Tuesday, June 12, 2012

Kehancuran Dunia Akibat Riba-Kapitalis


Artikel
Oleh: ismailjohari30

"Dunia hari ini berada diambang kemusnahan akibat dari kerakusan sistem riba-kapitalis yang lahir bersama dengan idealogi demokrasi-sekular. Perlaksanaan ekonomi kapitalis dalam bentuk sepenuhnya hendaklah mengadakan pasaran bebas, tiada kawalan harga, tiada had kawalan, mereka boleh memasuki atau keluar pasaran tanpa halangan dan aliran bebas modal.

Selepas runtuhnya era komunis Soviet Union, pada awal 90an, USA melancarkan New World Order bagi melaksanakan sistem ekonomi kapitalis keseluruh dunia menerusi melalui WTO.


Ekonomi kapitalis ibarat raksasa Frankenstein, yang tidak patuh kepada sesiapapun walaupun kepada tuannya sendiri dan tidak mempunyai sifat peri kemanusiaan. Inilah ibarat sistem kapitalis yang dicipta barat yang diwakili oleh pemodal-pemodal antarabangsa yang tidak terikat kepada peraturan dalam negara tetapi negara hendaklah memenuhi kehendak mereka dan matlamatnya hanyalah mendapatkan keuntungan berganda semata-mata tanpa menghiraukan kesan jangka panjang terhadap alam sekitar. Sifat sebenarnya kapitalis ini adalah lebih tepatnya sama seperti sifat Yakjuj-Makjuj yang bakal keluar di akhir zaman ini. Dalam al-Quran telah digambarkan bahawa Yakjuj dan Makjuj ini adalah satu kaum yang membawa kerosakan kepada manusia dan menjarah semua hasil mahsul bumi tanpa sebarang batasan. Dasar kapitalis menjanjikan pembangunan tanpa batasan bagi mendapatkan sumber kekayaan yang tiada hadnya.


Berbeza dengan kapitalis, pembangunan dalam Islam adalah sebaliknya. Pembangunan berteraskan Islam ini tentunya tidak boleh lepas lari dari bertunjangkan kepada prinsip-prinsip yang telah ditetapkan Islam. Dalam kes ini prinsip-prinsipnya sekurang-kurangnya merangkumi enam perkara asas, yakni pertama, pelaku pembangunan; kedua, skala waktu pembangunan; ketiga kerangka pembangunan; keempat, perkaedahan pembangunan; kelima, peralatan pembangunan; dan keenam, matlamat pembangunan.

Pelaku pembangunan dalam pembangunan berteraskan Islam ini ialah manusia, manakala skala waktunya meliputi alam roh, dunia dan akhirat, kerangkanya ialah fardhu `ain, perkaedahan pembangunannya ialah ibadah, peralatan pembangunannya ialah sumber alam; dan akhir sekali, matlamatnya ialah mardhatillah atau keredhaan Allah SWT.

Secara kasar, prinsip pertama pembangunan berteraskan Islam, yakni manusia sebagai pelaku pembangunan, nampak seperti sama dengan pembangunan kapitalis. Pelaku pembangunan kedua-dua sistem pembangunan ini ialah manusia. Tetapi pada hakikatnya, manusia yang dimaksudkan di dalam pembangunan berteraskan Islam sebenarnya adalah berlainan dari manusia yang difahami di dalam pembangunan kapitalis. Manusia di dalam pembangunan berteraskan Islam adalah manusia hamba Allah dan khalifah Allah, manakala manusia di dalam pembangunan kapitalis adalah manusia ekonomi.

Status manusia sebagai hamba Allah dan khalifah Allah ini membuatkan pelaku pembangunan berteraskan Islam mempunyai falsafah dan fungsi yang berbeza dengan pembangunan kapitalis. Sebagai hamba Allah SWT, mereka terlibat dengan aktiviti pembangunan sebagai salah satu cara mengabdikan diri, atau beribadah, kepada Allah SWT. Dalam melakukan ibadah ini, mereka terus menerus mempertahankan rasa kehambaan mereka kepada Allah SWT. Sebagai khalifah Allah SWT pula, mereka berinteraksi sesama manusia dan sumber alam dengan penuh rasa tanggungjawab, amanah, berakhlak dan penuh etika, sesuai dengan peranan mereka sebagai khalifah Allah SWT itu, atau wakil Allah di atas muka bumi ini.


Sebagai hamba dan khalifah Allah SWT juga, pelaku pembangunan berteraskan Islam tidak terikat dengan hanya aspek-aspek ekonomi yang dinilai dengan ukuran produktiviti, pengeluaran dan kepenggunaan semata-mata, sebagaimana yang difahami dengan pelaku pembangunan kapitalis. Sebaliknya, sebagai hamba Allah SWT, pelaku pembangunan di dalam pembangunan berteraskan Islam tidak putus mendirikan hubungannya dengan Allah SWT (hablum-minallah), di samping sebagai khalifah Allah SWT, menghubungkan diri mereka dengan sesama manusia dan sumber-sumber alam (hablum-minannas). Ganjaran dari amalan menegakkan kedua-dua hubungan ini bukan saja didapati di dunia dalam bentuk material, tetapi juga di akhirat dalam bentuk syurga yang sungguh membahagiakan.

Atas sebab ini jugalah maka skala waktu pembangunan berteraskan Islam, sebagai prinsip pembangunan berteraskan Islam yang kedua, tidak hanya tertumpu kepada alam dunia semata-mata. Sebaliknya ia meliputi tiga alam, yakni alam roh, alam dunia dan alam akhirat.

Alam roh adalah alam sebelum lahirnya manusia ke dunia, di mana semua roh manusia telah mengakui bahawa mereka adalah hamba Allah SWT manakala Allah SWT adalah Tuhan semesta alam. Manusia kemudian dilahirkan ke dunia mengikut giliran masing-masing untuk melaksana dan membuktikan ikrar ini. Setelah itu manusia kembali ke alam akhirat untuk menerima ganjaran, sama ada baik atau buruk.

Ringkasnya, alam roh adalah alam perjanjian, alam dunia adalah alam pembuktian, dan alam akhirat adalah alam ganjaran. Ketiga-tiganya berhubungan secara intim. Alam roh menentukan corak kehidupan di dunia yang mesti diamalkan manusia berdasarkan pengakuan bahawa Allah SWT adalah Tuhan Yang Maha Esa. Alam dunia memberikan ruang dan peluang kepada manusia melaksanakan corak kehidupan itu. Manakala alam akhirat menyediakan natijah, sama ada baik atau buruk, dari bentuk pelaksanaan corak kehidupan di alam dunia.


Penentuan di alam roh, pelaksanaan di alam dunia dan pembalasan di alam akhirat meliputi semua aspek kehidupan manusia. Dalam kes pembangunan, seperti juga dalam semua aspek kehidupan yang lain, ianya jelas mesti bertunjangkan kepada aqidah sebagaimana telah terbentuk di alam roh. Selain dari itu, di alam dunia manusia mesti menggunakan syari`ah sebagai garis panduan pelaksanaan. Natijahnya mestilah melahirkan peribadi-peribadi yang berakhlak.

Aqidah, syari`ah dan akhlak ini sebenarnya merupakan intipati kepada fardhu `ain yang wajib dimiliki dan diamalkan oleh setiap umat Islam. Aqidah boleh didapati melalui ilmu Tauhid. Syari'ah boleh didapati melalui ilmu Fekah. Manakala akhlak pula boleh didapati melalui ilmu tasawuf. Ilmu-ilmu fardhu `ain ini merupakan kerangka pembangunan berteraskan Islam, yakni prinsip pembangunan berteraskan Islam yang ketiga. Sebagai kerangka, ilmu-ilmu fardhu `ain inilah yang mencorakkan sesuatu pembangunan berteraskan Islam.

Pelaksanaan corak pembangunan berteraskan Islam ini pula mestilah berbentuk ibadah, yakni berbentuk pengabdian diri kepada Allah SWT. Untuk menjadi ibadah, setiap usaha pembangunan mestilah mencukupi lima syarat. Pertama, niat mestilah kerana Allah SWT; kedua, isinya tidak bertentangan dengan syari`at; ketiga, pelaksanaannya selari dengan syari`at; keempat, natijahnya juga mengikut syari`at; dan kelima, ibadah-ibadah asas seperti sembahyang, berpuasa, berzakat dan menunaikan haji tidak ditinggalkan. Jelasnya, syarat-syarat ibadah ini membentuk satu bentuk perkaedahan pembangunan berteraskan Islam, sebagai prinsipnya yang keempat.


Prinsip pembangunan berteraskan Islam yang kelima ialah berkenaan dengan peralatan pembangunan. Seperti juga dalam pembangunan kapitalis, peralatan pembangunan berteraskan Islam ialah sumber-sumber alam. Tetapi, seperti dalam kes manusia sebagai pelaku pembangunan, erti dan fungsi sumber-sumber alam mengikut pembangunan berteraskan Islam adalah berbeza dari pembangunan kapitalis.

Sumber-sumber alam dari kacamata pembangunan berteraskan Islam tidak hanya dilihat sebagai mempunyai nilai-nilai ekonomi semata-mata. Lebih dari itu, sumber-sumber alam ini dilihat sebagai anugerah dari Allah SWT kepada manusia, untuk manusia gunakan mengikut keperluan. Anugerah ini pula adalah merupakan ujian, untuk dilihat setakat mana manusia dapat berfungsi sebagai khalifah Allah SWT dalam menguruskan sumber-sumber alam ini. Hak milik mutlak terhadap sumber-sumber alam ini tetap hak milik Allah SWT. Manusia hanya merupakan pemilik sementara sahaja.


Akhir sekali, prinsip pembangunan berteraskan Islam yang keenam ialah berkenaan dengan matlamatnya, yakni untuk mendapat keredhaan Allah SWT, atau disebut mardhatillah dalam Bahasa Arab. Sesuatu usaha pembangunan tidak boleh dikatakan berjaya, walaupun mendapat keuntungan yang besar, sekiranya tidak diredhai Allah SWT. Hanya dengan keredhaan Allah SWT sahajalah seseorang akan memasuki syurga. Dan hanya dengan memasuki syurga sahajalah maka sesuatu usaha pembangunan itu dikira sebagai berjaya dengan sebenar-benarnya.
http://www.tranungkite.net/v11/modules.php?name=News&file=article&sid=14923
HEBAHAN:

Kerajaan negeri Kelantan akan menganjurkan Ekspo Perdagangan Dunia Islam 2012 & Konvensyen Halal Sedunia Berasaskan Dinar Dan Dirham sebagaimana berikut:

Tarikh : 15 - 20 Jun 2012
Masa : 10 Pagi - 10 Malam
Tempat : Perkarangan Stadium Muhammad ke iv & Kompleks Balai Islam Kota Bharu (18 Jun 2012)

SEMUA DIJEMPUT HADIR.
ANTARA ACARA MENARIK:
1. PESTA MAKANAN ANTARABANGSA
2. PRODUK DUNIA ISLAM
3. PERSEMBAHAN KEBUDAYAAN ANTARABANGSA
4. PAMERAN ANIMASI DAN MULTIMEDIA
5. PRODUK WARISAN KELANTAN
6. PAMERAN TEKNOLOGI PEMOTORAN DAN MOTOSIKAL
7. PADANAN PERNIAGAAN

No comments: