NEW DELHI: Sebuah firma India melancarkan kondom berperisa paan atau sirih yang direka untuk membangkitkan rasa buah pinang yang kuat dan ramuan tembakau kunyah yang kemudian diludah oleh berjuta penduduk Asia Selatan, lapor akhbar semalam.
Syarikat Hindustan Latex Ltd. mensasarkan keluaran baru kondom itu terhadap pelacur, antara golongan paling terdedah dengan penyakit jangkitan seksual seperti AIDS, lapor akhbar Hindustan Times.
Ulasan: Jangan tertipu dengan perisa. Biasanya kondom di gunakan waktu berzina. Kembalilah kepada Kebenaran dengan menghindari zina. Isteri merasa lebih selesa dengan suami yang tidak berzina. Berzina menghina kaum wanita.
LHDN mampu kutip cukai RM69 bilion tahun ini
KUALA LUMPUR 17 Julai – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dijangka mampu mencapai sasaran untuk mengutip cukai sebanyak RM69 bilion pada tahun ini.
Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, sehingga semalam, cukai yang dikutip oleh LHDN berjumlah RM41.15 bilion, meningkat 11.5 peratus berbanding tahun lalu. Beliau berkata, peningkatan jumlah kutipan itu jelas menunjukkan bahawa kerajaan berjaya menguruskan cukai individu dan syarikat swasta termasuk korporat secara cekap dan berkesan….
Ulasan: Kita sedih kerana meliputi cukai termasuk dari perusahaan haram. Apakah UMNO tidak faham walaupun telah di maklumkan berkali-kali?
Cuaca buruk punca nahas
KUALA LUMPUR 17 Julai – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, nahas membabitkan pesawat Nuri yang mengorbankan enam anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di kawasan Genting Highlands dipercayai berpunca daripada faktor cuaca buruk.
Ulasan: 10 minit berlepas pun salahkan cuaca buruk. Nuri sudah sewajarnya di lupuskan. Atau alat pengesan cuaca di negara tidak berfungsi sebagaimana sepatutnya?
Takziah kepada 6 perwira yang terpaksa berangkat menggunakan helicopter antik.
TUDM bila hendak tunjuk perasaan?
Malaysia bukan negara sekular – TPM
KUALA LUMPUR 17 Julai - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Malaysia bukan negara sekular tetapi merupakan sebuah negara Islam dengan takrifnya yang tersendiri.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Malaysia tidak pernah berpegang kepada sekularisme tetapi didorong oleh asas Islam kerana perlembagaan jelas menyebut bahawa Islam adalah agama rasmi.
“Islam adalah agama rasmi dan kita adalah negara Islam tetapi sebagai sebuah negara Islam tidak bererti kita tidak menghormati mereka yang bukan beragama Islam. Umat Islam dan orang bukan Islam masing-masing mempunyai hak,” katanya.
Ulasan: Dan masih jauh lagi untuk menjadi negara Islam. Sila lihat 10 Sebab mengapa Malaysia bukan negara Islam dalam http://www.tranungkite.net/modules.php?name=News&file=article&sid=562 .
Pembangunan Kampung Baru perlu kekal identiti
KUALA LUMPUR 17 Julai – Orang ramai bersetuju dengan cadangan kerajaan untuk membangunkan Kampung Baru, di sini bagi mengindahkan pemandangan dan kelancaran trafik tetapi mereka meminta agar ciri tradisional sebagai identiti perkampungan Melayu itu terus dikekalkan.
Menurut mereka, ciri tradisional itu penting bagi mengekalkan identiti warisan Melayu yang satu-satunya masih terdapat di tengah-tengah kepesatan pembangunan ibu negara….
Ulasan: Berdasarkan pengalaman di sana sini, jangan letakkan 100% kepercayaan kepada UMNO. Ada pemimpin UMNO sanggup jual projek kerana terpukau dengan kilauan duit. Berhati-hati dengan kehadiran politik UMNO di mana saja.
Kecewa iklan tv siar tingkah laku ‘budak biadab’
KUALA LUMPUR 17 Julai – Ibu bapa dan para pendidik melahirkan kebimbangan mereka akan kesan negatif iklan televisyen terhadap perkembangan tingkah laku kanak-kanak dan mendesak kerajaan supaya lebih tegas dalam penyiaran iklan yang boleh merangsang minda anak-anak untuk melakukan tabiat buruk….
Ulasan: Pepatah Cina menyebut ikan reput mulai dari kepalanya. Semua orang dewasa termasuk pemimpin politik UMNO kena berakhlak mulia di mana saja.
Perompak berjaya larikan Porsche dari balai polis
BUKIT MERTAJAM 17 Julai – Usaha tangga kejayaan. Mungkin pepatah ini menjadi pegangan kumpulan perompak yang gagal dalam cubaan mereka melarikan sebuah Porsche 911 Targa 4 semalam.
Kurang 12 jam selepas kegagalan pertama itu, kumpulan itu mencuba sekali lagi tetapi kali ini dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah iaitu tempat kereta itu disimpan untuk siasatan.
Ulasan: Kami benci rasuah…
200 aduan penyakit pekerjaan setiap tahun
PUTRAJAYA 17 Julai – Kira- kira 200 aduan melibatkan penyakit pekerjaan diterima oleh Kementerian Sumber Manusia setiap tahun. Menterinya, Datuk Seri Fong Chan Onn berkata, sebahagian besar kes melibatkan sektor pekerjaan yang berasaskan bahan kimia. Katanya lagi, kebanyakan pengadu mendakwa mengalami masalah seperti penyakit kulit, kanser, keracunan dan pernafasan akibat pendedahan kepada bahan kimia itu. “Ia berpunca daripada amalan pemilihan dan penggunaan peralatan perlindungan diri yang tidak betul sehingga kepada pembersihan serta pelupusannya. “Apa yang membimbangkan penyakit tersebut berlaku dalam tempoh empat hingga lima tahun selepas pekerja terbabit bekerja di sektor berkenaan,” katanya….
Ulasan: Selamatkan rakyat dari penyakit pekerjaan. Sila tukarkan mentaliti dunia ketiga yang bermudah-mudah dengan aspek keselamatan. Jadikan budaya keselamatan budaya kita.
Hasina, Khaleda diarah kemuka maklumat aset
DHAKA 17 Julai – Kerajaan sementara Bangladesh hari ini mengarahkan dua bekas Perdana Menteri menghantar maklumat mengenai kewangan mereka sebagai sebahagian daripada siasatan rasuah. Setiausaha Pesuruhjaya Antirasuah, Mukhlesur Rahman berkata, Khaleda Zia dan Sheikh Hasina Wajed, yang ditahan berikutan dakwaan memeras ugut semalam, diminta menyediakan maklumat dalam masa seminggu…
Catatan: Sheikh Hasina, pemimpin Liga Awami. Khaleda mengepalai Parti Nasionalis Bangladesh (BNP).
Ulasan: Selamatkan negara kita dari rasuah. Rasuah bukan budaya kita.
Tuduhan rasuah: Menteri Ekonomi Argentina letak jawatan
BUENOS AIRES 17 Julai – Menteri Ekonomi Argentina, Felisa Miceli meletakkan jawatan semalam selepas seorang pendakwa raya mengarahkan beliau memberi keterangan mengenai wang tunai RM217,600 (AS$64,000) yang ditemui di dalam bilik air pejabatnya.
Ulasan: Budaya yang baru bagi menteri-menteri kita. Budaya yang antik di pegang kini adalah tidak akan meletakkan jawatan walaupun apa terjadi. Mesti ada apa-apa kot?
Kari perkuat daya ingatan
WASHINGTON: Sekumpulan penyelidik Amerika Syarikat mendakwa kunyit yang juga kandungan utama juadah kari, berkemungkinan merangsang sistem sel daya tahan badan yang boleh mengatasi masalah Alzheimer - sejenis penyakit otak membabitkan daya ingatan lemah.
Ulasan: Back to nature.
‘Malaysia sama seperti Madinah’
MALAYSIA adalah negara Islam sama seperti Madinah kerana semua kaum diberikan kebebasan untuk menganut agama masing-masing dan kerajaan tidak meminggirkan orang bukan Islam dan minoriti lain di negara ini.
Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Dr Syed Ali Tawfik Al-Attas, berkata Malaysia bukanlah negara Islam ‘Daulah Islamiah’ seperti kerajaan Uthmaniah kerana ada beberapa elemen tidak dapat dipatuhinya.
Beliau berkata, untuk menjadi Daulah Islamiah, sesebuah negara itu perlu memastikan pemerintahnya mampu menunaikan segala janji kepada rakyat dan tidak menipu.
Ulasan: Sama hanya di sudut tertentu sahaja. Di negara kita rakyat perlu memastikan pemerintah menunaikan segala janji kepada rakyat dan tidak menipu dengan memilih kerajaan selain BN/UMNO.
Sekali kerajaan BN/UMNO kalah dalam pilihanraya, mereka akan menjadi lebih baik dan berhati-hati kerana rupa-rupanya rakyat menjadi semakin bijak memilih.
Putera Umno jelajah sekolah
TANJONG MALIM: Putera Umno sedia menjelajah ke semua sekolah di seluruh negara bagi memberi semangat dan motivasi supaya pelajar meninggalkan pelbagai amalan negatif. Pengerusinya, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, berkata pihaknya mahu mendekati pelajar dan memberi motivasi supaya mereka bersikap positif serta memahami betapa susahnya nenek moyang mereka mendapat kemerdekaan.
Ulasan: Tapi sekolah itu bukan kepunyaan parti UMNO.
No comments:
Post a Comment