SINGAPURA 15 Mei – Keputusan dua bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew dan Goh Chok Tong untuk berundur daripada Kabinet disambut dengan sinis oleh pembangkang di negara ini.
Pemimpin Parti Pembaharuan, Kenneth Jeyaretnam yang juga anak lelaki kepada tokoh pembangkang veteran, mendiang J.B. Jeyaretnam menyifatkan keputusan tersebut sebagai kempen perhubungan awam, lebih-lebih lagi kerana dua bekas Perdana Menteri itu akan terus menganggotai Parlimen.
“Keputusan itu hanya kempen perhubungan awam untuk menunjukkan seolah-olah ada pembaharuan tetapi sebenarnya terpulang kepada pengundi sendiri untuk menyuarakan pandangan mereka mengenai langkah tersebut,” kata Jeyaretnam, hari ini.
Seorang lagi ahli politik pembangkang, Chee Soon Juan yang pernah menjalani hukuman penjara dan membayar denda selepas kalah dalam kes saman fitnah yang difailkan oleh Kuan Yew sebelum ini berkata, bekas Perdana Menteri itu patut ‘bersara sepenuhnya dari arena politik’.
“Meninggalkan terus arena politik akan benar-benar menandakan lembaran baru bagi politik di Singapura dan untuk demokrasi mula mencapai kemajuan yang tergendala selama ini,” kata Soon Juan.
Pengendali laman web sosiopolitik bebas, www.littlespeck.com, Seah Chiang Nee, bagaimanapun berkata, perubahan akan tetap berlaku berikutan pengunduran kedua-dua bekas Perdana Menteri itu daripada Kabinet.
“Daripada satu segi, orang tidak lagi akan berasa bimbang diri mereka sentiasa dipantau atau diancam dengan tindakan saman,” katanya.
Penganalisis politik percaya keputusan Kuan Yew, 87 dan penggantinya selepas itu, Chok Tong, 70, boleh membuka laluan kepada pembaharuan berikutan keputusan terburuk yang dicapai oleh Parti Tindakan Rakyat (PAP) dalam pilihan raya umum pada 7 Mei lalu.
Langkah kedua-dua veteran politik itu dipercayai didorong oleh keputusan pilihan raya yang mendedahkan kemarahan mendalam rakyat terhadap PAP dan mengesahkan hasrat golongan muda Singapura untuk melihat sistem politik lebih terbuka yang meliputi mekanisme sekat dan imbang.
“Keputusan (untuk berundur) mencerminkan langkah pertama ke arah pembaharuan PAP secara serius, satu transformasi daripada generasi ke generasi,” kata profesor sains politik di Universiti Pengurusan Singapura, Bridget Welsh.
Welsh berpendapat Kuan Yew sepatutnya sudah bersara lama sebelum ini kerana beliau dilihat sudah terputus hubungan dengan rakyat Singapura kontemporari. – AFP
Ulasan: Akhirnya Kuan Yew akan pergi kerana Singapura buka hak mutlaknya. Selamatlah wahai orang muda mengendalikan negara anda tanpa menyusahkan jiran-jiran anda.
No comments:
Post a Comment