KUANTAN, 16 Mei: PAS hari ini menasihatkan pihak polis untuk sama turun padang bersama-sama dengan rakyat untuk memprotes loji pemproses nadir bumi Lynas di Gebeng, Kuantan.
“Kita memahami sebagai sebuah badan kerajaan, mereka terpaksa akur kepada kerajaan yang ada.
Akan tetapi, kita amat berharap pihak polis yang sifatnya menjamin keselamatan rakyat dan negara, mereka juga sebenarnya patut turun padang bersama rakyat membantah projek yang mengancam keselamatan rakyat negara ini,” nasihat Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) dalam satu kenyataannya hari ini.
Empat orang rakyat Malaysia ditahan polis di sini semalam kerana membantah loji pemproses nadir bumi di Gebeng milik Lynas Corp, sebuah syarikat Australia yang bakal membawa bahan nadir bumi yang mempunyai kandungan sisa radioaktif Thorium ke negara ini mulai September depan.
Mereka yang ditahan termasuk Setiausaha Publisiti DAP Pahang, Chow Yu Hui dan setiausaha penganjur, Lee Chin Chen serta Khor Huey Ying dan Thing Siew Shuen, dari ibu pejabat DAP.
Sebagai reaksi balas kepada tindakan polis tersebut, Tuan Ibrahim menasihatkan pasukan keselamatan untuk bertindak secara lebih adil ke atas rakyat yang mengadakan bantahan terhadap projek Lynas, sebuah projek syarikat asing di bumi sendiri, yang bukan dilakukan untuk berseronok tetapi disebabkan kebimbangan masa depan keselamatan mereka.
“PAS juga mengharapkan suatu mekanisma dikemukakan kepada rakyat yang membantah projek ini. Seperti memberikan kebenaran untuk mereka untuk mengadakan perhimpunan dan bantahan kerana ini adalah hak yang dijamin oleh perlembagaan.
Namun, pada waktu yang sama, mereka harus menghormati undang-undang dan peraturan yang ada,” tambahnya, yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.
Menurut Tuan Ibrahim, hakikatnya rakyat hanya bangkit membantah sebuah syarikat asing yang lebih rela membina kilang pemprosesan nadir bumi di negara lain daripada negara sendiri, bahkan negara mereka sendiri tidak mahu menerima kembali sisa radioaktif yang didakwa Lynas tidak berbahaya dan tidak mengancam keselamatan manusia dan persekitaran.
“Kalau ianya tidak bahaya, boleh ke kita senaraikan tiga buah negara sahaja yang sedia terima sisa tersebut?” tanya beliau.
“Bahkan sisa thorium yang dikatakan boleh digunakan bagi menjadi sumber menjana tenaga nuklear sepatutnya ada negara akan sanggup mengambilnya secara percuma.”
Tegasnya, rakyat hanya membantah kerana kebimbangan mereka, apatah lagi kesan kepada kesihatan manusia dan persekitaran akibat sebuah kilang nadir bumi yang dikendalikan oleh Mitsubishi Chemical di Bukit Merah, Perak, yang beroperasi pada tahun 1980-an dan 1990-an masih terpahat di minda rakyat.
“Sebagai contoh, kalau berlaku musibah akibat malapetaka alam, seperti banjir besar, tsunami dan kecuaian manusia, apakah jaminan keselamatan rakyat sekitar? Jika berlaku musibah, semua akan terkena, polis dan FRU juga akan terkena,” Tuan Ibrahim memberikan ingatan.
Kemarahan awam terus memuncak terhadap pembangunan kilang Australia Corp Lynas nadir bumi di Gebeng kerana kebimbangan terhadap keracunan radiasi tidak dapat dielakkan terhadap masyarakat dan lingkungan sekitarnya.
Rakyat juga kelihatan kurang yakin dan percaya akan jaminan yang diberikan dari kerajaan dan Lynas bahawa operasi kilang itu hanya menghasilkan tahap radiasi yang amat rendah kerana kerana setakat ini tidak ada pelan yang jelas, bagaimana dan di mana bahan buangan sisa kilang itu - dikatakan satu sumber utama radiasi - akan dibuang.
Projek memproses nadir bumi yang sedang dibina di Gebeng oleh firma Australia, Lynas dijangka akan menghasilkan 20,000 tan sisa radioaktif setahun apabila beroperasi kelak.
Menurut pakar kesihatan awam Dr T Jayabalan, jumlah tersebut adalah 10 kali lebih kontroversial daripada kilang nadir bumi Asia di Bukit Merah yang ditutup 20 tahun lalu.
Jelasnya, pendedahan langsung terhadap jumlah thorium yang besar, meskipun dibuktikan oleh Lynas dan Badan Perlesenanan Tenaga Atom (AELB) mempunyai tahap radiasi yang rendah, adalah bahaya apabila jumlah yang banyak mula terkumpul.
Hasil daripada tekanan bantahan rakyat, kerajaan telah mengarahkan Agensi nuklear PBB - Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) untuk menubuhkan sebuah panel pakar untuk memberi nasihat mengenai potensi risiko radiasi dari kilang tersebut.
Lynas kelihatan amat yakin terhadap panel bebas tersebut, dengan berkata bahawa kajian yang bakal dikeluarkan dipercayai tidak akan memberi kesan kepada jangkaan tarikh siap projek itu, iaitu September tahun ini.
Ulasan: Utamakan rakyat ATAU utamakan kroni, kesihatan rakyat diperjudikan?
No comments:
Post a Comment