Ditulis oleh Presiden PAS
Sabtu, 26 Februari 2011 12:37
Parti Islam SeMalaysia (PAS) merasa sangat terkejut, kecewa dan teramat jengkel dengan tuduhan ekstrim yang diberikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Najib Tun Razak terhadap gerakan Islam antarabangsa Ikhwanul Muslimin dan Sheikh Dr Yusof al Qardhawi semasa menghadiri satu program di Istanbul beberapa hari yang lalu.
Tuduhan yang dibuat terhadap gerakan Ikhwanul Muslimin (Ikhwan) dan tokoh-tokohnya seperti Sheikh Dr Yusof al Qardhawi itu adalah merupakan satu fitnah besar yang dibuat oleh golongan yang buta sejarah perjuangan menentang penjajahan dan bercakap mengikut selera hati golongan Barat yang memekakkan telinga kepada kebenaran. Ikhwan ditubuhkan untuk melaksanakan Islah dan tajdid berasaskan Al Quran dan Hadis, dengan memulakan perjuangannya secara jalan damai dan tidak pernah menyerah kalah terhadap kezaliman musuh sehingga ke hari ini. Ikhwan menyertai pilihanraya sejak awal lagi di Mesir, tetapi apabila pengaruh mereka tersebar luas, pergerakan ini diharamkan dan pemimpinnya dizalimi. Tuduhan bahawa Islam cenderung kepada keganasan adalah fitnah dan orang tersebut mesti segera bertaubat jika dalam dirinya masih ada iman sebesar zarah. Dalam masa yang sama, tindakan mengambil sikap dan pandangan Setiausaha Negara Amerika sebagai neraca menentukan jenis pemerintahan yang bersandarkan kepada Islam adalah tindakan orang yang tidak mempunyai jati diri sebagai seorang Islam dan sangat memalukan orang Islam itu sendiri.
Al Qardhawi juga adalah tokoh ulama berwibawa yang dilahirkan oleh Ikhwan. Dia berjaya meredakan golongan pelampau di kalangan pemuda Islam yang tidak sabar dengan kezaliman musuh sehinggalah mereka kembali ke pangkal jalan berjuang mengikut ajaran Islam yang sebenar. Malah Malaysia sendiri pernah memberikan Anugerah Maal Hijrah kepada beliau.
Dengan ini saya mencabar kerajaan Malaysia menarik balik anugerah maal hijrah yang telah diberikan kepada Sheikh Dr Yusof al Qardhawi itu.
Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS Sabtu, 3 Rabiul Awal 1432 H / 26 Februari 2011
No comments:
Post a Comment