Harakahdaily
SHAH ALAM, 1 Sept: Sultan Selangor mengantung gelaran kebesaran negeri itu dari dua tokoh iaitu Tun Ling Leong Sik dan Puan Phang Oi Chooi @ Phang Ai Tu ekoran tindakan kerajaan mendakwa kedua-duanya ekoran skandal Zon Bebas Perlabuhan Klang (PKFZ).
Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Kerajaan Selangor hari ini, bekas Presiden MCA, Tun Ling digantung keahlian darjah Kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Selangor (D.P.M.S.) bergelar Dato’ yang diberikan pada tahun 1992.
(Gambar: Laporan muka hadapan sebuah akhbar tempatan mengenai dakwaan terhadap Ling Liong Sik berhubung skandal PKFZ.)
Phang pula digantung gelaran keahlian Darjah Kebesaran Dato’ Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (D.S.S.A.) bergelar Datin Paduka yang diberikan pada tahun 2001.
Berikut adalah kenyataan penuh dari SUK Selangor mengenainya.
Penggantungan Gelaran Dan Penggunaan Darjah Kebesaran Dato’ – Dato’ Selangor
Menjunjung titah perintah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, setelah berunding dengan Dewan di-Raja Selangor yang bersidang kali ke 127 pada 19 Ogos 2010 telah berkenan membuat keputusan seperti berikut:
1. Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Ling Liong Sik, bekas Menteri Pengangkutan Malaysia yang telah dikurniakan keahlian darjah Kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Selangor (D.P.M.S.) bergelar Dato’ pada tahun 1992 telah didakwa atas pertuduhan di bawah seksyen 418 dan 417 Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen Putrajaya. Maka dengan ini, keahlian beliau sebagai penyandang Darjah Kebesaran D.P.M.S. adalah digantung. Penggantungan gelaran dan penggunaan darjah kebesaran ini akan disemak semula setelah mahkamah memutuskan Y.A. Bhg Tun tidak bersalah dan dibebaskan atas pertuduhan.
2. Puan Phang Oi Chooi @ Phang Ai Tu, bekas Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Klang yang telah dikurniakan keahlian Darjah Kebesaran Dato’ Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (D.S.S.A.) bergelar Datin Paduka pada tahun 2001 telah didakwa atas pertuduhan di bawah seksyen 409 Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen Klang. Maka dengan ini, keahlian beliau sebagai penyandang Darjah Kebesaran D.S.S.A. adalah digantung. Penggantungan gelaran dan penggunaan darjah kebesaran ini akan disemak semula setelah mahkamah memutuskan beliau tidak bersalah dan dibebaskan atas pertuduhan.
3. Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor membuat keputusan di atas setelah mempertimbangkan bahawa kesalahan-kesalahan yang dipertuduhkan ke atas kedua-dua mereka ini adalah kesalahan serius yang melibatkan kepentingan rakyat dan negara.
Sekian. Harap maklum
Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor
Tarikh: 1 September 2010
Ulasan: Eloklah apa yang telah dilaksanakan oleh Sultan Selangor. Semoga menjadi iktibar kepada negeri lain.
No comments:
Post a Comment