Saturday, May 07, 2011

Sumpah laknat tidak ikut syariat – Presiden IKRAM

SERDANG – Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad menegaskan bahawa sumpah laknat yang digunakan untuk membuktikan tuduhan zina atau liwat terhadap seseorang, tidak mengikut prosedur pembuktian jenayah dalam Islam. Beliau menegaskan perkara tersebut ketika ditemuramah Malaysia Harmoni mengenai sumpah laknat yang dilakukan Datuk Shazryl Eskay Adullah di Masjid Bandar Baru Sentul baru-baru ini.

“Sumpah laknat itu tidak mengikut prosedur pembuktian jenayah dalam Islam, mempermainkan prosedur perundangan Islam.”

Menurut beliau yang juga bekas pensyarah bidang Ekonomi Islam, pengkhususan bidang Fiqh, Usul Fiqh dan Siasah Syariah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), perundangan Islam dalam hukum qazaf telah menetapkan bahawa tuduhan zina atau liwat terhadap seseorang mesti dibuktikan dengan empat orang saksi. Jika gagal membawa saksi, orang yang menuduh akan dikenakan sebatan 80 kali dan tidak boleh diterima penyaksiannya selama-lamanya.

“Dalam qazaf, (yang menuduh) tidak boleh bersumpah, kena bawa empat saksi. Kalau tidak, (yang menuduh) boleh dirotan 80 kali.”

Beliau menambah, sumpah laknat atau mubahalah yang dimaksudkan dalam al-Quran adalah berkaitan dengan aspek akidah iaitu cabaran kepada pengikut Nasrani supaya sama-sama bersumpah bagi membuktikan dakwaan mereka adalah benar di sisi Allah subhanahu wataala tentang Nabi Isa alahissalam secara khusus. Laknat Allah akan ditimpakan kepada orang-orang yang berdusta dalam dakwaan mereka menerusi sumpah tersebut.

Menurut beliau lagi, sumpah laknat yang dilakukan Datuk Eskay bercampur aduk antara mubahalah dengan qazaf, antara aspek akidah dengan jenayah tuduhan berzina. Ia tidak boleh diguna pakai dalam perundangan Islam. Mubahalah dan qazaf mempunyai prosedurnya masing-masing.

“Setiap kes (dalam Islam) ada prosedurnya yang tersendiri,” tegasnya.

http://www.malaysiaharmoni.com/v1/index.php/nasional/33-nasional/811-sumpah-laknat-tidak-ikut-syariat-presiden-ikram

No comments: