2010/09/22 PETALING JAYA: Dua pengarah syarikat pembinaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen semalam atas tuduhan gagal memastikan keselamatan sehingga mengorbankan tujuh pekerja ketika melakukan kerja meruntuh bangunan di bekas tapak Jaya Supermarket, tahun lalu.
Pengarah Lian Hup Earth Work & Construction Sdn Bhd, Jason Hee Kok Heng dan pengarah Pembinaan CW Yap Sdn Bhd, Yap Choon Wai masing-masing mengaku tidak bersalah atas tuduhan yang dibacakan di depan dua hakim berasingan. Pengakuan Pembinaan CW Yap yang juga kontraktor utama kerja pembinaan itu dibuat oleh Choon Wai di depan Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz, manakala Kok Heng yang mewakili syarikat subkontraktor, Lian Hup Earth Work & Construction di depan Hakim Rozina Ayob. Pembinaan CW Yap dituduh melakukan kesalahan di projek cadangan meroboh bangunan pejabat dan kompleks beli-belah empat hingga sembilan tingkat dan membina semula bangunan kompleks beli-belah tujuh tingkat dan empat tempat letak kereta bawah tanah di atas HSD 173945, Jalan Semangat di sini, pada jam 5 petang, pada 28 Mei 2009.
Lian Hup pula dituduh gagal mematuhi sistem kerja selamat bagi pekerjanya termasuk seorang warga Indonesia, Anwarudin untuk kerja merobohkan bangunan pada masa, hari dan tempat yang sama.
Pembinaan CW Yap didakwa mengikut Seksyen 17(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, manakala Lian Hup didakwa mengikut Seksyen 15 (1) akta sama dan kedua-duanya boleh dihukum denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Selangor, Hazlina Yon dan Jaafar Leman manakala peguam Ooi Huey Min mewakili kedua-dua syarikat berkenaan.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes 27 September ini di hadapan Hayatul Akmal selepas Rozina membenarkan permohonan pihak pendakwaan supaya kes digabungkan untuk perbicaraan.
Ulasan: Jangan sampai kita menganggap nyawa pekerja terutamanya pekerja asing murah harganya.
No comments:
Post a Comment