JAKARTA 3 Mac – Kemelut kepimpinan Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono semakin meruncing apabila dua parti politik utama yang menganggotai Sekretariat Gabungan pimpinan Susilo menyatakan kesediaan untuk keluar dari gabungan itu.
Kedua-dua parti berkenaan ialah Parti Golongan Karyawan (Golkar) dan Parti Keadilan Sejahtera (PKS) yang menyatakan kesediaan mereka untuk beralih menjadi parti pembangkang.
Menurut Naib Ketua Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) dari Parti Golkar, Priyo Budi Santoso, parti berkenaan sudah bersiap sedia untuk berada di luar pemerintahan Susilo.
“Golkar sudah siap sedia berada di dalam atau di luar pemerintahan. Saya pastikan Golkar akan melakukan tugas yang baik dengan cara kami. Jangan pandang remeh keupayaan kami,” kata Priyo.
Beliau turut menegaskan, berada di dalam gabungan pemerintahan Susilo atau tidak, hal itu bergantung pada keputusan Presiden.
“Bagaimanapun, kami tidak ada rancangan untuk mengubah sikap kritikal kami untuk menyatakan pendirian dan mengikut semua keinginan pemerintah,” tegas beliau lagi.
Sementara itu, Setiausaha Agung PKS, Anis Matta pula menegaskan, PKS tidak ada sebarang masalah untuk beralih arah kerana parti itu berpengalaman sebagai pembangkang pada era pemerintahan Presiden Megawati Soekarnoputri.
“Kalau PKS dikeluarkan dari parti gabungan, secara automatik PKS akan menjadi parti pembangkang,” ujar Anis lago.
Menurut Anis, rancangan untuk menilai semula kerjasama permuafakatan oleh Susilo merupakan provokasi berlebihan oleh Parti Demokrat yang dipimpin Presiden.
“Parti Demokrat sudah mempengaruhi Susilo secara berlebih-lebihan sedangkan mereka (Demokrat) yang gagal mengelolakan gabungan itu,” kata beliau seperti dilaporkan akhbar Kompas hari ini. – Utusan
Ulasan: Kita bersatu untuk kebaikan rakyat bukan untuk makan duit rakyat.
No comments:
Post a Comment