Friday, November 12, 2010

Kelas Agama Petang Sekolah Menengah NS

SEREMBAN 11 Nov. - Kerajaan negeri akan melaksanakan program Kelas Agama Petang (KAP) bagi pelajar sekolah menengah di seluruh negeri ini tidak lama lagi.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, langkah itu selari dengan hasrat kerajaan negeri memberi peluang kepada golongan terbabit untuk menimba serta mendalami ilmu pengetahuan Islam secara tersusun dan teratur.

Katanya, perkara tersebut juga merupakan hasil daripada kejayaan dan sambutan yang menggalakkan daripada umum di atas pelaksanaan KAP yang diwujudkan sejak 2004 bagi murid sekolah rendah.

''Buat masa ini ia masih berada di peringkat cadangan dan kita akan meneliti setiap aspek secara terperinci sebelum melaksanakannya di peringkat sekolah menengah.

''Namun, bagi peringkat awal kita mungkin akan cuba memulakan program KAP di sekolah menengah yang berasrama di negeri ini," katanya selepas hadir pada Majlis Khatam al-Quran Perdana Sekolah KAP, j-QAF dan Sekolah Agama Rakyat (SAR) Peringkat Negeri Sembilan 2010 di Stadium Tertutup Nilai dekat sini hari ini.

Hadir sama Pengarah Pelajaran negeri, Abdul Halim Abdul Razak serta beberapa Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Menurutnya, ketika ini pelbagai perkara diteliti sebelum ia dapat dilaksanakan termasuk melihat jadual pembelajaran pelajar yang sentiasa padat.

''Pelajar sekolah menengah mempunyai banyak program kurikulum selain kokurikulum. Kita akan lihat kemampuan melaksanakan KAP di sekolah menengah ini," ujarnya.

Jelas Mohamad, pelaksanaan KAP di peringkat sekolah rendah telah menunjukkan hasil yang amat memberangsangkan bukan sahaja daripada segi prestasi murid, malah turut mendapat sambutan baik daripada ibu bapa.

''Sehingga hari ini kita menggunakan 2,355 bilik darjah di sekolah-sekolah rendah kebangsaan di seluruh negeri bagi menjayakan program KAP," ujarnya….

Ulasan: Mari selamatkan generasi pelapis.

No comments: