Monday, July 18, 2011

Jika Najib anak jantan, biarkan pilihan raya ADIL

Jika Najib anak jantan, biarkan p’raya adil 
Harakahdaily  

KUALA LUMPUR, 18 Julai: “Jika Perdana Menteri , Datuk Seri Najib Razak tidak mahu rakyat berdemo, sila buat pilihan raya adil dan terima tuntutan Bersih,” kata AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad.

Katanya, Najib mengatakan demo bukan budaya kita, justeru sepatutnya beliau kena berfikir kenapa rakyat berani untuk berdemo walaupun diugut dengan berbagai ugutan.

Beliau berkata, Najib juga tidak boleh mendabik dada kononnya BN kuat, jika berlawan di atas padang yang tidak sama rata.

“Jika benar beliau anak jantan sila biarkan pilihan raya berjalan dengan adil, bebaskan SPR daripada belenggu pemimpin BN.

Biarlah BN berlawan parti melawan parti, bukan kerajaan melawan parti,” ujarnya.

Tambahnya, berikan peluang kepada Pakatan Rakyat (PR) untuk menggunakan televisyen bagi membentang rancangan PR supaya rakyat menjadi hakim negara.

Beliau menambah, demonstrasi aman yang dibuat oleh pihak Bersih pada 9 Julai lalu setelah usaha perundingan dan perbincangan yang telah dibuat dengan pihak SPR tidak dilayan dengan baik terutamanya penggunaan dakwat kekal.

Rakyat, ujarnya tertanya-tanya kenapa kerajaan takut menggunakan dakwat kekal sedangkan sebelum pilihan raya 2008, SPR sudah membeli dakwat kekal yang bernilai RM2.4 juta, akhirnya dibatalkan penggunaannya.

“Datuk Seri Najib dan SPR mengumumkan untuk mengguna sistem biometrik di dalam pilihanraya akan datang untuk menunjukkan pilihanraya di negara ini adil seolah-olah kita minta teh tetapi yang dibawanya kopi,” ujarnya.

Ulasan: Kini cabaran Najib di London terjawab sudah. Lihat berita itu:

Najib: Demonstrasi jalanan bukan jawapan, mari selesai masa PRU 

LONDON, 16 Julai – Datuk Seri Najib Razak berkata demonstrasi jalanan bukan jawapan bagi melahirkan rasa ketidakpuasan hati terhadap kerajaan kerana perbuatan itu boleh menjadi terkawal dan mungkin mengakibatkan kecederaan serta kerosakan harta benda.

“Sekiranya ada pihak yang masih tidak berpuas hati dengan kerajaan, marilah kita selesaikannya apabila tiba pilihan raya dan biar rakyat yang membuat keputusan,” katanya dipetik Bernama Online.

“Kami akan bentangkan kes kami dan pembangkang akan kemukakan kes mereka. Biar rakyat yang menentukannya,” kata Perdana Menteri (gambar) ketika berucap pada perhimpunan rakyat Malaysia di United Kingdom (UK) di sini malam tadi...

No comments: