Wednesday, February 23, 2011

Menteri, diplomat Libya paling tadah

TRIPOLI: Meskipun pemimpin Libya, Muammar Gaddafi enggan akur kepada tekanan dalam dan luar negara, pemerintahannya ditafsirkan goyah berikutan penyokong setianya mula belot selepas diarahkan menembak rakyat yang menunjuk perasaan disusuli arahan supaya media kerajaan menafikannya. 

Menteri Keadilan Libya, Mustapha Abdeljalil, membantah penggunaan kekerasan terhadap penunjuk perasaan disusuli laporan bahawa dua juruterbang pesawat pejuang berpangkat kolonel membawa pesawat Mirage F1 ke Malta dan belot selepas diarahkan menembak pembantah di Benghazi, kata sumber tentera Malta. 

Di Stockholm, tiga kakitangan tempatan di Kedutaan Libya di Stockholm meletakkan jawatan sebagai membantah serangan terhadap orang ramai oleh pihak berkuasa Libya. 
 
Di New Delhi, Duta Libya ke India, Ali al Essawi meletakkan jawatan dan mendesak masyarakat dunia menghentikan keganasan terhadap penunjuk perasaan di negara itu. 

Beliau melepaskan jawatannya kerana tidak setuju keganasan digunakan terhadap orang awam di negara itu. 

Pegawai Kedutaan Libya di Beijing, Hussein El-Sadek El-Mesrati, turut meletakkan jawatan selepas melihat rakyat dibunuh menyifatkan Gaddafi sebagai ‘Hitler.’ 

“Saya mahu beritahu, tolong hentikan, permainan berakhir, keluar, pergi ke Israel. Rakyat kamu di Israel bukan orang Arab,” kata El-Mesrati yang tidak memberitahu kedudukannya ketika bersama-sama menyertai penunjuk perasaan di kedutaan Libya. 
Duta Libya ke Amerika Syarikat, India, Malaysia, Indonesia dan Bangladesh turut mendesak Gaddafi meletak jawatan dan memprotes pembunuhan orang awam. 

Di Kuala Lumpur, kedutaan Libya mengeluarkan kenyataan mengutuk apa yang dikatakan tindakan tidak bertamadun Tripoli membunuh orang awam. Kira-kira 200 warga Libya di Malaysia mengadakan protes secara aman di kedutaan. 

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon, berkata beliau dapat bercakap dengan Gaddafi menerusi telefon selama 40 minit kelmarin dan mendesak beliau menghentikan keganasan terhadap penunjuk perasaan. 

Saksi di Tripoli melaporkan pembunuhan beramai-ramai berlaku di sesetengah kejiranan, bagaimanapun anak lelaki Gaddafi, Saif al-Islam menafikan laporan itu. 

Warga asing sudah mula dikeluarkan dari negara itu, sumber keselamatan di Mesir berkata tentera dikerah untuk ditempatkan di sempadan Libya bagi memantau kemasukan pelarian. 

Antara negara memulakan operasi membawa keluar warga mereka termasuk Jerman, Itali, Greece, Belanda, Turki, Amerika Syarikat, Yaman, Russia dan Norway. 
Pertempuran senjata api berlaku sepanjang malam di Tripoli, apa bila penunjuk perasan menyerang stesen polis dan pejabat penyiaran kerajaan dan membakar bangunan awam. 

Selain itu, landasan lapangan terbang Benghazi musnah dalam keganasan yang melanda Libya menyebabkan pesawat tidak dapat mendarat, kata Menteri Luar Mesir, Ahmed Aboul Gheit. – Agensi

Ulasan: Masalah Libya selesai bila diktator letak jawatan. Bukan dengan membunuh rakyat. 1Gadaffi lwn rakyat Libya.

No comments: