Monday, June 22, 2009

TV Islam dapat sambutan

YAN 21 Jun - Hasrat kerajaan untuk mewujudkan satu saluran televisyen Islam mendapat maklum balas yang menggalakkan daripada penerbit drama dan rancangan berbentuk keagamaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mejar Jeneral (B) Datuk Jamil Khir Baharom berkata, golongan itu bersedia menerbitkan pelbagai program berbentuk Islam bagi memastikan saluran televisyen itu dapat membantu masyarakat termasuk dalam soal memahami tuntutan syariat.

''Ramai penerbit drama serta rancangan berbentuk dakwah berminat untuk menghasilkan material dan produk-produk yang sesuai untuk saluran televisyen ini.

''Kita tidak hanya akan membekalkan rancangan berbentuk ceramah agama sahaja kepada masyarakat, kita akan adunkan dengan pelbagai program yang selaras dengan syariat Islam untuk dijadikan contoh kepada kehidupan Muslim,'' ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Generasi Bebas Jenayah Rakan Muda Peringkat Negeri Kedah di Kampung Kelantan di sini semalam.

Program empat hari itu disertai oleh 68 belia dari sekitar kampung berkenaan dan 40 fasilitator dari Universiti Utara Malaysia serta Kolej Universiti Insaniah.

Program kali kedua anjuran Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kedah itu bertujuan memupuk semangat cintakan negara dalam kalangan generasi muda serta memastikan mereka bebas daripada anasir jenayah.

Menurut Jamil Khir, pihaknya berharap saluran televisyen berkenaan dapat menemui penonton secepat mungkin kerana pihaknya sedang menyelesaikan beberapa masalah dari sudut teknikal.

''Kami masih berusaha untuk mencari frekuensi yang sesuai untuk memancarkan saluran televisyen Islam ini.

''Kami juga tidak bercadang untuk menggunakan khidmat saluran televisyen berbayar kerana mahu setiap lapisan masyarakat terutama di luar bandar dapat menikmati program-program yang di siarkan,'' katanya.

Ulasan: Tahniah kerana mewujudkannya sebagai alternatif walaupun agak lambat dan tv yang ada telah merosakkan ramai sebelum ini. Kita harap TV itu tidak digunakan untuk kempen kerajaan BN .

No comments: