BUTTERWORTH 31 Julai – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengimbau kembali keperitan yang dilalui para pejuang kemerdekaan negara termasuk bapanya, Datuk Ahmad Badawi Abdullah Fahim dan penyokong UMNO khususnya semasa perhimpunan di Padang Kelab Rekreasi Butterworth pada tahun 1948 yang kini dikenali sebagai Dataran Pemuda Merdeka. Perdana Menteri berkata, pada ketika itu para pejuang yang menuntut kemerdekaan sanggup berkorban apa saja untuk negara termasuk harta benda dan keringat semata-mata bagi memastikan tanah air bebas daripada penjajahan seterusnya ditadbir oleh rakyat tempatan...(UM, 1/8/07).
Ulasan: Kasihan kerana UMNO Baru yang ada sekarang tidak mempunyai sejarah yang hebat kerana pendaftaran UMNO Baru diluluskan pada 13 Februari 1988 selepas UMNO telah diharamkan oleh Mahkamah Tinggi pada 4 Februari 1988 gara-gara tindakan Presidennya sendiri waktu itu. Terpaksa menumpang sejarah parti UMNO lama yang ditubuhkan pada 1946.
Rupa-rupanya rakyat tempatan yang mengambil alih dari penjajah telah memenjarakan Islam sebagai sistem bernegara dan mendewakan cara hidup penjajah walaupun belajar di dalam negara saja.
Utamakan integriti pilih pemimpin – Raja Nazrin
KUALA LUMPUR 31 Julai – Pemimpin atau pihak berkuasa perlu dipilih berdasarkan integritinya terlebih dahulu sebelum melihat kepada kelayakan.
Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah bertitah, mereka dengan latar belakang yang samar atau jelas mempunyai kepincangan moral tidak patut dibenarkan memegang jawatan tersebut. ‘‘Untuk itu, tidak boleh ada toleransi terhadap sikap tidak berakhlak (rasuah) yang menjadi penyakit sosial paling berbahaya terhadap manusia,” titah baginda. Baginda menyampaikan syarahan sulung sempena Siri Syarahan Yayasan Albukhary 2007 bertajuk Ke Arah Susunan Sosial Yang Memuaskan Bagi Semua Warga Malaysia di sini hari ini. Menurut baginda, pemimpin negara menjadi barisan hadapan dalam menentang rasuah melalui prinsip dan amalan mulia seperti yang ditekankan Allahyarham Profesor Syed Hussein Alatas.
Pelantikan kepimpinan tertinggi negara perlu terdiri daripada individu terbaik negara bagi memastikan keyakinan tinggi rakyat terhadap kepimpinan negeri, eksekutif, badan kehakiman dan badan perundangan negara...(UM, 1/8/07).
Halang individu tidak bermoral pegang jawatan
KUALA LUMPUR: Individu yang mempunyai latar belakang yang tidak baik, tidak bermoral termasuk terbabit dalam amalan rasuah tidak sepatutnya dibenarkan memegang sebarang jawatan dalam pentadbiran bagi mengelakkan penyalahgunaan kuasa.
“Rasuah adalah penyakit sosial paling buruk. Amalan rasuah adalah punca kesengsaraan dan kehancuran negara membangun. Ia boleh menghapuskan sistem pentadbiran yang baik, melemahkan institusi, undang-undang dan menghalang perkembangan ekonomi.
“Rasuah wujud hanya untuk keinginan mendapatkan keuntungan peribadi. Sebab itu langkah konkrit perlu diambil untuk membanteras rasuah dan memperkenalkan amalan pengurusan berdasarkan kecekapan, ketelusan dan sikap bertanggungjawab,” titah baginda dalam syarahan sulung sempena Legasi Profesor Syed Hussein Alatas di Muzium Kesenian Islam di sini, semalam...(BH, 1/8/07).
Ulasan: Kita ulang kata-kata baginda: ‘Pelantikan kepimpinan tertinggi negara perlu terdiri daripada individu terbaik negara bagi memastikan keyakinan tinggi rakyat terhadap kepimpinan negeri, eksekutif, badan kehakiman dan badan perundangan negara’.
Utamakan individu berintegriti. Jauhi individu tidak bermoral. Busuk ikan bermula dari kepalanya kata hikmah China.
PM beri penghormatan Hari Pahlawan
KUALA LUMPUR 31 Julai – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini menyempurnakan istiadat meletak kalungan bunga di Tugu Peringatan Negara di sini sempena Hari Pahlawan 2007 sebagai memperingati wira-wira yang gugur semasa mempertahankan tanah air...(UM, 1/8/07).
Ulasan: Kenapa PM secara terang melanggar hukum agama malah menyanggahi fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan yang di keluarkan hampir sepuluh tahun lalu? Majlis Fatwa Kebangsaan telah mengeluarkan fatwa berhubung perbuatan yang melibatkan soal akidah dan dilihat menyamai perbuatan seperti orang-orang jahiliyah beribadat dan sepatutnya PM sendiri perlu menghindari dan menghormati hukum tersebut.
Jelas bahawa UMARA di Malaysia di bawah kerajaan BN/UMNO sentiasa jauh dari hati ULAMA.
Kelab hiburan elit diberi amaran
SHAH ALAM 31 Julai – Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan menarik balik lesen hiburan kelab-kelab persendirian di kawasan pentadbirannya jika didapati melanggar syarat lesen yang telah ditetapkan. Ketika ini, MBSA hanya mengeluarkan lesen hiburan kepada dua buah kelab persendirian di Shah Alam iaitu Kelab Shah Alam dan Kelab Golf Sultan Abdul Aziz Shah (KGSAAS).
Selain itu, kedua-dua kelab berkenaan didapati turut memiliki lesen perjudian yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan.
Datuk Bandarnya, Mazalan Md. Noor berkata, walaupun dua kelab berkenaan tidak melanggar mana-mana peraturan dan syarat yang ditetapkan, namun mereka perlu menjalankan operasi mengikut peraturan yang ditetapkan termasuk aktiviti perjudian.
‘‘MBSA hanya mengeluarkan lesen hiburan manakala lesen perjudian dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan, tetapi kita harap kelab-kelab berkenaan mematuhi peraturan dan syarat termasuk menegah orang Islam mengunjungi kelab untuk berjudi atau melakukan perkara yang dilarang agama...(UM, 1/8/07).
Ulasan: Negara Islam Malaysia di bawah kerajaan BN/UMNO masih menerima judi sebagai punca utama cukai dan pekerjaan?
AS umpan Mesir, Arab Saudi -- Pakej bantuan ketenteraan tangkis pengaruh Al-Qaeda, Hizbullah
SHANNON, Amerika Syarikat (AS) 31 Julai – Setiausaha Negara AS, Condoleezza Rice berlepas ke Asia Barat hari ini dengan berbekalkan pakej bantuan ketenteraan lumayan untuk sekutu rapat Washington iaitu Mesir dan Arab Saudi.
Menurut Rice, pakej tersebut akan membantu menangkis pengaruh Al-Qaeda, Hizbullah, Syria dan Iran...(UM, 1/8/07).
Ulasan: Dua negara di Timur Tengah, satu menjadi miskin kerana kerajaannya korup dan satu kaya tetapi tidak tahu menggunakan kekayaannya untuk memajukan umat di seluruh dunia dan menjadi boneka negara besar, AS. Hidup merdeka dan berprinsip.
Chin Peng kena buktikan status kerakyatan
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini semalam, memutuskan bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng, perlu membuktikan statusnya sebagai rakyat negara ini sebelum permohonannya untuk bermastautin di Malaysia, didengar ...(BH, 1/8/07).
Ulasan: PKM dulunya hebat berjuang untuk mendapatkan kemerdekaannya dari penjajah British. Tapi terlena di buai mimpi kekuasaan hatta sanggup menyerang saudara se negara...
Transformasi kita hebat
PUTRAJAYA: Kerajaan Barisan Nasional (BN) berjaya mengubah Malaysia daripada negara mundur kepada negara dinamik dan progresif selepas kemerdekaan menerusi transformasi yang hebat, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Zulhasnan Rafique. Beliau berkata, transformasi besar yang membawa keamanan, kedamaian, kesejahteraan dan kemakmuran itu membolehkan negara memiliki pelbagai prasarana bertaraf dunia, selain memimpin gagasan antarabangsa seperti Pertubuhan Persidangan Islam (OIC)...(BH, 1/8/07).
Ulasan: Selepas 50 tahun kita merdeka, negara di timpa bermacam-macam masalah contohnya rasuah, salah guna kuasa, lepak, zina, bohsia, bohjan, bunuh, buang bayi, dera, penyalahgunaan dadah, rempit, jenayah ragut dsbnya. Adakah Allah redha dengan negara kita? Jangan hanya seronok menjadi menteri. Bayangkan bila Allah menyoal menteri di akhirat nanti?
No comments:
Post a Comment