Tajuk asal: PAS bertemu Duta Iran, dapatkan penjelasan
KUALA LUMPUR, 24 Jun (Hrkh) - Ketika pelbagai media memberi gambaran buruk dan negatif terhadap Iran, PAS mengambil langkah hemah dengan mengadakan pertemuan bersama Duta Iran Mahdi Khandagh Abadi hari ini untuk mendapatkan penjelasan dan maklumat tepat berhubung insiden dan situasi yang berlaku di negara terbabit.
PAS yang diwakili AJK PAS Pusat, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi dan Dato' Kamarudin Jaffar, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad dan AJK Muslimat PAS Mastura Hj Mohamad telah mendapat taklimat mutakhir daripada Mahdi dan Setiausaha Ketiga Kedutaan Khalil Maleki Raee selama hampir satu jam di bangunan Kedutaan itu, dekat sini petang tadi.
Mahdi dalam taklimatnya itu, kesal dengan manipulasi media antarabangsa seperti BBC, CNN termasuk media negara ini yang dilihat cuba memburuk-burukkan negara Iran dan imej kepimpinan Presidennya Mahmoud Ahmadinejad yang sebaliknya tidak sebagaimana yang digambarkan.
Katanya isu rusuhan, provokasi, kematian penunjuk perasaan dan pembakaran masjid adalah sesuatu yang belum dapat dibuktikan berpunca daripada pihak berkuasa Iran malah kerajaannya sentiasa terbuka mengalu-alukan pihak-pihak yang tidak berpuas hati membuat aduan dan membantah mengikut kaedah undang-undang sedia ada.
Dalam pada itu, PAS mengucapkan tahniah kepada kepimpinan Ahmadinejad yang memenangani pilihan raya tempoh hari dan dengan tegas akan terus memberi sokongan kepada kerajaan Iran, dalam menghadapi krisis dan propaganda jahat barat khususnya Britain dan kumpulan penentang yang ditaja oleh barat.
"Dia juga memperjelaskan proses sistem pilihan raya mereka dan bagi kita ianya telus. Pilihan raya untuk warga Iran di Malaysia berjalan dengan baik dan apabila didesak untuk tambahan masa, proses dibenarkan sehingga lewat malam," kata Syed Azman selepas mengadakan pertemuan itu.
Sementara itu, Kamaruddin menambah bahawa isu keganasan yang berlaku di Iran tidak seperti yang digembar-gemburkan oleh media malah provokasi dan tembakan rambang yang berlaku tidak dapat dibuktikan pihak mana yang bertanggungjawab dalam insiden itu
"Duta Iran menjelaskan tadi bahawa bukan budaya dan masyarakat Iran membakar masjid. Jadi dibimbangi datang daripada anasir-anasir luar.
"Kalau tidak yakin dengan sistem sudah pasti jumlah yang keluar mengundi merosot. Jika ada komplen lakukan secara legal, ada cara undang-undang untuk membantah," kata Kamaruddin yang juga Ahli Parlimen Tumpat.
Sementara itu, Khalid menjelaskan dalam situasi itu, kumpulan dan golongan 'Munafiqun' akan mengambil kesempatan memburuk-buruikkan lagi keadaan dan ianya sekaligus memperlihatkan seolah-olah pihak kerajaan yang mencetuskan huru-hara.
Di samping itu Mastura pula menambah Muslimat PAS berkeyakinan kepimpinan Ahmadinejad sentiasa memberi perlindungan dan membela nasib seterusnya mengangkat martabat wanita dalam apa jua bidang khususnya dalam pentadbirannya seperti terkini melantik seorang wanita sebagai Dutanya di Jepun.
Berhubung dengan perselisihan pendapat dalam institusi ulama yang menjadi tunjang dan dasar pentadibiran negara itu, Syed Azman menjelaskan ianya bukanlah satu perpecahan yang berlaku malah hubungan rakyat, kerajaan dan ulama sentiasa teguh.
"Keteguhan institusi ulama tetap utuh. Biasalah, ada khilaf dan berbeza pandapat, namun hubungan mereka teguh dan sentiasa mempertahankan institusi ulama dan kerajaaan sedia ada," kata Syed Azman.
Pertemuan dalam suasana harmoni itu berakhir kira-kira jam 3.00 petang tadi dengan pihak kedutaan mengalu-alukan media Harakah untuk mengadakan wawancara eksklusif dengan Duta Iran dalam masa terdekat bagi menjelaskan secara tepat kepada umum isu yang berlaku. - azm
Ulasan: Barat terutamanya Isrrael dan AS sudah tentu tidak menyokong kemenangan Ahmadinejad kerana beliau lantang mempertahankan kebebasan dunia ketiga.
No comments:
Post a Comment