Tuesday, May 22, 2012

Halang atau galakkan niaga depan rumah Ambiga?



Anis Naziri,22 Mei 2012
KUALA LUMPUR: Tindakan pihak berkuasa menangani isu sekumpulan peniaga yang merancang berniaga di kawasan kediaman Pengerusi Bersama Bersih, Datuk S. Ambiga menimbulkan persoalan.

Khususnya, kenyataan daripada Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Fuad Ismail, yang tidak menghalang kumpulan berhimpun, dalam masa sama menghalang mereka membuka perniagaan.

"Tindakan atau respons pihak berkuasa, sama ada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) atau polis menimbulkan persoalan.  Adakah mereka ini menghalang? Adakah juga menggalakkan? Saya tidak faham," tegas salah seorang Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah(gambar), hari ini.

Beliau yang dihubungi Harakahdaily, berkata pihak berkuasa sepatutnya bertindak lebih tegas dalam menangani isu ini, memandangkan perbuatan kumpulan itu bukan sahaja terhadap Ambiga, tetapi membabitkan kejiranan bekas Presiden Majlis Peguam itu.

Walaupun hari ini, polis dan DBKL bertindak menghantar beberapa anggotanya di laluan utama memasuki kawasan perumahan Ambiga, Maria beranggapan ia sudah 'terlambat'.

"Kita alu-alukan kawalan mereka, tetapi agak terlambat kerana sebelum ini sudah ada beberapa kumpulan yang bertindak dengan mendirikan gerai burger dan senaman punggung, tanpa sebarang tindakan," tegas beliau.

Sekumpulan 60 peniaga, diketuai Pengerusi Majlis Bertindak Peniaga-peniaga Kuala Lumpur, merancang untuk berniaga di kawasan kediaman Ambiga pada Khamis dan Jumaat ini, sehingga tuntutan mereka dipenuhi.

Mengulas lanjut tindakan mereka itu yang dikatakan untuk 'mencuci' Bersih 1, 2, dan 3, Maria berkata golongan terbabit tidak memahami isu yang dijunjung Bersih.

"Ia bukan soal Bersih 1,2, atau 3.  Tetapi ia soal isu menuntut pilihan raya yang bersih, bebas dan adil.  Sayangnya, mereka tidak faham isu tetapi bertindak di luar budaya Malaysia," tegas beliau.

Tanpa menafikan hak mereka untuk berhimpun, Maria bagaimanapun berkata cara mereka berhimpun di hadapan kediaman individu tertentu tidak boleh diterima.

Sehubungan itu, beliau meminta kumpulan tersebut menghentikan rancangan mereka untuk membuka perniagaan di kediaman peguam tersebut, Khamis dan Jumaat akan datang.

Ulasan: Hujah lawan hujah. Bukan menakutkan orang.

No comments: