Wednesday, March 09, 2011

Saya tak halalkan: Nik Aziz

UMNO dianggap bertanding sebagai kerajaan bukan parti

2011/03/08 KOTA BHARU: Meskipun akur dengan keputusan pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau dan Kerdau, namun Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat menganggap pilihan raya itu sebagai tidak adil apabila mendakwa UMNO tidak bertanding sebagai sebuah parti, tetapi kerajaan. 

Berikutan itu, Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, beliau sebagai pemimpin PAS tidak menghalalkan dunia akhirat kepada mana-mana menteri yang menyalahgunakan kuasa demokrasi ketika kempen pilihan raya berkenaan berlangsung. 

“PAS sepatutnya lawan UMNO sebagai parti tetapi yang berlawan sekarang ialah parti dan kerajaan (merujuk UMNO dan Barisan Nasional), segala televisyen, projek dan radio berpihak sebelah pihak, ini bukan adil, ini berdosa dunia akhirat. 
 
“Saya sebagai pemimpin PAS tidak halal pada mana-mana menteri, mana-mana kuasa menyalahgunakan kuasa demokrasi, saya tak halal dunia akhirat,” katanya ketika ditemui di sini, semalam. 

Keputusan pilihan raya kecil DUN Kerdau kelmarin menyaksikan calon Barisan Nasional (BN), Syed Ibrahim Syed Ahmad menewaskan calon PAS, Hassanuddin Salim dengan majoriti 2,724 apabila memperoleh 5,060 undi berbanding lawannya dengan 2,336 undi. 

Bagi pilihan raya kecil DUN Merlimau, calon BN iaitu Roslan Ahmad menewaskan calon PAS, Yuhaizad Abdullah dengan majoriti 3,643 apabila memperoleh 5,962 undi berbanding lawannya dengan 2,319 undi. 

Ditanya mengenai kekalahan PAS di kawasan orang Melayu pada pilihan raya kecil itu, Nik Aziz menegaskan, tidak kira sama ada kawasan itu majoriti Melayu atau sebaliknya, tetapi apa yang penting ialah sebuah parti harus bertanding sebagai parti, bukannya kerajaan. 

“Saya tak kira (kawasan) Melayu atau apa, saya kira adil atau tidak sebuah parti melawan sebuah kerajaan... mana boleh, biar tunjuk gentleman. 

“Keputusan itu terimalah ia sebagai keputusan... tengok berita kelmarin, ada seorang UMNO masuk PAS kemudian tukar jadi UMNO semula sebab mendapat tekanan, saya dapat laporan macam-macam tekanan berlaku, mana ada (dalam) demokrasi (menggunakan) tekanan, macam rakyat ini belum akil baligh, macam budak, kena tekan dan bagi projek,” katanya.

Ulasan: Terbukti di seluruh negara bertahun-tahun BN/UMNO melakukan memancing undi dengan rasuah. Sebenarnya BN/UMNO merosakkan jiwa perjuangan rakyat. Bukan pangkah sesuatu parti kerana kesenangan material tetapi kerana menyelamatkan duit rakyat.


No comments: