Subky Latif, | 05 Jun 2012 |
KEKECOHAN dan gangguan terhadap ceramah PKR yang dihadiri oleh Anwar Ibrahim di Lembah Pantai malam Khamis 24 Mei 2012 adalah rentetan UMNO kembali ke era Pemuda UMNO tahan lasak pra 13 Mei, 1969.
Pemuda UMNO masa itu dipimpin oleh Tan Sri Senu Abdul Rahman. Saya mengenali Senu dari dekat. Dia seorang yang baik dan berfikiran maju tetapi bukan seorang yang samseng.
Tetapi orang di bawah beliau ada yang ultra dan samseng. Maka dia hilang kawalan terhadap anak buahnya. Pemuda UMNO zaman itu mungkin ramai dan kuat, tetapi tidak dihormati. Mereka digeruni dan ditakuti. Dalam mana-mana politik duniawi adalah orang keras dan pelampau iaitu ektrimis. Tetapi Pemuda UMNO tahan lasak pelampau, sebaliknya samseng yakni gangsterisma. Mereka kaki pukul, kaki gaduh dan kaki kacau.
Pembangkang penting dan utama era itu adalah PAS. PAS banyak pengalaman menjadi mangsa politik ranggi itu. Ia adalah era paling hitam bagi Pemuda UMNO.
Sejak Tun Hanif Omar menjadi Ketua Polis Negara dan Tun Musa Hitam menjadi Naib Ketua Pemuda UMNO di bawah Dato Harun Idris, sifat samseng Pemuda tahan lasak itu mula dibendung dan orang lupa kepada samsengnya.
Tetapi ia mulai kembali ke zaman huduh itu apabila ceramah pembangkang mulai diganggu. Penunggang motosikal bukan sekadar menggamatkan dentum bunyi motorsikal masing-masing bah meronda seperti mat sempit berdekatan majlis ceramah pembangkang. Ia amat mencabar kesabaran pembangkang.
Mulai semula budaya UMNO mengadakan ceramah kilat beberapa rantai dari ceramah PAS. Sejak dulu dan sekarang ceramah UMNO tidak berorang. Maka ia tidak banyak mengadakan ceramah. Yang rajin mengadakan ceramah ialah pembangkang terutama PAS. Ceramah selalunya ada sambutan. UMNO pun suka mendengar ceramah pembangkang di celah-celah gelap malam.
Tetapi selalunya bila ada ceramah pembangkang biasalah UMNO mengadakan ceramah segera kadang-kadang berhadapan dan bersebelah dengan ceramah pembangang. Bukan ramai yang mendengar mereka, tetapi cukup mengacau, menghalang orang pergi ke ceramah pembangkang dan mengganggu yang hadir ke ceramah mendengar ceramah itu.
Gangguan itu mudah mencetuskan perbalahan seperti yang berlaku dalam ceramah PKR di Lembah Pantai itu.
Percayakah orang bahawa yang mengganggu itu bukan UMNO? Sama ada ia dilakukan oleh UMNO atau oleh sesiapa saja selain UMNO, tetapi persepsi orang ia adalah UMNO.
Boleh jadi bukan oleh UMNO. Tetapi sasaran ceramah itu selain dari menerangkan dasar dan perjuangan partinya, ia juga bagi menegur kelemahan kerajaan dan di mana tidak kenanya UMNO dalam berbagai perkara. Payah bagi pihak yang tidak berkenaan untuk memberi reaksi atas sasaran ceramah pembangkang.
Mungkin ia angkara orang lain, tetapi orang tetap kata ia khianat UMNO. Maka UMNO mesti menjaga kesabarannya sebagai pengamal demokrasi yang matang menjauhkan diri tohmah dikatakan samseng.
Orang yang tidak serorok dengan ceramah Anwar adalah UMNO totok saja. Orang lain sanggup pergi ke mana-mana untuk mendengarnya. Teremasuk orang UMNO. Mana ada penceramah politik dalam dunia yang tidak membidas dan mengecam lawan politik. Bukan UMNO kalau dia tidak kata PAS, PKR dan DAP tidak baik. Kalau pembangkang boleh sabar apa UMNO kata kepada mereka termasuk mengata Tok Guru Nik Aziz bapa kafir, maka UMNO yang berpolitik lebih 60 tahun sanggup belajar dari perkara itu.
Jika Anwar tidak diterima orang sebagai pemimpin dan tiada orang hendak mendengarnya lagi, maka mengapa ceramahnya diganggu. Kalau orang sudah tidak bersamanya, nescaya tiada lagi yang mendengarnya. Bila yang mendengarnya, dia pun tidak berceramah lagi. Jika UMNO tidak suka ceramahnya, UMNO boleh arah orang UMNO dan penyokongnya mendengar ceramahnya. UMNO jangan pergi mendengarnya.
Masalahnya UMNO pun ramai yang hendak mendengarnya. Kerana UMNO tidak terdaya menangkis serangannya dan tidak dapat menafikan kebaikan yang kerajaan pembangkang buat, maka cara mudahnya, ia balik ke alam samseng.
Najib mahu UMNO dan rakyat berfikir dan bertindak mengikut kelas dunia pertama, ketika semua orang sudah masuk ke kelas dunia pertama, UMNO masih berada di kelas dunia ketiga. UMNO tahan lasak lebih terkebelakang dari kelas dunia ketiga.
No comments:
Post a Comment