Thursday, July 21, 2011

Demokrasi Terencat Halang Malaysia Menjadi Negara Islam Contoh

Ditulis oleh Radzi Razak

PETALING JAYA 20 JULAI : Malaysia tidak mungkin menjadi negara Islam contoh selagi ia tidak mengamalkan demokrasi yang mendokong hak rakyat dan bukannya kepentingan pemerintah semata-mata, kata seorang ulama antarabangsa.

Ketua gerakan Ikhwanul Muslimin Kuwait Dr Tareq Al Suwaidan berkata hanya reformasi dan transformasi yang memperuntukan kebebasan politik mampu menganjakkan Malaysia ke arah memimpin dunia Islam susulan revolusi kebangkitan rakyat di beberapa negara Arab sejak awal tahun ini. 

"Tanpa kebebasan politik, tiada apa boleh dilakukan. Lebih banyak saya dengar, baca dan berbincang dengan sahabat mengenai Malaysia, lebih banyak saya mengetahui ini bukan negara yang bebas. Kamu ada demokrasi, ada parti politik. Apa ertinya?, Mubarak juga ada demokrasi dan parti politik. Ia mungkin dapat tipu sesetengah pihak, tapi bukan saya.

"Tidak mungkin ada demokrasi tanpa pilihan raya yang bebas dan tulen. Tidak mungkin ada demokrasi tanpa media yang bebas, telus dan adil," tambah beliau.

Dalam ucapannya kepada pemimpin generasi muda di Yayasan Selangor semalam, Tareq turut merujuk kepada perhimpunan aman Bersih pada 9 Julai lalu yang disertai puluhan ribu rakyat untuk menuntut pilihanraya bersih dan adil.

Bagaimanapun polis bertindak menembak gas pemedih mata dan air berkimia untuk menyuraikan perhimpunan itu dalam adegan-adengan cemas yang mirip kepada kebangkitan rakyat di negara-negara seperti Mesir dan Syria.  

Dr Tareq berkata bantahan rakyat di negara-negara Arab berkenaan tercetus akibat tekanan pemerintah yang berterusan.

Di Malaysia, beliau berkata pelbagai kekangan dikenakan untuk mencantas parti pembangkang. Sebagai contoh, gandingan Parti Keadilan Rakyat, DAP dan PAS masih tidak dibenarkan berdaftar sebagai sebuah parti politik walaupun suda lebih setahun mengemukakan permohonan. 

"Tidak ada demokrasi tanpa kebebasan untuk mendaftarkan parti politik, ya, kamu ada tapi, tak boleh daftar gabungan. Itu kamu tak dapat. Jadi adakah itu satu demokrasi sebenar? Tidak," tegas Dr Tareq lagi….

http://www.tvsnews.net/index.php?q9nan56SpKPkoObnaNGXpVvZn7WscZRg

No comments: