Mesir perlu pilihan raya adil, tanpa campur tangan AS, Israel
KUALA LUMPUR 15 Feb. - Amerika Syarikat (AS) dan Israel tidak seharusnya campur tangan dalam pembentukan kerajaan baru di Mesir bagi membolehkan perubahan yang diimpikan rakyat negara Arab itu menjadi kenyataan.
Pengarah Pusat Kecemerlangan Palestin (PACE), Prof. Madya Dr. Hafidzi Mohd. Noor berkata, rakyat Mesir sejak zaman pemerintahan Anuar Sadat sehinggalah Hosni Mubarak hidup dalam keadaan sengsara dan tertindas.
Menurutnya, mereka begitu marah terhadap kedua-dua pemimpin itu yang gagal meningkatkan kembali ekonomi dan pendapatan mereka namun kerana sistem pilihan raya yang tidak adil maka usaha menukar kerajaan tidak dapat dilakukan melalui peti undi.
"Mesir merupakan antara negara yang kaya tetapi malangnya kerajaan pimpinan secara kuku besi itu hanya mengagihkan kekayaan kepada 1,000 buah keluarga terdekat dan rakan sejawat Presiden sahaja.
"Sistem politik dan ekonomi yang diterapkan di bumi Mesir itulah yang membuatkan rakyat mula muak setelah segala kebajikan termasuk pendidikan, perubatan dan prasarana negara itu juga diabaikan tanpa ada rasa simpati terhadap nasib rakyat," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas kebimbangan sebilangan besar rakyat Mesir mengenai masa depan pasca era Hosni Mubarak kerana nasib rakyat negara itu kini berada di tangan majlis tertinggi tentera.
Rata-rata penduduk Mesir berkata, mereka tidak ada calon Presiden yang baru di samping turut berharap agar pihak tentera negara itu memenuhi janji untuk mengembalikan kuasa kepada rakyat semula.
Sehubungan itu, Hafidzi berkata, Parti Demokratik Kebangsaan (NPD) berkemungkinan tidak mempunyai peluang kedua pada pilihan raya akan datang kerana penduduk Mesir tidak akan lagi memberi kepercayaan mereka terhadap bekas parti pimpinan Mubarak.
Ketika ditanya parti mana yang sesuai untuk menggantikan kepimpinan NDP sebelum ini, Hafidzi memberitahu, gerakan Ikhwan Muslimin dilihat mampu meneraju kerajaan baru negara Mesir itu.
"Gerakan Ikhwan Muslimin mempunyai ramai penyokong kerana mereka pernah menang 80 kerusi pada pilihan raya Parlimen sebelum ini,'' katanya.
Bagaimanapun Hafidzi menambah, kerajaan yang dipilih oleh majoriti rakyat Mesir nanti perlu mengutamakan reformasi politik terlebih dahulu sebelum bertindak untuk menggerakkan reformasi ekonomi.
"Ini kerana, rakyat Mesir sudah lama memendam rasa terhadap pemerintahan Mubarak yang tidak efisien dan korup. Rakyat mahukan perubahan dan menginginkan peluang yang lebih cerah pada masa hadapan," katanya.
Ulasan: Biarkan rakyat Mesir menentukan politik mereka. Rakyat tidak sukakan pemimpin boneka kuasa besar dunia. Jadilah pemimpin yang merdeka di negara Mesir yang merdeka.
No comments:
Post a Comment