Friday, June 08, 2012

Kembalikan isu sebenar Bersih yang dipesongkan!

Posted on Sunday, May 20 @ 23:52:36 MYT by paktam Oleh Ahmad Lutfi Othman Umum sedia maklum kepentingan dan fungsi media massa dalam pilihan raya, apatah lagi bagi aktivis politik. PAS selepas beralih di bawah era kepimpinan ulamak, dan buat kali pertama menghadapi pilihan raya umum, tahun 1986, mendapat pengajaran cukup bermakna apabila difitnah dan ditohmah media dengan dahsyat sekali. Dalam pilihan raya itu, PAS hanya memperolehi satu kerusi Parlimen di Pengkalan Chepa, Kelantan. Di muktamar tahunan parti, di Rusila, pada 1987, suasana waktu itu mendorong PAS melancarkan boikot terhadap akhbar-akhbar harian yang dikuasai Umno. Lidah rasmi, Harakah, yang baru mendapat permit turut digerakkan . Ya, peranan media dalam pilihan raya cukup besar, terutama bagi membolehkan pengundi membuat keputusan yang baik. Media bukan sahaja menyalurkan maklumat dan berita, tetapi juga berupaya membentuk pandangan, tanggapan dan persepsi, seterusnya mendorong audien merumuskan tindakan. Sewaktu kempen pilihan raya, yang sering diadakan dalam tempoh singkat (selepas Parlimen dibubarkan secara tiba-tiba), pengundi perlu mendapat informasi secukupnya -- secara mudah dan murah -- agar dapat membuat penilaian atau penghakiman yang menyeluruh, tentang calon-calon atau parti-parti yang bertanding. Rakyat juga berhak tahu tentang kelemahan dan kepincangan (juga kelebihan) parti pemerintah, selain mendapat makluman secukupnya mengenai cabaran parti-parti saingannya. Oleh itu, media tidak boleh dihalang daripada melaporkan perkembangan dan situasi sebenarnya menjelang hari mengundi kepada publik. Teorinya, Malaysia tergolong sebagai sebuah negara yang tidak mengamalkan kebebasan akhbar, yang ditandai dengan peraturan ketat mengenai permit dan dasar pemilikan media. Meskipun Perlembagaan memberi jaminan kebebasan bersuara, Parlimen dengan mudah sekali menggubal dan meminda akta-akta yang mengikat dan mengongkong. "Benar, media di Malaysia dikawal ketat pemerintah, tapi saya amat mengharapkan semasa kempen pilihan raya, sebelum pengundi membuat keputusan memilih mana-mana calon atau parti, berilah sedikit kelonggaran, rakyat berhak mendapat maklumat sebenar," kata seorang pensyarah undang-undang UIAM, yang berminat dengan perjalanan akhbar di negara ini. "Tetapi, keadaan sebaliknya berlaku. Bubar saja Parlimen, hampir semua bilik berita akhbar dan stesen TV kita bertukar menjadi bilik gerakan kempen BN. Untuk BN segala paparan positif belaka, tetapi aktiviti atau manifesto parti-parti lain diberikan gambaran negatif," tambahnya. Apabila negara serantau, dikenali mengamalkan pendekatan keras terhadap pembangkang, seperti Singapura dan Myanmar, turut melonggarkan kongkongan ke atas media sewaktu kempen pilihan raya, termasuk stesen TV kerajaan, amat memalukan sekali, melihatkan Malaysia jelas tertinggal di belakang. Justeru, Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) mengambil inisiatif menganjurkan Konvensyen Akses Media Dalam PRU13, 12 Mei lalu, bagi menangani dua tuntutan utama Bersih mereformasikan sistem dan proses pilihan raya kita, termasuk tempoh kempen minimum 21 hari. Demonstrasi Bersih 3.0 -- dihadiri lebih suku juta orang dan 70 peratus darinya adalah anak-anak muda -- sepatutnya meletakkan tuntutan pilihan raya bersih dan adil itu sebagai agenda utama negara. Bagaimanapun, insiden keganasan memesongkan perhatian kepada isu sampingan. Di kalangan Bersih dan Pakatan Rakyat sendiri, fokus lebih tertumpu kepada senarai daftar pemilih yang meragukan itu. Ia terhasil melalui komplot jahat BN-JPN-SPR, yang mahu mengambil jalan pintas, khususnya untuk merebut kembali Selangor. Bayangkan, ada pengundi, misalnya, didaftarkan alamatnya di tingkat enam sebuah flat di Sri Andalas, Klang, yang hanya mempunyai ketinggian empat tingkat! Tentulah isu berkenaan cukup urgent dan kritikal, namun tuntutan seperti akses media dan tempoh minimum kempen seperti terabai. Lalu, KAMI cuba mengembalikan isu yang lebih real, memastikan agar PRU13 dapat berjalan dalam suasana lebih demokratik, telus dan terbuka. Beberapa NGO yang prihatin dengan perkembangan ini, turut melahirkan kebimbangan serupa. "Media seharusnya membantu Bersih 3.0 memastikan lapan tuntutan dilaksana, bukan mengalihkan isu. Jika ada keganasan polis atau ada peserta bertindak ganas, itu jelas perlu dilakukan siasatan bebas tapi isu yang kita nak bawa iaitu lapan tuntutan, tidak boleh hilang," kata AJK Ikram, Nahar Md Noor. "Bersih hanya mahukan tuntutan pilihan raya adil dan bersih. Ia melangkaui parti, agama dan kaum," kata Pengarah Eksekutif Komas, Tan Jo Hann. "Tujuh tahun saya jadi jurugambar di Filipina, tidak pernah saya lihat polis menyerang media, sedangkan saya juga pernah bertugas dan berdepan dengan demonstrasi yang melibatkan kematian. Polis atau tentera jika lihat pas media, mereka akan lindungi kami." Sebenarnya banyak pihak melihat desakan agar media berlaku adil kepada pembangkang, terutama semasa kempen pilihan raya, sebagai tindakan sia-sia dan membazir tenaga saja. Paling lantang, Hishamuddin Rais, yang berforum sesi petang bersama Nurul Izzah Anwar, di konvensyen KAMI itu. Beliau tidak percaya kepada kebebasan media. "Saya percaya kepada hak kepada media. Ertinya kalau Umno ada hak untuk ada televisyen saya juga ada hak untuk ada televisyen sendiri, kalau Umno ada radio saya juga ada hak untuk ada radio sendiri," tegasnya. Saya bersetuju sepenuhnya dengan pandangan Hisham. Setiap pihak yang berminat untuk menerbitkan apa jua bentuk media -- majalah, akhbar, radio dan TV -- hanya perlu mendaftarkannya kepada pihak berkuasa, dengan garis panduan yang jelas. Yang penting, konsep permit mesti dihapuskan. Ketua Pengarang Kumpulan The Star, Wong Chun Wai turut mempersoal keperluan permit penerbitan bahan bercetak di zaman internet ini. Sebenarnya kalaupun permit tidak diperlukan lagi, tidak mudah bagi penerbit untuk mengusahakan akhbar kerana ia memerlukan modal yang cukup besar. Tidak betul andaian bahawa sebaik sahaja permit tidak diperlakukan lagi maka berlambakanlah pasaran dengan akhbar. Tetapi, kalaupun benar situasi itu berlaku, apa salah, 'kan? Selain itu, media bebas tentu saja sukar mendapat iklan, terutama daripada syarikat berkaitan kerajaan (atau lebih tepat syarikat berkaitan Umno!) sedangkan tanpa sokongan pengiklan hampir mustahil akhbar harian dapat beroperasi dengan lancar. Nurul Izzah sendiri menyifatkan pindaan terbaru Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP), yang tidak lagi memerlukan pembaharuan permit setiap tahun, hanya kosmetik sahaja. "Isu besar bukan tentang permit sedia ada, tetapi bagaimana untuk mendapatkan permit baru," kata Ahli Parlimen Lembah Pantai itu, sambil menceritakan pengalaman sukarnya berdepan dengan pegawai KDN, ketika memohon akhbar Utusan Rakyat. Namun begitu, saya tetap percaya bahawa lobi dan desakan agar media yang dibiayai dana awam, seperti RTM dan Bernama, berlaku adil kepada semua calon dan parti bertanding, mesti digiatkan, tanpa melupakan lidah rasmi parti (Harakah, Suara Keadilan dan Roket) yang perlu penambahbaikan segera. Tekanan harus digerakkan secara lebih intensif kepada dua agensi kerajaan itu, dan saya kira wajar juga jika wakil Pakatan Rakyat dapat mengadakan kunjungan kepada syarikat media, termasuk Kumpulan Media Prima, The Star, Astro Awani dan akhbar-akhbar Cina (walaupun menyedari ramai mencebik mendengar nama Utusan Malaysia dan TV3). Sekurang-kurangnya "hak untuk menjawab" diberikan perhatian serius oleh media berkenaan. Melalui buku Prof Dr Syed Arabi Idid, seorang sarjana komunikasi yang banyak mengkaji peranan media dalam pilihan raya di Malaysia, dibentang analisis berkaitan hala tuju liputan berita semasa pilihan raya 2008. Menurut penyelidikannya, akhbar bahasa Melayu memberikan liputan positif kepada BN sebanyak 74 peratus, manakala positif pembangkang hanya 5 peratus, liputan berkecuali 17 peratus. Akhbar Cina lebih seimbang, apabila positif BN 28 peratus dan positif pembangkang 12 peratus, manakala liputan berkecuali 45 peratus. Satu situasi yang langsung tidak melambangkan "padang permainan sama rata". Berita pembangkang (sebenarnya semasa kempen tidak patut timbul istilah parti pembangkang ataupun kerajaan) bukan saja digelapkan, malah lebih buruk dimanipulasikan. Ada kalanya kenyataan pemimpinnya "dikerat-kerat dan kemudiannya dicantumkan" untuk memberi gambaran buruk dan mengelirukan pengundi. Tidak sekadar itu, hatta untuk membeli iklan menyiarkan manifesto parti pembangkang di media cetak pun dihalang. Menurut Transparency International Malaysia, dalam tempoh kempen dari 25 Februari hinga 7 Mac 2008, semua akhbar harian berbahasa Melayu (dan Tamil) tidak membenarkan parti DAP dan KeADILan (kajian tidak melibatkan PAS) membeli iklan, termasuk siaran manifesto, sedangkan BN membelanjakan lebih RM2.2 juta untuk tujuan itu. Untuk harian bahasa Inggeris, BN berbelanja sebanyak RM2 juta, manakala DAP hanya sekitar RM10,000 (melalui The Sun), dan tiada ruang iklan untuk KeADILan. Akhbar Cina memberi ruang bernilai RM3 juta kepada iklan BN, RM100,000 untuk DAP dan RM28,000 buat KeADILan. Saripada sudut ini, DAP yang mendapat laporan lebih seimbang dalam akhbar Cina mungkin lebih beruntung daripada PAS dan KeADILan yang sentiasa disorot secara negatif oleh akhbar-akhbar harian Melayu. http://www.detikdaily.net/v6/modules.php?name=News&file=article&sid=20968

No comments: