Wednesday, September 01, 2010

Buang Bayi: Punca dan Penyelesaian

OLEH Izzul Islam

Sebelum Nabi Muhammad s.a.w. dituskan sebagai Rasul, masyarakat Arab jahiyyah cukup parah dengan masalah gejala sosial. Kegiatan pelacuran dan penzinaan berleluasa. Lebih malang, masyarakat itu turut mempercayai bahawa anak perempuan membawa sial kepada mereka sehinggakan Umar Ibn Khattab ketika di zaman jahiliyyah sanggup menanam anak perempuannya hidup-hidup.

Keadaan berubah apabila Islam dijadikan pegangan hidup dan sistem yang memerintah. Tamadun Islam yang dibina sejak zaman Rasulullah s.a.w. terkenal dengan sahsiah masyarakat yang luhur dan menjadi tamadun yang terhebat dari segenap sudut.

Negara kita pula pada hari ini berdepan dengan krisis moral yang sangat dahsyat. Pembuangan bayi tanpa mengira jantina lelaki atau perempuan hasil daripada penzinaan yang berleluasa.

Punca

Akibatnya, masyarakat hanya mengejar kehidupan duniawi, materialistik, hiburan dan keseronokan. Jiwa mereka kosong daripada pengisian rohani yang mengingatkan mereka kepada Allah. Sedangkan program-program hiburan dan bergaulan bebas yang meruntuhkan nilai dan moral hebat dipromosikan oleh media cetak dan elektronik. Natijahnya, berlakulah pelbagai masalah sosial, rasuah, penyelewengan kuasa dan sebagainya.

Masalah ini juga merupakan akibat daripada dasar pemerintahan yang tidak berteraskan Islam.

Penyelesaian

Bagi menyelesaikan masalah ini kita harus memandang ke segenap sudut. Saya menyokong pandangan Ustaz Nasrudin Hassan at-Tantawi yang menggariskan lima perkara yang perlu dilakukan bagi mengubat dan mencegah gejala ini. Berikut adalah pandangan saya berkaitan lima perkara tersebut.

1. Pendidikan dan pentarbiyahan

Pendidikan agama hendaklah dijadikan subjek teras daripada peringkat sekolah hingga ke peringkat pengajian tinggi.

2. Pencegahan dan pengawalan

Lubuk maksiat seperti kelab malam hendaklah ditutup. Program-program hiburan hendaklah sentiasa dipantau dan dihadkan.

3. Pembinaan dan pemuliharaan

Mereka yang telah terjebak tidak harus disisihkan. Program insentif dan pembinaan semula perlu diatur untuk mereka. Selain itu, hiburan alternatif bercorak Islam hendaklah diketengahkan bagi mendidik masyarakat dan memulihara keruntuhan sosial ini.

4. Pembicaraan dan penyelidikan

Wacana ilmiah dan penyelidikan perlu dilakukan oleh ahli akademik dan agamawan dan terus disampaikan kepada masyarakat.

5. Keadilan dan ketelusan

Akhir sekali, umat Islam haruslah kembali mendaulatkan syariat Islam yang adil dan telus. Ia bukan sahaja merupakan undang-undang bahkan bersifat mendidik dan mencegah. Apa yang paling penting ialah dengannya negara kita akan sentiasa diberkati oleh Allah S.W.T.

Selain itu, saya juga menyokong cadangan Dewan Pemuda PAS Pusat yang mencadangkan supaya nikah khitbah dipromosikan dengan pakej bantuan yang lengkap bagi membantu anak muda yang berkeinginan untuk berkahwin tetapi belum berkemampuan kerana masih belajar. 
Kita perlu sedar bahawa hanya ada dua penyelesaian untuk mengawal nafsu syahwat iaitu berpuasa dan berkahwin. Jika puasa tidak mampu membendung, maka wajiblah berkahwin dengan syarat-syarat tertentu.

Ibu bapa harus memahami bahawa di zaman serba canggih ini, muda-mudi sangat terdedah kepada hiburan dan pergaulan bebas. Jika kita hanya menghalang tanpa memberikan ruang penyelesaian kepada mereka, maka kita tidak akan dapat mengatasi masalah ini. Ia juga boleh membawa kepada masalah lain seperti lari daripada rumah dan menderhakai ibu bapa.

Wallahua’lam.
Wiraislam.Com
30 Ogos 2010
Kemaman, Terengganu

No comments: