Thursday, September 02, 2010

KUASA RAKYAT Mencetus Budaya Politik Baru

Oleh MOHD RIZAL BIN MOIDEEN

Pemimpin adalah manusia. Mereka mempunyai nafsu yang menghalang cita-cita mereka untuk melakukan kebaikan. Walaupun dasar dan perancangan parti amat baik, tetapi penyelewengan tetap berlaku disebabkan ada dikalangan mereka tidak dapat mengawal nafsu apabila memiliki kekuasaan dan kekayaan terbuka luas. Ia adalah fitrah manusia yang kita wajib memahaminya dan ia banyak telah diberi peringatan dalam sabda-sabda Nabi sallaLlahu ‘alaihi wassalam.

Justeru itu kita sebagai rakyat perlu mempunyai kekuatan untuk mengawal mereka. Di samping kita memilih pemimpin yang dilihat jujur serta amanah, kita juga perlu mewujudkan sistem kawalan politik dan perundangan yang kukuh agar dapat mengawal mereka. 

Negara maju seperti Amerika, Jepun, Korea dan lainnya bukannya mempunyai pemimpin yang benar-benar jujur, tetapi di negara mereka wujud mekanisme politik dan perundangan yang kukuh sehingga para pemimpinnya dapat dikawal dan tidak boleh bertindak sesuka hati.

Negara tersebut memiliki rakyat yang matang dan akan bertindak menegur atau menghukum mereka dalam pilihanraya jika berlakunya penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa.

Sudah sampai masanya Malaysia menuju kepada politik baru dengan kita mendukung kewujudan dua sistem parti iaitu Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) demi kesuburan demokrasi dan kebaikan rakyat. 

Dengan adanya sistem dua parti ini, akan berlakunya keseimbangan dan kawalan kuasa antara kedua-dua pihak apabila mereka diberi amanah untuk memerintah. 

Kita tidak perlu taksub atau terlalu benci kepada mana-mana parti, malah perlu kasih dan mendukung serta memandang kewujudan BN dan PR dari sudut positif. Politik monopoli yang hanya didukung oleh satu parti yang memerintah akan merugikan rakyat kerana mereka boleh memutuskan apa jua dasar dan rakyat perlu menerimanya sama ada setuju atau tidak. Kekuasaan terlalu lama menyebabkan mereka menjadikan negara ini bagaikan kepunyaan mereka dan rakyat tiada mempunyai hak untuk mempertikaikan tindakan mereka. Cengkaman akan berlaku kepada semua badan kerajaan seperti mahkamah, polis, tentera, SPRM, SPR, media massa demi memastikan kuasa mereka kekal. 

Apa yang penting, Malaysia perlu menuju ke arah budaya politik baru. Pergaduhan dan perbezaan politik jangan dibawa dalam bentuk perbalahan peribadi sesama umat Islam. Islam membenarkan kita berbeza pendapat dalam masalah cabang selagi ianya bukan masalah usul yakni akidah. Sikap pulau memulau, hukum menghukum, menyekat bantuan dan biasiswa, tiada menghormati pilihan rakyat, membangkitkan masalah perkauman dan lainnya perlu dihentikan kerana tiada sesuai dengan arah tuju negara dalam mencapai taraf Negara Maju pada 2020.

Malaysia adalah negara majmuk yang didiami rakyat berbilang kaum dan ianya hakikat yang perlu kita terima. Setiap warga Malaysia, baik Melayu, Cina, India dan lainnya mempunyai hak dalam negara selagi ianya diizinkan oleh perlembagaan. Politik yang mengajak permusuhan perlu diganti dengan politik yang menuju penyatuan umat Islam dan kaum demi kestabilan dan kemakmuran negara.

Dalam sistem demokrasi yang diamalkan kini, rakyat diberi kuasa untuk membuat pilihan bagi menaikkan mana-mana parti untuk diamanahkan memerintah. Namun, apa yang penting dalam landskap politik Malaysia, penggiliran kuasa yang berlaku perlu mempertahankan kepimpinan Melayu Islam, kedudukan Raja-Raja Melayu, Islam sebagai agama rasmi Persekutuan, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera tanpa menafikan hak-hak kaum lain sebagai warga Malaysia. 

Di atas dasar ini, PR yang terdiri daripada PAS, PKR dan DAP juga telah bermuafakat dan bersetuju untuk memastikan perkara-perkara dasar tersebut tidak terjejas jika rakyat memberi peluang kepada PR mengambil alih teraju pemerintahan negara dalam pilihanraya akan datang. Persetujuan ini telah dimeterai dalam Konvensyen Pertama Pakatan Rakyat yang telah diadakan pada 19 Disember 2009 di Shah Alam, Selangor.

Maka merujuk kepada permuafakatan dan perjanjian ini, tiada sebab lagi bagi rakyat Malaysia terutama orang Melayu bimbang untuk membuat perubahan atau pergiliran mana-mana gagasan parti sebagai kerajaan. Cumanya, rakyat kini perlu menjadi ‘watchdog' dan lebih peka dalam menilai prestasi antara dua gagasan ini untuk diserahkan amanah mentadbir negara dalam pilihanraya akan datang. Wacana, debat,diolag antara dua pihak yang bertanding serta kebebasan media massa perlu dihidupkan agar sistem demokrasi benar-benar subur. 

Pemimpin akan terkawal apabila rakyat menggunakan hak mereka secara bijaksana tanpa dipengaruhi sentimen emosi kepartian yang melampau. Dalam masa yang sama, ketelusan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) amatlah diperlukan bagi menjamin keberkesanan kuasa rakyat dan memastikan hak tersebut terus terpelihara.

"Dari Rakyat Untuk Rakyat, Berani Berubah dan Merubah!"

MOHD RIZAL BIN MOIDEEN
Presiden GERAK MASSA (GESA)
Emel: rizal@gerakmassa.com
Website: www.gerakmassa.com

Ulasan: Dari Rakyat Untuk Rakyat: Berani Berubah dan Merubah. Marilah kita mendidik rakyat supaya kerajaan menjaga kepentingan rakyat bukan untuk bukan untuk memusuhi rakyat.

No comments: