KUANTAN 2 Sept. – Seorang suri rumah yang menghidap sindrom Down terpaksa mengharungi kepayahan hidup bersama tujuh anaknya sejak ditinggalkan suaminya kira-kira empat tahun lalu.
Dengan hidup umpama ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’, Norhayati Mohd. Ariffin, 35, terpaksa berhempas pulas mencari rezeki demi menyara semua anaknya yang masih bersekolah.
Menurut Norhayati, mereka sekeluarga terpaksa bergantung harap kepada abangnya, Mee Mohd. Arifin, 43, yang bekerja sebagai tukang cat untuk menyara keluarga dan adakalanya dia mengambil upah menyiang ikan di kawasan tempat tinggalnya dengan bayaran RM7 sehari.
“Nasib baik ada rumah setinggan peninggalan arwah emak. Dapatlah kami anak-beranak berteduh di sini walaupun serba kekurangan,” katanya yang lebih 17 tahun tinggal di rumah tersebut di Kampung Jawa di sini.
Bagi Norhayati, biarpun dalam kesusahan, dia tidak akan sesekali mengabaikan persekolahan anak-anaknya iaitu Norafniza Mas, 15; Norasmadiana, 14; Mohd. Zulkarnain, 12; Mohd. Zulalif, 10; Siti Hawa, 9; Norasyikin, 7, dan Adam Alif, 6.
Tinjauan Utusan Malaysia di rumah Norhayati hari ini mendapati, premis itu yang seumpama pondok usang tiada bekalan air memandangkan tapaknya merupakan rizab jalan.
Berikutan itu, suri rumah terbabit terpaksa mendapatkan bekalan air dari rumah jirannya dengan bayaran RM20 sebulan.
Sementara itu, menurut Mee, adiknya yang tinggal di rumah setinggan tersebut menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM450 sebulan.
“Saya hanya bantu apa yang termampu sebab saya sendiri pun bukan orang senang. Selagi ada daya, saya akan lakukan apa sahaja tambahan pula saya kasihan melihat mereka setiap hari terpaksa mengangkut air dari rumah jiran untuk kegunaan harian,” katanya.
Dalam pada itu, menyedari nasib malang keluarga terbabit, Kelab Media Pahang (KMP) tampil memberikan sumbangan wang tunai dan barang keperluan harian bagi meringankan beban keluarga itu menjelang Hari Raya Aidilfitri ini.
Sumbangan disampaikan Presiden KMP, Nik Naizi Hussin pada satu majlis di sini bertujuan berkongsi kegembiraan Syawal serta meringankan beban wanita tersebut dalam menjaga tujuh anaknya.
“Semoga tradisi mengambil berat seperti ini akan kekal dalam hati rakyat Malaysia,” katanya.
Turut menyumbangkan bantuan ialah Pejabat Kebajikan Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang (UMP) diketuai Anuar Abdul Aziz dan Bukit Gambang Resort City diwakili Pengarah Perhubungan Awamnya, Nasiruddin Nasrun.
Ulasan: Kasih ibu sepanjang hayat. Hulurkanlah sumbangan untuk membantu warga yang memerlukan. Sedekah bermanfaat untuk kita sendiri. Janji Allah: Give and you will get back.
No comments:
Post a Comment