http://muqabalah2009.blogspot.com/
1-Sebagai seorang muslim, saya diajar oleh Islam agar perspektif dan pemahaman saya dibina di atas peringatan dari al-Quran dan al-Sunnah. Mungkin sahaja dakyah-dakyah dari punca lain kelihatan boleh menyakinkan, ada logiknya. Tetapi sebagai seorang muslim, saya wajib meluruskan kefahaman saya mengikut peringatan al-Quran dan as-Sunnah, saya wajib menghadapkan wajah hati dan pertimbangan perasaan saya mengikut qiblat petunjuk tersebut. Sekiranya saya memalingkan wajah hati dan pertimbangan perasaan saya ke arah selainnya, kefahaman agama saya itu sudah tentu tersasar; semoga Allah menyelamatkan kita semua dari kebinasaan itu.
2- Saya mengharapkan rakan-rakan yang mempunyai perbezaan perspektif dan pemahaman dari yang akan saya sebutkan ini akan membetulkan apa-apa yang bengkok dalam kefahaman saya. Apa yang penting ialah kita sama-sama menjunjung tinggi kebenaran yang diajar oleh agama kita. Kita mahu faham mengikut faham agama, kita mahu hidup di atas kehidupan beragama, kita mahu mati berpegang dengan agama, kita mahu dibangkitkan di kalangan ummat yang teguh beragama. Saya saya mengharapkan pendirian saya ini tidaklah berasaskan atau dipengaruhi oleh sokongan saya kepada mana-mana individu, parti politik atau lain-lain kepentingan serta perkiraan duniawi; tetapi hanya semata-mata tulus mengikut apa yang saya faham dari ajaran Islam itu sendiri.
3- Saiyyidina Huzaifah Radiyallah 'anhu mengatakan : "orang ramai telah bertanya Rasulullah Sollallahu 'alaihi wasallam daripada kebaikan; sedangkan saya bertanya tentang keburukan. Saya telah mengetahui yang kebaikan akan mendahului saya. Saya bertanya: Ya Rasulullah: "adakah selepas kebaikan ini akan terjadi keburukan?". Rasulullah bersabda: "Wahai Huzaifah, hendaklah engkau mempelajari Kitabullah 'Azza wa Jalla. Dan hendaklah engkau ikut apa yang ada padanya".Rasulullah mengulanginya sebanyak 3 kali. Huzaifah bertanya sekali lagi : "Adakah selepas kebaikan ini akan terjadi keburukan"?". Baginda bersabda:
" (akan berlaku) fitnah yang membuta dan menulikan (yakni manusia menjadi buta daripada melihat kebenaran dan menjadi tuli dari mendengar kebenaran dan nasihat)". Padanya terdapat penyeru-penyeru di atas pintu-pintu neraka ( menyeru kepada kesesatan yang akan mengelincirkan manusia ke dalam neraka). Maka jika engkau mati , wahai Huzaifah mengigit akar kayu (berseorangan mengasingkan diri dari kumpulan membuat fitnah)lebih baik bagi engkau draipada mengikut salah seorang daripada mereka".
Huzaifah menanyakan Rasulullah tentang sifat penyeru-penyeru di atas pintu neraka tersebut. Rasulullah bersabda:
"Ya, mereka sekulit (satu bangsa) dengan kita dan mereka bertutur dengan bahasa kita"
Matan (text) hadith ini mempunyai sedikit perbezaan dalam riwayat-riwayat yang berlainan. Sebahagian ulama memahamkan fitnah yang diisyaratkan oleh Rasulullah Sollallahu 'alaihi wasallam itu telah berlaku di zaman salaf (awal Islam). Bagaimanapun pengajaran dari hadith ini sentiasa kekal benar dan bermanafaat. Agakan saya , keadaan masyarakat kita hari ini juga mendapat tempias yang kuat dari apa yang diterangkan oleh Rasulullah; zaman yang penuh dengan fitnah, seakan-akan membuta dan menulikan manusia dari melihat sesuatu isu mengikut neraca Islam kerana kuatnya desakan dan asakan dari penyeru-penyeru yang berada di atas pintu neraka itu! Mereka itu sekulit dan sebahasa denga kita! Subhanallah!
3- Allah menyebut dalam al-Quran:
"Sesungguhnya orang-orang yang memfitnah (membuat keburukan) kepada lelaki beriman dan perempuyan beriman, kemudian(daripada kedurjanaan itu) mereka tidak bertaubat, maka bagi mereka azab neraka, dan bagi mereka azab yang membakar" (al-Buruj:10)
Apa yang berlaku sekarang ini memang termasuk dalam perbuatan fitnah, seperti usaha-usaha terancang untuk mengaibkan sesaorang serta keluarganya, menyumpah seranah dengan pelbagai gelaran yang menjijikkan sehinggakan dalam media yang dibaca oleh kanak-kanak.
Mereka datang dengan tuduhan demi tuduhan. Belum selesai yang pertama. mereka datangkan tuduhan kedua. Apa sebenarnya yang mereka mahukan? Yang nyatanya mereka menimbulkan fitnah ke atas peribadi dan keluarga tertentu, mereka menimbulkan fitnah kepada masyarakat dan tanahair, mereka telah mengaibkan negara di mata dunia.
4- Allah berfirman:
"Sesungguhnya orang-orang yang datang dengan 'ifik' (menuduh Saiyyidatina Aishah terlibat dalam zina ) ialah dari kumpulan kamu sendiri. Jangan kamu mengiranya sebagai keburukan bagi kamu, bahkan ianya kebaikan bagi kamu. Tiap-tiap orang dari mereka menanggung dosa yang dilakukan, sementara orang yang berperanan penting daripada mereka, baginya azab yang besar pula (sepadan mengikut peranan). Ketika kamu mendengar berita itu, mengapa orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan tidak bersangka baik dengan sesama mereka sendiri? Dan berkata: Ini adakah ifik (pembohongan) yang jelas-nyata". (Surah an-Nur: 10-11)
Inilah sikap yang al-Quran mengajar kita. Kita bersangka-baik terhadap sesama Islam sehingga terdapat bukti-bukti yang nyata (beyond doubt) sebagaimana yang diajar didalam agama kita.
Katakan walaupun tuduhan terhadap seseorang itu betul dan menepati kenyataan, hanyalah terdapat sedikit keraguan dan ianya tidak memenuhi piawaian syara', lalu kita tolak tuduhan itu kerana bersangka baik terhadap sesama Islam, insya Allah kita masih harapkan pahala 'bersangka-baik' itu daripada Allah.
Sekiranya kita membenarkan tuduhan ke atas orang Islam, apa lagi menyebarkan-luaskan tuduhan tersebut, sedangkan pada hakikatnya tuduhan itu adalah pembohongan semata-mata. Walaupun sekan-akan terdapat unsur-unsur yang boleh menyokong tuduhan tersebut. Maka apa yang kita akan dapat? Kecuali kita mendapat kemurkaan dari Allah dan janji azab neraka yang teramat pedih.
5- Allah menyebut perbuatan homosexual di kalangan kaum Saiyyidina Nabi Lut 'Alahi as-Salam. Allah merakamkan bahawa merekalah yang pertama kali dalam sejarah manusia terlibat dalam salahlaku ini. Allah menyebutkan:
Dan Lut , ketika baginda berkata kepada kaumnya: "Adakah kamu mendatangi kejahatan yang belum pernah dibuat oleh sesiapapun di alam ini?. Sesungguhnya kamu mendatangi sesama lelaki bukan perempuan, bahkan kamu adakah kaum yang melampau"(al-'Araf:8--81).
Datang kepada Saiyyidina Lut, kaumnya dengan bersegera, sedangakan sebelumnya mereka memperbuat kejahatan. Nabi Lut berkata; " Wahai kaumku, mereka ini anak perempuanku, mereka lebih suci bagi kamu (untuk dinikahi). Maka bertaqwalah kepada Allah, dan jangan kamu malukan aku pada tetamuku, tidakkah ada di kalangan kamu orang yang cerdik? Mereka menjawab: " Sesungguhnya engkau telah tahu yang kami tidak berhajat sebenar-benarnya kepada anak-anak perempuan engkau, dan engkau sesungguhnya mengetahui apa yang kami mahukan" (Hud: 78-79)
Allah menyatakan suatu tabiat yang ghalib (norm) bagi orang yang bernafsu kepada sesama lelaki yang mereka tidak berselera kepada perempuan semenjak zaman Saiyyidina Lut itu lagi. Dan banyak keadaan sekiranya mereka berkahwin dengan perempuan sekalipun, mereka gauli isteri secara mereka gauli sesama lelaki.
Tanpa kita menolak kemungkinan terjadi apa yang di luar kebiasaan, tetapi apabila ianya berlaku di luar kebiasaan, maka kita perlu hujjah yang jelas dan kenyataan yang terang bagi menyalahi kebiasaan perkara yang ghalib.
Tuduhan ke atas DSAI meliwat, kemudian tuduhan dia berzina dengan pelacur perempuan adalah tuduhan yang mengatasi kebiasaan yang telah disebut oleh Allah sendiri. Tuduhan itu pula datangnya daripada orang-orang yang terlalu sukar untuk kita mengatakan mereka itu sebagai orang yang adil, thiqah dan tidak fasik; orang yang diterima kesaksian mereka. Tentang syarat kesaksian itu dari orang yang adil di dalam syara agama kita. Sekiranya tuduhan itu datang dari orang-orang fasiq, kita sebagai penganut Islam tidak dapat menerimanya dengan begitu sahaja tanpa penelitian yang rapi. Kita juga tidak boleh membenarkan penuduh-penuduh yang fasiq itu bermahara-lela sesuka hatinya, hukuman mesti dijatuhkan ke atas mereka.
6-Berdasarkan pertimbangan sebegini, pertimbangan yang saya fahami dari petunjuk umum al-Quran dan as-Sunnah, yang saya junjung mengatasi 'bahan-bahan bukti' yang masih mempunyai keraguan, andaian-andaian yang difikirkan munasabah untuk mengiyakan tuduhan tersebut , maka saya didorong oleh keimanan saya kepada kesempurnaan ajaran Islam menolak kesahihan tuduhan ke atas DSAI berdasarkan video itu atau yang seumpama dengannya.
Saya cuba memahami perspektif mereka (termasuk rakan-rakan) yang berusaha untuk mengatakan memang DSAI yang beraksi dalam video tersebut. Saya ikuti hujjah yang dibawa termasuk oleh rakan saya, Kickdefella. Kickdefella sebagai contoh memberi justifikasi, kenapa image lelaki di dalam video itu agak berisi berbanding DSAI, katanya distortion itu boleh berlaku kerana perubahan ratio axis x-y pada frame . Dia juga berdasarkan pergerakan watak di dalam video itu yang katanya menyerupai pergerakan DSAI. Kalau kita secara ikhlas bertanya kenapa ratio axis x-y itu terubah sehingga menimbulkan kekeliruan, kenapa ianya berlaku kerana video itu datangnya dari pihak yang mahu mensabitkan kesalahan DSAI, bukan dari pihak yang cuba menafikan penglibatan DSAI. Kita juga tertanya bagaimana rapatnya hubungan Kickdefella sehingga dia dapat mengenali gerak DSAI terutama dalam berkeadaan yang sedemikian. Kita tidak boleh memastikan seorang yang gerakannya sopan ketika biasa, akan bergerak secara tertib dan sopan ketika dalam posisi sebegitu. Apa yang disebut sebagai keyakinan oleh Kickdefella hanyalah sekadar peringkat telahan tidaklah sampai kepada peringkat yakin. Ianya pada peringkat waham, syak atau zan, bukan peringkat ilmu, bukan peringkat yakin dalam takrifan syara'.
Apa yang kita pasti dengan yakin ialah DSAI mempunyai sejarah sakit tulang-belakang, kita juga masih melihat ada ketika beliau memakai girdle untuk menyokong tulang-belakangnya untuk mengurangkan kesakitan, kadang-kadang kita masih perasan jari-jari beliau sembab membengkak kerana kesan sampingan 'pain-killer'. Untuk mensabitkan hal-hal ini yang saya sebutkan ini, saya sanggup menjadi saksi di dunia dan di akhirat tentang kebenarannya. (walaupun mungkin sahaja dikatakan DSAI hanya berlakun dalam semua keadaan ini). Dengan mengetahui hal-hal yang yakin ini, agar sukar untuk kita padankan dengan tuduhan yang DSAI beraksi rancak dalam video tersebut , tidak sebagai seorang yang pernah sakit tulang belakang ataupun berusia lebih 60 tahun.
7- Dalam pada itu, ini bukan bermaksud sekali-kali yang saya menyetujui pendirian-pendirian DSAI dalam beberapa perkara. Saya bukan setakat menolak sebahagian daripada gagasannya bahkan saya menentang gagasan tersebut. Saya menentangnya berdasarkan kefahaman yang saya fahami dari ajaran al-Quran dan as-Sunnah. Saya tidak menentang atau menyokongnya berdasarkan kepentingan parti atau politik, semoga saya diperlihatkan Allah akan kebenaran sebagai kebenaran serta diberi kekuatan untuk menjayakannya, semoga saya diperlihatkan kebatilan sebagai kebatilan serta diberi kekuatan untuk menolaknya.
Ingin sentiasa saya ulangi doa orang yang beriman di kalangan pengikut Nabi Musa 'Alahi as-Salam:
’Mereka berdoa: "kepada Allah , kami bertawakkal, Wahai Tuhan Kami, janganlah Engkau jadikan kami sasaran fitnah kumpulan yang zalim.Dan selamatkan kami dengan Rahmat engkau daripada tipu-daya orang-orang kafir" (84-85 Surah Yunus)
No comments:
Post a Comment