Kim Quek, May 29, 2011
Adalah sesuatu yang membimbangkan apabila Perdana Menteri Najib Tun Razak berulang kali menyeru supaya mempertahankan Putrajaya. Terbaru, ketika beliau berucap pada perhimpunan Hari Belia Sedunia di Putrajaya semalam.
Kepada para belia, Najib bertanya, “adakah anda akan mempertahankan Putrajaya bersama saya,” dan setelah mendapat jawapan yang positif, beliau bertempik, “Pertahan Putrajaya! Pertahan Putrajaya! Pertahan Putrajaya!”
Seruan beliau yang menyakitkan hati dan bernada sama ialah ketika Perhimpunan Agung Umno ke 61 apabila beliau menempik, “walaupun badan kita hancur lebur dan nyawa melayang, saudara saudari, walau apa pun yang terjadi, kita mesti pertahankan Putrajaya.”
Bagi mereka yang kurang mengerti menjangkakan bahawa negara Malaysia ini sedang diserang oleh orang luar, jika tidak…….masakan Najib bermati-matian mahu mempertahankan pusat pentadbiran Putrajaya?
Tetapi kita rakyat Malaysia tahu bahawa kenyataan Najib ini bukan bermakna terdapatnya kemasukan orang asing tetapi melambangkan mentaliti yang sakit tentang pergantungan kepada kuasa kerana sekian lama memerintah negara ini secara berterusan sejak lebih seabad yang lampau.
Putrajaya milik parti atau milik rakyat?
Umno telah bergayut kepada hegemoni politiknya sejak sekian lama sehinggakan mereka tidak dapat membezakan apa yang menjadi milik parti dan apa yang menjadi milik rakyat.
Putrajaya bukannya milik harta peribadi mana-mana parti politik tetapi aset awam yang menjadi milik semua rakyat Malaysia. Oleh itu, tidak ada sesiapa yang berhak untuk bercakap soal mempertahankan Putrajaya, melainkan negara ini menghadapi penaklukan kuasa asing.
Malahan Umno hanya sebagai tetamu di Putrajaya, dijemput oleh rakyat untuk mentadbir negara ini untuk suatu tempoh tertentu.
Selepas habis tempoh, tuan tanah, iaitu rakyat, akan menjemput pembida-pembida, iaitu parti-parti politik, untuk menyertai tender bagi menduduki Putrajaya semula.
Pembida yang berjaya kemudian akan dijemput untuk menandatangani perjanjian sewa di Putrajaya dan mentadbir kerajaan persekutuan sehingga tamat tempoh akan datang.
Oleh yang demikian, tidak ada apa-apa yang hendak dipertahankan oleh Umno, melainkan tempoh kuasa mereka yang singkat sehinggalah tempoh perkhidmatan mereka di Putrajaya ditamatkan.
Najib tidak berpijak pada bumi yang nyata apabila bercakap tentang mempertahankan Putrajaya, apatah lagi untuk mempertahankannya dengan nyawa dan darah.
Apakah nanti rakyat Amerika Syarikat fikirkan, jika Presiden Barrack Obama menyeru supaya mempertahankan Washington DC apabila menghadapi penentangnya pada pilihan raya presiden akan datang?
Sudah tentu mereka akan fikirkan bahawa Presiden mereka telah gila! Dan jika terus bercakap mahu menumpahkan darah dan berkorban nyawa, ramai rakyatnya akan pengsan.
Konsep ketuanan ke atas pusat pentadbiran sebagai hak peribadi yang eksklusif oleh mana-mana parti politik tersangat asing kepada prinsip demokrasi dan tidak ada sesiapa yang seharusnya bermimpi untuk menuturkan kata-kata seperti itu untuk tujuan meraih kuasa politik.
Tetapi di Malaysia, Najib kelihatan bangga dan bongkak kerana dengan menuntut Putrajaya beliau disorak dan diipuji kerana bertindak sedemikian.
Tindakan ini memperlihatakan Najib dan Umno telah jauh menyimpang dari landasan asal demokrasi berbanding ketika mana pemimpin-pemimpin terdahulu membentuk negara ini.
Hegemoni politik Umno
Bukan sahaja Umno begitu kemaruk untuk bergayut kepada kuasa politik mereka sebagai hak milik eksklusif dan pertarungan hidup mati tetapi minda rakyat telah dibentuk oleh hegemoni politik yang telah sekian lama memerintah.
Ramai yang tidak dapat melihat penampilan Najib yang berselindung di sebalik prinsip-prinsip asas perlembagaan sedangkan rakyat adalah tuan dan bukan parti yang memerintah.
Lebih buruk lagi dari tuntutan beliau ke atas Putrajaya, adakah ancaman Najib untuk melakukan sesuatu yang melangkaui batas-batas perlembagaan seperti rusuhan dan pertumpahan darah untuk mengekalkan kuasa apabila menghadapi kekalahan atau berpotensi untuk tewas dalam pilihan raya umum nanti.
Jika ia benar-benar berlaku, ia merupakan suatu pengkhianatan kepada rakyat dan negara ini. Perlembagaan negara merupakan kontrak sosial di antara semua kaum di mana mereka bersama-sama berjuang untuk mencapai kemerdekaan.
Rakyat Malaysia harus merenung sejenak sama ada mereka boleh menaruh kepercayaan kepada kuasa politik yang tidak teragak-agak untuk merobek-robek Perlembagaan dan menentang pilihan rakyat, apabila mendapati keputusan pilihan raya tidak memihak kepada mereka.
Sementara itu, kita juga harus menentang sekeras-kerasnya eksploitasi Barisan Nasional terhadap majlis perhimpunan belia ini di Putrajaya ini bagi melancarkan propaganda politik mereka.
Acara ini, yang dianjurkan dengan menggunakan wang rakyat, seharusnya menjadi perayaan belia, dan sepatutnya menjadi perayaan bukan politik.
Tetapi BN telah menukarnya menjadi platform politiknya di mana mereka menyerang musuh-musuh politik mereka. Ini merupakan salah satu dari salah guna kuasa yang berleluasa dan penggunaan dana awal bagi mencapai kepentingan politik mereka.
Makanya, ia menjadi satu lagi pertimbangan untuk rakyat untuk sekali lagi merenung sejenak apabila membuat pilihan mereka nanti.
No comments:
Post a Comment