BN menang p'raya kerana demokrasi tempang
Aziz Muda
KUALA LUMPUR, 9 Mac: Politik Malaysia tidak sewajarnya dikongkong untuk terus berada dalam kerangka lama seperti sekarang oleh parti memerintah, tetapi sepatutnya diwarnai dengan nafas baru bagi membolehkannya menuju kematangan.
Dalam sistem demokrasi, semua parti-parti politik yang berada di dalam sesebuah negara itu sepatutnya turut dibela oleh parti memerintah kerana jika tidak, demokrasi dalam negara terbabit akan menjadi tempang.
Ahli Parlimen Padang Terap, Mohd Nasir Zakaria menegaskan, Kerajaan BN yang didominasi Umno selaku tulang belakangnya tidak pula mengambil pendekatan itu dalam pentadbiran negara ini, sehingga menjadikan setiap kemenangan BN dalam sesuatu pilihanraya dilihat terhasil dari perjalanan demokrasi tempang.
Menurut beliau, bukti paling nyata boleh dilihat dari cara Umno BN bertindak dalam pilihanraya sehingga para pemimpinnya sanggup mempergunakan segala jentera kerajaan untuk melaksanakan kempennya, pada hal semua jentera kerajaan bukan kepunyaan parti memerintah, tetapi milik rakyat.
Katanya, selain itu, Umno dan BN masih terus memperbodohkan rakyat dengan pelbagai pendekatan termasuk dengan menyekat kebebasan akhbar dan menyekat kebebasan rakyat untuk bersuara.
"Dengan pendekatan seperti itu, demokrasi di Malaysia pasti menjadi tempang dan ia tentunya amat merugikan rakyat. Dengan itu juga demokrasi di Malaysia bukannya memberi ruang kepada rakyat menikmati erti demokrasi sebenarnya, tetapi menuju demokrasi jalan raya (dengan mengadakan demonstrasi)," katanya.
Berucap selaku ahli panel forum Persidangan Kebangsaan, Demokrasi dan Pilihanraya; Prospek dan Cabaran Menjelang Pilihanraya Umum Ke-13 di Universiti Malaya (UM), di sini, semalam, beliau turut mengimbas beberapa demonstrasi yang diadakan oleh pelbagai pihak di negara ini.
Antaranya termasuklah demonstrasi Gabungan Pilihan raya Bersih dan Adil (Bersih) yang diadakan oleh parti-parti politik dengan kerjasama beberapa NGO, sebagai saluran untuk rakyat bersuara dan menyampaikan pandangan, akibat rasa tidak puas hati rakyat setelah pelbagai saluran disekat oleh pihak pemerintah.
"Jadi dengan itu, himpunan Bersih yang akan diadakan Jun nanti pasti tidak dapat dielakkan dan penyertaan rakyat pasti akan bertambah," katanya.
Sehubungan itu, beliau yang juga Exco Dewan Pemuda PAS Pusat menasihati Umno BN agar melihat kembali segala tindakan yang telah dilakukan terhadap rakyat selama ini bagi membolehkan sistem demokrasi di negara ini menjadi segar sejajar dengan kehendak rakyat.
Beliau juga turut mengingatkan parti memerintah agar turut mengambil iktibar dari kebangkitan rakyat di Mesir dan Libya, akibat kealpaan kerajaan dalam menghidupkan demokrasi di negara terbabit, sehingga menyebabkan rakyat sudah tidak tertahan lagi untuk keluar beramai-ramai di jalan raya lalu mengguling kerajaan yang gagal melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik.
Menjawab pertanyaan beberapa orang peserta yang antara lain turut menyentuh tentang kaitan politik dan agama, beliau menjelaskan, peranan PAS dalam mewarnai politik negara ke arah perubahan yang diingini rakyat sejajar dengan kehendak Islam sepatutnya turut dilihat dari sudut yang positif oleh parti memerintah dan pelbagai pihak.
Begitu juga dengan kemunculan dan peranan parti-parti lain dalam Pakatan Rakyat yang terdiri daripada PKR dan DAP yang sepatutnya turut dipandang sebagai penyumbang penting ke arah perubahan dan kesegaran politik negara, bagi membolehkan rakyat negara ini menjadi lebih matang dalam politik seperti di negara-negara maju.
Namun, akibat keengganan kerajaan menerima hakikat itu, rakyat terus diperbodohkan dari segala segi termasuk berkaitan pinjaman PTPTN untuk para pelajar yang turut dikenakan interest.
"Dulu interest yang dikenakan sehingga 4 peratus dan kemudian dikatakan dihapuskan, tetapi sebenarnya hanya dikurangkan sahaja menjadi 1 peratus, sehingga menjadikan rakyat berhutang kepada kerajaan sebanyak tidak kurang RM40,000 juta," jelasnya.
Dalam hal ini, menurutnya, kerajaan tidak sepatutnya mengenakan interest, tetapi memberikan biasiswa kepada pelajar dan itulah antara perkara yang akan dilakukan oleh PAS bersama Pakatan Rakyat jika diberikan mandat oleh rakyat memerintah negara ini menerusi PRU Ke-13 nanti.
Forum tersebut dianjurkan oleh Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya (UMCEDEL). Ia diadakan di Dewan Kuliah C, Fakulti Sastera dan Sains Sosial UM dan turut melibatkan dua ahli panel lain yang terdiri daripada Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar dan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifudin Abdullah.
Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial UM, Prof Dr Mohammad Redzuan Othman yang bertindak selaku moderatornya ternyata mempunyai kemampuan tersendiri menghidupkan forum tersebut, sehingga memaksa ratusan peserta yang memenuhi dewan tidak berganjak dari tempat duduk masing-masing sehingga berakhirnya forum.
Sumber: harakahdaily
No comments:
Post a Comment