejadian rusuhan dipercayai membabitkan pengikut parti pembangkang di Jalan Sultan Mahmud, Kuala Terengganu kelmarin disebabkan pembangkang berasa ‘lemas’ berikutan ura-ura pilihan raya umum akan diadakan dalam waktu terdekat ini. Ahli Parlimen Kemaman, Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata, pembangkang khususnya Pas kini bimbang mereka akan mengulangi prestasi buruk di Terengganu pada pilihan raya umum 2004...(UM, 11/9/07).

Ulasan: Siapa yang sebenarnya lemas? UMNO yang menang tapi takut kalah atau PAS yang kalah takut menang? PAS sudah berkali-kali kalah pun selama ini tak lemas. Minta SUHAKAM tolong siasat angkara siapa.

Pemuda UMNO buat laporan polis Jalur Gemilang dibakar
KUALA TERENGGANU 10 Sept. – Pergerakan Pemuda UMNO Terengganu hari ini membuat laporan polis berhubung tindakan perusuh yang dipercayai penyokong parti pembangkang membakar Jalur Gemilang dalam kejadian rusuhan di Jalan Sultan Mahmud di sini kelmarin. ...(UM, 11/9/07).

Ulasan: Minta polis siasat dan bawa pesalah ke muka pengadilan. Senang cerita...

Harga ayam naik Khamis?
IPOH 10 Sept. - Persatuan Peniaga Ayam Itik Perak memutuskan untuk menjual ayam pada harga melebihi harga siling yang ditetapkan oleh kerajaan bermula Khamis ini bagi mengelak daripada terus mengalami kerugian. Pengerusinya, Jimmy Chong Tong Sing berkata, perkara itu sudah dipersetujui oleh lebih 1,000 ahli persatuan yang mahu menjual ayam pada harga RM6.50 sekilogram berbanding harga siling RM5.60 sekilogram.
Beliau berkata, menyedari langkah mereka itu menyalahi undang-undang, semua peniaga bersedia untuk dikenakan tindakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP). ...(UM, 11/9/07).

Ulasan: Kalau pengguna sanggup berlapar sekejap jom kita ajar peniaga bahawa pengguna adalah raja dengan kita memboikot perniagaan mereka. Selama kita terlalu manja dengan hidup ini selagi itu peniaga akan menyusahkan kita lagi dan lagi.

NGO anggap rusuhan memalukan negara
KUALA LUMPUR 10 Sept. – Insiden rusuhan membabitkan 750 orang dipercayai pengikut parti pembangkang di Kuala Terengganu hanya 10 hari selepas negara menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-50 disifatkan sebagai sangat memalukan.

Ulasan: Setuju kerana polis menembak menggunakan peluru hidup bila berdepan dengan rakyat yang tidak bersenjata. Bila lambat ikut perintah kena sebat dengan FRU; bila polis kena, rakyat kena tembak... Pihak FRU berseronoklah menghadapi rakyat yang serba lemah tetapi rakyat kelak akan bangkit melalui peti undi kerana rakyat hakim negara.

Monday, September 10, 2007

Sindiket tipu gadis Orang Asli

KUALA LIPIS: Seorang bapa kepada gadis Orang Asli kini risau anaknya bersama 11 rakan sekampung, terjebak dengan aktiviti tidak bermoral termasuk menjadi pelayan pelanggan (GRO) selepas dilarikan sindiket yang menyamar ejen mencari pembantu rumah...(hmetro, 9/9/07).

Ulasan: Penyakit yang telah lama menimpa orang Melayu yang semakin teruk mula mencari mangsa dari kalangan Orang Asli. Kita punya segala masalah walaupun menghabiskan peruntukan untuk menyambut 50 tahun kemerdekaan negara. Tanya kepada kerajaan BN yang sejak dulu memerintah negara: Malu atau bangga?

750 pembangkang merusuh, rosakkan harta awam di Terengganu

KUALA TERENGGANU 9 Sept. – Kira-kira 750 orang dipercayai pengikut parti pembangkang merusuh dan menyerang polis selepas mereka diarah bersurai daripada menghadiri satu perhimpunan haram di Jalan Sultan Mahmud di sini, malam tadi...(UM, 9/9/07).

Ulasan: Selama ini mereka tak pernah menyerang polis dan selalunya di serang oleh polis. Ini mungkin ada dalang yang mengapi-apikan. Siapa dia? Minta SUHAKAM siasat segera kerana kita tidak mahu polis seronok menembak rakyat di atas nama keselamatan. Dan bila kemudian rakyat tak hormat polis, siapa susah?

Friday, September 07, 2007

Betulkan integriti diri

PUTRAJAYA 6 Sept. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengajak rakyat agar menanam tekad untuk membetulkan integriti diri masing-masing supaya setiap yang dirancang akan membawa kebaikan.
Menurut Perdana Menteri, ini termasuk melakukan muhasabah diri dengan bertanyakan soalan mengenai apa yang betul dan apa yang salah dalam setiap perkara yang dilakukan.
‘‘Dulu saya bercakap mengenai sistem penyampaian awam, berkaitan rasuah, disiplin dan peraturan. Banyak kali dah cakap, jadi hari ini saya ingin cakap pasal diri.
‘‘Yang bantah dan yang menyeleweng semuanya berpunca dari diri kita sendiri, sedangkan peraturan yang banyak itu adalah untuk memperkuat dan memperbetulkan manusia, semua itu termasuk pindaan undang-undang dan peraturan adalah untuk menjadikan kita orang baik,” katanya semasa menyampaikan ucaptama pada Konvensyen Integriti 2007 di sini hari ini...(UM, 7/9/07).

dan

Pupuk nilai integriti dari rumah
PUTRAJAYA 6 Sept. – Pemupukan nilai integriti mesti bermula dari dalam keluarga dan tidak boleh dipindahkan kepada orang lain, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
Dengan itu, katanya, setiap ibu bapa terutamanya yang bekerja perlu mengambil tugas dan tanggungjawab itu dengan serius bagi mengelakkan kehancuran dalam masyarakat....(UM, 7/9/07).

Ulasan: Diri yang baik pun akan hancur bila negara mengamalkan rasuah. Kalau benar-benar sayangkan rakyat yang baik, segerakan tindakan untuk pelaku rasuah dan penyelewengan di dalam negara. Dengan kuasa yang ada lakukan apa yang perlu supaya negara selamat dari rasuah dan rakyat boleh nampak bahawa laksanakan apa yang di kata.

Ahli akademik setuju warna seragam sekolah ditukar
KUALA LUMPUR 6 Sept. – Ahli-ahli akademik bersetuju supaya warna pakaian seragam sekolah sedia ada ditukar kepada warna lain sebagai satu lambang bahawa sistem pendidikan negara sudah berubah dan berkembang maju.
Menurut mereka, warna putih dan jenis pakaian seragam sekolah sekarang boleh dianggap ketinggalan zaman kerana tidak pernah bertukar sejak sistem persekolahan wujud....(UM, 7/9/07).

Ulasan: Asalkan kemas. Fikirlah perkara-perkara lain yang lebih bermanfaat...

Syor BPR dijadikan suruhanjaya
PUTRAJAYA 6 Sept. – Konvensyen Integriti Nasional yang berakhir hari ini mengesyorkan agar Badan Pencegah Rasuah (BPR) dijadikan sebuah suruhanjaya.
Badan itu perlu menjadi sebuah badan bebas dan diberi kuasa untuk melakukan penyiasatan dan pendakwaan.
Perkara tersebut merupakan antara 21 resolusi yang diputuskan oleh lebih 1,200 peserta yang mewakili pelbagai sektor masyarakat pada konvensyen berkenaan....(UM, 7/9/07).

Ulasan: Rakyat menunggu-nunggu kerajaan Pak Lah melaksanakannya kalau benar-benar serius mahu hapuskan rasuah dari negara tercinta ini.

Wednesday, September 05, 2007

Suharto akan dibicara

JAKARTA 4 Sept. – Pejabat Pendakwa Raya Indonesia gagal mencapai penyelesaian di luar mahkamah dengan bekas Presiden Suharto dalam saman sivil yang difailkan terhadapnya pada Julai lalu. Peguam-peguam pendakwa hari ini berkata, saman berkenaan bertujuan mendapatkan semula aset kerajaan dan juga kerugian yang dianggarkan berjumlah lebih AS$1.5 bilion (RM5.16 bilion). Aset dan kerugian itu dikatakan mempunyai kaitan dengan penyaluran dana daripada sebuah pertubuhan kebajikan yang dipengerusikan oleh Suharto kepada syarikat-syarikat yang ada kaitan dengan ahli-ahli keluarganya...(UM, 5/9/07).

Ulasan: Inilah kisah yang tipikal terjadi di negara membangun dan negeri miskin, pemimpin politik pelbagai peringkat menjadi kaya dengan cara yang tidak sah padahal kebanyakan rakyatnya menjadi papa kedana. Bukan kerana negara tidak punya apa tetapi kekayaannya di bolot oleh pemimpin, keluarga dan kroni yang sebenarnya curang kepada rakyat dan negara. Pastikan di mana-mana keadilan di tegakkan.

Ancaman samseng -- Kerajaan didesak lindungi penguat kuasa yang kini takut bertugas
IPOH 4 Sept. – Samseng-samseng kini semakin berani mengancam anggota-anggota penguat kuasa termasuk mengugut untuk menyerang, merosakkan rumah, harta dan mencederakan ahli-ahli keluarga mereka.
Sambil meminta kerajaan dan polis melakukan sesuatu untuk melindungi pasukan penguat kuasa yang menghadapi ancaman samseng dan tonto, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyifatkan ancaman tersebut kini berada pada tahap kritikal. Presiden CUEPACS, Omar Osman berkata, anggota-anggota penguat kuasa yang memerlukan perlindungan polis daripada ancaman samseng ialah pasukan dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP)...(UM, 5/9/07).

Ulasan: Jangan jadikan negara ini negara samseng dengan tidak payah ikut buku. Kebiasaannya di mana-mana pun samseng akan mengamuk bila penguatkuasa menolak rasuah dan melaksanakan undang-undang ikut buku. Siapa berkuasa, polis atau samseng?

Hanya usahawan bumiputera berdaya maju dibantu – TPM
KUALA LUMPUR 4 Sept. – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan akan membantu usahawan bumiputera yang memiliki pengetahuan, kepakaran teknologi dan berdaya saing sahaja pada masa depan.
Timbalan Perdana Menteri menegaskan, bantuan tidak lagi akan diberikan kepada usahawan bumiputera yang mengenali pemimpin negara atau dikenali tetapi tidak mempunyai keupayaan untuk melaksanakan projek-projek kerajaan...(UM, 5/9/07).

Ulasan: Kalau mahu bangsa Melayu jadi hebat, jangan gunakan pengaruh politik pemerintah bila berniaga.

BPR siasat pegawai didakwa rasuah RM2j
SHAH ALAM 4 Sept. – Seorang pegawai atasan dari kumpulan pengurusan dan profesional di Pejabat Tanah dan Galian (PTG) di Selangor sedang disiasat Badan Pencegah Rasuah (BPR) atas dakwaan menerima rasuah RM2 juta. Pengarah BPR Selangor, Mohd. Jamidan Abdullah berkata, siasatan ke atas pegawai muda berusia 26 tahun itu dibuat setelah mendapat maklumat daripada orang awam...(UM, 5/9/07).

Ulasan: Pegawai muda cepat pula di siasat. Siasatlah tanpa mengira bulu. Ahli politik sila jangan masuk campur dalam sebarang kes yang melibatkan undang-undang dan peraturan. Siasat dan pastikan keadilan undang-undang berjalan. Apa hal dengan siasatan tak lengkap yang menyebabkan kes kalah bila berdepan dengan hakim dan pihak Peguam Negara selalu sangat menarik balik tuduhan?

Penternak diberi tempoh sehingga 21 September kurangkan babi

ALOR GAJAH 4 Sept. – Kerajaan negeri memberi tempoh sehingga 21 September ini kepada lebih 60 pemilik ladang babi Kampung Paya Mengkuang untuk mengurangkan ternakan mereka kepada 48,000 daripada 160,000 ekor yang sedia ada.
Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata, semua pemilik ladang terbabit diarah berbuat demikian bermula malam ini...(UM, 5/9/07).

Ulasan: Kalau nak makan pun, jangan sampai menyusahkan orang lain.

Satu kapal diesel dirampas
BUTTERWORTH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berjaya mematahkan cubaan satu sindiket menyeludup keluar 275,000 liter diesel subsidi, dipercayai yang terbesar setakat ini, melalui Dermaga Prai di sini, semalam.
Ketika diserbu sepasukan penguat kuasa KPDNHEP pada kira-kira jam 5 petang, diesel subsidi yang dianggar bernilai RM500,000 itu, sedang dipam dari kapal Victory Star ke kapal Hai Soon yang berdaftar di Myanmar....(BH, 5/9/07).

Ulasan: Terima kasih kepada penguat kuasa KPDNHEP. Kalaulah rasuah di hapuskan dari negara ini, tentu negara makmur dan aman.

Monday, September 03, 2007

Usah panjangkan isu pengadil karate

KUALA LUMPUR 2 Sept. – Malaysia mahu insiden pengadil karate Indonesia yang didakwa dicederakan anggota-anggota polis di Negeri Sembilan minggu lalu tidak dipanjangkan dan ia perlu dibenarkan diselesaikan melalui proses undang-undang. Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, tindakan segelintir pihak mengadakan tunjuk perasaan seperti yang berlaku di Indonesia baru-baru ini hanya akan mengeruhkan keadaan dan menjejaskan hubungan akrab kedua-dua negara…(UM, 3/9/07).

Ulasan: Bila polis menyerang orang awam kenapa usah panjangkan isu? Sejak bila boleh polis menyerang orang? Nanti mungkin ada festival pertahanan diri dari serangan polis Malaysia.

Kenapa kerajaan Malaysia susah sangat hendak minta maaf kepada Indonesia. Sedihnya bila pendakwah tempatan mati di tembak tentera Filipina di Selatan Filipina lama dulu. Kerajaan Malaysia buat tak tahu saja. Tidak menuntut Filipina mengambil tindakan yang wajar mengikut undang-undang yang ada. Kerajaan Malaysia yang di lantik rakyat rupa-rupanya telah lama tidak menghargai nyawa rakyat...

Lanun Selat Melaka berkurangan
PUTRAJAYA 2 Sept. – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata, peningkatan kerjasama dalam kalangan negara pesisir Malaysia, Indonesia dan Singapura, telah banyak mengurangkan kejadian melanun di sepanjang Selat Melaka…(UM, 3/9/07).

Ulasan: Lanun Selat Melaka berkurangan, lanun mungkin terpaksa naik ke darat dan sedang hancurkan Malaysia. Selamat hapuskan rasuah dan penyelewengan dari negara ini.

Kesatuan pegawai JPJ mohon kuasa tangkap pesalah

PORT DICKSON 2 Sept. – Kesatuan Pegawai Pengangkutan Jalan Semenanjung Malaysia (KKPJSM) meminta kerajaan memberi kuasa kepada pegawai penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk menangkap pesalah undang-undang negara.
Presidennya, Hamzah Masri berkata, kuasa itu akan membolehkan pegawai penguat kuasa JPJ membantu agensi penguatkuasaan lain seperti polis, kastam dan imigresen sewaktu mengadakan tugasan rutin mereka di jalan raya…(UM, 3/9/07).

Ulasan: Bila pesalah siapa saja, tidak di tangkap dan di adili, tunggulah kesannya… Rakyat menunggu untuk memilih kerajaan yang prihatin yang tidak suka kepada rasuah dan tidak menyuburkannya.

Guru mahu saman 3 ibu bapa
KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) akan memfailkan saman terhadap tiga ibu bapa yang didakwanya membuat laporan palsu mengenai salah laku guru terhadap murid di sekolah kepada media.
Tindakan drastik itu, yang pertama seumpamanya diambil oleh NUTP, bertujuan memelihara maruah dan imej profesion keguruan di negara ini daripada cuba dicemari perbuatan pihak tidak bertanggungjawab sehingga menimbulkan keresahan masyarakat…(BH, 3/9/07).

Ulasan: Semoga imej guru yang sentiasa di hormati berkekalan. Ibu bapa silalah semak hala tuju didalam kehidupan ini.

JPJ tak layan ancaman mogok pengusaha bas
PORT DICKSON: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), tidak akan tunduk dengan ancaman pengusaha bas ekspres yang mahu melancarkan mogok berikutan tindakannya melaksanakan Ops Bersih II di seluruh negara mulai hari ini.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Ahmad Mustapa Abdul Rashid (gambar), berkata matlamat utama Ops Bersih II ialah menjamin keselamatan penumpang pengangkutan awam terutama bas ekspres, dengan memastikan semua pihak mematuhi peraturan…(BH, 3/9/07).

Ulasan: Selagi rasuah di jauhi, undang-undang akan di hormati. Pemimpin politik jangan campur urusan pentadbiran.

RM1j hadiah pertandingan Felda ceria

PEKAN: Datuk Seri Najib Razak semalam mengumumkan berita gembira kepada warga peneroka sempena sambutan 50 tahun kemerdekaan negara apabila memperkenalkan Pertandingan Keceriaan Tanah Rancangan Felda Peringkat Kebangsaan yang menawarkan hadiah lumayan wang tunai RM1 juta bermula tahun ini…(BH, 3/9/07).

Ulasan: Asalkan jemaah pengadil adalah bukan orang politik parti pemerintah.

Lima perkara jayakan Deklarasi Makkah: PM
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam menggariskan lima perkara utama perlu dilakukan dalam memastikan kejayaan pelaksanaan Program Tindakan Deklarasi Makkah, yang diterima pakai Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) pada 2005. Perdana Menteri yang juga Presiden OIC berkata, lima perkara itu ialah mengekalkan iltizam politik, memperbaharui fikiran dan hati; mengiktiraf kepentingan modal insan; memperuntukkan sumber; menggerakkan komuniti antarabangsa dan bekerjasama meningkatkan kebajikan ummah…(BH, 3/9/07).

Ulasan: Di kebanyakan negera yang menjadi anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), pemimpin-pemimpin politik dari pelbagai peringkat adalah terdiri dari kaya dan berharta dari punca yang di dapati secara tidak adil dan kebanyakan rakyatnya miskin. Perkara yang ke enam perlu untuk setiap anggota OIC ialah menghapuskan rasuah dan penyelewengan dari negara masing-masing.

5,000 kanak-kanak Gaza kurang zat
GAZA: Kanak-kanak yang menderita kekurangan zat akan berdepan masalah kesihatan serius jika krisis di Gaza berterusan, kata pakar kesihatan kepada agensi berita The Media Line. Pengarah klinik perubatan Ard El-Insan di Bandar Raya Gaza, Dr Itedal Al-Khatib, berkata beribu-ribu kanak-kanak di Semenanjung Gaza menderita kekurangan zat makanan meruncing. “Kami berdepan banyak waktu sukar tetapi inilah yang terburuk dalam sejarah 23 tahun perkhidmatan kami,” katanya.

Ulasan: Jom bersama-sama selamatkan kanak-kanak ini kerana merekalah bakal pemimpin masa depan.

Penumpang berang
SUNGAI PETANI: Lebih 100 penumpang di Stesen Bas Ekspres Jalan Pekan Lama di sini, memecahkan cermin sebuah kaunter menjual tiket berikutan bas yang dijanjikan tidak muncul pada waktu ditetapkan, semalam. Mereka bukan sahaja berang bas ditunggu tidak tiba, malah penjual tiket di kaunter itu turut menghilangkan diri.
Penumpang terbabit sepatutnya menaiki bas Cepat Express, Triton, Express Kejora, Express Kesatuan dan Eagle Express bagi destinasi ke Ipoh, Kuala Lumpur, Melaka, Johor Bahru, Seremban, Kota Bharu, Temerloh, Kuantan, Kuala Terengganu, Kajang dan Shah Alam…(hmetro.com.my).

Ulasan: Syarikat sepatutnya menghormati masa penumpang. Bukan hanya pandai ambil duit dan menyusahkan penumpang.