Tuesday, September 09, 2008

Penjara khas pesalah rasuah

JAKARTA 7 Sept. – Indonesia bercadang membina penjara khas bagi menempatkan pesalah rasuah kerana bilangan mereka yang disabitkan dengan kesalahan itu di negara ini semakin bertambah. Menurut Menteri Keadilan dan Hak Asasi Manusia, Andi Mattalata, pembinaan penjara khas itu juga dapat mengatasi kesesakan sedia ada di penjara-penjara di seluruh Indonesia. Ketika ini terdapat kira-kira 137,000 banduan di penjara seluruh negara berbanding kapasiti asal hanya sekitar 80,000 orang, katanya sebagaimana dipetik oleh akhbar Jakarta Post hari ini.
Pada zaman pentadbiran Presiden Susilo Bambang Yudhoyono, ramai pegawai kerajaan peringkat atasan, anggota Parlimen, pegawai bank dan ahli perniagaan dipenjara kerana rasuah…

Ulasan: Kita harap Malaysia boleh belajar sesuatu dari negara jiran demi untuk jadikan negara ini sifar rasuah. Sepanjang sejarah hanya satu parti memerintah negara ini iaitu BN (dulunya Perikatan). Perikatan dan BN yang menyebabkan meratanya rasuah berleluasa pada hari ini. Jangan salahkan parti pembangkang kerana selamanya tidak ada apa untuk di rasuahkan.

Hapuskan sistem kuota
KUALA LUMPUR 7 Sept. - Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail mahu sistem kuota pemilihan dalam parti dihapuskan kerana ia menjadi punca utama berlakunya politik wang.
Beliau berkata, sejak sistem itu diperkenalkan sebagai syarat pemilihan dalam UMNO, gejala politik wang dilihat semakin berleluasa hingga menyebabkan ia kini bertambah parah dan sukar dibendung. Ujarnya, sistem tersebut mendorong setiap calon yang bertanding sanggup menggunakan apa jua cara termasuk sogokan wang bagi mendapatkan sokongan daripada bahagian atau cawangan bagi membolehkannya merebut jawatan tertentu. ''Sistem ini sebenarnya mendorong calon-calon yang hendak bertanding untuk merebut jawatan dalam UMNO menggunakan wang. Mereka mampu kerana kebanyakan pemimpin UMNO memang mempunyai wang yang cukup banyak.
''Mereka sanggup buat apa sahaja asalkan jumlah kuota mencukupi. Jika kuota tidak cukup bagaimana mereka hendak bertanding. Ini yang saya katakan punca utama berlakunya politik wang,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini...

&

Hapuskan segera sistem kuota
KUALA LUMPUR 8 Sept. - Gesaan Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail supaya sistem kuota dalam pemilihan parti dihapuskan bagi membanteras politik wang perlu dilaksanakan segera.
Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin (gambar) berkata, tindakan itu perlu kerana sistem kuota tersebut telah menyebabkan berlakunya masalah politik wang dalam UMNO yang kini dilihat semakin berleluasa.
Tegas beliau, selagi sistem berkenaan tidak dihapuskan selagi itu masalah politik wang di dalam UMNO tidak akan selesai..

Ulasan: Politik wang (nama lain bagi rasuah) menyebabkan pemimpin Melayu berlunak dengan rasuah untuk menjadi ketua. Duit beli undi, dapat undi jadi pemimpin, dengan kuasa yang ada sebagai pemimpin politik buat duit. Dan begitulah seterusnya berlaku selama ini dalam UMNO. Dunia telah berlabuh di hati ahli politik UMNO yang semakin jauh dari perjuangan membela orang Melayu miskin.

















937 mangsa masih di pusat pemindahan

ALOR STAR 8 Sept. - Keadaan banjir yang melanda Kedah dilaporkan semakin pulih apabila hanya enam pusat pemindahan sementara di Yan dan Pendang masih lagi beroperasi manakala tiga pusat pemindahan di Kuala Muda telah ditutup hari ini.

Sehingga pukul 5 petang ini, seramai 631 mangsa dari tiga daerah berkenaan pulang ke rumah masing-masing secara berperingkat setelah air mula surut tetapi penduduk diminta terus berwaspada bagi menghadapi sebarang kemungkinan banjir berulang.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Yan berkata, seramai 937 mangsa daripada 232 keluarga masih berada di lima pusat pemindahan berbanding 1,115 orang semalam.

Pusat berkenaan ialah Dewan Serbaguna Guar Chempedak seramai 127 mangsa, Surau Kepala Bukit (173), Masjid Titi Teras (347), Surau Teroi Bukit (206) dan Masjid Pekan Teroi (84).

"Penduduk diminta terus berjaga-jaga kerana keadaan cuaca sukar diramalkan pada masa ini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Sementara itu di Pendang, hanya satu pusat pemindahan dibuka di Pejabat Penghulu Guar Kepayang yang menempatkan sekeluarga lima orang dari Kampung Sukamari.

Dalam pada itu, jurucakap Bilik Gerakan Banjir JKM Kuala Muda pula memberitahu, kesemua tiga pusat pemindahan banjir sementara telah ditutup dan mangsa terlibat dibenarkan pulang ke rumah mereka malam tadi.

Bagaimanapun, paras air Sungai Muda dilaporkan meningkat menyebabkan limpahan berlaku terutama di Kampung Rantau Panjang tetapi tiada mangsa yang terpaksa berpindah setakat ini.

Semalam, seramai 1,573 penduduk di tiga daerah di negeri ini iaitu Yan, Kuala Muda dan Pendang dipindahkan ke pusat pemindahan banjir selepas rumah mereka dinaiki air ekoran hujan berterusan sejak beberapa hari lalu.

No comments: