Wednesday, November 28, 2007

ISA diguna bila wajar – PM

SUBANG 27 Nov. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, kerajaan akan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) untuk menangani perhimpunan haram apabila keadaan memerlukan untuk tindakan sedemikian.

Ulasan: Tetapi dalam kebanyakan kes ISA di gunakan WALAUPUN tidak wajar. Kenapa kerajaan suka menahan orang tanpa tuduhan yang spesifik? Kalau benar-benar ada bukti sila hadapkan suspek ke mahkamah yang bebas dari kuasa eksekutif.

Rotan pelajar perempuan, larangan telefon bimbit mulai tahun depan
KAJANG 27 Nov. – Kementerian Pelajaran bersedia menguatkuasakan hukuman rotan terhadap pelajar perempuan yang melanggar peraturan sekolah, mulai tahun hadapan.
Selain itu, kementerian akan menguatkuasakan larangan penggunaan telefon bimbit di kawasan sekolah walaupun tindakan itu pernah mendapat bantahan keras termasuk daripada ibu bapa.

Ulasan: Kalau perlu gunakalah rotan untuk mendidik pelajar di sekolah sebelum mereka menyusahkan negara yang penuh dengan masalah.

Untuk kereta tetamu – MB
KUANTAN 27 Nov. – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, nombor pendaftaran kenderaan CCC 9 bernilai RM48,000 yang dibida pihaknya bukan untuk kegunaan peribadi beliau tetapi kenderaan tetamu kenamaan kerajaan negeri.
Beliau berkata, pihaknya akan tetap membeli nombor CCC 9 itu walaupun melibatkan kos yang tinggi kerana ia telah dibincang dan diluluskan dalam mesyuarat Exco serta tidak dianggap sebagai satu pembaziran.

Ulasan: Tetamu kerajaan negeri tidak perlukan nombor pendaftaran kenderaan yang hebat. Negeri jadi hebat bukan kerana nombor pendaftaran kenderaan untuk tetamu. Kalau kerisauan pemerintah sama dengan rakyat yang mengejar kehebatan dengan nombor tertentu kenderaaan iaitu menganggap perkara kecil dan remeh sebagai besar, apa lagi kelebihannya di pilih mentadbir dan memerintah negeri (dan negara)?

Panglima: Jadikan TUDM berwibawa
ALOR STAR 27 Nov. – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) perlu menjadi sebuah angkatan udara yang berwibawa memandangkan kestabilan dan kemampuan sesebuah negara kini amat bergantung kepada kuasa udara.
Panglima TUDM, Tan Sri Azizan Ariffin berkata, TUDM amat memerlukan juruterbang-juruterbang yang bukan sahaja bersemangat waja dan berani tetapi berpengetahuan serta berkemahiran agar ia selari dengan arus teknologi pertahanan masa ini.

Ulasan: Tapi sayangnya ada orang (musuh negara?) yang mengambil peluang mendapatkan komisyen sewaktu pembelian alat pertahanan negara kita contohnya kapal selam Scorpene dan jet pejuang Sukhoi sebagai contoh kecil.

Datuk Seri Anwar terus mengulangi dakwaannya, Najib dengan kuasa yang dimilikinya telah melantik syarikat milik Abdul Razak, sebagai agen menguruskan pembelian kapal selam daripada Perancis dengan komisyen berjumlah RM520 juta. Anwar juga turut mendedahkan pembabitan Najib dalam pelantikan syarikat bekas Menteri Penerangan, Dato’ Seri Adib Adam sebagai broker pembelian jet pejuang Sukhoi Russia yang melibatkan pembayaran komisyen berjumlah RM400 juta. Mana BPR? (http://lahabau.blogspot.com/2007/04/skandal-najib-pemimpin-umno-tidak.html).

BPR serbu 10 syarikat balak Kelantan
KOTA BHARU: Badan Pencegah Rasuah (BPR) menyerbu sekurang-kurangnya 10 syarikat dan pejabat kerajaan di negeri ini termasuk Jabatan Perhutanan, bagi membantu siasatan berhubung kes pembalakan haram di Hulu Kelantan.

Ulasan: Apa cerita kalau BPR serbu syarikat balak di semua negeri termasuk di Kelantan? Biasanya orang politik pemerintah mendalangi operasi syarikat-syarikat ini. Rakyat yang cintakan negara ini mahukan rasuah hapus di Malaysia dengan kerjasama BPR.

Friday, November 23, 2007

Universiti Al-Azhar Rekomendasikan Buku-Buku Al-Ikhwan Al-Muslimun untuk Disebarluaskan

Maj’ma Al-Buhuts Al-Islamiyah (Forum Kajian Islam) yang merupakan divisi keilmuan tertinggi di Al-Azhar Kairo, mengeluarkan rekomendasi tentang sejumlah buku karya para pemimpin Al-Ikhwan Al-Muslimun.
Buku-buku itu dinilai layak untuk diketahui masyarkat luas karena “di dalamnya terdapat faedah dan manfaat luar biasa bagi kaum Muslimin melalui penyebaran dakwah Al-Ikhwan yang baik”...(eramuslim.com, 23/11/07).

Ulasan: Mari kita baca dan amalkan serta sampaikan kepada orang lain.

Pampasan RM380j jika tol tak naik
KUALA LUMPUR 22 Nov. – Kerajaan terpaksa membayar pampasan berjumlah RM380 juta kepada syarikat konsesi lebuh raya jika kadar tol tidak dinaikkan pada tahun hadapan, kata Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu.

Ulasan: Ini semua angkara perjanjian di antara kerajaan dan syarikat konsesi yang di buat secara rahsia tapi menggunakan wang rakyat. Sila jadikan dokumen itu harta awam kerana itu bukan berkenaan keselamatan negara.

Tiga juta rakyat Malaysia disahkan sakit mental
SUNGAI PETANI 22 Nov. - Sebanyak 16 peratus atau tiga juta daripada 26 juta penduduk di negara ini disahkan mengalami sakit mental dan jumlah ini adalah sesuatu yang membimbangkan, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

Ulasan: Apabila negara memperkecilkan peranan agama di dalam kehidupan inilah antara akibatnya.

Beri peluang kaum lain berniaga
PUTRAJAYA 22 Nov. – Usahawan bukan bumiputera perlu menyedari perubahan dalam sektor perniagaan yang membuka peluang kepada kaum lain untuk bersaing di pasaran terbuka tanpa disekat oleh kuasa monopoli.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, arus perubahan yang melanda sektor perniagaan menuntut penyertaan bersama dan persaingan daripada semua bangsa.

Ulasan: Monopoli akan berakhir dengan kekacauan apabila golongan tertindas bangun mengambil haknya seperti yang pernah berlaku di Indonesia.

Felda umum bonus RM146.4j kepada peneroka
KUALA LUMPUR 22 Nov. - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan pembayaran bonus insentif produktiviti berjumlah RM146,388,200 kepada 90,322 orang peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) di seluruh negara.
Timbalan Perdana berkata, pembayaran bonus itu akan dibuat pada akhir Disember ini.

Ulasan: Beri duit ambil. Tapi bila mengundi dalam pilihan raya nanti sila pangkah selain BN kerana budaya hidupnya rasuah yang merosakkan negara kita.

Ahli politik Terengganu disiasat BPR
KUALA TERENGGANU 22 Nov. – Seorang ahli politik terkenal merupakan antara 70 individu yang disiasat oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) di negeri ini sejak awal tahun ini berhubung maklumat kegiatan rasuah yang melibatkan mereka.

Ulasan: Berani buat berani tanggung hukuman. Kalau BPR tidak di bawah PM alangkah bagusnya...

Thursday, November 22, 2007

Kuasa undi milik anda

BEGITU pantas masa berlalu, selepas berlangsung dalam suasana penuh gilang-gemilang awal tahun lalu, majlis anugerah yang boleh dilabelkan sebagai 'pilihan raya' khusus untuk artis kini kembali lagi. Mulai hari ini, jika pembaca menyelak akhbar Berita Harian, pasti akan melihat borang senarai pencalonan awal Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2007 (ABP-BH 2007) disiarkan.
Ini bermakna, bermulalah tanggungjawab mereka yang selama ini mengaku menjadi peminat dan penyokong setia seseorang artis itu untuk mengundi selebriti kesayangan mereka.

Ulasan: Pendirian kita sewajarnyalah bantu-membantu dalam perkara kebaikan dan taqwa BUKAN dalam perkara maksiat dan permusuhan. Undi kita datang dari keredhaan kita terhadap maksiat yang ada dan mungkin menyebabkan tersebar maksiat dan kejahatan di bumi Allah ini. Berhati-hati dan jangan tertipu dengan ajakan dan kemilau dunia yang melalaikan.

Jangan letak bahasa Melayu di tempat kedua
KUALA LUMPUR 21 Nov. – Rakyat Malaysia perlu berhenti meletakkan bahasa Melayu di tempat kedua semata-mata kerana lebih mengutamakan bahasa Inggeris yang dirasakan lebih memberi manfaat kepada mereka.
Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan Malaysia, Datuk Dr. Hasan Ahmad berkata, golongan yang bersikap demikian terutamanya profesional, sudah lama dipengaruhi pemikiran zaman penjajah yang mementingkan bahasa Inggeris.

Ulasan: Merdeka bermula dari dalam diri. Penjajah telah balik ke negara asal mereka, kita rupa-rupanya masih sayang kepada mereka melalui cita rasa dan cara hidup mereka sehinggakan bahasa kita dagang di negara kita yang di perintah oleh anak watan. Ke arah mana pemimpin kita?

Wednesday, November 21, 2007

Kerajaan pastikan SPR adil, demokratik – PM

SINGAPURA 20 Nov. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menegaskan sebagai ketua kerajaan di Malaysia, adalah menjadi tanggungjawab beliau memastikan mandat yang diperoleh daripada rakyat untuk memerintah negara diperoleh daripada kemenangan yang berwibawa. Sehubungan itu, kata Perdana Menteri, adalah menjadi hasratnya untuk memastikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjadi sebuah badan yang adil dan demokratik serta membolehkan rakyat Malaysia yang mendaftar sebagai pemilih keluar mengundi.

Ulasan: Semua tindakan merasuah pengundi dalam pelbagai bentuk dan menggunakan jentera kerajaan contohnya kehadiran polis dan unit pencegah rusuhan mengganggu keselesaan ceramah pembangkang, penyokong-penyokongnya melakukan keganasan terang-terangan terhadap penyokong parti pembangkang seolah-olah mendapat restu dari pihak polis, itu budaya siapa? Rakyat tahu bahawa itu bukan budaya parti pembangkang di sini melainkan budaya parti memerintah yang terlalu lama di negara mana pun.

Bila rakyat semakin cerdik dan berfikir menggunakan akal yang waras, bukan perut, maka tiada lagi tempat untuk BN menguasai Malaysia.

Kerajaan terus galakkan pelaburan di WPI
KUALA LUMPUR 20 Nov. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, kerajaan akan terus berusaha menggalakkan pelaburan di Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) bagi membantu memacu pertumbuhan ekonomi negara. Perdana Menteri berkata, antara pelabur asing yang telah menunjukkan minat untuk melabur di WPI setakat ini ialah dari India, China, Singapura, Jepun dan negara-negara Asia Barat.

Ulasan: Sebelum ini pun pelaburan asing telah berlaku di banyak negeri di negara ini. Tapi kenapa sehingga WPI di kendalikan oleh Khazanah Nasional bukan oleh EPU seperti biasa? Kenapa sehingga negara jiran yang buruk, Singapura menjadi ahli jawatankuasa khas di peringkat menteri bagi memantau pelaksanaan pembangunan WPI. Projek WPI adalah masih milik Malaysia bukan milik Singapura...

Perjanjian konsesi lebuh raya belum diumum
KUALA LUMPUR 20 Nov. – Kerajaan belum memutuskan bila perjanjian konsesi lebuh raya akan diumumkan kepada orang ramai, kata Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S.Samy Vellu. Beliau berkata, perkara itu masih lagi dalam perbincangan di peringkat Kabinet dan sebarang keputusan akan diumumkan nanti.
Beliau diminta mengulas desakan ramai pihak yang mahu perjanjian konsesi bagi semua lebuh raya di negara ini didedahkan kepada orang ramai.

Ulasan: Oleh kerana perjanjian itu menggunakan DUIT RAKYAT sewajarnyalah di dedahkan kepada orang ramai. Kalau perjanjian itu menggunakan duit Umno dan/atau duit BN, rakyat tak perlu habis masa untuk tahu.

RM15 juta sehari beli rokok
KUALA LUMPUR 20 Nov. – Tiga juta rakyat Malaysia membelanjakan kira-kira RM15 juta sehari bagi membeli rokok, kata Setiausaha Parlimen Kementerian Kesihatan, Datuk Lee Kah Choon. Beliau berkata, angka yang dibelanjakan itu dijangka terus meningkat berikutan semakin ramai remaja mula merokok.

Ulasan: Kita wajar berhenti menghabiskan wang kita untuk menghisap yang haram dan memudaratkan diri sendiri dan orang lain.

Hakim Mahkamah Tinggi Syariah hadapi 5 tuduhan rasuah
IPOH 20 Nov. – Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Perak, Hassan Basri Shafie hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas lima tuduhan meminta dan menerima rasuah melibatkan wang tunai RM5,200 dalam tiga kes berasingan antara Ogos dan September lalu.
Difahamkan beliau adalah hakim mahkamah syariah pertama di negara ini yang didakwa atas pertuduhan rasuah.

Ulasan: Pastikan keadilan meratai semua. Berani buat berani tanggung hukumannya.

Pekerja asing punca kadar penyakit meningkat
KUALA LUMPUR 20 Nov. – Walaupun pekerja asing memberi sumbangan ketara kepada produktiviti dan pembangunan fizikal negara tetapi golongan itu juga mengancam kesihatan rakyat. Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed berkata, kebanjiran pekerja asing di negara ini secara langsung membawa kepada penularan penyakit berbahaya.
‘‘Penyakit-penyakit yang tidak kedengaran sebelum ini secara tiba-tiba menjadi ancaman baru kepada negara ini,” katanya dalam teks ucapan perasmian Persidangan Pengurusan Risiko Perubatan Pencegahan Asia Pasifik Keempat di sini hari ini.

Ulasan: Gara-gara pemimpin hendak Malaysia maju cepat, inilah harga yang perlu di bayar oleh rakyat negara ini. Itu belum mengambil kira masalah keselamatan dsbnya.
Rakyat ada 2 pilihan: Kerajaan kena kurangkan pekerja asing yang bermasalah atau pilih kerajaan yang berakhlak dalam pilihan raya yang akan datang.

Sistem pilihan raya Malaysia telus, adil: PM
SINGAPURA: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam menolak dakwaan kononnya kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam setiap pilihan raya umum sudah dirancang, sebaliknya mandat itu diputuskan rakyat menerusi sistem pilihan raya yang telus dan adil. Perdana Menteri menegaskan sejak sekian lama sistem berkenaan dijalankan dengan adil dan bersih tanpa campur tangan parti pemerintah.

Ulasan: Jangan hanya melihat sesuatu itu dari sudut Umno dan BN. Tanyalah parti pembangkang adakah sistem pilihan raya kita adalah yang telus dan adil? Kalau pilihan raya kita adalah telus dan adil kenapa pemantau pilihan raya antarabangsa tidak di beri izin kesini?

Yang tentu menang bila pilihan raya kita mejadi BERSIH, TELUS dan ADIL ialah rakyat dan yang selamat ialah negara. Parti politik pemerintah contohnya BN/UMNO adalah tidak kekal dan boleh berubah, boleh datang dan pergi tetapi yang sudah tentu akan mendapat manfaat ialah rakyat dan negara.

Tiada komisen beli alat pertahanan
KERAJAAN tidak pernah mengambil sebarang komisen daripada urusan pembelian kelengkapan pertahanan, kata Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Zainal Abidin Zin.
Katanya, sistem pembelian harta kerajaan adalah berdasarkan peraturan diluluskan, iaitu bermula dengan cadangan kementerian dan diputuskan oleh Kabinet pada peringkat akhir.

Ulasan: Tapi rakyat jadi confuse bila ada orang yang dapat komisyen dari pembelian alat pertahanan negara kita contohnya kapal selam Scorpene dan jet pejuang Sukhoi.

Anwar terus mengulangi dakwaannya, Najib dengan kuasa yang dimilikinya telah melantik syarikat milik Abdul Razak, sebagai agen menguruskan pembelian kapal selam daripada Perancis dengan komisyen berjumlah RM520 juta. Anwar juga turut mendedahkan pembabitan Najib dalam pelantikan syarikat bekas Menteri Penerangan, Dato’ Seri Adib Adam sebagai broker pembelian jet pejuang Sukhoi Russia yang melibatkan pembayaran komisyen berjumlah RM400 juta (http://lahabau.blogspot.com/2007/04/skandal-najib-pemimpin-umno-tidak.html).

Sila siasat untuk pastikan duduk perkara.
KOTA BHARU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengarahkan semua pegawai dan anggota penguatkuasanya mengisytiharkan harta masing-masing bagi memastikan tiada kakitangannya menyalahgunakan kuasa dan rasuah.

Ulasan: Sila tanya pemandu lori dan pemandu teksi kalau mahu tahu kehebatan pegawai dan anggota penguatkuasa JPJ.

Tolak pindaan Perkara 114
Semalam Menteri di JPM Nazri Aziz membentangkan rang undang-undang bagi meminda Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan bagi menaikkan umur persaraan wajib anggota Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dari 65 tahun sekarang ke 66, termasuklah Pengerusinya. Pengerusi dan anggota SPR menurut Perkara 114 (1) dilantik oleh Yang Di Pertuan Agong setelah berunding dengan Majlis Raja-raja. Dan menurut Perkara 114 (3) mereka berkhidmat sehingga umur 65 atau ditamatkan perkhidmatannya atas apa-apa sebab sebagaimana terkandung dalam peruntukkan tersebut...( http://n32.blogspot.com/, 21/11/07).
Ab. Rashid yang terlibat mengendalikan enam pilihan raya umum sebelum ini...(UM, 21/11/07)

Ulasan: Cukuplah kehebatan Tan Sri selama ini. Berilah jawatan Pengerusi SPR itu kepada orang lain boleh dan yang mungkin lebih hebat serta lebih berwibawa membawa SPR ke kemuncak harapan rakyat iaitu melaksanakan pilihan raya yang BERSIH dan ADIL dalam negara ini.

Monday, November 19, 2007

Kaitkan Yang di-Pertuan Agong memang tindakan terdesak, kata Abdullah

KUALA TERENGGANU 18 Nov — Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyifatkan dakwaan pihak tertentu bahawa Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin memberi perkenan perhimpunan haram di ibu negara pada 10 Nov lepas sebagai satu tindakan terdesak.

Untuk: Memang rakyat terdesak bila pilihan raya negara ini tidak bersih dan tidak adil. Sebagai rakyat kepada Yang di-Pertuan Agong, sewajarnyalah rakyat menyampaikan suara hati kami supaya pilihan raya di negara ini menjadi BERSIH dan ADIL. Apakah kerajaan BN merasa terdesak bila rakyat menuntut hak rakyat?

BN sudah bersedia -- Tarikh pilihan raya ditentukan selepas Parlimen bubar – PM
KUALA TERENGGANU 18 Nov. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, jentera pilihan raya UMNO dan Barisan Nasional (BN) kini berada pada tahap yang amat baik dan bersedia menghadapi pilihan raya umum ke-12 pada bila-bila masa dari sekarang.
Menurut Abdullah, kuasa membubarkan Parlimen terletak di tangan beliau selaku Perdana Menteri, oleh itu pihak lain tidak perlu membuat sebarang spekulasi mengenainya. Katanya, hanya beliau akan menentukan bila tarikh pilihan raya umum ke-12.

Ulasan: Lawak bodoh yang menghabiskan rakyat membacanya.

Beratus lelaki Islam Thai dibebaskan
YALA 18 Nov. – Beratus-ratus lelaki Islam yang ditahan di kem-kem tentera Thailand, hari ini dibenarkan pulang ke rumah mereka di selatan negara ini.
Pemuda seramai 384 orang itu ditahan tanpa sebarang tuduhan sejak awal tahun ini untuk menjalani apa yang disifatkan oleh tentera sebagai latihan pekerjaan.

Ulasan: Kenapa rakyat di tahan tanpa sebarang tuduhan?

Bina 63 masjid dikagumi negara Islam
KUALA TERENGGANU: Pembinaan 63 masjid di seluruh negeri dianggarkan bernilai RM38 juta dalam tempoh tiga tahun mulai 2004 dikagumi beberapa pemimpin negara Islam seluruh dunia. Projek pembinaan itu tidak termasuk kerja-kerja menyiapkan lima daripada enam masjid terbengkalai ketika Terengganu di bawah pemerintahan Pas.
Pemimpin negara luar serta pemimpin badan pertubuhan sukarela Islam kagum atas kesungguhan kerajaan negeri yang bukan saja mampu membina masjid baru, malah berjaya menyiapkan pembinaan masjid terbengkalai dalam tempoh tiga tahun.

Ulasan: Membina masjid lebih mudah tapi menghidupkan masjid perlukan pengorbanan sepanjang hayat. Semoga peruntukan untuk membina masjid memang di gunakan untuk pembinaan seperti di rekabentuk dan mengikut spesifikasi.

Adik peguam lapor polis
KUALA LUMPUR: Adik lelaki peguam terkemuka, Datuk V K Lingam, membuat dua laporan polis mendakwa abangnya terbabit dengan kegiatan rasuah membabitkan beberapa bekas ketua hakim negara, hakim kanan, bekas pendakwa raya dan pegawai kanan polis.

V Thirunama Karasu, 49, mendakwa beliau dipergunakan Lingam untuk memberi rasuah kepada pihak yang terbabit dengan kehakiman, perundangan dan polis serta mengesahkan pembabitan abangnya dalam pemberian rasuah itu.

Thirunama Karasu membuat laporan polis pertamanya di Balai Polis Kelana Jaya pada 16 Mac lalu dan laporan keduanya di Balai Polis Brickfields pada 19 Mac lalu, mendakwa abangnya terbabit dengan rasuah.

Dalam laporan itu, beliau juga mengaitkan pembabitan bekas Ketua Hakim Negara, beberapa hakim kanan, bekas Peguam Negara dan bekas Ketua Polis Negara.

Salinan laporan polis itu diedarkan kepada pemberita pada sidang media oleh peguam, Wee Choo Keong, yang juga Setiausaha Agung Parti Demokratik Malaysia (MDP) di Petaling Jaya di sini, semalam.

Dakwaan Thirunama Karasu ini agak mengejutkan selepas nama Lingam juga dikaitkan dengan rakaman perbualan klip video berhubung perbualannya dengan seorang hakim kanan bagi mengatur pelantikan ketua hakim negara.

Wee berkata, Thirunama Karasu menghubunginya 10 hari lalu dan mengatakan mempunyai bukti mengenai klip video itu.

“Saya mendedahkan nama Thirunama Karasu kerana beliau saksi penting dan Suruhanjaya Diraja harus memanggilnya untuk memberi keterangan dalam siasatan mereka.

“Walaupun ia berisiko tapi polis dan Peguam Negara mengetahui kandungannya melalui laporan polisnya,” katanya sambil menambah beliau akan menyerahkan salinan laporan itu kepada Majlis Peguam dan Pemangku Ketua Hakim Negara.

Thirunama Karasu mendakwa beliau juga pernah menghantar abangnya ke rumah seorang bekas Ketua Hakim Negara pada waktu tengah malam dan mengambilnya semula sejam kemudian.

Beliau juga mendakwa pernah membayar bil telefon bimbit bekas Ketua Polis Negara.

Thirunama Karasu ketika ditemui di rumahnya oleh News Straits Times (NST) semalam berkata: “Saya tidak pernah memberi persetujuan kepada Wee untuk mendedahkan laporan polis itu, Tapi kandungan laporan itu adalah benar,”.

Bagaimanapun, beliau menyatakan kesanggupan untuk memberi keterangan di hadapan Suruhanjaya Diraja yang menyiasat kandungan rakaman perbualan antara Lingam dan hakim kanan.

Ketika ditanya mengapa beliau sanggup membuat laporan polis yang mengaitkan diri dan adik beradiknya sendiri, Thirunama Karasu berkata, beliau berasa bersalah, selain ugutan terhadap keluarganya.

Bekas pekerja Tenaga Nasional itu berkata, beliau diminta Lingam bekerja dengannya pada 1995 tapi keluar pada 1996, kerana tidak tahan.

Thirunama Karasu juga mendakwa pada 1995 beliau menyaksikan Lingam memberi rasuah melalui cek sebanyak RM50,000 kepada seorang bekas hakim Mahkamah Perusahaan, selain menganjurkan makan malam untuk bekas Ketua Hakim Negara.

Katanya, pada 1996 beliau diminta abangnya, menghantar beg kulit, dompet, beg tangan wanita dan beberapa dokumen ke rumah seorang hakim kanan.

Thirunama Karasu berkata, pada 1998 beliau membuat tiga laporan berasingan kepada BPR berhubung pembabitan Lingam dalam rasuah.

Ulasan: Mana polis, mana BPR? Kadang-kadang rakyat tertanya-tanya apa yang sudah sudah jadi dengan segala laporan polis dan laporan BPR yang di buat selama ini? Apakah untuk seronok-seronok saja? Kalau polis dan BPR bebas dari gangguan ahli politik pemerintah semasa dan rasuah, alangkah bagusnya.

Pastikan yang bersalah tidak kira sesiapa di adili dan pastikan di hukum adil. Untuk itu, dalam pilihan raya nanti, pilihlah calun yang bermaruah.

Friday, November 16, 2007

Klip video: Suruhanjaya Diraja mungkin ditubuh

KUALA LUMPUR: Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, tidak menolak kemungkinan kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menjalankan inkuiri berhubung kesahihan rakaman perbualan telefon yang didakwa antara seorang peguam dan hakim kanan mengenai pelantikan Ketua Hakim Negara...(BH, 16/11/07).

Ulasan: Rupanya tepatlah suara rakyat lama dulu supaya Suruhanjaya Diraja ditubuhkan untuk menyiasat kes itu.

Singapura hanya pentadbir rumah api
SINGAPURA hanya pentadbir rumah api Horsburgh dan tidak lebih daripada itu, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) diberitahu semalam.
Sehubungan itu, peguam Prof James Crawford yang mewakili Malaysia berhujah semua kegiatan yang dilakukan oleh British dan Singapura berkaitan rumah api itu bukan satu perbuatan 'titre de souverin atau hak milik Pulau Batu Puteh....(BH, 16/11/07).

Ulasan: Mula-mula hanya tadbir rumah api kemudian perasan menjadi tuan pulau pula. Silap rupanya keputusan Singapura untuk keluar dari Malaysia...

Orang Melayu mesti tambah nilai diri: PM
MELAKA: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang menekankan kepentingan orang Melayu dan umat Islam sentiasa menambah nilai dalam diri, mahu mereka menuntut ilmu pengetahuan seluas-luasnya dengan menjadikan pembangunan modal insan sebagai kepentingan utama....(BH, 16/11/07).

Ulasan: Pemimpin politik Melayu dalam kerajaan BN pula perlu hentikan rasuah dan penyelewengan dari negara ini. Tidak guna menjadi kaya dan berharta kalau caranya tidak halal.

BPR mula siasat bangunan runtuh di Pulau Banding
IPOH: Sepasukan pegawai dan anggota daripada bahagian Kejuruteraan Forensik Ibu Pejabat Badan Pencegah Rasuah (BPR) Putrajaya akan memulakan siasatan mereka hari ini berhubung kejadian runtuhan bangunan Perbadanan Taman Negeri Perak (PTNP) di Pulau Banding, Gerik, Selasa lalu. Pengarah BPR Perak, Samsiah Abu Bakar, berkata pasukan itu dengan dibantu pegawai dan anggota BPR Perak akan mengadakan siasatan di tapak runtuhan hari ini bagi mengenal pasti punca kejadian. Beliau berkata, pasukan itu yang dianggotai pakar teknikal akan mengumpul sampel fizikal seperti cebisan runtuhan untuk dibandingkan dengan spesifikasi yang digariskan dalam perjanjian pembinaan projek bernilai RM4.5 juta itu...(BH, 16/11/07)..

Nota: Akitek terbabit dalam projek berkenaan, Design Dimension Architect's (DDA).
Berita Harian difahamkan DDA adalah juruperunding utama dan ia melantik tiga lagi syarikat dalam pasukannya iaitu Syarikat City Perunding Sdn Bhd, Syarikat KH Zam Engineers Sdn Bhd dan Syarikat JB Consult. Sementara, konkraktor Kelas B, Syarikat Ribu Laksana (M) Sdn Bhd dilantik pada 30 Ogos 2004 sebagai kontaktor utama bagi pembinaan projek berkenaan yang dijadualkan siap pada Ogos 2005. Namun, projek berkenaan hanya dapat disiapkan pada Mac 2006 sebelum diserahkan kepada PTNM pada Jun 2006.

Ulasan: Pastikan yang bersalah, siapa saja, di hukum seadil-adilnya. Sedih juga wang rakyat RM4.5 juta hilang sekelip mata...

Agong kesal dakwaan baginda sokong perhimpunan 10/11

KUALA LUMPUR 16 Nov. - Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin melahirkan rasa kesal dengan dakwaan kononnya baginda dan Istana Negara memperkenankan dan menyokong satu perhimpunan haram di sini Sabtu lepas.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Wan Mohd Safiain Wan Hasan hari ini, Seri Paduka Baginda juga melahirkan rasa kesal dengan perhimpunan itu yang dianjurkan oleh satu kumpulan dikenali Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) yang disokong oleh parti-parti pembangkang...(UM, 16/11/07).

Ulasan: Kalau pun benar berita ini seperti di laporkan tidak bermakna perhimpunan 10/11/07 lalu menuntut piliharaya yang bersih dan adil di laksanakan di negara ini itu SIA-SIA. Semakin ramai rakyat yang sedar dan tidak tunduk patuh atau taat melulu kepada kerajaan yang tidak sukakan pilihan raya yang bersih dan adil. Dalam amalan yang ada di dalam negara ini rakyat yang menentukan siapa pemerintah setiap 5 tahun. Rakyat wajar memilih kerajaan yang bermaruah, bersih dan adil. Rakyat adalah hakim negara.

Projek di Banding tetap diteruskan
IPOH 15 Nov. – Kerajaan negeri tidak akan menghentikan projek pembangunan di sekitar Tasik Banding, Gerik dekat sini, meskipun berlaku runtuhan pada bangunan dua tingkat milik Perbadanan Taman Negeri Perak (PTNP) kelmarin....(UM, 16/11/07).

Ulasan: Sekiranya wang rakyat di habiskan sila pastikan kemudahan itu selamat di gunakan. Hadapkan orang yang bertanggungjawab terhadap runtuhan bangunan semalam (samada rekabentuknya bermasalah atau kontraktor melaksanakan kerja tanpa ikut spesifikasi atau wakil klien yang belot meluluskan) ke mahkamah dan tentukan mendapat hukuman yang adil. Juga sila semak penganugerahan projek kepada kontraktor.

Kereta kebal PT-91M perkasakan tentera darat
GEMAS 15 Nov. - Operasi Tentera Darat akan diperkasakan dengan pengenalan enam kereta kebal jenis PT-91M dari Poland yang kini sedang diuji kekuatan dan daya tahan untuk dilabel sebagai kenderaan operasi ketenteraan.
NOTA: Projek pembekalan PT-91M ini bermula dengan termeterainya kontrak perolehan antara kerajaan Malaysia dengan FTE Bumar Labedy pada 11 April 2003 yang menelan belanja RM1.4 bilion bagi membekalkan 62 kereta kebal pelbagai varian serta sokongan logistik bagi operasi ketenteraan.

Ulasan: Katanya ada orang yang memasang lukah di dalam pembelian peralatan tentera Malaysia. Mereka seronok mendapat duit atas angin dari titik peluh rakyat. Contohnya kapal selam dari Perancis, Sukhoy dari Russia dll. Apa hal dengan kereta kebal ini? Ingatlah bahawa wang yang haram tidak akan membawa kepada kebaikan.

Friday, November 09, 2007

Jangan sertai perhimpunan haram esok – Polis

KUALA LUMPUR 8 Nov. – Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mengingatkan orang ramai supaya tidak menyertai perhimpunan yang dirancang di Dataran Merdeka di sini Sabtu ini kerana ia mampu mencetuskan kekecohan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam. Katanya, memandangkan perhimpunan yang bakal diadakan tidak mendapat permit, polis tidak akan teragak-agak untuk bertindak tegas bagi menghalang perhimpunan itu daripada diadakan.

Ulasan: Tanpa merasa malu dan rasa bersalah sedikit pun apabila rancangan-rancangan jahat Polis melalui anggota cawangan khas (SB-SB) mereka melakukan provokasi menimbulkan kacau bilau dan mencetuskan keganasan di dalam beberapa siri perhimpunan aman yang lepas-lepas didedah dan dibongkarkan, kini pihak polis masih terus-terusan menggunakan taktik untuk menakut-nakutkan rakyat.

Setelah sekalian lama pihak polis yang sepatutnya menjaga keamanan tetapi telah meletakkan undang-undang di dalam tangan mereka, melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan undang-undang seperti mencabul, menyepak, menendang, menampar, mengkasari malah menembak orang ramai menjadikan imej polis sejijik najis yang tidak pernah menjadikan polis sedar dirinya bahawa mereka juga perlu mematuhi undang-undang.

Keputusan Mahkamah Tinggi yang mendedahkan perlakuan ganas dan jelek pihak polis di dalam kes Abdul Malek adalah justifikasi terhadap kebinatangan polis selama ini.

Justeru itu rakyat sudah tidak dapat menerima serta memaafkan polis, apatah lagi amaran atau ancaman, yang selama ini rupa-rupanya polis bertindak membelakangkan undang-undang tetapi tanpa tahu malu menyuruh oranglain mematuhi undang-undang.

Kuasa sebenar bukan di tangan polis, bukan di tangan parti pemerintah, bukan di tangan pegawai-pegawai kerajaan yang bongkak, sombong dan angkuh, tetapi kuasa sebenar adalah di tangan rakyat terbanyak.

Benar kita ada institusi parlimen, benar kita ada sistem pilihanraya, benar kita memilih wakil rakyat melalui peti undi di dalam demokrasi, namun perkara pokok yang menjadi persoalan kini ialah terdapatnya penyelewengan serta korupsi perjalanan sistem pilihanraya yang dilakukan oleh pihak keajaan melalui agennya Suruhanjaya Pilihanraya.

Maka itu perhimpunan aman BERSIH ini di adakan. Menuntut sistem pilihanraya yang adil dan bersih supaya tidak ada lagi keperluan untuk mengadakan perhimpunan seperti ini di masa muka (http://marhaen.ngepeng.com/mar_a_greenboc05.html).

Ajar semula Sains, Matematik dalam bahasa Melayu
KUALA LUMPUR 8 Nov. – Kerajaan digesa mengembalikan semula pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu bagi mengangkasakan tamadun bangsa selain memenuhi peruntukan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Ulasan: Terbukti Umno sengaja melanggar peruntukan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Inilah tradisi Umno yang terlalu mengikut pemimpin walaupun bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Akhbar diminta peka tanggungjawab sosial
KUALA LUMPUR 8 Nov. – Syarikat-syarikat akhbar diminta tidak memikirkan keuntungan semata-mata sebaliknya memenuhi tanggungjawab sosial mereka dalam menyampaikan mesej kerajaan kepada rakyat.

Ulasan: Sebenarnya kerajaan mempunyai berbagai cara untuk menyampaikan mesej kepada rakyat selain daripada akhbar. Akhbar sewajarnya sampaikan mesej rakyat kepada kerajaan.

Wujud badan cegah ketirisan


KUALA LUMPUR 8 Nov. – Enam cadangan dikemukakan kepada kerajaan untuk melonjak serta menyelamatkan ekonomi orang Melayu termasuk langkah mewujudkan Badan Pencegah Ketirisan (BPK). Cadangan tersebut dikemukakan dalam Usul Ekonomi dan Pendidikan yang dibentangkan Ketua UMNO Bahagian Lenggong, Perak, Datuk Saarani Mohamad pada Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Ulasan: Selagi Umno mengekalkan tradisinya berjinak-jinak dengan rasuah, selagi itulah ketirisan akan berlaku. Teringat kata Zunar di dalam kartunnya Hidung.. parti di sebalik Ah Seng.

Malaysia tidak pernah bantah
THE HAGUE, Belanda 8 Nov. – Singapura hari ini menyenaraikan undang-undang serta pelbagai kegiatan yang telah dijalankan oleh republik itu di Pulau Batu Putih sejak tahun 1847 hingga sekarang bagi mempertahankan tuntutan bahawa pulau itu adalah milik mereka.

Ulasan: Boleh mengguna tapi kena ingat siapa pemiliknya. Jiran yang jahat mengandaikan semua yang di gunakannya adalah miliknya.

Monday, November 05, 2007

Kukuh perpaduan parti
KUALA LUMPUR: Perhimpunan Agung Umno 2007 yang bermula hari ini, dilihat penting bagi memperkukuhkan perpaduan parti sebagai persiapan menghadapi pilihan raya umum akan datang, selain meneruskan agenda membela bangsa Melayu untuk tempoh 50 tahun akan datang...(BH.5/11/07).

Ulasan: Apakah 50 tahun yang berlalu tidak cukup untuk membela bangsa Melayu? Dan Umno meminta simpati rakyat Melayu supaya terus menerimanya sebagai parti yang membela bangsa Melayu. Kalau benar berusaha untuk mengelokkan bangsa sepanjang 50 tahun yang berlalu sudah tentu orang Melayu menjadi semakin baik dari semua segi. Tetapi peninggalan Umno hanyalah bilangan orang Melayu masih lagi menjadi majoriti di negara ini tetapi dalam banyak hal tertinggal. Kita terpukau dengan dunia yang lari dari kita.

Kuasa yang ada kepada orang Melayu hanyalah menerima rasuah pada hal rasuah adalah haram. Bangsa lain menjadi hebat kerana usaha sendiri tapi kita kerana meminta rasuah, menerima rasuah, merestui penyelewengan dan menjual projek untuk untung cepat. Kuasa Melayu yang di punyai Umno dapat di beli dengan wang oleh bangsa lain. Semua ini di ajar oleh Umno zaman berzaman. Umno berkuasa hebat tetapi membiarkan anak bangsa tenggelam arus nafsu.

Cukuplah menipu rakyat dan bangsa sendiri. Umno mahu meneruskan agenda membela bangsa Melayu untuk tempoh 50 tahun akan datang? Orang Melayu perlu mencari sokong lain yang lebih jujur, beradab dan beragama. Tinggalkan sokong lama.