Thursday, March 03, 2011

Perbezaan Kerjasama PAS Dengan PR & Kerjasama UMNO Dengan B

Perbezaan Kerjasama PAS Dengan Pakatan Rakyat Dan Kerjasama UMNO Dengan BN

oleh Idris Haji Ahmad, Ketua Penerangan PAS Pusat

1/3/2011

Isu Yang Timbul

PAS dituduh bekerjasama dengan DAP, yang merupakan parti Cina.

Persoalannya apakah MCA dan Gerakan bukan parti Cina?

PAS sudah menggadaikan dasar Islam sejak bersama dengan PR.

Benarkah tuduhan itu?

Benarkah PAS rugi?

Hujah Pas

Pas ingin menegaskan bahawa kedudukan Pas dalam Pakatan Rakyat ialah Tahalluf Siasi untuk menentang perkara yang zalim dan memperjuangkan maslahat umum tanpa mengorbankan prinsip Islam.

Pas berdalilkan kepada apa yang pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW mengiktiraf Half al-Fudul yang berlaku pada zaman jahiliah apabila terbentuk satu persefahaman menentang kezaliman. Perkara ini terjadi setelah seorang lelaki dari qabilah Zubaid dizalimi oleh Aas bin Wail, lalu dia meminta pertolongan. Tidak ada siapa yang sanggup menolongnya , lalu beberapa orang daripada bangsawan Makkah yang bersimpati dengannya telah mengadakan persefahaman di rumah Abdullah bin Jad’an untuk menentang kezaliman tersebut. Berhubung dengan peristiwa ini, Rasulullah saw telah bersabda,

“Daripada Talhah bin Abdullah bin Auf, bahawa Rasulullah saw bersabda”sesungguhnya aku telah menyaksikan di rumah Abdullah bin Jad’an satu pakatan yang amat aku suka kepadanya seperti sayang kepada unta merah (barang yang sangat berharga), kalau aku diajak kepadanya di zaman Islam nescaya aku menyahutinya”

Perbezaan Kerjasama PAS dan Umno

1.Perlu ditegaskan kerjasama PAS dengan bukan Islam ialah “Tahaluf Siasi” tanpa menggadaikan prinsip perjuangan yang dibawa oleh PAS.

Sedangkan kerjasama umno dalam Barisan Nasional dalam dalam bentuk “wala’, yang menggadaikan prinsip Islam.

2.PAS sebagai sebuah parti yang berdasarkan Islam, rujukannya pula ialah al-Quran, Sunnah, Ijma dan Qias. PAS sekali-kali tidak akan membuat sesuatu yang boleh menjerumuskan diri ke dalam neraka, semata-mata untuk mendapatkan kuasa. Perjuangan yang menuntut mardhatillah tidak akan menggadaikan prinsip Islam. Jika dunia dan kuasa menjadi perhitungan, lebih baik PAS bekerjasama dengan BN untuk sama-sama menaja program munkar yang terbaru seperti pusat hiburan malam yang bakal meruntuhkan tamadun negara ini.

3.PAS tidak menggadaikan prinsip Islam dan memusnahkan Islam di negara ini. Tidak ada sebuah masjid dan surau yang ditutup dan diroboh ketika PAS bekerjasama dalam Pakatan Rakyat. Sebaliknya UMNO yang bekerjasama dengan MCA, MIC, Gerakan dalam BN, telah bertindak biadab dengan agama, antaranya ialah merobohkan Masjid Bujal Kemaman, Surau Kampung Berembang Ampang Jaya, menutup Surau al Rahman Seksyen 8 Shah Alam dua minggu sebelum puasa 2007, menutup surau di Puchong Perdana.

4. Tahaluf Siasi membolehkan PAS melaksanakan dakwah dengan lebih cergas. Masjid dan surau meriah dengan majlis ilmu.

UMNO yang bekerjasama dengan bukan Islam memerintah, telah mematikan majlis ilmu, meletakkan ahli jawatankuasa masjid bukan ahlinya sebagai orang yang mengendalikan masjid, akhirnya masjid dan surau telah mati sebelum manusia mati.

5.Kerjasama PAS dalam Pakatan Rakyat menentang undang-undang zalim seperti ISA, AUKU, OSA, Akta mesin cetak dan beberapa peraturan yang zalim. Sedangkan umno dengan rakan-rakan bukan Islam menyokong akta ISA walaupun bertentangan dengan Islam.

PAS tidak boleh bersatu dengan parti yang mengekalkan dasar zalim walaupun satu bangsa. Bukan PAS tidak sayang kepada bangsa, tetapi PAS tidak boleh bersama dengan bangsa yang khianat bangsa.

6.Kerjasama PAS dengan bukan Islam berusaha untuk memelihara harta negara supaya tidak musnah.

Kerjasama UMNO dalam BN telah mengkhianat khazanah negara, sehingga dikatakan oleh Datuk Idris Jala Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, negara akan muflis pada tahun 2019 (8 tahun lagi).

7.Kerjasama PAS dengan PR telah menjinakkan orang bukan Islam untuk memahami Islam dengan lebih dekat.

Umno bekerjasama dengan BN telah meliarkan orang bukan Islam dengan Islam. Contohnya Presiden MCA Datuk Dr Chua Soi Lek yang mempertikaikan hukum salam lelaki dengan perempuan ketika pilihanraya kecil Tenang. Menariknya yang menjelaskan kekeliruan ini ialah rakan-rakan bukan Islam dalam Pakatan Rakyat. 53 tahun umno dengan MCA, tetapi gagal menjinakkan Islam walaupun dalam perkara asas.  

8.Kerjasama PAS dengan PR bersatu menentang kezaliman yang dilakukan ke atas Kelantan dalam isu royalti minyak.

Kerjasama UMNO dengan MCA, Gerakan sanggup menindas sesama bangsa. Bertindak menyalurkan minyak ke Songkhla walaupun JDA (Pendaratan minyak dan gas) sejauh 270 km, sedangkan ke Kelantan hanya 150 km, daripada Songkhla ke Kedah pula 180 km. Bukankah ini kerjasama yang menindas sesama bangsa?

9.Kerjasama PAS dan PR mengukuhkan lagi kerusi parlimen orang Melayu/Islam, sedangkan kerjasama UMNO dan BN mengurangkan kerusi Melayu Islam di parlimen.

Umno menakutkan rakyat, dakwaan kerusi parlimen orang Melayu akan terhakis jika calon UMNO/BN tumbang kepada Pakatan Rakyat. Walaupun hakikatnya kerusi Melayu bertambah di Parlimen apabila Pakatan Rakyat memerintah. Contohnya di Parlimen Kota Raja Dr Siti Mariah Mahmud menewaskan S.Vigneswaran a/l Msanase (MIC), Tan Sri Khalid Ibrahim telah memenangi kerusi Parlimen dengan menumpaskan calon BN Datuk Tan Chai Ho (MCA) yang telah menjadi ahli Parlimen selama 3 penggal sebelum ini. Datuk Kamarul Baharin PKR menewaskan Datuk S. Sothianathan Naib Presiden MIC, begitu juga Allahyarham Dr Zainal Abdin Ahmad menewaskan Datuk Palanivan Timbalan Presiden MIC di Hulu Selangor. Apa yang pelik pemimpin umno meratib, bila calon BN kalah, kuasa melayu hilang, dan inilah juga dibincang dalam kursus Biro Tata Negara. Inilah antara strategi untuk menakutkan pengundi melayu. Pelik bin ajaib apabila kerusi yang tradisi ditanding oleh umno diberikan kepada bukan Melayu, walau pun majoriti hampir 70 %, contohnya Parlimen Bukit Gantang 2004 Tan Lian Hoe menang menewaskan Dr Lolo’ Haji Ghazali PAS, begitu juga kawasan parlimen Gerik 2008 ditandingi oleh Datuk Tan Lian Hoe menewaskan Saudara Haji Mohd Nor Abd Rahman PAS. Apakah hendak salahkan DAP yang menyebabkan kerusi parlimen semakin berkurangan?

Sedangkan sebanyak 17 kerusi parlimen majoriti melayu Islam diberi kepada bukan Melayu Islam hasil perkongsian UMNO BN, antaranya Alor Setar, Padang Serai, Grik, Lumut, Tanjung Malim, Cameron Highland, Raub, Hulu Selangor, Wangsa Maju, Alor Gajah, Air Hitam, Simpang Renggam, Tebrau, Putatan, Beluran, Batu Sapi dan Tawau

Semoga dengan penulisan ini menjawab keraguan yang telah ditipu oleh UMNO.

Apakah PAS dan PR yang khianat atau UMNO BN yang khianat?

Kalau jawab pun biarlah dengan ilmiah, bukan emosi.

No comments: