SHAH ALAM 23 Mei - Selangor mengambil langkah drastik dengan melaksanakan operasi pemutihan membabitkan rumah-rumah perlindungan dan kebajikan di negeri ini bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.
Ia berikutan kejadian tanah runtuh yang mengorbankan 16 penghuni Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-Anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa di Batu 14, Hulu Langat, Sabtu lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi, Inovasi dan Kebudayaan negeri, Rodziah Ismail berkata, melalui operasi Selangor Prihatin Masyarakat atau Ops Selamat itu, surat arahan akan dikeluarkan kepada semua pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pejabat daerah bagi mengenal pasti lokasi semua rumah kebajikan di Selangor.
Beliau berkata, ia termasuk rumah anak-anak yatim, rumah perlindungan orang tua, orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal dan lain-lain rumah perlindungan dalam kategori kebajikan.
"Kita akan memeriksa sama ada semua rumah itu benar-benar mengikuti peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan.
"Ini termasuk pemilikan lesen-lesen khas seperti lesen premis dan layak menduduki (CF) yang dikeluarkan oleh PBT, lesen perniagaan oleh Pendaftar Perniagaan dan lesen operasi oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Rodziah berkata, sekiranya rumah-rumah perlindungan tersebut tidak memiliki lesen berkenaan, kerajaan negeri akan meminta mereka segera mendapatkannya.
"Ops Selamat kita sasarkan berlangsung dalam tempoh tiga bulan. Kerajaan negeri melalui JKM Selangor akan mewujudkan pusat sehenti yang bertujuan menyelaraskan pengeluaran lesen-lesen berkenaan sebelum diberi kelulusan kepada pihak yang memohon," katanya.
Dalam hal itu, beliau menegaskan, kerajaan negeri memandang serius isu-isu keselamatan dan kesejahteraan rakyat negeri ini.
"Dengan ini, semua pihak tidak kira pengusaha rumah penjagaan, perlindungan atau anak-anak yatim selain rumah kediaman persendirian perlu memastikan keselamatan kediaman masing-masing.
"Ini agar tiada lagi nyawa yang terkorban disebabkan kelalaian dan tidak mengikuti peraturan," katanya.
Ulasan: Setuju benar.
No comments:
Post a Comment