Monday, May 21, 2012

Ahi PAS wajib hadir Munajat Perdana di Kedah 1 Jun


Ahi PAS wajib hadir Munajat Perdana di Kedah 1 Jun

Harakahdaily,21 Mei 2012
KUALA LUMPUR, 21 Mei: Seluruh kepimpinan PAS diseru membuat persiapan awal bagi memastikan matlamat himpunan lebih 100,000  di Ijtimak pilihanraya dan Munajat Perdana pada 1 Jun ini di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah berjaya.

Himpunan gergasi itu diadakan selepas mesyuarat PAS Pusat yang diadakan pada 13 Mei yang lalu membuat keputusan menangguh muktamar yang dijadualkan awal Jun.

“Seluruh kepimpinan parti perlu membuat persiapan awal bagi memastikan matlamat himpunan lebih 100,000 ini mencapai kejayaan. Setiap ahli perlu mengambil inisiatif sendiri untuk hadir dalam himpunan perdana ini,” seru Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily hari ini.

Menurut Tuan Ibrahim, ijtimak akan bermula dengan satu taklimat tertutup kepimpinan tertinggi parti seluruh negara dan ahli yang berhormat bersama Presiden bermula jam 10 pagi di kompleks PAS negeri.

Manakala himpunan untuk semua ahli PAS akan bermula seawal jam 4 petang dan dijangka berakhir jam 12 malam, tambah beliau.

“Bawalah apa-apa yang perlu untuk keselesaan munajat. Semua program parti yang bertindih dengan program ijtimak pilihanraya hendaklah ditangguhkan,” kata Pesuruhjaya PAS Pahang itu.

Munajat perdana, kata beliau akan dipimpin sendiri oleh Mursyidul Am PAS Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz.

Manakala amanat Presiden PAS Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan menjadi acara kemuncak ijtimak dan berakhir dengan pembacaan ikrar oleh seluruh ahli PAS, sebagai baiah dan janji setia bagi menggarap usaha bagi mencapai kemenangan.

Ijtimak kali ini juga, kata Tuan Ibrahim akan disertai oleh  beberapa tokoh besar yang menyatakan kesediaan untuk turut sama bergabung dalam PAS. Mereka akan diisytihar secara rasmi bagi menyatakan ikrar dan sokongan mereka kepada parti.

“Semua ahli diseru menjadikan ijtimak kali ini sebagai pemangkin kepada pembinaan semangat juang yang tinggi kepada seluruh jentera, ahli dan penyokong parti. Semoga majlis diberkati Allah,” tambahnya lagi.


Ulasan: Bagus3...kita berdoa kpd Allah minta yg baik2 ke atas negeri dan negara kita. Rakyat terlalu lama mempercayai BN, akhirnya kita tahu sangat-sangat perangai BN bila berkuasa yang menyusahkan rakyat.

No comments: