KANGAR 22 Jun - Bapa kepada bayi malang, Siti Balqis, dua bulan, yang patah tulang selangka ketika dilahirkan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini akan tetap mengambil tindakan undang-undang terhadap hospital itu demi masa depan anaknya.
Sany Shahadan, 28, berkata, tindakan menyaman hospital itu akan dilakukan dalam masa terdekat selepas keputusan Jawatankuasa Siasatan Bebas diketahui pada 15 Jun lalu.
Katanya, ia supaya hospital berkenaan tidak melakukan kesilapan yang sama kepada pesakit lain dan sebagai satu pengajaran.
''Ketika kami memaklumkan masalah ini kepada pihak HTF mereka memberi layanan yang tidak sepatutnya, sebaliknya menyalahkan kami suami isteri sebagai punca tulang selangka bayi kami patah.
''Pihak HTF hanya mendiamkan diri sehingga keputusan Jawatankuasa Siasatan Bebas itu diperoleh dan selepas itu baru mereka meminta maaf,'' katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sebelum ini, dalam pertemuan pertama, HTF menyalahkan keluarga Sany sebagai punca tulang bahu anaknya patah selepas dilahirkan Zaidah Azura Rahmat, 25, pada 23 April lalu.
Berikutan itu, Sany terpaksa melakukan pemeriksaan X-ray di sebuah klinik swasta apabila anaknya itu sering menangis dan mendapati tulang selangka anaknya patah ketika proses kelahiran.
Bagaimanapun, selepas isu itu disiarkan oleh media, sebuah Jawatankuasa Siasatan Bebas ditubuhkan dianggotai pakar Obstetrik dan Gynekologi (O&G) dari Pulau Pinang, pakar Radiologi dan Pediatrik dari Alor Setar.
Keputusan jawatankuasa itu mendapati HTF gagal mengesan keretakan pada bahu bayi berkenaan seperti yang terdapat pada laporan X-ray yang diambil mereka ketika kelahiran.
Kata Sany, doktor memaklumkan kepadanya bahawa peluang Siti Balqis untuk sembuh ialah 85 peratus dan apabila dewasa nanti tidak dapat melakukan kerja-kerja yang berat.
''Memikirkan masa depan anak yang masih panjang, saya dan isteri (Zaidah Azura) tetap akan menyaman hospital tersebut,'' tegas bapa kepada tiga orang anak itu.
Sehubungan itu, katanya, beliau akan melantik peguam untuk memfailkan saman berkenaan dalam masa terdekat.
Tambah Sany, beberapa hari lalu, pihak HTF menghubunginya dan menyuruh membawa Siti Balqis untuk rawatan susulan.
''Saya tidak membawa Siti Balqis ke hospital seperti diminta oleh HTF. Ini berikutan pengalaman lalu di hospital tersebut, saya akan dapatkan rawatan di hospital lain selain rawatan tradisional,'' jelasnya.
Ulasan: Eloklah saman supaya lain kali hospital akan hormat kepada semua rakyat. Biarlah tinggi pampasan yang diminta.
No comments:
Post a Comment