Wednesday, April 02, 2008

Keluarga juga wajib isytihar harta

KUALA LUMPUR 1 April – Semua menteri dan timbalan menteri bukan sahaja wajib mengisytiharkan harta mereka tetapi juga perlu membuat pengisytiharan terhadap liabiliti masing-masing termasuk semua ahli keluarga mereka. Presiden Transparency International Malaysia (TIM), Tan Sri Ramon Navaratnam berkata, langkah itu wajar kerana pada kebiasaannya nilai liabiliti adalah lebih besar daripada jumlah aset.
‘‘Sebagai contoh apabila seorang menteri mengisytiharkan hartanya kemungkinan ia hanya setakat RM1 juta sahaja tetapi jika dilihat pada liabiliti kemungkinan ia boleh mencecah RM100 juta.
‘‘Begitu juga dengan isteri, anak dan menantu. Kesemua mereka wajib mengisytiharkan aset dan liabiliti mereka supaya rakyat dapat menilai jumlah harta yang mereka miliki,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Pada 19 Mac lalu, Kabinet memutuskan supaya semua menteri dan timbalan menteri mengisytiharkan harta masing-masing buat pertama kali untuk tatapan umum...

Ulasan: Kalau betul membela rakyat semua wakil rakyat (dan isteri, anak dan menantu) sila isytihar harta anda.

Hanya 10 kad sim seorang
CYBERJAYA 1 April – Berkuat kuasa serta merta, setiap individu hanya dibenarkan memiliki tidak lebih 10 kad sim untuk satu talian komunikasi.
Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi Multimedia (SKMM), Datuk Dr. Halim Shafie berkata, peraturan baru itu bertujuan mengelakkan pengguna menyalahgunakan kad sim tersebut selain faktor keselamatan...

Ulasan: Gunalah teknologi untuk melawan teknologi. SKMM tentu ada pakar terlatih. Janganlah guna undang-undang kerana menghabiskan masa mahkamah untuk bersidang.

TLDM perlu kapal MPSV
KUALA LUMPUR 1 April - Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang baru, Laksamana Datuk Abdul Aziz Jaafar berharap kerajaan akan meluluskan pembelian kapal sokongan pelbagai guna (MPSV).
Menurutnya, MPSV itu diperlukan untuk menyokong operasi rondaan dua buah kapal selam Scorpene iaitu KD Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Abdul Razak yang akan diterima TLDM pada tahun depan dan 2010.
Malaysia membeli dua kapal selam jenis Scorpene pada tahun 2002 yang dibina oleh DCN Shipyard International (DCNS) dan rakan kongsi dari Sepanyol, Navantia bernilai RM3.4 bilion pada tahun 2002.
Menurutnya, kerajaan telah meluluskan pembelian kapal selam Agosta 70 yang digunakan untuk melatih 156 pegawai dan anggota di Brest, Peranchis untuk tujuan latihan...

Ulasan: Dengan syarat jangan ada menteri atau sesiapa pun yang pasang lukah untuk mengambil komisyen seperti yang berlaku khabarnya dalam pembelian kapal selam dan jet pejuang Sukhoi baru-baru ini.

Malaysia ada 500,000 laman blog
KUALA LUMPUR 1 April – Sedar atau tidak, tetapi Malaysia adalah antara negara yang memiliki pengendali laman blog yang tertinggi di dunia selepas Kesatuan Eropah dan Indonesia.
Malaysia dianggar memiliki hampir 500,000 blog yang aktif dikendalikan oleh pelbagai pihak atas tujuan berlainan.
Pensyarah Jabatan Media Universiti Malaya, Dr. Abu Hassan Hasbullah berkata, ini menjadikan penggunaan blog sebagai sangat berkuasa dalam mempengaruhi pemikiran rakyat negara ini terutama mengenai politik.
Katanya, blog kini mempunyai jangkauan penyebaran maklumat sangat berkesan memandangkan jumlah pengguna Internet yang melayari web dan blog adalah sangat ramai setiap hari.
“Kajian pihak kami mendapati 70 peratus keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 yang lalu dipengaruhi oleh maklumat yang dipaparkan dalam blog,” katanya....

Ulasan: Di samping berdakwah seperti biasa, para pencinta Islam sewajarnya ada blog masing. Jom kita banjirkan dunia maklumat dengan maklumat Islam dari pelbagai sudut.

Kempen ‘Selamatkan Sufiah’
KUALA LUMPUR 1 April – Kerajaan hari ini memulakan kempen ‘Selamatkan Sufiah’ bagi mencari kaedah untuk membantu menyelamatkan gadis pintar matematik itu yang kini dilaporkan menjadi pekerja seks di Manchester, London.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Zahid Hamidi memberitahu kempen yang diketuai oleh timbalannya, Senator Datuk Dr. Mashitah Ibrahim diyakini dapat menyelesaikan segera masalah gadis itu...

Ulasan: Di samping usaha fizikal, eloklah guna juga cara spiritual untuk berdoa supaya Allah berikan hidayah supaya kaum wanita meninggalkan perbuatan maksiat itu. Rakyat hendak melihat Datuk Ahmad Zahid Hamidi dan timbalannya, Senator Datuk Dr. Mashitah Ibrahim menganjurkan solat hajat dan baca Yasin untuk menyelamatkan semua wanita yang terjebak ke alam pelacuran.

Dutch Lady Malaysia kutuk filem Wilders
KUALA LUMPUR 1 April – Dutch Lady Milk Industries Berhad, sebuah syarikat Belanda yang telah lama bertapak di negara ini mengutuk tindakan Ahli Parlimen Belanda, Geert Wilders menerbitkan filem Fitna.
Pengerusinya, Tan Sri Kamarul Ariffin Mohd. Yassin berkata, bantahan tersebut adalah sejajar dengan pendirian yang dinyatakan oleh pihak kerajaan Belanda...

Ulasan: Kalau hendak berniaga jagalah sensitiviti pelanggan. Kalau hendakkan syarikat berjaya di negara luar, jagalah pelanggan.

No comments: