Wednesday, November 28, 2007

ISA diguna bila wajar – PM

SUBANG 27 Nov. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, kerajaan akan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) untuk menangani perhimpunan haram apabila keadaan memerlukan untuk tindakan sedemikian.

Ulasan: Tetapi dalam kebanyakan kes ISA di gunakan WALAUPUN tidak wajar. Kenapa kerajaan suka menahan orang tanpa tuduhan yang spesifik? Kalau benar-benar ada bukti sila hadapkan suspek ke mahkamah yang bebas dari kuasa eksekutif.

Rotan pelajar perempuan, larangan telefon bimbit mulai tahun depan
KAJANG 27 Nov. – Kementerian Pelajaran bersedia menguatkuasakan hukuman rotan terhadap pelajar perempuan yang melanggar peraturan sekolah, mulai tahun hadapan.
Selain itu, kementerian akan menguatkuasakan larangan penggunaan telefon bimbit di kawasan sekolah walaupun tindakan itu pernah mendapat bantahan keras termasuk daripada ibu bapa.

Ulasan: Kalau perlu gunakalah rotan untuk mendidik pelajar di sekolah sebelum mereka menyusahkan negara yang penuh dengan masalah.

Untuk kereta tetamu – MB
KUANTAN 27 Nov. – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, nombor pendaftaran kenderaan CCC 9 bernilai RM48,000 yang dibida pihaknya bukan untuk kegunaan peribadi beliau tetapi kenderaan tetamu kenamaan kerajaan negeri.
Beliau berkata, pihaknya akan tetap membeli nombor CCC 9 itu walaupun melibatkan kos yang tinggi kerana ia telah dibincang dan diluluskan dalam mesyuarat Exco serta tidak dianggap sebagai satu pembaziran.

Ulasan: Tetamu kerajaan negeri tidak perlukan nombor pendaftaran kenderaan yang hebat. Negeri jadi hebat bukan kerana nombor pendaftaran kenderaan untuk tetamu. Kalau kerisauan pemerintah sama dengan rakyat yang mengejar kehebatan dengan nombor tertentu kenderaaan iaitu menganggap perkara kecil dan remeh sebagai besar, apa lagi kelebihannya di pilih mentadbir dan memerintah negeri (dan negara)?

Panglima: Jadikan TUDM berwibawa
ALOR STAR 27 Nov. – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) perlu menjadi sebuah angkatan udara yang berwibawa memandangkan kestabilan dan kemampuan sesebuah negara kini amat bergantung kepada kuasa udara.
Panglima TUDM, Tan Sri Azizan Ariffin berkata, TUDM amat memerlukan juruterbang-juruterbang yang bukan sahaja bersemangat waja dan berani tetapi berpengetahuan serta berkemahiran agar ia selari dengan arus teknologi pertahanan masa ini.

Ulasan: Tapi sayangnya ada orang (musuh negara?) yang mengambil peluang mendapatkan komisyen sewaktu pembelian alat pertahanan negara kita contohnya kapal selam Scorpene dan jet pejuang Sukhoi sebagai contoh kecil.

Datuk Seri Anwar terus mengulangi dakwaannya, Najib dengan kuasa yang dimilikinya telah melantik syarikat milik Abdul Razak, sebagai agen menguruskan pembelian kapal selam daripada Perancis dengan komisyen berjumlah RM520 juta. Anwar juga turut mendedahkan pembabitan Najib dalam pelantikan syarikat bekas Menteri Penerangan, Dato’ Seri Adib Adam sebagai broker pembelian jet pejuang Sukhoi Russia yang melibatkan pembayaran komisyen berjumlah RM400 juta. Mana BPR? (http://lahabau.blogspot.com/2007/04/skandal-najib-pemimpin-umno-tidak.html).

BPR serbu 10 syarikat balak Kelantan
KOTA BHARU: Badan Pencegah Rasuah (BPR) menyerbu sekurang-kurangnya 10 syarikat dan pejabat kerajaan di negeri ini termasuk Jabatan Perhutanan, bagi membantu siasatan berhubung kes pembalakan haram di Hulu Kelantan.

Ulasan: Apa cerita kalau BPR serbu syarikat balak di semua negeri termasuk di Kelantan? Biasanya orang politik pemerintah mendalangi operasi syarikat-syarikat ini. Rakyat yang cintakan negara ini mahukan rasuah hapus di Malaysia dengan kerjasama BPR.

No comments: