Monday, June 22, 2009

Bayi patah tulang bahu disahkan akibat kelalaian hospital

KANGAR 21 Jun - Sah! Kesan patah tulang selangka seorang bayi perempuan, Siti Balqis Sany, 2 bulan, yang dilahirkan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini berpunca daripada kelalaian pihak hospital tersebut.

Keputusan itu diperoleh selepas siasatan Jawatankuasa Siasatan Bebas dianggotai pakar Obstetrik dan Gynekologi (O&G) dari Pulau Pinang, pakar Radiologi dan Paediatrik dari Alor Setar yang bermesyuarat pada 15 Jun lalu.

Jawatankuasa itu mengesahkan perkara tersebut kepada bapa bayi itu, Sany Shahadan, 28, dan menyatakan pihak HTF gagal mengesan keretakan pada bahu bayi berkenaan seperti yang terdapat pada laporan x-ray yang diambil.

Menurut Sany, dalam reaksi ringkas pihak HTF kepadanya mereka hanya meminta maaf dan mengakui kesilapan yang dilakukan serta menawarkan rawatan susulan kepada anaknya.

"Mereka seperti tidak ikhlas apabila meminta maaf dan nada yang ditunjukkan amat berlainan berbanding sebelum ini apabila mereka melaungkan bahawa mempunyai sikap profesionalisme yang tinggi.

"Sebelum ini, apabila kami mahu menyaman, mereka menuduh kami penyebab tangan anak kami patah," katanya di sini, semalam.

Sebelum ini akhbar melaporkan keluarga bayi malang itu mahu memfailkan saman apabila Zaidah Azura Rahmat, 25, yang melahirkan Siti Balqis pada 23 April lalu didapati patah tulang selangka.

Keputusan itu diperoleh selepas bapa bayi itu membuat X-ray di sebuah klinik swasta. Bagaimanapun pihak HTF tidak mengakui kesilapan tersebut sehingga satu Jawatankuasa Siasatan Bebas ditubuhkan.

Sany memberitahu, dia berhasrat meneruskan niat untuk menyaman pihak hospital tersebut selepas tidak puas hati atas apa yang berlaku.

Sementara itu, bekas Pengarah HTF, Datuk Dr. Faiz Ahmad Khan ketika dihubungi menyatakan beliau telah ditukarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar, Kedah berkuat kuasa 16 Jun lalu.

Bagaimanapun, beliau menafikan pertukaran itu mempunyai kaitan dengan kes tersebut sebaliknya ia pemindahan biasa selepas dinaikkan gred dan kini menyandang jawatan sebagai Timbalan Pengarah HSB.

Mengulas kejadian itu, beliau berkata, Jawatankuasa Siasatan Bebas telah mengesahkan terdapat keretakan kecil berdasarkan laporan x-ray sebelum ini.

"Mereka mendapati keretakan itu sukar untuk dikesan terutama oleh mereka yang bukan pakar.

"Pihak HTF telah mengakui kesilapan yang berlaku dan telah minta maaf kepada keluarga berkenaan," ujarnya.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Mahani Yusof pula enggan mengulas lanjut dengan alasan hasil siasatan jawatankuasa tersebut telah dimaklumkan kepada keluarga bayi itu.
 
Ulasan: Kenapa susah sangat hospital nak mengaku salah? Jangan hanya anggap kita sahaja yang tahu. Terimalah kelemahan diri dan baiki supaya hebat di masa depan. 

No comments: