Rahsia Bagaimana Bangsa Jepun Yang Bodoh Bahasa Inggeris Melahirkan Banyak Pemenang Hadiah Nobel
Jepun adalah negara kaya-raya, dan pada waktu yang sama ia adalah negara maju yang paling terbodoh bahasa Inggeris.
India pula adalah negara bukan Inggeris yang paling terpandai bahasa Inggeris, dan pada waktu yang sama India juga negara yang paling banyak mempunyai penduduk miskin, iaitu sebanyak 300 juta rakyatnya hidup di bawah paras kemiskinan. Jumlah 300 juta orang itu adalah sama banyak dengan separuh manusia miskin di muka bumi ini.
Dalam senarai pemenang Hadiah Nobel bagi tahun 2008, tidak ada seorang pun nama pemenang dari India, sebuah negara yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai medium pengajaran sains dan matematik.
Sebaliknya, 4 daripada 12 penerima Hadiah Nobel 2008 ialah bangsa Jepun dari Jepun, di mana mereka menggunakan bahasa ibunda sebagai bahasa penghantar seluruh sistem pendidikannya, dari tadika sampailah ke universiti.
Lebih hebat lagi, 10 daripada 12 penerima Hadiah Nobel 2008 bukan penutur bahasa Inggeris.
Bagaimanakah boleh berlaku di mana ramai saintis Jepun berjaya menerima Hadiah Nobel, sedangkan mereka tidak pandai menulis dalam bahasa Inggeris.
Lebih menghairankan lagi, banyak artikel para saintis Jepun itu telah diterbitkan pula dalam jurnal-jurnal sains antarabangsa dalam bahasa Inggeris.
Semakin menakjubkan lagi, apabila dibandingkan dengan artikel tulisan saintis-saintis dari negara-negara di mana kebanyakan PhDnya pandai bercakap dan menulis dalam bahasa Inggeris, seperti India, Pakistan, Bangladesh, Sri Langka, Singapura, Filipina dan lain-lain, nama-nama saintis Jepun jauh lebih banyak tersenarai dalam jurnal sains antarabangsa, padahal mereka bodoh bahasa Inggeris.
Inilah rahsia kejayaan saintis Jepun memenangi Hadiah Nobel setiap tahun.
Saintis Jepun yang tidak pandai bahasa Inggeris itu menjalankan kajian saintifik mereka dan kemudian menuliskan laporannya dengan menggunakan bahasa Jepun. Oleh yang demikian, kajian-kajian yang mereka lakukan itu benar-benar asli daripada usaha sendiri disebabkan mereka tidak pandai membaca jurnal dan buku-buku Inggeris.
Saintis Jepun mempunyai daya kreativiti yang sangat tinggi berbanding dengan daya kreativiti saintis-saintis yang pandai bahasa Inggeris kerana disebabkan mereka tidak membaca dalam bahasa Inggeris, justeru pemikiran dan idea-idea saintis Jepun tidak terpengaruh dan tidak terbantut oleh idea-idea dan kritikan saintis di Barat.
Disebabkan mereka tidak takut dikritik oleh saintis Barat, mereka bebas meneroka dan mencipta penemuan-penemuan baru dalam bahasa Jepun. Hasilnya, daya kreativiti saintis Jepun lebih original.
Selepas saintis-saintis Jepun itu menuliskan dan menerbitkan laporan hasil kajian mereka dalam jurnal-jurnal sains di Jepun, laporan itu diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris oleh sebuah institut terjemahan yang berpangkalan di Tokyo, lalu dihantar ke jurnal-jurnal antarabangsa. Maka hasil pemikiran dan penemuan saintifik yang mereka lakukan itu pun diterbitkan pada peringkat antarabangsa.
Mereka kemudian menerima undangan membentangkan hasil kajian mereka di seminar-seminar antarabangsa. Disebabkan saintis Jepun tidak pandai bahasa Inggeris, dalam seminar itu mereka bercakap Jepun, dan apa yang mereka percakapkan tetap dapat difahami oleh hadirin melalui perantaraan para jurubahasa ke dalam bahasa Inggeris, Peranchis, Jeman, Rusia, Arab, Cina dan Korea.
Apabila hadirin bertanyakan soalan kepada saintis-saintis Jepun itu, mereka tidak dapat menjawabnya kerana tidak faham bahasa Inggeris.... Itulah dia suatu bangsa di Asia yang paling bodoh bahasa Inggeris tetapi paling banyak memenangi Hadiah Nobel!
Di satu pihak lain, dengan meminjam bahasa Inggeris, India pula telah berjaya melahirkan paling banyak manusia miskin di muka bumi ini!
Nota Kuliah: Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
ainon@pts.com.my
http://universitipts.com/
Ulasan:Walaupun secara zahirnya negara kita sudah merdeka. Tetapi pemikiran pemimpin negara kita nampaknya masih terjajah. Masih lagi takut: Takut tak jadi pandai, takut tak jadi hebat bersaing dengan orang bila kita menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pembelajaran dan pengajaran sampai ke peringkat pengajian tinggi. Walaupun ketiadaan hujjah, tetapi mereka menggunakan kuasa politik untuk menekan kehendak mereka keatas rakyat. Segalanya rakyat menentukan: Pilihlah selain BN di pilihanraya umum ke 13 nanti untuk perubahan.
No comments:
Post a Comment