KOTA BHARU 3 Mac - Rakyat Kelantan diminta tidak menolak 'tuah' atau manfaat besar yang bakal mereka kecapi ekoran tawaran Barisan Nasional (BN) Kelantan untuk melakukan perubahan di negeri ini.
Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dengan jaminan kerajaan Pusat menyediakan peruntukan hampir RM1 bilion setahun sekiranya BN memerintah, banyak usaha boleh dijayakan demi kesejahteraan rakyat tanpa sebarang halangan.
Kata beliau, apa yang penting pada masa ini bukan lagi soal emosi, sentimen parti atau pemimpin, sebaliknya ia perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas iaitu undi untuk kepentingan negeri.
''Kita kena fikirkan masalah pokok yang melanda negeri kita sekarang. Hutang kerajaan negeri bukan terletak pada Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Nik Mat mahupun Datuk Husam Musa, tetapi bebanan itu pada rakyat," katanya...(UM, 4/3/08).
Ulasan: Cuma bayangkan betapa seronok pemimpin-pemimpin politik BN menghabiskan duit/khazanah negara hampir RM1 bilion setahun di atas nama pembangunan kalau BN berjaya merampas Kelantan. Semoga di jauhkan Allah. Hanya sebahagian peruntukan menjadi projek untuk rakyat, yang lainnya jatuh ke kantung pemimpin BN dan kroni-kroni BN. Seperti yang jelas rakyat lihat berlaku di negeri-negeri lain iaitu rakyat hanya sibuk bekerja siang malam menjadi alat untuk memperkayakan pemimpin politik BN-Umno. Rakyat miskin, pemimpin politik BN bertambah kaya.
Statistik KEMISKINAN TEGAR di Malaysia yang diberikan oleh PM di Parlimen semasa sesi Parlimen 3 September 2007 lalu menunjukkan 5 negeri di kuasai oleh BN iaitu Sabah (paling ramai), Terengganu, Perak, Sarawak, Kedah mempunyai bilangan miskin tegar teramai. Kemudian tempat ke 6 barulah Kelantan yang sering di boikot oleh kerajaan pusat, kerajaan BN. Jangan harapkan Bn kerana rekod buruk menghabiskan wang negeri di atas nama kemudahan untuk rakyat. BN hanya mengurus negeri bila duit negeri banyak (jangan harap BN akan guna wang parti).
Proses undi pos bermula
KUALA LUMPUR 3 Mac – Proses mengundi secara pos melibatkan 219,476 pegawai dan anggota pasukan polis serta tentera yang berkhidmat di dalam dan luar negara bermula hari ini.
Bagi Polis Diraja Malaysia (PDRM), mengundi dilakukan serentak hari ini dan esok di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, ibu pejabat polis kontinjen (IPK) negeri-negeri, semua ibu pejabat polis daerah (IPD), pusat-pusat latihan, briged dan pangkalan polis di seluruh negara. Pusat-pusat mengundi pos untuk pegawai dan anggota polis dibuka dari pukul 8 pagi hingga 5 petang. Ia melibatkan 83,794 pegawai dan anggota termasuk 190 orang yang berkhidmat di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Timor Leste dan Thailand.
Bagi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pula, 111,591 pegawai dan anggotanya serta 24,091 ahli keluarga akan mengundi secara berperingkat-peringkat bergantung kepada penerimaan kertas undi bermula hari ini sehingga 6 Mac ini. Seramai 492 pegawai dan anggota ATM yang bertugas di luar negara dijangka mula mengundi seawal esok. Pada masa ini, beberapa kumpulan pegawai dan anggota ATM menyertai misi PBB di Lebanon, Sudan, Timor Leste, Congo, Ethiopia, Sahara Barat, Kosovo, Liberia, Nepal dan Mindanao di Filipina...
Ulasan: Gunakan hak anda sebagai rakyat memilih dengan kerajaan yang tidak menyuburkan RASUAH dan penyelewengan. Berani kerana benar.
Pas hanya 'janji' bazirkan wang rakyat
JOHOR BAHRU 3 Mac - Pas hari ini dibidas kerana tidak pernah menyatakan kaedah untuk menjana ekonomi negara sebaliknya hanya memberitahu rakyat bagaimana hendak menghabiskan wang kerajaan jika menang pada Pilihan Raya Umum Ke-12.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Pas ketika berkempen hanya menyatakan cara-cara wang kerajaan mahu dibazirkan antaranya memberi elaun kepada ibu tunggal jika menang pilihan raya umum Sabtu ini.
Beliau berkata, tindakan parti itu sesuatu yang memalukan kerana wang yang akan dibelanjakan itu adalah wang kerajaan yang diterajui oleh Barisan Nasional (BN).
Ulasan: Kalaulah wakil-wakil BN sentiasa ingat bahawa wang negara (bukan setakat wang kerajaan) bukan wang BN sudah tentu RASUAH dan penyelewengan boleh di hapuskan dari negara ini. Pemimpin BN di negeri lain (dan di Kelantan bila mendapat peruntukan terus dari kerajaan pusat, kerajaan BN) bukan hanya fikir untuk habiskan wang negara tetapi MELAKSANAKANNYA selama ini. Pemimpin BN jadi kaya, rakyat sibuk bekerja.
Sokong calon BN bukan Melayu
PULAU PINANG 3 Mac - Pengundi Melayu diminta terus memberi sokongan kepada calon bukan Melayu yang diletakkan oleh Barisan Nasional (BN) untuk bertanding di kawasan mereka pada pilihan Raya Umum Ke-12 bagi membolehkan BN terus diberi mandat untuk membangunkan negara.
Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib berkata, BN bersama parti komponennya telah membuktikan kepada rakyat bahawa ia adalah sebuah parti yang dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada semua tanpa mengira kaum, agama dan keturunan.
Katanya, sudah menjadi amalan dalam BN serta UMNO untuk berkongsi kuasa dan saling menyokong antara satu sama lain walaupun calon yang diletakkan adalah dari parti komponen lain.
Ulasan: Selama hampir 500 tahun orang Melayu Islam di Nusantara hebat kerana melancarkan perang kerana mempertahankannya dari penjajah Portugis, Belanda dan Inggeris. Tapi Umno telah menyebabkan orang Melayu menjadi takut dan layu semata-mata ingin berkongsi kuasa dengan bangsa pendatang lain. Hasilnya: orang Melayu semakin terhakis kuasa politik dan ekonominya. Kini ahli Umno mudah menyokong calon dari parti BN tanpa memilih mereka yang BERSIH dari semua segi. Undi kita akan di tanya di hari akhirat kerana memilih pemimpin (kerana wakil rakyat itu adalah pemimpin untuk rakyat) adalah perkara yang serius dalam Islam, bukan main-main.
Pengundi hantu pembohongan Pas
KOTA BHARU 3 Mac - Pas tidak perlu terus menimbulkan isu pengundi hantu kerana rakyat masih belum lupa tentang dakwaan 'pengundi mati' pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Pasir yang terbukti sebagai satu pembohongan.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Annuar Musa berkata, kisah pada perbicaraan petisyen pilihan raya tersebut masih segar dalam ingatan betapa bukan sahaja Pas gagal mengemukakan bukti tetapi menampilkan kelucuan di mahkamah....
Ulasan: Jangan lupa bahawa sebenarnya sudah ada kes pengundi hantu yang di putuskan di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu. The decision of the Kota Kinabalu High Court to order the Barisan Nasional leader, Dato Yong Teck Lee, to vacate his Sabah State Assembly seat because he had won it in the 1999 election 'with the help of phantom voters', has great significance for Malaysian politics and Malaysian democracy. Dimana pun, gaya BN adalah sama. Dengan parti BN yang cintakan dunia, tidak pelik kalau pengundi hantu di rancangkan bersama-sama SPR. Semoga Allah halang rancangan itu.
Kontraktor, jurutera MPAG ditahan BPR
KUALA LUMPUR 3 Mac - Seorang kontraktor binaan dan seorang jurutera Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), Melaka ditahan Badan Pencegah Rasuah (BPR) baru-baru ini kerana dipercayai terlibat dalam satu kes penyelewengan.
Kontraktor syarikat swasta itu disyaki mengemukakan tuntutan mengandungi butiran palsu berkaitan kerja-kerja pembinaan tembok penahan di Taman Kelemak di Alor Gajah. Menurut satu kenyataan Ibu Pejabat BPR hari ini, kontraktor itu mengemukakan tuntutan kos pembinaan berjumlah RM88,100 kepada MPAG sebelum ini.
"Pembinaan sebenar tembok penahan itu hanya melibatkan kos RM41,000 tetapi tuntutan kontraktor berkenaan terlebih RM47,100.
"Jurutera berusia 37 tahun itu ditahan BPR kerana dipercayai bersubahat dengan kontraktor berkenaan," katanya....
Ulasan: Bilis cepat kena. Jerung siapa nak tangkap? Apa cerita 18 kes rasuah yang membabitkan individu berprofil tinggi termasuk menteri yang telah memasuki peringkat akhir siasatan yang didedahkan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan yang ketika itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Rais Yatim pada Februari 2004 lalu? Kini sudah lebih 4 tahun perkara itu diumumkan, apa terjadi sebenarnya? Adakah Jabatan Peguam Negara dan Badan Pencegah Rasuah terlalu lembab membuat kerja sehingga belum selesai sepenuhnya?
Tolak konsep negara kebajikan ala pembangkang
BUTTERWORTH 3 Mac - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu pengundi menolak konsep negara kebajikan yang dicanangkan pembangkang kerana ia akan mengakibatkan rakyat menjadi malas dan boleh menghancurkan ekonomi negara.
Perdana Menteri menegaskan, konsep itu jika dipraktikkan boleh menyebabkan rakyat terpaksa menanggung beban yang tinggi akibat kenaikan inflasi dan defisit....
Ulasan: Negara kebajikan adalah negara maju (contoh: Britain dan Sweden). Kenapa pemimpin BN tidak suka Malaysia menjadi negara kebajikan? Sebab ketiadaan banyak peluang mengaut kekayaan negara sudah selama ini berlaku. Malaysia boleh menjadi negara kebajikan sifar rasuah untuk manfaat rakyatnya. Rakyat boleh menukar kerajaan yang sukakan Malaysia menjadi negara kebajikan sekiranya rakyat boleh mengundi calon wakil rakyat yang BERSIH dari segenap segi.
No comments:
Post a Comment